Thursday, June 12, 2008

Merentasi Selat Melaka Tanpa Pengenalan Diri..



Catatan Perjalanan:
Ibnu Hasyim



"AKU masuk ke Indonesia tanpa apa-apa surat pengenalan diri dari Pelabuhan Kelang... Tiada paspot, kad pengenalan (ktp) dan lain-lain.." kata seorang yang saya temui di Tanjung Balai Asahan Sumatera Utara.




Menurutnya, dia berasal dari Kalimantan.. masuk ke Malaysia Timur beberapa tahun lalu, tanpa apa-apa dokumen pun. Dia datang bekerja di KL, tetapi kini tekanan agak kuat kepada pendatang tanpa izin oleh pemerintah Malaysia, maka dia terpaksa balik ke Indonesia, buat permit kerja. Dia pilih pulang ke negaranya ke Tanjung Balai (bukan Kalimantan) untuk buat permit kerja kerana dekat dengan Pelabuhan Kelang.




"Tentu banyak halangannya, bagaimana boleh tak kena tangkap pihak imingrasi??" Saya tanya.




'Ya!" Katanya. "Aku tumpang kapal sayur. Tongkang itu bertolak petang, sampai sana sebelum subuh pagi.. Susahnya masa kapal nak keluar dari pelabuhan. Aku bersama 5 lagi yang macam aku juga tiada apa-apa dokumen disumbat masuk dalam suatu ruang isi barang dekat enjin, hanya muat untuk duduk dan tidur sahaja.. dalam gelap dan panas. Ramai-ramai, berhimpit-himpit.. Aku bayangkan macam dalam liang kubur, rasa dah mati!"



"Campur lelaki perempuan ke?"




"Ya. Bersama kami tu ada seorang anak gadis.. Tapi tak lama kira-kira 2 jam berlepas dari laut Malaysia, kami boleh keluar di dalam bot, baru boleh lihat laut. Kami diberi makan bersama anak kapal.. nasi dan sedikit sayur bersama ikan kering. Kerana lapar, ku baham jugak!" Jawabnya. "Kami diberi tahu pihak polis laut telah naik ke tongkang sayur itu dan menggeledah mencari 'kambing' (manusia seludupan seperti kami ini disebut kambing) tapi tak jumpa."




Katanya, lebih teruk lagi, bila sampai ke Tanjung Balai dalam Sungai Asahan di kawasan Indonesia, "..Secepat kilat kami dihumban keluar masuk ke perahu kecil, disorokkan tidur terlentang dalam perut perahu ditutupi dengan papan supaya nampak seperti nelayan yang cuma dua orang sahaja di dalamnya. Apa lagi hujan turun mencurah-curah, cukup sejuk. Perahu kecil itu memasuki anak-anak sungai, dihantar ke pinggir hutan yang berlumpur, merentasi semak-semak ke tempat beca sedang menunggu. Dari situlah kami dihantar ke distinasi masing-masing."



"Barapa tambangnya?"



"Kami sudah bayar di Pelabuhan Kelang sebanya RM400 tiap orang dengan janji tiada apa-apa bayaran lagi setelah itu. Tetapi bila di tengah laut, kami diminta lagi oleh tekong bot sebanyak Rp100,000 (kira-kira RM40) per orang untuk upah perahu yang membawa ke darat. Aku lihat hampir terjadi pergaduhan kerana ada yang tidak cukup duit."



"Ya. Aku juga pernah dengar sebelum ini, seorang pelarian Bangla ditelanjangkan di dalam kapal kerana memeriksa wang di badan." Saya menambah. "Nak buat macam mana, di laut mereka berkuasa! Bagaimana dengan solat, apakah boleh dan dibenarkan?"




"Walaupun tekong itu orang Kristen, nampaknya dia menghormati saya nak sembahyang." Jelasnya.



Hal ini mengingatkan saya di Malaysia kita-kira pertengahan tahun 70an dulu... Ramai orang yang nak balik kampung atau pergi kerja di musim perayaan di KL terpaksa tumpang lori surat khabar, kerana menjimatkan atau tidak cukup pengangkutan masa itu. Mereka juga duduk bersesak-sesak dalam lori yang ditutupi surat khabar... mereka juga disebut 'kambing'. Begitu juga beberapa tahun lalu, saya mengenali seseorang yang kerjanya membawa orang yang tanpa apa-apa dokumen dari seberang Sungai Kolok Thailand sampai ke Phnom Penh Kemboja di dalam van.



Nampaknya, masalah sekatan dan peraturan di sempadan menjadi masalah antarabangsa yang sukar dihapuskan, walaupun di Amerika sendiri. Yang penting, kemasukan pendatang-pendatang luar perlu diarahkan ke arah yang menguntungkan agama.. Apakah persempadanan negara dapat membantu atau menghalang perkembangan agama Islam??

Sekian.

Ibnu Hasyim, Tanjung Balai.

Sunday, June 08, 2008

Tanjung Balai, Kota Mafia Menuju Kamatian..



Catatan Perjalanan:
Ibnu Hasyim



AZAN solat Isyak bergema melalui puncak menara masjid. Terdengar dari berbagai arah.. dari atas jambatan yang baru dibina kira-kira setahun itu, merentasi sungai antara pekan Tanjung Balai ke Kampung Sui Jawi Jawi. Lampu-lampu dari bot-bot dan rumah-rumah tepian sungai berkerdipan berkilauan, dalam air sungai yang bergelombang tenang itu, menambah serinya lagi.



Walaupun tenang, tapi ada sejarahnya. Sungai yang beberapa tahun lalu terkenal sebagai tempat penyeludupan antara yang terbesar di kepulauan Sumatra, antara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Barangan seperti minyak masak, gula dan lain termasuk narkoba, dadah atau wanita. Sekarang sudah berkurang walaupun beberapa hari lepas keluar dalam akhbar perampasan puluhan guni-guni ganja dan seorang rakyat Malaysia ditahan berhubung dengan penyeludupan dadah ekstesi di Tanjung Balai.



Kerajaan Indonesia sekarang sudah menampakkan ketegasan dan kesannya mula terasa, bila ramai pegawai ditahan di penjara kerana dituduh rasuah.



"Dua tahun dulu usaha kami tak seperti ini Pak..." Kata tukang beca berinjin yang membawa saya ke jambatan itu. "Pendapatan kami turun hampir separuh Pak. Ditambah lagi dengan BBM (Bahan Bakar Minyak) menghimpit kami. Oh sengsaranya kami."


"Kenapa?" Saya tanya.


"Kan kota ini mendapat jolokan Kota Mafia sarang penyeludupan!? Apabila berlaku pembanterasan tuntus dari pemerintah, maka kota ini terasa begitu sepi, pedagang-pedagang keluar masuk sudah kurang. Berbelanja pun sudah tidak lumayan lagi, kerana kegiatan penyeludupan sudah kurang. Kami tukang-tukang beca pun terasa perit himpitannya.." Dia yang hantar saya dengan beca naik di tengah jambatan itu.



Di atas jambatan itu ada gerai-gerai jualan minuman dan makanan ringan. Ada kerusi meja untuk pesantai. Apalagi malam ini malam minggu. Anak-anak muda mulai bertambah ramai. Sayup-sayup terdengar lagu-lagu dangdut bergema dari kedai-kedai makan di tebing sungai. Saya duduk berhampiran dengan seorang penjual kacang rebus, antara peniaga-peniaga kecil yang ramai itu.


"Aku dulu memang pernah cuba mengayuh beca, tapi memang gak bisa bertahan. Maka aku jual kacang rebus di atas jambatan ini, baru bisa simpan wang sikit Pak..." Jelas penjual kacang rebus itu.



Dia berasal dari Tanah Karo, keturunan Batak beragama Islam. Berhijrah ke Tanjung Balai cari rezeki penyambung kesempurnaan hidup. "Aku yakin dengan berniaga aku boleh hidup agak mewah seperti orang-orang itu." Sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke arah sebuah kereta sederhana kalau di Malaysia, nisbahnya 1:100 dengan motosikal yang lalu-lalang di situ. Ertinya motosikal jauh lebih banyak digunakan dari kereta.


"Berapa kilogram paling banyak boleh dijual pada malam-malam minggu begini?"


"Kira-kira 20 kilo bagi satu kereta surung. 1 kilo untung bersih kira-kira Rp2700 (lebih kurang RM1). Bini aku pun, aku siapkan satu kereta surung untuknya.. Jadi agak lebih baik dari jadi tukang beca, yang mahu dapatkan Rp27000 satu hari pun sakit!"


Sedang kami bercerita itu, tiba-tiba beberapa anak muda, yang seorang darinya memegang gitar menyapa saya, "Pak! Mahu dengar nyanyian Pak?"




Saya mengangguk. Mereka terus menyanyikan sebuah lagu Indonesia dengan aksi gembira, walaupun sebenarnya lagu itu lagu sedih. Imbalannya saya dermakan Rp1000.



"Mereka adalah antara ramai anak-anak muda nganggur... Mereka masih belum nampak peluang mencari rezki di kota mafia yang akan menemui kematian ini. Mereka dan warga kota ini harus bersiap untuk menghidupi kota ini kembali, menghidupinya melalui rezeki yang halal." Kata penjual kacang rebus itu dengan bersemangat. "Bukan hanya tugas pemimpin rakyat sahaja!"



Ibnu Hasyim: 08-06-08 Tanjung Balai Indonesia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails