Saturday, August 18, 2018

PAS Sedia Saman Dato' Mahfuz




KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu bukan sahaja menafikan tuduhan fitnah parti itu ada menerima wang daripada Umno, bahkan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat menegaskan, parti itu bersedia menyaman Naib Presiden PAN, Dato' Mahfuz Omar.
Ini kerana katanya, pemimpin PAN itu membuat tuduhan fitnah terhadap PAS Terengganu dengan berniat jahat.
"Saya ingin memaklumkan sejelas-jelasnya bahawa PAS Negeri Terengganu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah yang mengatakan PAS Terengganu mendapat wang daripada pihak Umno. Itu merupakan satu tuduhan, satu fitnah palsu yang dibuat terhadap PAS Terengganu.
"Kita mendesak orang yang mendakwa PAS Terengganu mengambil wang daripada Umno supaya membuat 'report' Polis. Jika sekiranya pada pandangan mereka ada unsur rasuah, sila buat (laporan) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita telah beri masa yang lama tetapi tidak ada tindakan itu. Bahkan, mereka meletakkan bebanan bukti itu terhadap orang yang dituduh pula. Ini satu perkara yang tidak wajar," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, semalam.
Pada 7 April lalu, Ustaz Satiful Bahri antara tiga nama pemimpin PAS Terengganu termasuk Bendahari PAS Terengganu, M.Syukrimun Shamsudin dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dilaporkan menerima wang daripada Umno.
Sehubungan itu jelasnya, PAS Terengganu menyerahkan tindakan susulan itu kepada peguam yang juga Ketua Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia Negeri Terengganu, Mohd Zabidi Yusof.
Menurutnya, PAS sebuah parti politik yang telah lama terlibat dengan pilihan raya dan pernah memerintah Terengganu dua kali pada tahun 1959 dan 1999.
Justeru, kata beliau, dengan jumlah keahlian parti di negeri ini mencecah lebih 100,000 PAS biasa membuat kutipan sumbangan ahlinya.
"Kita sudah biasa buat kutipan (sumbangan) untuk parti ini dari dahulu hingga sekarang. PAS memiliki pusat-pusat tarbiah, dewan dan sebagainya. Semuanya itu hasil sumbangan ahli dan orang ramai.
"Bahkan, setiap kali pilihan raya. PAS bayar deposit calon, bahan kempen dan banyak lagi. Parti-parti (lain) yang pernah bergabung di negeri Terengganu dahulu pun PAS yang membiayai sumbangan kepada calon-calon itu.
"Kita tidak mengharapkan wang Umno sedangkan kita lawan Umno. Ini satu tuduhan yang bodoh jika menuduh PAS ambil duit Umno untuk lawan Umno," tegasnya.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu membuat tuduhan PAS Terengganu menerima wang Umno sebanyak RM1 juta yang dimasukkan ke akaun khas dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac lalu dan RM1.5 juta lagi didepositkan ke akaun Jabatan Pembangunan PAS (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Hadir sama pada sidang media itu, dua pemimpin PAS yang dituduh oleh Dato Mahfuz iaitu M.Syukrimun Shamsudin dan Muhyidin Abdul Rashid serta peguam PAS, Mohd Zabidi Yusof. -HARAKAHDAILY 16/4/2018

Penamaan Calon Lancar. Siapa Dr Halimah Calon PAS?



PETALING JAYA: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dun Seri Setia yang melibatkan calon PAS berjalan lancar, pagi ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man membaca doa sebelum perarakan. Beliau juga mengetuai perarakan dari Bangunan Mybank menuju Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Hampir 500 penyokong daripada PAS dan Umno berarak menuju ke pusat penamaan calon kira-kira jam 8.30 pagi diselangi dengan selawat.
Dr Halimah bersama penyokong PAS dan Umno mula memasuki dewan pusat penamaan calon jam 8.45 pagi diiringi dengan laungan takbir daripada penyokong.
Pengurus Pilihan Raya Dun Seri Setia, Mohd Azizi Moh Zin mengumumkan penyerahan borang calon pada jam 8.59 pagi.
Turut mengiringi Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan dan Dato’ Iskandar A Samad, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukyi, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosli Adam, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Haslina Wan Hassan, pimpinan negeri dan kawasan.
Penamaan calon PAS kali ini berada dalam suasana berlainan daripada sebelum ini. Ini kerana pimpinan dan penyokong Umno turut serta memberi sokongan kepada calon PAS, Dr Halimah Ali.
Antara pimpinan Umno yang hadir, Naib Presiden yang juga Pengerusi Perhubungan negeri, Dato’ Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Wanita, Dato' Dr Noraini Ahmad. – HARAKAHDAILY 18/8/2018
Biodata Dr Halimah.

Pendidikan: 
Elizabeth Matriculation College, Hobart, Tasmania
Bachelor Med. Sc.(Tasmania, Australia)
Bachelor Of Medicine, Bachelor Of Surgery (Tasmania, Australia)
Diploma Tasawwur Islam(Pelajar Terbaik)
Pengalaman Kerja 
Hospital Universiti, Petaling Jaya
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
Klinik Kesihatan Ibu & Kanak-kanak Klang
Klinik Kesihatan Ibu & Kanak-kanak, Shah AlamPejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa SubangPejabat Kesihatan Daerah PetalingPegawai Kesihatan Sekolah Daerah KlangPengamal Perubatan Swasta selama 19 tahun di dua buah klinik, Klang

Penglibatan Dalam Masyarakat 
Sukarelawan Misi Kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia Untuk:
Bencana Tsunami, Meulaboh, Aceh
Bencana gempa bumi Kashmir/Pakistan
Bencana gempa bumi YogyakartaMangsa perang LebanonRakyat miskin mangsa Rejim Pol Pot KampucheaMangsa banjir TDDI Jaya, Kampung Kebun Bunga, Shah Alam dan JohorAktivis Kempen JerebuAktivis Kempen kesedaran kanserCo-Author Buku Pendidikan Jasmani & Kesihatan Jilid 1(SPBT)Kolumnis majalah Ummi Pendakwah bebas di jabatan dan agensi kerajaan , swasta, masjid dan surauMotivator jemputan di IPT, sekolah-sekolah dan tadikaPernah menjadi doktor undangan untuk program kesihatan di RTM (radio dan televisyen)Berjaya mengerakkan pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah Kampung Melayu Nelayan Telok Gong.Berjaya menggerakkan pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah penduduk Taman Sentosa Perdana.Berjaya menjadi pemangkin untuk menggerakkan pihak berwajib untuk membina SRJK(T) Jalan Tepi Sungai, Klang dengan kadar segera.Berjaya menyediakan 70x Klinik Bergerak Percuma di seluruh Dun Selat Klang termasuk Pulau Ketam, Sungai Lima dan Bagan HailamBerjaya menjadi pemangkin penyediaan klinik bergerak oleh pihak berwajib.

Jawatan dalam NGO
2005-2007: Ketua Biro Perubatan & Kesihatan, Yayasan Amal Malaysia

2007-sekarang: Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Merangkap Ketua Biro Pembangunan Wanita & Keluarga Amal Malaysia
Merangkap Naib Pengerusi Yayasan Amal Selangor2007-sekarang: Ketua Biro Perubatan & Kesihatan, MACMA Pusat (Malaysian Chinese Muslim Association)2001Pengurus Pusat Motivasi Islam Cemerlang2000 Pengasas Kelab Remaja Intan Islam2003 Pengasan Kelab Ibu Muda2005 Pengasas Kelab Remaja Explorers IslamPengarah Pustaka Gedung Ilmu

Penglibatan Dalam Politik 

Jawatan dalam parti:

Timbalan Pengerusi Biro Solidariti (Perpaduan) Nasional PAS Pusat
Exco Dewan Muslimat PAS Pusat
Pengerusi Biro Solidariti Dewan Muslimat PAS PusatExco Badan Perhubungan PAS Negeri SelangorExco PAS KaparKetua Editor bulletin Mandarin Ren Min Shi ShiEditor risalah Tamil Makkal Sethi .

1 Lwn 1 Di Seri Setia. Dr Halimah Ali (PAS) &Halimey Abu Bakar (PH).


PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS dan PH.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain mengumumkan demikian kira-kira jam10.30 pagi setelah menerima borang pencalonan daripada Dr Halimah Ali (PAS) dan Halimey Abu Bakar (PH).
Beliau berpuas hati dengan pencalonan oleh parti-parti terlibat setelah membuat semakan ke atas kedua-dua kertas undi.
Pusat Penamaan Calon PRK Dun Seri Setia diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
PRK Dun Seri Setia diadakan susulan penyandang daripada PKR, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.
Tarikh mengundi PRK Seri Setia pada 8 September depan. –HARAKAHDAILY 18/8/2018

Najib Cabar Lapor Polis, Apa Lagi LGE &PH Nak? Kenapa PH Tak Berani?


Datuk Seri Najib Tun Razak cabar Lim Guan Eng lapor polis isu dakwaan konon RM19 bilion bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ Barisan Nasional (BN).

Bekas perdana menteri itu berkata, di sebalik tuduhan liar di Parlimen kerana Pakatan Harapan (PH) ada imuniti, Guan Eng sepatutnya secara peribadi buat laporan polis dengan nyata secara jelas BN telah rompak dana tersebut.

“Berikutan cara pengurusan ekonomi yang tersasar kerajaan baharu ini, mereka (menteri kewangan) kini menuding jari ke arah kerajaan BN. Ini adalah sebab sebenar mengapa banyak janji manifesto PH kekal tidak ditunaikan.

“Juga mengapa program bantuan kepada golongan memerlukan pula dipotong manakala kenaikan gaji kakitangan awam dibekukan, dan bukanlah kerana tuduhan ciptaan mereka kononnya hutang negara adalah RM1 trilion.

“Kemudian dakwa BN ‘merompak RM19 bilion daripada dana tuntutan GST’,” kata Najib dalam nada sindiran sebagai ulas kegagalan PH tunai pelbagai janji manis manifesto mereka sendiri dengan cipta banyak dalih baharu. 

Minggu lepas, Guan Eng mengejutkan Dewan Rakyat dengan berkata BN ‘merompak’ wang bayaran balik GST dan akibat itu wujudnya kekurangan sebanyak RM19 bilion wang yang tidak dibayar balik kepada peniaga sejak 2015.

Setakat ini, Ahli Parlimen BN Rembau, Khairy Jamaluddin membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan mahu kes tersebut dibawa kepada pihak mahkamah jika benar berlaku ‘rompakan’ seperti ditohmah Guan Eng. 

Sistem GST 6 peratus mula disifarkan pada 1 Jun lepas dan kerajaan PH bakal memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September depan sempena Hari Kebangsaan 2018 dengan kadar 16 peratus.

Najib berkata, kerajaan PH juga perlu membayar balik cukai input sebanyak RM8 bilion kepada peniaga bagi GST yang dibayar ke atas pembelian dan perbelanjaan (termasuk import barangan) untuk bulan April dan Mei. 

“Kesemua itu melibatkan kurangan sebanyak RM31 bilion bagi tahun ini.” Justeru beliau berkata, defisit pendapatan daripada GST itu menyebabkan PH potong bantuan kepada golongan miskin dan tidak naik gaji penjawat awam.

Mengulas lanjut Najib berkata, kerajaan PH sebaliknya lebih minat menyalahkan BN atas kegagalan laksana janji manifesto kempen pilihan raya umum mereka dan berlindung di sebalik kekebalan diberikan oleh Parlimen. 

Ini termasuk dengan buat dakwaan jahat konon BN ‘rompak’ RM19 bilion wang bayaran balik GST yang kemudian terbukti tidak benar setelah dinafikan sendiri oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia sendiri minggu lalu. 

Najib yang juga bekas menteri kewangan turut mengingatkan orang ramai tentang kemungkinan cukai baharu diperkenalkan oleh kerajaan PH bagi tampung kekurangan hasil akibat pemansuhan GST. – Mynewshub.TV

MR : Setelah pengalaman PRU-14 banyak perkara dimanipulasi oleh pihak PH untuk jatuhkan BN, jadi rakyat mula ragui apa kenyataan pimpinan PH. Jalan terbaik biar pihak berkuasa menyiasat untuk mengesahkan kebenarannya. Tapi kenapa PH tak berani?....

MINDARAKYAT

http://mindarakyat.blogspot.com/

Rebut Jawatan Azmin/Rafizi: Anwar Enggan Terseret. Lambang Kemelut Anwar-PM?




KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak menggunakan kaedah licik untuk menang dalam pemilihan parti.
Malah, beliau mengakui tidak mahu terseret dalam kemelut perebutan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR, antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Katanya, semua kepimpinan parti seharusnya bersaing secara sihat dan beretika kerana tindakan tertentu termasuk membeli undi atau memfitnah adalah bertentangan dengan dasar parti.
“Jawatankuasa pemilihan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan budayawan di pejabatnya, hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak pernah menggunakan Rafizi sebagai alat untuk keuntungan politiknya sendiri, lebih-lebih lagi naib presiden PKR itu mendapat perhatian awam.
Mengenai dakwaan bahawa beliau tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri, katanya spekulasi itu wujud sejak 1998, dan terus sabar menanti hingga 20 tahun.
Sambil memberikan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengakui ada hak membangkitkan sebarang isu.
Malah, turut mengakui Dr Mahathir sangat bersetuju dengan isu yang selalu dibangkitkan.
Presiden PKR itu berkata, beliau turut memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa ada khabar angin yang cuba memburukkan hubungan mereka, tetapi beliau tidak akan membenarkan sebarang percubaan mengganggu hubungan antara mereka.
“Kami berdua bukan saja matang tetapi bekerja keras sebelum bekerjasama membentuk pasukan yang hebat seperti hari ini,” katanya. (BH)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah ini, tanda-tanda atau lambang kemelut dalaman parti pemerintah PH?

Apa Motif DAP Mahu Kafir, Pondan Ada Dalam Jakim?

Apa Motif DAP Mahu Kafir, Pondan Ada Dalam Jakim?


MODUS operandinya agak mudah iaitu DAP tidak cakap isu tersebut bagi elak dikutuk umat Islam tetapi eksploit Melayu yang juga ahli parti itu sebagai boneka kononnya ia suara kaum berkenaan.

Namun, semua maklum saranan dikemuka Prof. Dr. Tajuddin Rasdi, pensyarah senibina Islam, yang disiar portal pro-Pakatan Harapan (PH) minggu lalu; sebenarnya cerminan imej DAP mahu campuri urusan hal ehwal Islam.
Ini termasuk dengan letak individu yang cenderung fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai antara ahli lembaga pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kononnya agar ‘suara orang luar’ juga diambil perhatian sama.
“Saya cadangkan supaya ia perlu dianggotai oleh 20 paratus daripada Bukan Islam yang mewakili pelbagai agama, bangsa dan keprihatinan. Perlu ada juga wakil yang boleh bercakap bagi pihak kumpulan minoriti tertentu lain.
“Ini seperti LGBT, Ahmadiah atau kumpulan Syiah,” demikian cadangan pelik Tajuddin yang juga merupakan ahli DAP seumur hidup dari kalangan Melayu vokal dan disiarkan menerusi laman Free Malaysia Today baru-baru ini.
Dalam tulisan itu, beliau menyatakan banyak isu Islam di Malaysia konon telah ceroboh bidang bukan Islam sambil beri contoh kes ‘pijak kepala lembu’, seruan bakar Bible dan himpunan Baju Merah yang laungkan slogan Islamik.
Juga pertembungan Mufti Perlis dengan aktivis pelampau Hindu Hindraf, Waythamoorthy, isu Zakir Naik dan P. Ramasamy dan beberapa contoh lain disebutkan Tajuddin kononnya cetus kebimbangan masyarakat bukan Islam.
Baginya, isu-isu ini menunjukkan bahawa Islam merupakan isu bagi Malaysia secara keseluruhannya dan wajar kelompok bukan Muslim diajak terlibat beri pandangan menerusi pelantikan dalam lembaga pengarah Jakim.
“Saya mahu mencadangkan yang kita terima bahawa ada sesetengah isu berkaitan hal ehwal Islam merupakan isu rakyat Malaysia tanpa kira agama mereka dan bukan hanya eksklusif membabitkan umat Islam semata-mata.
“Walaupun penjajah British yang telah memberikan kemerdekaan kepada Malaya mensyaratkan supaya perihal Islam akan kekal di bawah kuasa institusi Islam, kita mesti melihat semula idea ini di dalam konteks lebih luas.
“Ini termasuk dari segi kontemporari, kebudayaan dan amalan profesional dalam dunia berkembang pesat,” dalih Tajuddin sebagai rasional lantik golongan kafir, pondan dan ajaran sesat itu untuk sertai lembaga pengarah Jakim.
Perasaan kuat beliau menyatakan bahawa konon tiba masa untuk kita semua pertimbangkan bukan Islam sebagai sebahagian daripada mana-mana ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam mana-mana institusi Islam tempatan.
Ini juga untuk membolehkan perspektif seimbang terhadap masalah dan terlibat sama dalam hasil cara penyelesaian masalah yang lebih baik berbanding sekadar input idea daripada hanya anggota panel beragama Islam semata-mata.
“Lagi pun, mereka ini masih rakyat Malaysia. Ahli jawatankuasa atau lembaga pengarah ini hanya sebagai minoriti dan tidak mampu beri kesan kepada kekuatan undian orang Islam dalam jawatankuasa atau lembaga pengarah itu.
“Apa yang saya ingin ketengahkan ialah pandangan minoriti ini mesti diwakili kerana saya tiada langsung keyakinan kepada kemampuan pakar Islam untuk fahami atau hargai semua bentuk keprihatinan kelompok rakyat Malaysia.”
Hakikatnya, meskipun yang bercakap lontar idea aneh ini ialah orang Melayu dan beragama Islam, tetapi dalang sebenarnya ialah DAP serta diketahui ada agenda tersirat mahu hancur Islam dari dalam. – Agensi/Mynewshub.TV

Mengorak langkah 100 Hari Kerajaan Terengganu


KALAU dilihat secara baca sepintas lalu, memang tak ada perkataan pertanian yang ditulis dalam Manifesto PRU14 PAS Terengganu.
Tapi kita perlu baca dan faham apa yang tersirat bagaimana Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa berperanan untuk mengisi kemenangan ini serta bergandingan bersama Portfolio lain dalam melaksanakan manifesto.

Tiga sasaran utama yang melibatkan Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa ialah:

1. Bekalan air percuma 20 meter padu kepada penduduk miskin. Data yang menyatakan bahawa 100 peratus penduduk Negeri Terengganu telah menikmati bekalan air bersih sebenarnya tak tepat. Masih ramai lagi penduduk desa atau luar bandar yang menggunakan air telaga atau boring air. 

Sebahagian besar mereka adalah rakyat miskin. Data Profil Kampung yang sedang dikemaskini perlu tepat dan menggambarkan situasi sebenar rakyat barulah pelan pembangunan boleh dirancang dengan baik. Janji untuk memberikan bekalan air percuma tak akan bermakna apa-apa bagi penduduk miskin yang belum menikmati kemudahan bekalan air. 

Di sinilah peranan Portfolio Pembangunan Desa mengambil tugas bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menyelesaikan isu bekalan air luar bandar.

2. Menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun. Kita menyedari bahawa Terengganu bukanlah sebuah negeri industri. Persaingan untuk mengisi ruang di sektor industri di negeri ini agak tinggi. Terengganu masih lagi sebuah negeri pertanian.
Kita masih ada kira-kira 12 ribu hektar tanah kosong yang terbiar di seluruh negeri. Ramai orang muda belia Terengganu yang tak ada kerja. Pelbagai kemudahan kursus, khidmat nasihat teknikal serta kemudahan pembiayaan dan bantuan termasuklah kemudahan pasaran disediakan oleh pelbagai Jabatan dan Agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Perindustrian Nenas.
Saya menyedari bahawa belia kita tak dapat maklumat dan tak diberitahu tentang peluang yang boleh diceburi dalam bidang pertanian dan asas tani. Kerana itu saya telah mengambil langkah dalam siri program jelajah turun padang untuk bertemu dan berdialog secara langsung bersama rakyat di peringkat yang paling bawah bersama Jabatan dan Agensi berkenaan.
Batu Buruk, Kerteh, Bukit Payong dan Jabi antara lokasi yang telah diadakan program dialog bersama rakyat. Ghairah rakyat untuk mengetahui tentang peluang-peluang pertanian untuk mereka ceburi sangat baik sehinggakan program di Jabi turut dihadiri oleh petani dari Kuala Terengganu.
Kita perlu membangun dengan cara kita sendiri. Pertanian ialah suatu perniagaan dan sumber rezeki rakyat di samping menjamin 'food security'.
Matlamat awal saya, di bawah Program Sumber Rezeki Baru (SRB) paling minima setiap Dun mesti melaksanakan satu projek pertanian berkelompok untuk golongan belia. Orang muda belia mesti mencurahkan tenaga yang ada. Kerajaan Negeri membantu mana yang perlu.

3. Mengembalikan tanah rakyat yang dirampas dan membuka permohonan tanah baru. Tanah yang dirampas selepas 2004 adalah RTB Tapak Rumah dan RTB Pertanian. Begitu juga permohonan tanah baru majoritinya adalah tanah tapak rumah dan pertanian.
Tanah pertanian perlu diusahakan dan ditanam dengan tanaman. Tak dinamakan tanah pertanian jika hanya tumbuh semak dan lalang. Apa halangan yang menghalang dan apa masalah yang timbul sehingga rakyat tak dapat bertani adalah kerja kerajaan untuk mencari jalan penyelesaiannya. 
Kerana itulah pendekatan turun padang berjumpa masyarakat petani sangat perlu supaya kita boleh dengar sendiri suara hati mereka. Rakyat segan nak datang jumpa Pengarah Pertanian Negeri dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang. Exco Pertanian telah bawa Pengarah turun jumpa rakyat. Satu halangan birokrasi telah berjaya diatasi.
Halangan diatasi, peluang diberi dan bantuan disediakan maka rakyat boleh bekerja dan perlu bekerja. Saya yakin daripada 20 ribu peluang pekerjaan yang disasarkan dalam masa 4 tahun, sektor pertanian mampu menyumbang sebahagian besar peluang.
Industri padi di Terengganu dengan kawasan IADA KETARA di Besut sebagai pemain utama meliputi kawasan seluas kira-kira 5 ribu hektar melibatkan kira-kira 4 ribu orang petani.
Rancangan KETARA Fasa 2 dengan peluasan kira-kira 5 ribu hektar lagi kawasan penanaman padi di Besut dan Setiu di bawah KETARA telah diajukan oleh Jabatan Pertanian Negeri kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dari jumlah pengembangan keluasan tanaman padi ini, beberapa ribu lagi peluang pekerjaan mampu disediakan.
Infrastruktur pertanian dan asas tani di Negeri Terengganu yang dibina menggunakan ratusan juta wang rakyat saya telah kenal pasti banyak yang terbiar dan kosong. Projek Kelapa Matag Kubang Puyu, Projek Kambing Lembah Kaprima, beberapa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), ladang ternakan ayam, bebiri dan lembu tiada tanaman dan ternakan.

Saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menyediakan Kertas Pelan Pemulihan Projek-projek Yang Terbiar untuk dimanfaatkan kembali.

Tentunya bila pemulihan ini berjaya, ia boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada beberapa ratus orang rakyat lagi.
YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembagunan Desa Negeri Terengganu.
17 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 17/8/2018

Parti Gay Terbesar Di Ibu Negara? Sila Siasat. -Pemuda PAS

Parti Gay Terbesar Di Ibu Negara?

KL– Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta Kementerian Wilayah Persekutuan menyiasat program yang didakwa parti gay terbesar akan dianjurkan selama tiga hari berturut-turut di ibu negara bermula pada 30 Ogos ini.

Ketuanya, Mohd. Farkhan Md. Zain berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan sepatutnya membatalkan parti itu yang akan berlangsung di G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“DPPWP mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak tegas dan membatalkan parti ini dengan segera. Jangan cemarkan maruah rakyat serta negara dengan penganjuran parti hina ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abd. Samad.
Mohd. Farkhan berkata, parti itu adalah program tahunan komuniti gay sejak tahun 2015 yang mendapat liputan besar-besaran media antarabangsa termasuk The Gay Passport.
Kata beliau, pihak penganjur dikatakan menyalurkan sebahagian keuntungan daripada penganjuran parti berkenaan sejak tahun 2015 kepada Yayasan PT, Majlis AIDS Malaysia, Rumah Pertiwi, Pertubuhan Wanita dan Kesihatan (WAKE) dan Pertubuhan Kebaikan dan Kesihatan Umum Malaysia. (IH)

Friday, August 17, 2018

Kemelut Anwar-Tun M: ‘Sindir’ Ahli Parlimen PH Gagap BM

Anwar ‘Sindir’ Ahli Parlimen PH Gagap BM

MALU… Genap 100 hari Pakatan Harapan (PH) kuasai negara, kegagalan ramai Ahli Parlimen dari blok itu fasih bahasa Melayu sehingga jadi bahan jenaka rakyat, ternyata memalukan imej kerajaan.

Aib dengan perkara itu yang turut melibatkan jemaah menteri, Presiden PKR baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan PH agar pertimbang cadangan diadakan kursus Bahasa Melayu untuk semua ahli Parlimen PH.
Hal itu kerana terdapat banyak teguran terhadap beberapa ahli Parlimen gabungan tersebut yang dilihat tidak menguasai bahasa kebangsaan berkenaan dengan baik selain mengeluarkan kata-kata kesat dan kurang sopan.
“Kami (dahulu dikenali sebagai Pakatan Rakyat) pernah anjurkan kursus bahasa Melayu untuk seluruh ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor selepas Pilihan Raya Umum pada 2008 supaya meningkatkan penguasaan bahasa.
“Kalau tidak malu nanti kita dengar penguasaan bahasa mereka jauh lebih lemah berbanding pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” kata Anwar dalam nada kesal tetapi berbaur sindiran terhadap tahap bahasa wakil rakyat PH.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan sekumpulan budayawan tempatan di ibu pejabat Presiden PKR itu di ibu negara pada hari ini yang turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Anwar, yang dipecat daripada jawatan Kabinet oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad secara zalim pada 1998; diketahui sebagai pencinta bahasa Melayu dan sering guna pelbagai istilah nadir ketika pernah menjadi menteri kewangan.
Ironi, ramai maklum kerajaan PH sendiri tidak begitu serius perkasa bahasa Melayu malahan ada beberapa menteri dan timbalannya dilihat sengaja guna bahasa bukan Melayu dalam urusan rasmi mereka. – Agensi/Mynewshub.TV

Siri Kemelut Anwar/Mahathir

Tidak Dipilih Kerja, Kerana Enggan Bersalam Dengan Lelaki Tapi Allah Maha..


Ungkap Rahsia Yang Maha Agung

SEORANG wanita Muslim yang permohonan kerjanya ditolak kerana enggan berjabat tangan dengan lelaki yang menemuduganya diberi pampasan £3,000 (RM15,655).

Farah Alhajeh, 24, adalah salah seorang calon untuk peranan jurubahasa, tetapi sebaik sahaja tiba dia memberitahu individu yang menemuduganya bahawa dia tidak dapat bersalam dengannya.

Dia sebaliknya menyambut salam lelaki itu dengan meletakkan tangan di atas dadanya. Tetapi dia mendakwa telah dimaklumkan bahawa temuduga itu telah selesai dan diarahkan meninggalkan pejabat itu di Stockholm, Sweden.

"Sebaik sahaja saya masuk ke lif, saya mula menangis," Farah memberitahu penerbitan Sweden, SVT.
"Ia tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini, ia sama sekali membuatkan saya rasa tak selesa. Ia sangat mengerikan."

Farah membuat laporan terhadap syarikat tersebut kepada organisasi diskriminasi Sweden, yang membawa kesnya ke mahkamah. Dia menang kesnya minggu ini, dan telah dianugerahkan £3,420 (RM17,846) ganti rugi. 

Pejabat diskriminasi Sweden menyatakan bahawa keputusan itu telah mengambil kira 'kepentingan majikan, hak individu untuk integriti badan, dan kepentingan negara untuk mengekalkan perlindungan untuk kebebasan beragama'.

Bercakap selepas kes ini, Farah memberitahu BBC

"Saya percaya kepada Tuhan, yang mana ia sangat jarang berlaku di Sweden dan saya sepatutnya dapat melakukannya dan diterima selagi saya tidak menyakiti sesiapa.
"Di negara saya, anda tidak boleh melayan wanita dan lelaki secara berbeza.
"Saya menghormatinya. Itulah sebabnya saya tidak mempunyai sebarang hubungan fizikal dengan lelaki atau wanita." -metroUK 

Komen Weblog Ibnu Hasyim"Saya percaya kepada Tuhan.." Yakni yakin Allah Yang Maha Agung, Maha Kuasa, Maha Besar, lain semua kecil belaka.. Maka berlakulah seperti yang berlaku. Maka terungkaplah rahsia yang Maha Agung, yang disangka bencana, rupanya nikmat. Berupa pampasan RM17,846 sebagai ganti rugi. 
Allahu Akbar!!

Lihat sebelum ini:
E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung (1)
E-Buku IH-22: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung
E-Buku IH-119: Ungkap Rahsia Yang Maha Agung (2)

Parlimen Kecoh. Isteri 1,2,3, Tambah Ke 4 Jadi Lebih Baik. Apa Masalah?

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pemansuhan Akta Anti-berita Tidak Benar akan membawa implikasi besar kepada negara. 


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (PAS-Pasir Puteh) didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat seksis dalam sesi perbahasan pemansuhan Akta Anti-berita Tidak Benar.

Ia bermula dengan tindakan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) menegur Zawawi membandingkan sifat Tun Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi) ketika bersama Barisan Nasional (BN) dan PPBM, yang disifatkannya tidak adil untuk menilai orang lain.

“Saya rasa Pasir Puteh boleh beri kiasan yang lain, apabila berkaitan isu berita tidak benar. Apabila katakan seseorang ini jahat dan sekarang baik atau sekarang ini jahat, dahulu baik.
“Manusia ini selagi tidak dikafankan, kita tidak tahu sama ada dia baik atau jahat, maka saya rasa tidak adil untuk berikan contoh berkenaan,” kata Azrina.

Zawawi membalas teguran itu dengan berkata: “Itulah dia, orang perempuan dia berhujah.”

Beberapa ahli Parlimen lain, termasuk Wong Shu Qi (PH-Kluang) dan Azrina sendiri menuntut Zawawi menarik balik kenyataannya.

Setiausaha Majlis Syura Ulama itu yang enggan berbuat demikian berkata: “Apa benda yang saya sebut? Akta ini kalau dimansuhkan, ada implikasi besar kepada negara.”

Beliau menyamakan tindakan kerajaan terdahulu meluluskan Akta Anti-berita Tidak Benar seperti lelaki berpoligami.

“Saya ibaratkan menambah Akta Anti-berita Tidak Benar ini seperti orang lelaki dia tambah isteri, bukan bermakna apabila lelaki tambah isteri dia katakan isteri pertama, ke-2 dan ke-3 tidak baik, tetapi tambah yang ke-4 akan menjadikan lebih baik dalam keluarga.”

Terdahulu, Zawawi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta pandangannya mengenai perbezaan Dr Mahathir ketika bersama BN dan PH.
“Kalau Langkawi buat salah waktu ketika Umno dulu salah, tetapi bila dia masuk ini tidak salah,” kata Zawawi
FMT

Apa Rahsia Pulau Bidong, Sejarah & Masa Depan.


Oleh: Mohd Nasir Abdullah

Pertama kali saya berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Bidong pada 13 Ogos lalu, mengikuti rombongan YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, YB Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengarah Pelancongan Negeri, Tuan Haji Tun Faizal Tun Abdul Razak, wakil-wakil agensi berkaitan dan juga wartawan yang membuat liputan.

Dr Samsuri meninjau monumen tinggalan sejarah Pulau Bidong.

Kami bertolak dari Jeti Merang kira-kira jam 8.40 pagi dan sampai ke Jeti Pulau Bidong lebih kurang 25 minit selepas itu. Laut agak tenang, membantu mempercepatkan bot kami membelah laut, kata pemandu bot. Di dalam bot, saya berpeluang bersembang dengan Penolong Setiausaha Exco Pelancongan, Wan Mohd Firdaus Wan Sembak, berkenaan Pulau Bidong. 

Antara butir perbualan kami ialah berkenaan tindakan oleh kerajaan terdahulu terhadap Pulau Bidong. Bermula daripada Dato’ Seri Idris Jusoh, beliau telah memberikan sedikit penumpuan terhadap pembangunan pulau ini. Namun kedua-dua pengganti Dato’ Seri Idris Jusoh, kelihatan kurang berminat untuk memberikan tumpuan kepada pulau ini. Dikhabarkan, kedua-dua bekas Menteri Besar itu, tidak pernah ke sini bagi membuat tinjauan. 

Bagi yang mungkin tidak mengetahui sejarah Pulau Bidong ini, ia adalah sebuah pulau yang pernah diduduki oleh pelarian perang daripada Vietnam. Kumpulan pertama yang sampai ialah kumpulan profesional yang terdiri daripada pakar-pakar serta cendekiawan-cendekiawan yang menentang rejim negara mereka sendiri. 

Mereka diburu setelah Amerika yang mereka bantu, kalah dalam perang Vietnam sekitar akhir tahun 60-an. Begitulah perangai Amerika, sentiasa menjadi pengacau kepada negara lain. Kumpulan ini tinggal di sini tidak terlalu lama kerana mereka diambil oleh negara ketiga seperti Amerika, Australia dan lain-lain bagi negara-negara ketiga itu menggunakan kepakaran mereka.

Mereka meninggalkan legasi yang sangat bermakna di sini kepada kumpulan-kumpulan seterusnya yang datang. Mereka membuka kelas-kelas seperti kelas kejuruteraan, pasar yang dikatakan sangat maju, kilang roti, empangan mini menjadikan ianya sebagai tempat yang diidamkan oleh pelarian-pelarian Vietnam yang lain yang masih berusaha keluar daripada negara mereka pada waktu itu. 

Setahu saya, ada dua peristiwa kapal pecah yang membabitkan kematian yang ramai. Satu pada akhir 70-an dan satu lagi kira-kira tahun 1987. Ketika peristiwa yang pertama, cerita daripada orang-orang tua, mereka dapati emas yang banyak ada bersama mayat-mayat itu. Menunjukkan mereka membawa bekal yang cukup sebelum melarikan diri. Pujian harus diberikan kepada Kerajaan Negeri ketika itu dimana mereka segera bertindak memisahkan orang Islam yang ada bersama yang dimaklumi minoriti daripada kumpulan pelarian itu, agar terpelihara agama mereka.


Masa berlalu, dan kumpulan-kumpulan seterusnya yang datang, bukan lagi golongan profesional, tetapi orang biasa. Adalah menjadi kebiasaan, apabila golongan sebegini datang, mereka akan membawa beberapa masalah bersama. 

Maka Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan bahawa mereka adalah ‘orang hanyut’ dan bukan lagi pelarian perang. Sehingga direkodkan pernah pulau ini didiami lebih 100 ribu orang pada satu masa. Apabila mereka mahu dihantar pulang, mereka sanggup memecahkan kapal-kapal mereka, menggali terowong bawah tanah, bagi mengelakkan diri daripada ditangkap.

Akhirnya pada tahun 1991, orang hanyut ini telah dikeluarkan kesemuanya daripada pulau ini. Tetapi bagaikan ada nilai sentimental, mereka pada tiap-tiap tahun akan datang kembali menziarahi ‘kampung’ mereka suatu masa dahulu, disamping menziarahi kuburan nenek moyang mereka. 

Tidak sedikit daripada mereka yang telah menjadi golongan yang berjaya sehingga kepada posisi Datuk Bandar San Francisco! Bak kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Itulah nilai kemerdekaan mereka.

Banyak tinggalan-tinggalan mereka di pulau ini. Paling nyata ialah kuburan mereka serta tempat ibadat mereka sepeti patung-patung sembahan mereka. Kerajaan Negeri juga sangat bertuah kerana nun di bawah sana terdapat kumpulan batu karang yang sangat cantik, digilai oleh para penyelam yang cintakan keindahan hidupan laut. 

Namun isu yang dibimbangkan ialah, Pulau Bidong belum lagi diisytiharkan sebagai Taman Laut. Maka sesiapa sahaja bebas menangkap ikan dan juga mengambil batu-batu karang di kawasan pulau. Saya fikir, ini mesti diutamakan.

Kerajaan Negeri terdahulu khabarnya telah memperuntukkan sebanyak kira-kira RM1.5 juta bagi perbelanjaan pulau ini. Dan YAB Menteri Besar dalam lawatan beliau baru-baru ini telah memberikan jaminan untuk membantu sebarang usaha oleh agensi pelancongan negeri ataupun pihak luar bagi memberi nafas baharu kepada Pulau Bidong. 

Ia juga bergantung kepada kemampuan kerajaan setelah menerima bayaran royalti daripada Kerajaan Pusat.


Antara yang dicadangkan sebagai berpotensi untuk menarik pelancong selain pantainya yang bersih ialah menjadikannya sebagai pusat pembiakan batu karang dan kawasan pulau diwartakan sebagai Taman Laut, pusat aktiviti ‘snorkeling’ dan penyelaman dimana antara sebab menjadikan kawasan sekitar pulau ini lebih menarik adalah kerana kapal-kapal yang dipecahkan oleh ‘orang hanyut’ dahulu, sekarang telah menjadi rumah kepada ikan-ikan. 

Kerajaan Negeri juga boleh membina pusat akuatik seperti Taman Bawah Laut dan aktiviti lasak ‘Jungle Trekking’ yang semua ini mungkin tidak memerlukan penginapan atau apa yang dipanggil ‘day trip’ ke pulau ini.


Dengan itu, pengusaha-pengusaha penginapan di Pulau Redang, Lang Tengah dan juga Perhentian tidak menghadapi saingan penginapan, malah membuka lebih pakej pelancongan yang lebih menarik. Begitu juga pelancong-pelancong tempatan dari tanah besar yang mungkin boleh datang tanpa belanja menginap yang besar. 

Kerajaan Negeri juga boleh berkerjasama dengan pelarian-pelarian awal Vietnam yang kebanyakan mereka telah berjaya, bagi mempromosikan pulau ini, menggunakan kedudukan mereka. Mungkin akan ada sedikit penentangan daripada Kerajaan Vietnam kerana Vietnam pasti akan kekal menganggap pelarian itu sebagai pengkhianat kepada mereka. Namun saya yakin dan percaya, dengan kebijaksanaan YAB Menteri Besar, ianya boleh diselesaikan di peringkat ‘G to G’ (kerajaan kepada kerajaan).

Ia jelas adalah satu sumber ekonomi baharu bagi kerajaan melalui aktiviti pelancongan. Jika benar-benar ia diusahakan dengan cara yang betul, pastinya nama Pulau Bidong akan menjadi satu nama tersohor seantero dunia sebagai sebuah pulau ‘mesti singgah’ bagi pencinta keindahan laut dan juga bagi peminat sejarah bagi melihat sendiri tinggalan-tinggalan pelarian Vietnam. 

Kami pulang setelah bersiar-siar di sebahagian kecil pulau sejauh kira-kira enam kilometer, turun naik bukit-bukit di sekitar dan diberi peluang menikmati ubi kayu benih daripada Vietnam yang sangat lembut dan enak. Saya yakin usaha ini akan berjaya.

Mohd Nasir Abdullah
Bukit Payong, Marang
15 Ogos 2018
(Teganukita)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails