Friday, September 07, 2007

Tubuh cawangan PAS Di Perkampungan Sarawak..





Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

ANGIN sepoi-sepoi bahasa dari Sungai Sadong atau Batang Sadong menyapu dan mengelap-lap muka kami dengan tenang lagi menyejukkan. Kami singgah di sebuah gerai di pinggir sungai, cuba rasa makanan ringan tempatan sementara menunggu feri sampai. Ada tapai yang manis, goreng pisang dan kueh-kueh.. Beberapa remaja sedang memancing udang galah dari sungai itu..

Nun di seberang sana, dari jauh feri yang bagaikan kotak rokok hanyut terapung-apung sedang menuju kearah kami.. makin dekat, makin nampak besar terus mengarungi gelombang ke mari.. Sesampainya, van kami dan puluhan kenderaan lain dimuati feri, menyeberang ke seberang sungai. Kami sedang menuju ke Sebuyau, antara daerah pendalaman Sarawak, dalam kawasan parlimen Batang Sadong.

“Encik datang dari Semenanjug?” Tanya seorang anak muda bernama Mohd Johari setelah perkenalkan diri. Saya temuinya dalam feri tersebut.

“Apa pandangan saudara, tentang kedatangan kami ini?” Saya bertanya setelah memperkenalkan diri dan tujuan kedatangan untuk menziarahi kawan-kawan PAS di Serawak.

Kami yang keluar kira-kira pukul 10 pagi dari bandar Kuching, setelah singgah makan tengahari di restoran kecil sampai di situ kira-kira pukul 2 petang. Lepas menyeberang sungai tersebut kami meneruskan perjalanan lagi beberapa jam, hingga bertemu sebatang sungai kecil, terpaksa meninggalkan van kami menyeberang dengan sampan kecil sahaja dan berjalan kaki ke tempat distinasi, iaitu di sebuah rumah ahli PAS. Di situlah majlis penubuhan PAS Cawangan Sebuyau diadakan.

“Sepatutnya lebih ramai lagi yang datang kalau diadakan di sebelah malam, waktu nelayan-nelayan atau petani-petani berehat.. sekarang ni ada yang masih di ladang atau di sungai!” Kata ketua penaja cawangan dalam ucapan alu-aluan menyambut kami.

Lepas itu Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Ustaz Usman Mustafa pula memberi ucapan panjang lebar. Antaranya menerangkan pentingnya berjamaah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, dengan bahasa loghat tempatan, diselangi dengan huraian hadith dan ayat Al-Quran, juga dengan kelucuan yang memikat pendengar. Memang beliau juga adalah lulusan dari Universiti Al-Azhar. Jumlah yang hazir di majlis itu sudah melebihi berkali-kali ganda dari syarat tubuh cawangan iaitu hanya perlu 25 ahli sahaja.

Antara yang berucap lagi ialah Senator Hajjah Mumtaz bt Mohd Nawi (mengikuti rombongan kami bersama-sama suaminya) dan YB Dato’ Wan Rahim Wan Abdullah Speaker DUN Kelantan (juga bersama pengiring-pengiringnya mengikuti rombongan sama). Dan akhirnya sessi soal jawab. Banyak pertanyaan dihamburkan, antaranya apa yang PAS boleh bantu mereka, mengkritik wakil rakyat BN yang tidak pernah melawat kawasan, beri bantuan pilih kasih dan macam-macam double standart lagi. Antara yang menjawab soalan ialah Senator Mumtaz dan YB Dato’ Wan Rahim, mereka menjawab juga persoalan politik semasa, nasional dan internasional.

“Kami tidak berjanji untuk memberi kebendaan yang melimpah-limpah macam janji BN, tapi kami akan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya! Yang penting kita dan agama kita akan membangun bersama-sama.” Itulah janji Ustaz Usman kepada penyokong-penyokong PAS di Sebuyau.

Itulah juga antara jawapan-jawapan dalam sessi soal-jawab yang agak hangat dan menyegarkan majlis. Jawapan yang hampir sama juga diberikan bila menghadiri ke cawangan seterusnya, iaitu Cawangan Tongkah Melayu. Di Kampung Tongkah Melayu, kami terpaksa sembahyang Asar di rumah ahli di sana dan selesaikan majlis itu sebelum magrib, kerana tiada pengangkutan feri di Batang Sadong apabila lepas jam 8 atau 9 malam. Yang penting, hampir di setiap proses penubuhan cawangan, rakyat akan bertanya mengenai bantuan kebendaan. Bahkan ada di senaraikan barangan keperluan yang mereka kehendaki segera, terpulanglah kepada pemimpin atau parti menyelesaikannya.

Maka tepatlah seperti jawapan anak muda bernama Mohd Johari yang saya jumpa di dalam feri, waktu saya tanya pandangannya mengenai misi kedatangan kami, katanya “Lagi banyak pembangkang lagi baik, kerana kerajaan BN akan melawannya dengan menghamburkan kebendaan lebih banyak lagi. Saya nak beritahu rakyat Sarawak, kalau nakkan pembangunan percepatkan penubuhan cawangan-cawangan pembangkang, bahkan menangkan lebih lagi kerusi pada parti pembangkang. Kalau nakkan pembangunan Islam, menangkan pembangkang Islam di Sarawak ini, baru kerajaan BN ambil berat mengenai Islam, bukan hanya setakat buat masjid sahaja!”

Akhirnya, van kami meluncur keluar dari Kampung Tongkah Melayu di bawah sinaran bulan, walaupun datangnya dengan mentari. Bersebelahan Tongkah Melayu, rupanya ada kampung bernama Tongkah Iban. Dalam imbasan malam di sepanjang perjalanan pulang, masih boleh dilihat deretan rumah-rumah panjang orang Iban, samada yang tradisional atau moden, dengan banyak lampu-lampunya yang menarik. Kaum Iban termasuk yang diklasifikasikan kepada lima kumpulan utama kaum di Sarawak, iaitu Iban, Cina, Melayu dan Melanau, Bidayuh serta Orang Ulu.

Dari segi jumlah penduduk, Iban berjumlah 29.5%, Cina 28% dan Melayu (masyarakat Melayu dan Melanau) kira-kira 27.5 Bidayuh 8 % dan Orang Ulu 6%. Populasi anggaran tahun 2005, jumlah penduduk ialah 2,376,800 dengan kepadatan 19.1 Km. Untuk perjuangan jangka panjang PAS perlu ada pemimpinnya dari kalangan kumpulan utama tersebut. Teringat saya kepada beberapa tahun lepas sewaktu berlaku Tragedi Tsunami di Aceh, antara yang awal datang ke Aceh ialah tentera Amerika.

Mereka dikatakan telah mencuri dan membawa balik kira-kira ratusan kanak-kanak Aceh ke negerinya hingga menimbulkan kemarahan Presiden Indonesia. Mengapa kanak-kanak itu diculik? Mungkinkah mereka itu akan ditarbiahkan mengikut citarasa Amerika dan akan dihantar balik memimpin atau merampas kepimpinan Aceh pada masa akan datang?? Apakah PAS mampu buat begitu?? Tetapi bukan dengan mencuri atau menculik bahkan membantu dan menolong saudara-saudara kita orang-orang Iban atau Cina Sarawak yang telahpun beragama Islam…

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 06-09-2007.

Wednesday, September 05, 2007

Pertahan Kelantan Dengan Darah?


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“KINI di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, PAS cuma lebih 1 kerusi sahaja, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi sahaja!” Saya mencelah dalam suatu perbincangan kedai kopi di Setiawangsa baru-baru ini. “Bolehkah kita katakan PAS perintah Kelantan dengan kelebihan 2 undi sahaja??”

Hal ini berlaku dalam kawasan Parlimen Macang (P029) di DUN Kemuning (N02935) di mana calun PAS (dapat 6,078) mengalahkan calun BN (6,076) dengan 2 undi sahaja. Undi rosak 190 dan peratus keluar mengundi ialah 77.96%. Di DUN yang dua lagi dalam parlimen Macang juga iaitu DUN Temangan (N02934) PAS (dapat 5,603) mengalahkan calun BN (dapat 5,523) dengan majoriti 80 undi. Undi rosak 145 dan peratus keluar mengundi ialah 82.1%. Begitu juga di DUN Pulai Chondong (N02933) PAS (dapat 5,965) mengalahkan calun BN (dapat 5,760) menang dengan 105 undi. Undi rosak 131 dan peratus keluar mengundi ialah 82.15%.

Kalau dijumlahkan undi PAS mengalahkan BN dalam 3 DUN dalam kawasan parlimen Macang hanya berjumlah 187 undi. Di kesemua DUN undi rosak berjumlah 466 undi. Tetapi amat berbeza dengan undi parlimennya, calun BN (dapat undi 17,464) mengalahkan calun PAS (dapat undi 17,329) dengan majoriti 135 undi. Undi rosak 599 dan peratus keluar mengundi adalah 80.67%. Begitu juga di parlimen Kota Bharu, BN mengalahkan PAS sedang di ketiga-tiga DUNnya di menangi oleh PAS.

“Itulah yang dikatakan telur di hujung tanduk, tunggu masa untuk hancur berkecai jatuh ke bumi!” Sambut seorang kawan kami lagi anak Kelantan di perantauan KL.

“Aku dengar khabar pihak lawan PAS sedang berusaha memasukkan 30,000 pengundi hantu ke Kelantan.. tak hairanlah bila ada yang mengesyakinya dengan terjumpa 70 orang Mynmar berada di pejabat Pendaftaran Negara, Kota Bharu, baru-baru ini.. dan mungkin ramai lagi akan dijumpai selepas ini, termasuk orang Bangladesh, Thailand, Indonesia dan lain-lain!” Kata seorang lagi pula.

“Jadi apa yang boleh kita buat?”

“Kalau perkara itu benar-benar berlaku dan pihak berkuasa (terutamanya Pejabat Pendaftaran Malaysia) sudah tidak mampu menggunakan kuasanya mengawal kebersihan demokrasi, maka rakyat Kelantan (atau rakyat Malaysia umumnya) kena bantu kerajaan mengawalnya dengan apa cara sekalipun hatta dengan darah!!” Kata anak Kelantan di perantauan itu. “Kelantan mesti dipertahankan kebersihan demokrasinya, supaya pilihanraya berjalan lancar, bebas dari pengundi hantu dan yang terpilih benar-benar dari pilihan rakyat!” Sambungnya dengan lantang.

Naik seram bulu roma saya mendengarnya. Bukan kerana takut hantu tetapi nampak kawan kita ini macam ‘naik hantu’ dibuatnya.

Tapi, lepas itu dia nampak tenang balik, katanya dengan sindiran yang cukup tajam, “Sebenarnya, kita rasa sedih, sudah 50 tahun kita merdeka masalah hantu-hantu yang menyelinap masuk dalam bilik undi masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak berwajib. Begitu juga masalah undi pos yang dibantah pembangkang dengan sebab-sebab menasabah. Mereka tidak peka bahkan ‘pekak’kan telinga, jadi telinga kuali. Tanda pentadbiran yang tidak profesional.. sembang saja lebih. Jangan sampai semua rakyat menganggap, merekalah penjamu-penjamu hantu atau bapa-bapa hanturaya itu!”

“Jadi apa tindakan lanjut kita??” Sekali lagi berulang pertanyaaan yang sama.

“Pertama..” Jawabnya ringkas. “Kalau ada adik beradik, sanak saudara atau kawan-kawan kita yang layak mengundi di Kelantan, usahakan supaya mereka dapat mengundi. Yang dah cukup umur atau berada diperantauan. Masih ada masa lagi, kita nak selamatkan Islam di Kelantan, satu-satunya negeri yang dipimpin oleh Tok Guru, seperti juga saranan Dr Mahathir mantan PM Malaysia. Usahakan seberapa banyak yang kita mampu, tak kira berapa orang yang dapat. Isya Allah, amal jariah kita akan dikira di akhirat.
Kedua.. Kalau ada pihak-pihak yang cuba mengimport pengundi hantu dan syaitan ke Kelantan, untuk mengotorkan domokrasi, maka menjadi tugas kita sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia untuk menyekat dan menggagalnya, supaya tidak wujud hantu-hantu yang bertopengkan manusia memerintah negeri Serambi Mekah tersebut. Ini adalah satu pengorbanan yang juga akan dikira di akhirat.”

Itulah sebuah nukilan dialog di Setiawangsa untuk catatan santai buat kali ini, supaya pembaca boleh nilaikan patutkah kesucian demokrasi Kelantan dipertahankan dengan darah??. Wallahu ‘aklam.

Untuk lanjutnya, sila lihat juga catatan ‘Hantu Global Di Belakang Masjid Merah…’ dalam blog saya yang lepas-lepas, juga ada kaitan sikit-sikit mengenainya.

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL. 04-09-2007.

Sunday, September 02, 2007

Imbauan 4: Harakah Sebagai Unversiti.





Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI



“SETELAH membaca tulisan anda, ‘Imbauan Harakah 20 Tahun, Imbauan 2 & 3’ maka saya ingin beritahu anda bahawa pada saya Harakah adalah universiti tempat latihan, mengutip dan mengembangkan ilmu.” Kata seorang bekas pengarang Harakah yang saya temui baru-baru ini. “Anda ingat atau tidak, anda juga ada membantu saya hingga terbitnya buku sulung saya, selepas PAS baru mengambil alih negeri Kelantan 1990, berjudul ‘Kelantan: Mampukah Ulama Mentadbir?’ ”

“Ya, saya ingat! Anda pernah dihantar Harakah untuk membuat liputan menjelang kemenangan ANGKATAN (Angkatan Perpaduan Ummah) di Kelantan, dan saya melihat tulisan anda adalah bahan sejarah yang perlu dikumpulkan dan dijadikan buku. Bila anda mengumpulkan, sayalah yang memilih tajuk dan mengeditnya, walaupun masih belum sempurna dan nampak kelam kabut isinya. Tetapi buku itu masih agak berjaya di pasaran.” Jawab saya.

Beliau adalah saudara Tarmizi Mohd Jam berasal dari Parit Perak. Dalam buku seterusnya, beliau mengucapkan kata penghargaan kepada saya dan mengiktiraf saya sebagai guru kepada penulisannya. Puluhan buku-buku diterbitkannya, akhirnya menjadikan penulisan buku sebagai sumber pendapatan sepenuh masa beliau. Hanya beliau seorang diri menulis, mengedit, menerbit dan memasarnya. Pada tahun-tahun 90an, beliau banyak menerbitkan buku-buku isu berbentuk majalah tak berkala. Mungkin pendapatan waktu itu agak lumayan, hingga boleh pakai kereta mewah.

Saya tak ingat judul-judul buku tulisannya, kerana agak banyak. Seingat saya juga, beliau ada melanjutkan pelajaran penulisannya di Universiti Malaya. Bukan setakat menjadi penulis, bahkan beliau berkecimpung dalam politik PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya di Perak sebagai calun PAS. Saya sedar, banyak wang ringgit dan masa yang dihabiskan untuk perjuangan, kerana sering berulang-alik ke kawasannya, bagi menghidupkan perjuangan PAS di sana. Hal ini kita semua sedia maklum di saat PAS parti yang miskin dan masih belum menang banyak kerusi dalam pilihan raya kecuali Kelantan, amat perlukan sokongan ahli-ahlinya.

Saya juga sedar hal ini kerana saya juga begitu, waktu nak menghidupkan PAS di kawasan saya (PAS Kawasan Balik Pulau di mana saya jadi YDPnya) dari pertengahan 80an hingga pertengahan atau hujung 90an. Banyak pengorbanan yang perlu kita curahkan. Begitu juga saudara Ahmad Lutfi Othman anak Kedah, yang banyak menerbitkan buku-buku dan majalah (termasuk majalah Detik) semasa berkerja atau menjadi pengarang Harakah. Beliau yang dengan beraninya pernah bertembung dan berlawan dengan pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri), begitu banyak menerbitkan buku-buku politik.

Semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru dipecat dari UMNO, saya pernah bersama-sama beliau berceramah di Markas PAS Kampung Pandan. Waktu itu ada sebuah buku tulisan beliau begitu laris dan cetakannya dikatakan menjangkau 80,000 naskah, tidak termasuk puluhan syarikat yang mencetaknya secara haram (cetak rompak). Begitu juga Ustaz Mashudi (sekarang masih berkerja di Harakah) walaupun tidak menulis buku, tetapi beliau adalah orang yang awal menulis semula ucapan atau kuliah Tok Guru Nik Aziz dijadikan buku dan diterbitkan oleh pihak Harakah. Sambil menulis beliau seolah-olah sedang belajar agama di universiti..

Begitu juga Saudara Zulkifli Sulong anak Terangganu menulis buku mengenai PAS tawan Terengganu sebelum PAS benar-benar tawan Terangganu, Saudara Rashidi Hassan mengenai perjuangan Islam di Bosnia, Saudara Yusri Yusof anak Kelantan mengenai isu Palestin, Saudara Rahim Kassim buku mengenai UMNO & S46, bekas pelakon L.Man Kadir Shamsi yang memakai nama samara juga pernah berkerja sekejab dengan Harakah, Saudara Zin Mahmud dengan majalah Dunia Islamnya, Saudara Nasir Awang dan ramai lagi yang saya belum ingat semasa menulis artikel ini.

“Soalnya sekarang mengapa ramai juga orang yang asalnya datang untuk berbakti kepada perjuangan Islam melalui Harakah seperti pelajar-pelajar yang baru keluar universiti, terpaksa keluar meninggalkan Harakah seolah-olah lari dari perjuangan? Mengapa orang-orang yang terlatih di Harakah, ramai yang keluar meninggalkan Harakah atau pergi berkhidmat kepada bukan jamaah yang sealiran dengan Harakah? Di mana salahnya tarbiah universiti Harakah seperti yang disebutkan??” Saya pula bertanya Tarmizi.

“Mereka yang baru keluar dari pusat-pusat pengajian tinggi menganggap universiti Harakah itu sebagai lubuk kegiatan Islam yang bersih dari kekurangan, maka mereka pun terjun kedalamnya. Tetapi apabila sudah bergelumang di dalamnya, baru mereka tahu bahawa masih banyak lagi perkara-perkara yang perlu dibetulkan, dan harakah Islamiah itu sendiri perlukan pentarbiahan.” Jelas Tarmizi. “Itu sebabnya ada juga hampir berlaku saman-menyaman sesama sendiri dan sebagainya. Mana yang mengalah, tak mahu berlawan atas dasar jamaah terpaksa keluar membawa diri. Kadang-kadang bila keluar dari Harakah mereka jadi lebih terkenal!!”

Contoh seperti Saudara Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Wan Johari, JJ Perak, (saya tak ingat nama sebenarnya), Zin Mahmud, Rizal dan lain-lain.

Bersambung, insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 02-09-2007.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails