Saturday, August 16, 2008

Group Univ UK Sokong Ustaz Hadi Jadi PM..


BY MEGAT ALI MEGAT ALANG


IPOH 16 Ogos – Dr Haji Mohd Hasyim selaku Presiden Group Universiti Ulu Klang bersetuju dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dato' Mohd Daud Iraqi yang menegaskan sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru selepas 16 September ini, orang yang paling layak untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri adalah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Demikian ditegaskan oleh Dr Haji Mohd Hasyim, dalam pertemuan di suatu majlis makan malam di Ipoh malam tadi. Menurut beliau lagi, hujah Dewan Ulama PAS itu merujuk kepada kepentingan yang boleh disumbangkan kepada Islam. Mereka melihat kepada persoalan yang lebih menguntungkan Islam, walaupun begitu terpulanglah kepada keputusan yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat selepas ini.


“Itu pandangan Dewan Ulama PAS, tentulah mereka kata presiden mereka yang layak, mungkin parti lain akan menyatakan presiden parti mereka pula, maka hal ini terserah kepada kebijaksanaan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat… Saya menyokong pandangan beliau atas beberapa alasan. Sila lihat tulisan saya dalam Ibnu Hasyim.com … ” Kata Dr Mohd Hasyim yang juga seorang penulis weblog.


Antara tulisan beliau mengenai hal tersebut:

Anwar Tak Layak Jadi PM?’ 23-07-08 &
Tidak Wajar Anwar Saja Disebut Bakal PM’ 27-04-08.

Ya, silalah layari…

Friday, August 15, 2008

Sejarah PAS 16: Menggempur!






IBNU HASYIM:
Fokus Sejarah PAS Siri 16


“SEHINGGA tahun 1958, PAS masih dalam peringkat perkembangannya. Beberapa tahun lagi diperlukan untuk mengembang seluas-luasnya, untuk disusun rapi organisasinya, di samping membentuk dan melahirkan sebanyak-banyak kader-kader mujahid Muslimin di negara kita ini.

Tanpa kader-kader politik yang dilahirkan di dalam masyarakat sebanyak-banyaknya, tanpa organisasi yang teratur kemas dari pusat, negeri, cawangan dan ranting, saya telah merasa adalah mustahil bagi PAS dapat memainkan peranan parti politik Islam yang sebenar-benarnya seperti yang diharapkan, di mana dapat menjadi contoh kepada manusia berbilang keturunan di negara ini.”

Demikian harapan Saudara Amaluddin Darus yang baru mengambil alih tugas Ketua Penerangan PAS pada 1 Januari 1959. Beliau mengambil alih dari saudara Uthman Abdullah yang menjadi Ketua Penerangan sebelumnya dan Setiausaha Agung PAS waktu itu, sejak Pejabat Agung berpindah ke Kuala Lumpur dari Kepala Batas, Seberang Prai. Mula-mula pejabat Agung berpindah ke pejabat sementara Segambut, dan akhirnya ke No 24, Jalan Hamzah Kampung Baru , Kuala Lumpur.

Saudara Amaluddin adalah orang yang pertama membawa masuk dan mengembangkan PAS ke Kelantan. Beliau menggunakan taktik dan strategi dakwah yang sesuai dengan kehendak masyarakat kampung waktu itu atau mungkin juga sekarang… juga berjaya mempraktiknya. Pernah dalam mesyuarat jawatankuasa Pasir Mas pertama, iaitu cawangan pertama tubuh di Kelantan, beliau menggariskan slogan-slogan kerja yang perlu dilaksanakan, antaranya:

(i).‘Menghidupkan kembali ajaran Islam yang sekecil-kecilnya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah, nescaya ditolongNya menghidupkan ajaran yang besar-besar.’
(ii).‘Hidupkan ajaran Islam ke dalam masyarakat’.
(iii).‘Jika kita menolong agama Allah, nanti Allah menolong kita.’

Antara kerja-kerja awal kader-kader kepada sasaran dakwah politiknya, untuk terjun ke tengah masyarakat ialah:

Memberi salam kepada Muslim yang dikenali atau yang tidak dikenali. Mengatakan ‘Yarhamukallah’ kepada seorang Muslim yang bersin. Memberi nasihat kepada seorang Muslim apabila dia meminta nasihat. Melawat seorang Muslim yang sakit, dan melawat seorang Muslim yang meninggal dunia, membawa sedikit hadiah bantuan sebagai tanda simpati terhadap keluarga yang sedang berdukacita. Kemudian memandi jenazahnya, sembahyangkan jenazahnya dan iring jenazahnya ke kubur.”

Hal ini dijadikan satu agenda dalam mesyuarat, telah dilakukan menerusi peraturan yang telah ditentukan dari pejabat secara beramai-ramai, disamping digalakkan secara persendirian tanpa mengira anggota parti atau bukan. Inilah taktik dan strategi awal yang sangat berjaya dan berkesan dilaksanakan di peringkat cawangan atau dalam istilah PAS sekarang disebut ‘kawasan’ di Kelantan.

Kini beliau dipilih untuk melaksanakan penerangan dan dakwah di peringkat nasional atau di peringkat pusat untuk berdepan dengan pilihan raya umum atau nasional (PRU) 1959 dalam masa yang sangat singkat. Beliau mengambil langkah menyusun dan mengemaskan jentera penerangan yang cuma ada 2 orang kerani di Pejabat Agung. Tetapi istimewanya, ramai ahli-ahli PAS yang pandai berpidato atau berceramah, seperti juga parti-parti pembangkang yang lain.

Beliau mula ‘menyusun dan menyatukan cara dan teknik penerangan yang seragan, di samping beranika ragam menurut suasana dan tempat’. Menurut beliau:

“Untuk kemenangan beberapa kerusi dalam pilihan raya 1959, dan untuk kemenangan-kemenangan selanjutnya, PAS memerlukan pembentukan kader-kader. Hanya kader-kader yang dibentuk sesuai dengan cita-cita perjuangan Islam sahajalah yang layak ditapis untuk menjadi calon-calon parti Islam.”

Soal berjaya atau tidaknya hasrat ini, bolehlah kita sama-sama nilaikan. Begini laporannya yang saya kutip dari buku Amaluddin Darus ‘Kenapa Saya Tinggalkan PAS’ (1977) , terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur dan perbincangan antara saya dengan beliau semasa beliau masih hidup…

Januari 1959:

Sepanjang Januari 1959, Jabatan Penerangan di bawah Saudara Amaluddin Darus mengemaskan kerja-kerja Pejabat Agung.

Februari 1959:

Awal Februari beliau memulakan program:

(i).Menggempur keluar dengan melawat negeri-negeri.
(ii) Memberi kursus cita-cita perjuangan PAS.
(iii) Cara-cara kerja pilihan raya.
(iv)Taktik-taktik penerangan dan member ceramah di rapat-rapat umum sekurang-kurangnya 3 kali sehari.

Pada 20 Februari, beliau kembali ke Kuala Lumpur (KL), menyusun panduan penerangan untuk dibincangkan pada 21 Februari. Malamnya bertolak dengan keretapi ke Bukit Mertajam kerana program rapat umum 22 Februari pukul 2.30 petang. Malamnya kembali ke KL untuk menyambung kerja-kerja pejabat. Pada 25 Februari malam bertolak dengan keretapi ke Bagan Serai, kerana rapat umum di Tanjung Piandang, Kuala Kangsar dan Kota Lama Kiri pada 26 Februari.

Waktu itu rapat umum secara terbuka masih dibenarkan, tidak seperti sekarang. Pada 27 Februari, dengan kereta buruk ‘terbatuk-batuk’ Ketua Penerangan bersama pemuda-pemuda bersemangat seperti Hasan Shukri yang sekarang masih aktif dalam PAS (Jawatan tertinggi pernah beliau pegang ialah Timbalan Presiden PAS), menuju ke Padang Rengas kerana rapat umum pukul 9 pagi, 3.30 petang di Lenggong, dan malamnya di Kampung Laut.

Pada 10 pagi besoknya di Raban, petang di Gerik dan malam di pekan minggu Taiping. Sepatutnya kembali ke Pejabat Agung, tetapi kerana keperluan dan permintaan terlalu mendesak, beberapa rapat umum terpaksa dilanjutkan di sekitar Kuala Kangsar.

Mac 1959:

Akhirnya beliau pulang ke KL pada 2 Mac, menyambung tugas-tugas di pejabat. Sehingga katanya, “Anak-anak di rumah tidak sempat melihat ayahnya.”, kerana petangnya terus berceramah di Kuang dan malamnya di Datuk Keramat. Sehingga 9 Mac penerangan ditumpukan sekitar Selangor, di samping menguruskan tugas-tugas pejabat, menyediakan siaran-siaran untuk cawangan dan jentera penerangan sukarela.

April 1959:

Pada 10 April, memberi kursus dan rapat-rapat umum di Pahang Barat. Dua hari kemudian kembali ke KL dan malam besoknya berangkat ke Kedah untuk meninjau persiapan memasuki pilihan raya negeri Kedah dan Perlis. PRU pertama lepas merdeka ini diadakan berturutan mengikut peringkat negeri-negeri, bermula dari Perlis, Kedah dan seterusnya berakhir dengan Pahang.

Di Kedah dan Perlis, pada 15 April adalah hari penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS meletakkan 23 calon dari 24 kawasan DUN yang ditandingi di Kedah, dan 10 dari 12 DUN yang ditandingi di Perlis. Pada malam itu, saudara Amaluddin berada di Perlis meninjau persiapan pilihan raya dan terus berkempen untuk Ustaz Ibrahim di Kampung Kubang Paya. Pada jam 10 pagi 16 April, beliau diarahkan memberi taklimat khas kepada calon-calon PAS seluruh Kedah.

Dengan itu segala program-program di Perak terpaksa dibatalkan, kerana tumpuan sepenuhnya ialah Kedah dan Perlis. “Rapat-rapat umum terlalu banyak yang diatur untuk saya, sehingga telah mengganggu kesihatan saya..” keluh Saudara Amaluddin mengambil nafas seketika bagi menyusun perjuangan seterusnya. Namun pada 24 April jam 10 pagi beliau terus berpidato di Guar Chempedak.

Seterusnya pada 2.00 petang berkejar ke Jenun, 8 malam kembali ke markas member taklimat kepada calon-calon dan tenaga-tenaga penerangan mengenai manifesto PAS. Besoknya, rapat umum bersama-sama Dr Burhanuddin di Pulau Pinang. Akhirnya kembali ke KL untuk terus ke Melaka. Rapat umum pertama Melaka adalah di Masjid Tanah pada 28 April. Calon PAS adalah Muhammad Yusuf bin Injah.

Waktu itu Dr Abbas Alias mantan Yang Dipertua Agung PAS ke 2, sedang berkhidmat di Melaka. Kempen-kempen terus rancak berjalan di tempat yang calon-calon PAS bertanding. Sehingga Ketua Penerangan PAS kita merasa tak sihat, demam mulai bertambah. “Saya terpaksa membatalkan semua program siang kerana memang tidak berdaya lagi, tetapi malamnya terus berapat umum membantu calon PAS di Sungai Udang, Dr Muhammad Nor Nordin…”, pada 30 April.

Mei 1959:

Pada 5 hingga 12 Mei berkempen di Negeri Sembilan dan kembali ke KL. “Ingat di hati hendak berehat sehari dua bersama keluarga. Tetapi rupanya tugas telah menunggu…” Juara penggempur terus terjun ke gelanggang berkempen di Padang Sultan Sulaiman Kelab Kampung Baru bersama Ustaz Zulkifli Muhammad. Pada 13 Mei berkejar pula ke Kuala Kangsar memenuhi beberapa program di Perak. Dua hari kemudian berkempen di 3 tempat, dalam kawasan Pengkalan Baru, Beruas.

Tengah malam menuju ke Taiping, untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS Perak mengenai strategi pilihan raya. Di Taiping bertemu dengan regu baru, bekas Pegawai Penerangan UMNO Perak yang menjadi ahli PAS iaitu Saudara Yazid Jaafar (sekarang menjadi tokoh dakwah terkenal di KL). Pada 4.35 pagi 16 Mei, mereka berangkat ke Kedah, tetapi terpaksa berpecah menurut program yang diatur.

Pada 17 Mei, beliau bertolak ke Perlis. Pada 20 Mei adalah hari mengundi bagi negeri Kedah dan Perlis (15 April adalah hari penamaan calon). Setelah beberapa hari berpidato dan dan meninjau suasana pilihan raya Saudara Amaluddin merumuskan:

“Pada hemat saya, PAS mungkin akan memenangi kerusi-kerusi lebih dari yang diduga semula. Lapuran-lapuran yang diterima lebih dari banyak kawasan memperlihatkan tanda-tanda kemenangan.”

Tetapi pada 19 Mei malamnya, beliau ditunjukkan suatu ‘senjata sulit Perikatan’. Iaitu surat yang disebarkan kepada orang ramai bertarikah 18 Mei lagi, menyebutkan Ketua PAS ada hubungan dengan komunis. Dr Burhanuddin telah ditangkap, sesiapa yang menyokong PAS akan ditangkap juga. Orang ramai yang tidak faham tentu yakin dengan berita ini dan takut akan ditangkap. Hal ini juga disifatkan sebagai politik ugut.

Akhbar Harian Warta Negara 19 Mei terbit di Pulau Pinang yang juga dperalatkan oleh Perikatan, telah menyiarkan berita bertajuk ‘Sokongan Pemimpin Agung PAS kepada Ketua Parti Komunis’. Beritanya berbunyi:

‘Di Alor Setar, Mei 18, salinan surat-surat dokumen yang mengesahkan bahawa Pemimpin Agung Persatuan Islam Se Tanah Melayu ada membuat hubungan rapat dengan Ketua Parti Komunis Indonesia, Ibrahim bin Haji Yaakob, telah disebar ke seluruh negeri Kedah untuk pengetahuan umum hari ini.

Dalam surat-surat salinan dokumen itu, lengkap dengan tanda-tanda tangan 3 orang dari Pucuk Pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berpusat di Singapura dan yang diharamkan oleh kerajaan tidak lama dulu. Ketiga-tiga orang pucuk pimpinan itu ialah Dr Burhanuddin Al-Helmy sebagai penasihat, Tuan Taha Kalu sebagai Pemangku Yang Dipertua, dan Encik Abdullah Zawawi sebagai Setiausaha Agung.

Mereka telah menurunkan tandatangan dalam surat-surat dokumen sebagai memberi kuasa penuh kepada Ibrahim Haji Yaakob yang sekarang berada di Indonesia bagi melanjutkan Pergerakan Kebangsaan Melayu Malaya di luar negeri, menurut dasar dan tujuan parti tersebut.

Surat-surat dokumen itu telah dikeluarkan di Singapura bertarikh 1 Mei 1950”

Bom ‘senjata sulit Perikatan’ ini telah berjaya dilemparkan ke tengah-tengah masyarakat, menggegarkan kemurnian masyarakat terhadap kemurnian cita-cita perjuangan PAS. Mengaitkan PAS dengan faham komunis kafir, ‘bintang tiga’, pengacau ketenteraman, yang dibenci dan masih melekat dalam pemikiran masarakat Melayu waktu itu. Walaupun ada usaha-usaha menjawab melalui ceramah dan menseklostail surat-suarat jawapan, tetapi masa sudah tidak cukup masa.

Ini adalah kerana alat-alat sebaran PAS tidak secanggih kerajaan atau pemerintah, yang sepatutnya pihak-pihak pembangkang juga berhak ke atasnya, telah ditunggangi oleh Perikatan demi kekuasaan politik kotor mereka. Kini melawan mereka, ibarat melawan serpihan bom yang sudah meletup dengan senapang patah sahaja. Begitu hibanya perasaan Saudara Amaluddin yang mengatakan:

“Saudara tahu betapa perasaan saya waktu itu… Saya telah merasa tentang kekalahan PAS dalam pilihan raya yang akan berlaku pada 20 Mei 1959. Dan saya telah merasa betapa kesan-kesan dari kekalahan di Kedah kepada negeri-negeri yang lain berikutnya.”

Surat sebenar yang menjadi ‘senjata sulit Perikatan’ adalah satu dokumen sejarah perjuangan kebangsaan Melayu yang pernah tersiar dalam buku cenderamata diterbitkan di Indonesia semasa perayaan menyambut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Surat dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) berpusat di Singapura, bertarikh 1Mei 1950.

Isinya berbunyi:

Bahawa dengan ini kami pucuk pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang berpusat di Singapura, berhubung kegentingan dalam menghadapi beberapa kemungkitan di masa-masa akan datang, memutuskan:

1.Tuan Ibrahim bin Haji Yaakob adalah diberi kuasa penub untuk melanjutkan Pegerakan Kebangsaan Melayu Malaya di luar negeri, di mana ia berada, menurut dasar dan tujuan Parti Kebangsaan Melayu Malaya.”

Surat tersebut telah ditandatangani oleh Muhammad Taha Kalu selaku ‘Acting President’ dan Abdullah Zawawi selaku ‘Secretary General’ dan oleh Dr Burhanuddin selaku Penasihat Agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Walaupun pemuda-pemuda UMNO yang menyebarkan sebaran fitnah itu menambah dengan kata-kata ugutan, tetapi surat tersebut tidak menyebutkan UMNO atau Perikatan sebagai penerbitnya. Cuma di bawah surat itu tercetak: Reproduced and Printed by PL Kuala Lumpur.

Namun saudara Amaluddin Darus terus melanjutkan tugas penerangannya di Kuala Ketil, Tawar, Kuala Pegong, Kuala Kupang, Pulai, Pekan Baling, yang kesemuanya di sekitar kawasan Baling. Pada 20 Mei berapat umum di Parit Perak dan akhirnya kembali ke Kuala Lumpur. Walaupun pada 21 Mei tiba di Kuala Lumpur, namun petangnya saudara Amaluddin bersama Ustas Zulkifli Muhammad bertolak ke Melaka, berpidato di kawasan Kandang. Pada 22 Mei berceramah di 4 tempat Melaka.

Kekalahan PAS di Kedah dan Perlis memperlihatkan tanda-tanda kekalahan lagi di Melaka. Lebih-lebih lagi Melaka tidaklah sekuat mana jika dibandingkan dengan Kedah dan Perlis. Lepas itu beliau kembali ke Kuala Lumput, tetapi pada pukul 8.30 pagi terpaksa berangkat ke Sabak Bernam Selangor, kerana rapat umum di sana di adakan pukul 11 pagi. Petangnya menyeberang sungai dengan perahu ke Bagan Datuk kerana penerangan di Hilir Perak tiada henti-hentinya.

Beliau membantu calon-calon PAS Ali Akhbar, Haji Rais, Adnan dan Haji Ahmad bin Haji Ali. Kawasan Haji Ahmad Haji Ali pun diterokai pada 25 Mei. Mereka bertolak dengan motobot, meminjam basikal orang kampung dan berbasikal sepanjang sungai Perak. Petangnya berpidato di Kampung Selat Pulau. Magrib di Kampung Gelongong. Malamnya di Kampung Biak. Besoknya menyeberang Sungai Perak membuat penerangan di Kampung Gajah, Kampung Teluk, Bandar Tua dan Pasir Salak.

Di sini mereka diugut, pensyarahnya akan dicampakkan ke dalam sungai, yang kebetulannya mereka berceramah di bawah pokok di tepi sungai. Seluruh hadirin menangis hiba, insaf dan bersyukur kepada Allah dengan mengalirkan air mata, kerana tidak berlaku sesuatu yang mengalirkan darah. Di Pasir salak pula menjadi malam kenangan bagi Amaluddin Darus, “Saya mengajar lagu PAS kepada rombongan kami. Mereka belajar dan menyanyikannya dengan sepenuh hati.”

Itulah pahit maung dan masa berhibur atau berpiknik dalam perjuangangan. Pada 27 Mei 1959 adalah hari mengundi pilihan raya di Perak. Mereka dengan rombongan 10 orang, termasuk Muslimat berbasikal menuju Bandar. Dari Kampung Bandar menumpang motobot ke Kunci Air, berjalan kaki dan menumpang bas ke Telok Anson atau Teluk Intan sekarang. Lepas itu saudara Amaluddin menumpang lori akhbar yang membawa nenas ke Kuala Lumpur. Malamnya, berkempen di Port Swettenham atau Pelabuhan Kelang sekarang.

Pada 29 Mei berpidato di 3 tempat di negeri Selangor. Besoknya, bertolak ke Seremban memberi penerangan di Bagan Pinang dan Sirusa. Pada 31 Mei bergerak di kawasan pilihan raya Rantau menolong Datuk Raja Abu Hanafiah.

Jun 1959.

Besoknya lagi pada 1 Jun ke kawasan pilihan raya Pasir Panjang, di mana calonnya adalah Saudara Marzuki. Pada 2 Jun sesudah hadir 6 rapat umum di Negeri Sembilan, beliau pun kembali ke Kuala Lumpur meneruskan penerangan di Selangor pula. Pada hari Jumaat 5 Jun, Saudara Amaluddin mula bergerak menyusun jentera pilihan raya, berpidato di Kelantan. Pada 18 Jun di Besut, Terengganu. Malamnya, kembali berceramah di Gong Capa, Pasir Putih, Kelantan. Besoknya, bersyarah di Bertam dan Dabung, Ulu Kelantan, bersama calon PAS saudara Khaider Khatib.

Sebenarnya pembesar suara yang digunakan di dalam rapat umum bukanlah pembesar suara biasa, ‘lebih baik dikatakan tetuang sahaja, kerana demikianlah alat itu yang terpaksa dipegang cerobongnya sambil bersyarah’. Rombongan mereka terus memudeki Sungai Pergau, singgah di Kampung Kandek atau lebih dikenali sebagai Kampung Bulan Bintang, iaitu lambang PAS waktu itu. Rombongan diketuai oleh rakan lama beliau sendiri iaitu Saudara Abdullah. Saudara Abdullah menjadi ahli PAS sejak di Pasir Mas lagi.

Selepas setengan jam di situ, mereka memberi penerangan di Jerimbun dan Kuala Balah. Akhirnya kembali ke Dabong. Di Dabong, radio telah menyiarkan berita-berita pilihan raya negeri Terengganu. PAS telah memenangi 13 dari 24 kerusi DUN. Kemenangan 13 lawan 11 adalah suatu kemenangan yang lemah dan mudah digugat. Berkatalah saudara Amaluddin…

Saya dapat menduga kemenangan di Kelantan akan bertambah dari dugaan semula, kerana saya telah memahami psikologi rakyat Kelantan hasil dari pergaulan yang lama dengan mereka.”

Pada 21 Jun, beliau ke Kota Bharu, terus memberi kursus kerja kepada pekerja-pekerja pilihan raya di kawasan Saudara Haji Ishak Lofthi. Malamnya, berapat umum di Langgar di Kota Bharu, di kawasan calon PAS Saudara Haji Muda, bekas imam muda, Masjid Pasir Mas. Demikian kempen-kempen dakwah berjalan terus. Pada 24 Jun 1959 adalah hari mengundi bagi negeri Kelantan. PAS berjaya merebut 28 dari 30 kerusi DUN, bakinya 2 lagi dimiliki oleh Parti Perikatan.

Pesuruhjaya PAS negeri Kelantan saudara Muhammad Asri Haji Muda menerima telegram dari Ketua Penerangan PAS saudara Amaluddin yang sedang menguruskan persiapan menubuhkan kerajaan PAS di Terengganu, antaranya berbunyi:

“Kemenangan tuan-tuan adalah kemenangan saya, kita gembira sambil bersyukur.”

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Amaluddin bersama Setiausaha Agung PAS saudara Othman Abdullah sempat menyertai kempen pilihan raya di beberapa tempat di Pahang. Yakni kempen terakhir bagi pilihan raya negeri pada Sabtu 27 Jun 1959 untuk negeri Pahang.

Itulah sebahagian dari kegiatan dan pengalaman saudara Amaluddin sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat menjelang pilihan raya umum 1959, yang boleh dikutip dan dikongsi bersama bagi generasi mendatang. Antaranya dapat dilihat, bagaimana taktik-taktik pihak musuh PAS dalam menumbangkan lawannya. Taktik-taktik yang sama telah dilakukan dalam pilihan raya sekarang ini, tetapi dalam bentuk yang lebih moden dan canggih.

Ingat pesan Nabi SAW, jangan dipagut ular dua kali dalam suatu lubang yang sama!

Wednesday, August 13, 2008

Mengapa Guan Eng Pilih Umar, Tidak Muawiyah?



Ibnu Hasyim: Catatan Santai


PADA suatu hari Khalifah Umar Abdul Aziz berpidato di hadapan rakyatnya.. Seperti biasa pidatonya amat menarik, tetapi kali ini agak canggung. Beliau sering mengibas-ngibaskan bajunya, sesekali ke kanan dan sesekali ke kiri. Membuat orang ramai mulai sedar tidak sesuai antara gerak tangan dengan kandungan pidatonya.


Akhirnya lepas ceramah baru mereka tahu, rupanya baju yang dipakai Khalifah baru saja dibasuh dan belum kering lagi. Kerana tiada baju lain lagi, maka baju itu dipakai juga. Oleh itu beliau selalu mengerak-gerakkan bajunya ketika berpidato agar cepat kering.


Suatu ketika lain, kakak kepada Fatimah Abdul Malik isterinya, datang menemui adiknya itu dan melihat Khalifah yang sedang sakit, berkata, “Fatimah! Basuhlah pakaian Khalifah itu… Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya”.


“Demi Allah, beliau tiada lagi pakaian lain kecuali yang dipakai itu", jawab Fatimah, isterinya yang setia.


Pernah seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai pun menunjuknya. Se sampai saja di rumah itu, lalu bertemu dengan seorang perempuan berpakaian lusuh dan buruk bersama seorang lelaki yang bergelumang dengan tanah, sedang memperbaiki rumahnya.


Terkejut besar wanita itu, bila bertanya dan mengetahui yang ditanya itu adalah Fatimah isteri Khalifah sendiri.. yang berpakaian tidak seperti permaisuri kepada raja yang berkuasa. “Mengapa puan tidak menutup diri dari lelaki tukang bancuh pasir itu?” Tanya wanita Mesir itu, yang dilayani baik oleh isteri Khalifah.


“Tukang bancuh pasir itulah Amirul Mukminin (Khalifah)!” Jawab Fatimah tersenyum. Sekali lagi tetamu itu terkejut dan beristighfar, kerana lelaki itu adalah suami Fatimah, iaitu Khalifah sendiri.


Sebenarnya Khalifah Umar tidak mempunyai pelayan kecuali seorang kanak-kanak lelaki. Dialah satu-satunya pelayan di rumah Umar. Fatimah memberinya makan kacang setiap hari sehingga bosan. “Kacang.. Kacang. Hari-hari kacang," rungut pelayan itu.


Inilah makanan tuanmu Amirul Mukminin, wahai anak!" kata Fatimah.


Umar juga pernah sediakan 2 lilin di rumahnya, satu untuk guna negara dan satu lagi guna keluarga… Begitulah berhati-berhatinya beliau dengan harta, terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Terdapat banyak lagi riwayat dan athar sahabat-sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Pada zaman pemerintahannya dianggap oleh ahli sejarah merupakan zaman yang paling adil dalam kerajaan Bani Umaiyah.


Beliau mangkat pada tahun 720 Masihi (25 Rejab 101 Hijrah) kerana termakan racun semasa berumur 39 tahun. Beliau memerintah selama 2 tahun 5 bulan 4 hari. Pun begitu, dikatakan Khalifah Umar juga bersifat tidak mahu menakluk negeri-negeri asing, walau beliau telah berusaha menghantar pendakwah-pendakwahnya keluar tanah Arab ke timur atau ke barat.


Sehingga ada ulama-ulama yang bila ditanya perbandingan Umar Abdul Aziz dengan Muawiyah Abu Sufian (Khalifah pertama Bani Umaiyah) dalam politik pemerintahan… “…nak dibandingkan dengan debu yang lekat di kaki kuda (ada yang sebut sepatu) Muawiyah pun masih tidak sama…” Ertinya, jauh lebih hebat pemerintahan Muawiyah lagi.


Mengapa sampai begitu?


Muawiyah masuk Islam bersama ayahnya Abu Sufian ketika pembukaan Makkah oleh Nabi SAW. Setelah berhijrah ke Madinah, beliau dilantik sebagai jurutulis wahyu. Iaitu orang kepercayaan Nabi SAW.


Muawiyah adalah seorang yang panjang akal, cerdik cendakia lagi bijaksana, luas ilmu dan siasatnya, terutama dalam urusan dunia, pandai mengatur pekerjaan, ahli hikmah, lemah lembut, fasih lidahnya dan berarti tutur katanya. Siapa yang mendekat kepadanya, jarang tidak terikat oleh lemak manis mulutnya. Pemaaf pada tempat yang patut dimaafkan, keras pada tempat yang patut keras, tetapi lebih banyak maafnya dari marahnya. Dermawan dan gila kekuasaan.” Tulis Prof Dr HAMKA dalam bukunya ‘Sejarah Umat Islam’ Terbitan PN-1994.


Muawiyah terpilih sebagai Khalifah agak luar biasa, bukanlah atas kehendak umum sebagaimana terpilihnya Khalifah yang 4, iaitu Abu Bakar, Umar (moyang Umar Abdul Aziz), Usman & Ali. Beliau menumpukan kepada perluasan kekuasaan, termasuk ke negeri yang baru, sebelah timur tanah Arab, seperti Qaigan. Menghantar tentera menyerang Sind bersempadan Hindustan, Bannah dan Lahore.


Menyerang kerajaan Romawi dengan angkatan darat dan laut. Ditakluknya pulau-pulau di hadapan Yunani, Rhodesia dan Cyprus. Tahun 48H cuba menyerang Constantinopel. Tahun 50H mengerahkan Uqbah bin Nafi’ dengan 10,000 tentera mengalahkan negeri-negeri Afrika dan berhasil baik (ramai bangsa Barbar, bangsa asli Afrika Utara memeluk Islam). Ada ahli sejarah menyebutkan Muawiyah telah pun merancang untuk menakluk kerajaan-kerajaan (bukan Islam) di Asia Tenggara tetapi tak sempat.


“Ada orang kata Muawiyah menggunakan ‘politik menghalalkan cara, gaya Michelvelli’, politik jahat yang bukan dari ajaran Islam..” Kata kawanku sambungan dalam catatan santai lepas ‘Siapa Guan Eng Berbanding Umar Abdul Aziz?


“Hang cakap baik-baik! Takut terhina sahabat Nabi seperti dalam ayat Quran Surah At-Taubah 9: Ayat 100…


Dan orang-orang yang mendahului yang mula-mula daripada Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menuruti (jejak) mereka dengan kebaikan itu, Allah ridha kepada mereka dan mereka pun ridha kepadaNya, dan Dia telah menyediakan untuk mereka berbagai Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dalam keadaan mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah kejayaan yang besar.


Muawiyah adalah sahabat Nabi yang dipercayai kejujurannya, kalau tidak takkan beliau dipilih sebagai jurutulis wahyu Nabi. Rosak wahyu, rusaklah agama. Jangan sampai kita menghina beliau.” Kataku pula.


Kawanku berkata lagi, “Berbalik kepada yang aku tanya, selain mengemas kinikan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang dari rasuah, pulihkan ekonomi rakyat (Umar Abdul Aziz cuba hapuskan kemiskinan sehingga tiada lagi orang yang mengaku layak terima zakat) dan lain-lain macam Umar Abdul Aziz, aku tak nampak pun Guan Eng berjimat macam Tok Guru mula perintah Kelantan dulu… Aku dengaq ada lagi Orang No1 pemimpin negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat masih terima elaun duit rakyat sampai RM50,000 sebulan?? Kedah pun aku tak nampak ikut macam Kelantan. Cuba bandingkan 100 hari PAS perintah Kedah dengan 100 hari PAS perintah Kelantan dulu!?”


“Maaf. Itu soal lain. Yang penting dalam suasana sekarang (masalah ekonomi rakyat tertekan) Guan Eng lebih mudah dan sesuai mengikut ciri-ciri Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran, dari gaya pentadbiran Muawiyah. Bukan Guan Eng saja, tetapi juga negeri-negeri lain dalam Pakatan Rakyat!!”


Kita sambung di catatan santai akan datang. Insya Allah.


Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Ogos13, 08 KL.



Sunday, August 10, 2008

Siapa Guan Eng, Berbanding Umar Abdul Aziz?


Ibnu Hasyim: Catatan Santai


“NAIK muak aku dengaq, Guan Eng nak disamakan dengan Khalifah Islam yang dihormati Umar Abdul Aziz..” Katanya dengan sesal. “Nak samakan Nabi Muhammad SAW dengan pemimpin-pemimpin dunia lain? Mana sama.. macam langit dengan bumi!!”


Lim Guan Eng (Cina : 林冠英; pinyin: Lín Guānyīng) merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ke 4, ADUN Air Puteh, Ahli Parlimen Bagan dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP). DAP berjaya menyapu bersih kesemua 19 kerusi DUN Pulau Pinang yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12. Beliau, anak lelaki Lim Kit Siang, bekas Ketua Pembangkang d parlimen, dan berkahwin dengan Betty Chew, ADUN Kota Laksamana di Melaka.


Lim Guan Eng dapat didikan awal di La Salle Primary English School di Petaling Jaya, dan kemudianya di Batu Pahat Montfort Primary English School. Pendidikan menengah di Batu Pahat High School dan Melaka High School. Terus ke Universiti Monash, Australia (Ijazah Ekonomi) dan pernah menjadi presiden MUISS (Monash University International Student Society). Tahun 1986, 1990 & 1995 jadi YB Parlimen Kota Melaka, Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (1989 & 1992) dan akhirnya Timbalan & Setiausaha Agung DAP.


“Walaupun beliau bukan Islam, tetapi beliau sanggup terpaksa tinggalkan politik selama 5 tahun dari (26 Ogos 1999 hingga 25 Ogos 2004) kerana tidak dibenarkan makhamah menjadi Ahli Parlimen. bersabit pembelaannya dalam kes rogol gadis bawah umur oleh bekas KM Melaka… dan seterusnya Lim dipenjara 18 bulan. Yang membela pula yang kena hukum hukum…” Jawabku, menjelaskan komennya.


“Kini pada pilihan raya umum 2008 lalu, Lim muncul lagi dengan memenangi kerusi parlimen Bagan dan kerusi DUN Air Putih di Pulau Pinang … dan menjadi KM Pulau Pinang, selepas kejayaan DAP menumbangkan penguasaan BN yang begitu lama! Yang hebatnya, mula-mula dia perintah, dia nak jadikan pemerintahan Khalifah Umar Adul Aziz sebagai idolanya… Kita belum pernah dengar pemimpin BN cakap begitu, apa lagi yang bukan Islam! Sekurang-kurangnya dia sudah akui kebaikan pemerintahan Islam..” Kataku lagi.


Umar Abdul Aziz pula, nama sebenarnya ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam. Ibunya bernama Laila binti ‘Asim bin Umar bin Al-Khatab. Lahir pada tahun 61H dan meninggal pada umur 39 tahun. Menjadi Khalifah Ke 6 Bani Umaiyah selama 2 tahun 5 bulan. Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.


Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya).


“Hebatnya, Umar Abdul Aziz pula, selepas dilantik menjadi khalifah, beliau terus ke masjid dan memberikan ucapan dasar di hadapan orang ramai. Antara ucapan dasarnya ialah… ‘ tidak ada kitab selain dari Al-Quran dan tidak ada nabi selepas nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya aku bukan seorang hakim tetapi aku hanya menjalankan hukum. Aku bukanlah orang yang terlebih baik daripada kamu tetapi aku adalah orang yang sangat berat sekali memikul tanggungjawab.’ Kata ku lagi.


Apa pula jasanya dalam pemerintahan, sampai Lim Guan Eng pun minat dengannya?”


“Secara ringkasnya…


1.Menyuruh Muhammad bin Abu Bakar Al-Hazmi di Mekah mengumpul, menyusun semula dan hadis Rasullullah SAW.
2. Tambah gaji pegawai-pegawai kerajaan untuk elakkan dari rasuah.
3. Menghantar pendakwah Islam kepada raja India, raja Turki dan ketua bangsa Barbar di Afrika untuk mengajak mereka masuk Islam.
4. Bayaran cukai, jizyah atau wang perlindingan dihapuskan keatas sesetengah negeri yang dibawah perlindungannya.
5. Hukum bunuh diperketatkan setelah mendapat persetujuan dari Khalifah dan selepas diselidiki dengan sedalam-dalamnya.
6. Mendirikan masjid dan rumah persinggahan untuk orang musafir.
7. Menghantar balik harta rampasan dan harta yang telah diambil dengan tidak sebenar.
8.Tukar pegawai kerajaan yang tidak cekap.
9.Buang ke’kroni’an ke’khalifah’an.
10. Eratkan semula hubungan antara keluarga Bani Umaiyah dengan keluarga Saidina Ali dan menghapuskan celaan terhadap Ali dalam khutbah jumaat.” Ku jelaskan lagi.


“Apakah dengan menaikkan gaji pegawai-pegawai agama di Pulau Pinang ada kaitan dengan idola Lim Guan Eng dengan Khalifah Islam itu? Apakah Lim boleh eratkan lagi hubungan kaum antara bangsa-bangsa Cina dengan Melayu seperti langkah Umar merapatkan hubungan dinasti Umaiyah dengan Ali?” Kawanku itu bertanya lagi.


“Kalau dulu bangsa Mongol penyerang, pembunuh ganas, penjajah dan penakluk negara-negara umat Islam, akhirnya boleh memilih Islam dan menjadi pendokong kebangkitan semula Islam, apakah hal ini tidak mungkin atau mustahil berlaku masa ini?? Allah saja yang Maha Tahu.”


“Ada orang kata Lim memilih gaya hidup sederhana berpaksikan Khalifah Islam itu? Apa pandangan anda?”


“Oh… Itu lagi panjang ceritanya. Akan ada yang nak tahu, mengapa dia pilih Umar Abdul Aziz, tidak pilih Khalifah Muawiyah Abu Sufian? Apakah rahsianya?”


Kita sambung di catatan santai akan datang.


Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Ogos09, 08 Singapura.

Lanjutkan Forum 'Memeluk Islam' Ke Tv -Dr Hj Mohd Hasyim.




BY ASYOK KUMAR



WOODLANDS, 09 Ogos – Forum ‘Memeluk Islam’ perlu diteruskan dengan perbincangan yang lebih matang, kalau perlu ditontonkan di tv, dengan memfokuskan kearah perlaksanaan Islam lebih luas, bukan hanya melihat perundangan dari suatu sudut yang sempit sahaja. Ianya perlu dilibatkan oleh individu dan institusi yang berautoriti dan berwibawa. Demikian ditegaskan oleh Dr Mohd Hasyim, selaku Presiden Group Universiti Ulu Klang, Malaysia dalam suatu majlis pertemuan bersama-sama penduduk bukan Islam dan Islam di Pulau Singapura, di sini pagi tadi.


Beliau bersetuju dengan cadangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang bersedia menjadi orang tengah untuk mengatur rundingan antara Majlis Peguam dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Malaysia, berkaitan dengan perundangan Islam dan sivil. Hal ini amat perlu dijelaskan supaya orang ramai tahu di mana hak-hak orang Islam dan bukan Islam yang sebenarnya. Maka barulah perlaksanaan Islam akan mampu berjalan lancar apabila mendapat kefahaman sebenar.


Forum ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam Malaysia yang diadakan disambut dengan suatu demonstrasi disertai lebih 500 orang termasuk dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di ibu negara itu pagi ini telah bertukar kecoh dan terpaksa dihentikan se jam selepas dimulakan. Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Keluarga Majlis Peguam, Lalitha Menon merasa sedih dan kecewa kerana terdapat pihak yang salah sangka dengan tujuan forum yang dianjurkan pagi ini.


Menurut beliau, isu penceraian antara mualaf dan pasangannya yang bukan Islam serta keluarganya telah banyak berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini dan perkara tersebut memerlukan penyelesaian agar tiada pihak merasakan diri teraniaya. Mereka terdiri daripada tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Wan Azhar Wan Ahmad dan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar.


Tetapi Dr Wan Azhar dan Dr Naim tidak hadir. Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Mehrun Siraj minta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminda undang-undang sivil bagi menyelesaikan pertikaian mualaf dan pasangannya bukan Islam. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Nazari Ahmad yang juga salah seorang peserta di majlis tersebut memberitahu, beliau tidak setuju dengan forum ini diadakan.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar mengulas di Kota Tinggi Johor, forum tersebut terpaksa ditamatkan lebih awal bagi mengelak timbulnya keadaan tegang dan suasana tidak terkawal. Ditanya mengenai perlaksanaan Islam di Singapura, Dr Mohd Hasyim menyebutkan “..ianya sama dengan Malaysia, kerana masih bertolak dari pengkalan perlembagaan yang sama.”




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails