Friday, April 19, 2019

CAP Terkejut, Terkilan Projek Tambak Laut Diluluskan.

S. M. MOHAMED IDRIS

PULAU PINANG 18 April - Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa terkejut dan terkilan dengan keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang meluluskan rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menambak laut di perairan selatan negeri ini.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, pihaknya berasa hairan bagaimana projek itu boleh diluluskan di sebalik kebimbangan berhubung kos yang tinggi serta kesannya terhadap sosial dan alam sekitar serta nasib nelayan yang bakal terjejas dengan projek tersebut.
Malah, kata beliau, pihaknya juga tertanya-tanya bagaimana projek itu diluluskan sedangkan kosnya serta kos projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang terlalu tinggi iaitu jauh lebih mahal berbanding Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya, secara perbandingan, kos pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) iaitu komponen projek PIP menelan belanja RM400 juta bagi setiap kilometer berbanding hanya RM68 juta bagi setiap kilometer projek ECRL.
“Kos yang sangat besar bagi projek tambak laut dan PIP Pulau Pinang adalah luar biasa dan bagaimana kelulusan boleh diberikan kepada projek dengan kos sedemikian adalah sesuatu yang sukar diduga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, ekoran kelulusan itu juga, pihaknya tidak pasti bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneliti dan memberi maklum balas kepada sekian banyak bantahan serta kebimbangan yang disuarakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung projek tersebut.
“Sehubungan itu, kita mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendedahkan kepada umum 18 nasihat yang ditetapkan oleh MPFN supaya orang ramai dapat memahami situasi sebenar kelulusan yang diberikan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan MPFN telah menimbang dan bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri menambak laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Teluk Kumbar di sini yang merupakan sebahagian daripada projek PIP bernilai RM46 bilion.
Menurut Kon Yeow, persetujuan pelaksanaan itu diberikan dengan mematuhi 18 nasihat ditetapkan MPFN yang dijangka diperincikan beliau esok. - UTUSAN ONLINE

Latheefa &Tudung, Al-hamdulilah, Masih Ada Kawan Menegur..



Paksaan bertudung: Latheefa perlu berhati-hati

SAYA membaca kenyataan peguam Latheefa Koya Abdullah yang mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung. Kenyataan tersebut disiarkan melalui laman portal berita MalaysiaKinidengan tajuk "Wanita tidak seharus dipaksa bertudung - Latheefa". Pada saya, kenyataan tersebut sangat merbahaya dan tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh seorang wanita muslimah.
Pada asasnya, perlu difahami bahawa menutup aurat adalah sesuatu yang menjadi kewajipan di dalam Islam. Aurat seorang wanita muslimah bukan merupakan maklumat rahsia bahawa ia meliputi seluruh anggota tubuh melainkan muka dan tangan. Justeru, dengan menyatakan bahawa seorang wanita (muslimah) tidak seharusnya dipaksa untuk bertudung adalah satu kenyataan boleh difahami telah menafikan kewajipan untuk menutup aurat bagi seorang wanita muslimah.
Saya setuju bahawa kita tidak boleh memandang rendah dan serong terhadap wanita muslimah yang tidak bertudung. Kemungkinan yang mendorongnya untuk tidak menutup aurat dengan sempurna berpunca dari pelbagai faktor sama ada kejahilan, tekanan sekitar dan sebab-sebab lain. Bagaimanpun, ia tidak pernah menafikan bahawa sebagai seorang muslimah, menutup aurat dengan sempurna tetap menjadi kewajipan.
Menyatakan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung samalah ertinya ada menyatakan bahawa umat Islam tidak harus dipaksa solat, atau anggota masyarakat tidak harus dipaksa menjaga kebersihan. Konotasi 'dipaksa' itupun telah membawa kepada satu pemahaman berbentuk negatif.
Bukan menjadi satu keperluan untuk membuat penegasan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung pada masa kini. Pendidikan terhadap wanita muslimah perlulah sentiasa berterusan agar mereka memahami bahawa menutup aurat merupakan satu kewajipan di dalam Islam. Ia bukanlah kerana orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, dan rambut, dan seks sebagaimana dakwa Latheefa tetapi ia adalah kerana perintah Allah S.W.T.
Saya nasihatkan Latheefa Koya, berhati-hatilah khususnya dalam urusan agama.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
18 April 2019

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengenai kenyataan peguam Latheefa Koya, al-hamdulilah, masih ada kawan-kawan kita yang mahu menegur dan membetulkan..

Thursday, April 18, 2019

4 Jenama Minyak Masak, Air Spritzer Halal: -Jakim


Produk Helang, Vesawit, Knife dan Buruh masih pemegang sijil halal

BANGI, 12 Syaaban 1440H, Khamis – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan kononnya beberapa jenama minyak masak, termasuk air minuman Spritzer mengandungi bahan tidak halal.

Dalam satu kenyataan, Jakim menerusi Bahagian Hab Halal memaklumkan, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pengguna media sosial berkenaan status halal membabit produk minyak masak berjenama Helang, Vesawit, Knife dan Buruh.

Katanya, ia susulan tular dakwaan bahawa produk terbabit, termasuk minuman berjenama Spritzer telah diputuskan haram oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 26 Mei 2014, kerana menggunakan gelatin lemak babi serta binatang yang tidak halal.

“Kami menegaskan bahawa dakwaan yang menyatakan keputusan sedemikian melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut, adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, minyak masak jenama Helang dan Vesawit keluaran Syarikat Yee Lee Edible Oils Sdn Bhd, minyak masak jenama Knife dan Buruh keluaran Syarikat Lam Soon Oils Sdn Bhd serta minuman jenama Spritzer keluaran Syarikat Chuan Sin Sdn Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga ke hari ini,” katanya.

Justeru, Jakim menasihatkan masyarakat supaya lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu perkara tular berkaitan isu halal, yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak bertanggungjawab.

Katanya, ia bagi mengelakkan daripada terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah serta menjejaskan keharmonian negara.

“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal,” katanya. (ismaweb.net)

Chicken Cottage ‘Peremajaan Semula’ - MB Terengganu



KUALA TERENGGANU, 17 April - Rangkaian restoran makanan segera berjenama antarabangsa yang berpangkalan di London, Chicken Cottage dan beroperasi di cawangan Kuala Terengganu akan melalui proses rejuvenate (peremajaan semula).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keseluruhan cawangan Chicken Cottage termasuk dalam dan luar negara kini sedang melalui proses penelitian semula terhadap segala aspek untuk mengurangkan kerugian yang dialami.

“Kita akan buat proses rejuvenate di Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu termasuk akan dipindahkan ke Mayang Mall apabila siapnya tempat yang dijangka lebih menjadi tumpuan ramai itu nanti.

“Buat masa ini, kita dalam proses untuk hentikan sementara operasinya sehingga dibuka kembali di Mayang Mall yang mungkin akan mengambil masa selama dua tahun sehingga pusat membeli belah baharu tersebut siap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, dalam tempoh tersebut, semua kakitangannya akan ditempatkan secara sementara di anak syarikat kerajaan negeri yang lain dengan melihat kepada kesesuaian dan proses penempatan tersebut akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti.

“Dengan pilihan, mereka ini akan beri keutamaan untuk bekerja kembali di Chicken Cottage yang dijadualkan akan beroperasi di Payang Mall dalam masa dua tahun akan datang,” ujarnya. (www.teganukita.net)

Forum Bincang Pengalaman Wanita Buka Tudung Disiasat JAIS - Mujahid

Forum bincang pengalaman wanita buka tudung disiasat JAIS - Mujahid
MUJAHID: Menteri yakin dan percaya pihak JAIS akan menjalankan siasatan terhadap perkara ini dengan adil dan sebaiknya. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Program pelancaran buku dan forum mengenai 'Wanita Muslim dan Tudung' yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor, pada Sabtu (13 April), akan disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam satu kenyataan berkata, perkara itu diambil maklum dan dipandang serius.

"Pihak Menteri telahpun berhubung dengan JAIS memandangkan perkara ini berada dalam bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri kerana program ini diadakan di Selangor.


"Difahamkan pihak JAIS telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan dalam tindakan mereka.

"Sehubungan dengan itu, menteri yakin dan percaya pihak JAIS akan menjalankan siasatan terhadap perkara ini dengan adil dan sebaiknya," kata kenyataan itu hari ini.

Program tersebut, digelar 'Malay Women & Dehijabbing' (Wanita Melayu dan Buka Tudung) berkisar perkongsian pengalaman tiga wanita bertudung sebelum menemui dunia baharu tanpa tudung.

Ia dilihat mendapat banyak maklum balas negatif daripada netizen. (AA)


"Kita perlu ubah cara kita layan kaum wanita" - Mohamed Salah Pemain B/Sepak.

"Kita perlu ubah cara kita layan kaum wanita" - Mohamed Salah
SALAH: Saya rasa kita perlu ubah cara kita melayani wanita dalam budaya kita. Ia bukan satu pilihan. - Foto Twitter/@TIME

SUKAN
PEMAIN bola sepak sensasi Liverpool, Mohamed Salah menyeru kaum lelaki Muslim seluruh dunia supaya melayan wanita dengan lebih rasa hormat.

Dalam satu temuramah dengan majalah TIME, Salah meluahkan pandangan jujur dan ikhlasnya bahawa tiada pilihan selain menyokong kepentingan hak wanita dalam masyarakat.

“Saya rasa kita perlu ubah cara kita melayani wanita dalam budaya kita.

“Ia bukan satu pilihan,” katanya.


Penyerang berusia 26 tahun kelahiran Mesir itu berkata, melihat bagaimana wanita didepani ‘dalam budaya orang Timur Tengahnya’ telah mengubah caranya memandang hal perhubungan antara jantina.

“Saya menyokong wanita lebih dari sebelum ini, kerana saya fikir mereka berhak mendapat lebih daripada apa yang dinikmati mereka hari ini.”

Namanya menjadi sanjungan rakyat Mesir selepas memimpin pasukan negara itu layak ke Piala Dunia 2018 Rusia buat pertama kali sejak 28 tahun, dan merasakan dirinya seperti ‘anak’ kepada setiap mereka.

Mengakui sedikit tertekan oleh kemasyhuran itu kerana mengetahui bahawa setiap orang meletakkan harapan tinggi di bahunya, namun itulah yang menjadi dorongan buatnya untuk terus menjadi contoh yang terbaik.



Menceritakan ringkas tentang perjalanannya sebagai seorang pemain dari Nagrig berhijrah ke Switzerland untuk beraksi bersama FC Basel, Salah berkongsi kisah mengharung kehidupan penuh liku demi mengejar impiannya.

“Pada awalnya saya amat menderita kerana bahasa, kerana budaya, kerana kerja keras.

“Tetapi, anda tahu saya gembira dapat berada di sini hari ini,” ujarnya.

Beliau menjalani musim hebat hebat di Anfield selepas berhijrah ke Liverpool dua tahun lepas, pantas menjadi sanjungan bukan sahaja para penyokong Liverpool tapi setiap mata yang memerhatikan peribadi luhurnya.

Salah dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh 2019 oleh majalah TIME, dan menjadi salah satu daripada enam muka depan bagi isu April/Mei. (AA)

Pemilu Indonesia: Jokowo-Ma’ruf Menang Tidak Rasmi?



CALON Presiden, Joko Widodo atau Jokowi (kiri) dan lawannya, Prabowo Subianto dalam pilihan raya presiden (Pilpres) 2019. - AGENSI
Hitung cepat: Jokowo-Ma’ruf mendahului
JAKARTA 17 April - Lima badan tinjauan dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 menyaksikan pasangan calon Joko Widodo atau Jokowi-Ma’ruf Amin masih mendahului lawannya, Prabowo Subianto-Sandiaga Uno setakat pukul 4.25 petang waktu tempatan.
Berikut data keputusan tidak rasmi yang diperolehi daripada lima badan tinjauan tersebut melalui hitung cepat:
Litbang Kompas
01. Jokowi-Ma’ruf: 54.68 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 45.32 peratus
Data terkumpul: 61.3 peratus undi
Indo Barometer
01. Jokowi-Ma’ruf: 52.76 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 47.24 peratus
Data terkumpul: 61.42 peratus undi
LSI Denny JA
01. Jokowi-Ma’ruf: 54.74 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 45.26 peratus
Data terkumpul: 82.65 peratus undi
Konsepindo
01. Jokowi-Ma’ruf: 53.67 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 46.33 peratus
Data terkumpul: 57.75 peratus undi
CSIS-Cyrus
01. Jokowi-Ma’ruf: 55.7 peratus
02. Prabowo-Sandiaga: 44.3 peratus
Data terkumpul: 78.1 peratus undi (Utusan Online)

Kemuncak pesta demokrasi Indonsia
  
DETIK pencoblosan Pemilu 2019 pada tanggal 17 April telah pun tiba.
Buat pertama kalinya Indonesia melaksanakan Pemilihan Umum Legislatif (Pileg) secara serentak dengan Pemilihan Presiden (Pilpres), melibatkan lebih 190 juta pengundi di seluruh negara.
Kehangatan pertandingan Pilpres di antara Jokowi dan Prabowo bagaikan buku bertemu ruas dan seumpama perlawanan ulangan (rematch) pada tahun ini menyebabkan tumpuan terhadap Pileg di seluruh provinsi dan daerah Indonesia sedikit tenggelam.
Malah Pemilu kali ini berlangsung dalam keadaan ekonomi Indonesia terus berhadapan dengan tekanan inflasi dan peluang pekerjaan yang terhad, di samping 'keterbelahan' sosial dan agama yang semakin menebal di kalangan rakyatnya.
Di samping itu, timbul keraguan terhadap kemampuan Komisi Pemilihan Umum (KPU) untuk mengendalikan Pemilu secara serentak pada tahun ini, khususnya dalam urusan daftar pemilih tetap (DPT) yang menimbulkan kontroversi serta cabaran logistik pengundian di negara kepulauan dan pergunungan ini.
Menariknya kedua-dua pasangan calon (Paslon) yang bertanding dalam Pilpres 2019 mendakwa paling direstui oleh kelompok ulama'. Paslon Prabowo-Sandiago Uno mengaku didukung oleh ijtimak ulama manakala Paslon Jokowi-Ma'ruf Amin mendakwa didukung oleh ijtihad politik Munas Alim Ulama.
Perbezaan wadah dan pendekatan yang diambil oleh kedua-dua calon Pilpres ini melambangkan kerencaman budaya dan pemikiran di Indonesia yang penuh warna-warni di antara kelompok nasionalis, pragmatis, fundamentalis dan modernis yang menjadikannya hangat dan unik.
Dalam hal ini, banyak yang boleh dipelajari oleh kita di Malaysia daripada kelangsungan pesta demokrasi terbesar di Indonesia.
Pertamanya, kebebasan media dan keterbukaan untuk berkempen. Media memainkan peranan yang sangat penting dalam menghidupkan budaya demokrasi di kalangan rakyat dan generasi muda di Indonesia.
Malah kebebasan media perdana dan kerancakan media sosial membolehkan setiap calon dan parti yang bertanding dapat mengemukakan visi dan misi yang diperjuangkan untuk dinilai oleh para pengundi. Debat calon Presiden yang disiarkan secara langsung juga merupakan kebiasaan yang sudah menjadi kewajipan untuk menghidupkan budaya demokrasi dan politik matang di Indonesia.
Di samping itu, pengisytiharan tarikh Pemilu yang ditetapkan lebih awal dan tidak dirahsiakan daripada pengetahuan umum membolehkan setiap parti mendapat peluang persiapan yang saksama (equalopportunity).
Situasi ini ternyata berbeza di Malaysia apabila hanya Perdana Menteri dan parti pemerintah sahaja (incumbent) yang mengetahui tarikh Parlimen akan dibubarkan. Amalan ini jelas menafikan peluang yang saksama kepada parti pembangkang untuk membuat persiapan jentera, kempen dan kewangan bagi menghadapi pilihan raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Kesimpulannya terdapat banyak penanda aras dalam Pemilu Indonesia yang boleh dijadikan rujukan kepada kita untuk meningkatkan tahap partisipasi politik, kematangan demokrasi dan ketelusan proses pilihan raya di Malaysia.
Lebih penting daripada itu adalah bagaimana Malaysia boleh belajar daripada Indonesia untuk memulihkan penyatuan rakyat bermasyarakat majmuk dalam negara, setelah melalui suasana pertembungan ideologi dan keterbelahan sosial sepanjang tempoh pilihan raya.
SYAHIR SULAIMAN
Jawa Tengah

17 April 2019 – HARAKAHDAIY 17/4/2019
pemilu3

pemilu2
Presiden PAS tinjau Pemilu Indonesia

KL: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meninjau perjalanan Pemilu Indonesia di Provinsi Jawa Tengah, hari ini.
“Hari ini saya meninjau perjalanan Pemilu Indonesia di Provinsi Jawa Tengah,” ujar beliau menerusi laman Facebook.
Menurutnya, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kebebasan media dan suasana berkempen bagi Pemilu dan Pilpres yang diadakan serentak melibatkan lebih 190 juta pengundi dan 809,500 tempat mengundi.
“Saya turut melawat Masjid Agung Jawa Tengah dan Masjid Agung Demak, bagi mengenang jasa ulama dan sultan yang berganding bahu memperjuangkan Islam dan menentang penjajah,” ujarnya yang juga Ahi Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 17/4/2019

Selamat Datang Kepada Islam.. Dari IH Saudaramu Dalam Islam.

 S
SHAMSUL Rahman Hii Abdullah mengucap dua kalimah syahadah di depan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob Isnin lalu. UTUSAN ONLINE
Kelantan buka hati kepada Islam
SHAMSUL RAHMAN Shamsu Rahman.
Shamsul Rahman Hii Abdullah atau nama asalnya Steven Hii, 41, berada di Kelantan sejak dua minggu lalu sebagai pengarah program Koperasi Barisan Usahawan Berhad (Kopbaris) sempena Expo Karnival Bio Kelantan.
Katanya, dia tidak menyangka hatinya terdetik untuk memeluk agama Islam di negeri ini yang terkenal dengan gelaran negeri Serambi Mekah selepas sekian lama menyimpan hasrat itu.
“Keputusan untuk memeluk Islam ini dibuat Isnin lalu selepas majikan saya (Pengerusi Kopbaris), Sufian Ghani, menyatakan cadangan agar mengucap dua kalimah syahadah di depan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Waktu itu, saya terus bersetuju memandangkan saya sudah lama menyimpan hasrat ini. Tambahan pula, Menteri Besar adalah seorang yang sangat saya kagumi terutama dalam ilmu agamanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Shamsul Rahman berkata, dia amat bersyukur kerana akhirnya hidayah itu sampai kepadanya setelah sekian lama berhasrat untuk memeluk agam Islam.
“Ketika proses mengucap dua kalimah syahadah itu, saya berasa sebak dan terharu selain dapat merasakan ketenangan jiwa.
“Alhamdulillah, saya menjadi seorang muslim melalui seorang pemimpin dan tokoh agama yang menjadi idola saya sejak sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, Hii berkata, sebelum ini dia sudah belajar sedikit sebanyak mengenai Islam termasuk berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan solat
“Saya pernah berpuasa Ramadan selama tiga tahun berturut-turut dan pernah ikut kawan Muslim mendengar khutbah Jumaat.
“Alhamdulillah, urusan saya untuk memeluk Islam dipermudahkan. Ayah saya sudah lama meninggal dunia namun ibu yang berketurunan Iban, tidak menghalang pilihan saya,” katanya.
Tambah beliau, dia tertarik dengan Islam disebabkan pengisian agama ini yang sangat indah dan tidak pernah berubah.
“Ada yang menganggap saya memeluk Islam kerana ingin berkahwin. Itu tidak benar.
“Saya akan terus belajar mendalami ilmu Islam dan membuktikan tentang indahnya agama ini kepada segelintir golongan yang berprasangka negatif,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Komen Weblog Ibnu Hasym: Al-hamdulillah, selamat datang kepada Islam.. dari saya saudaramu dalam Islam. 
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-118: Kisah-kisah Saya Pilih Damai.. Isla...

PH Tak Bela Melayu Islam? Sakit Lain, Ubat Lain -Dr Kamarul Zaman Yuoff



TULISAN Presiden PAN, Mohamad Sabu, dalam portal beritaMalaysiaKini hari ini bertajuk “Terangkan pada rakyat PH bela Melayu, Islam” adalah bagus kerana ia mengandungi satu pengakuan terbuka berbunyi:
(1) “Naratif ataupun persepsi yang mengatakan bahawa Kerajaan PH ditunggangi oleh bukan Melayu dan bukan Islam sudah diyakini ramai, sudah dipegang oleh sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung.”
(2) “Ia menjadi satu pegangan yang diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam, kedudukan Raja-raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan PH.”
Begitupun kebagusan ini terhenti setakat ini kerana preskripsi yang beliau berikan untuk merawat penyakit ini adalah:
(1) “Seluruh ahli-ahli PAN dan pejuang-pejuang rakyat hendaklah mengumandangkan isu ini iaitu Kerajaan PH menyelamatkan institusi perniagaan Bumiputera, tabung yang terbesar walaupun Menteri Kewangannya daripada DAP, Cina dan 'non-Muslim'.”
(2) “PH, Lim Guan Eng melihat dari sudut keharmonian, kekuatan politik untuk menolong, membantu Bumiputera, orang Melayu dan Islam.” 
Dua perkara utama yang beliau tonjolkan bagi membuktikan PH membela Melayu Islam adalah:
(1) “Kerajaan PH yang Menteri Kewangannya Lim Guan Eng telah berusaha dan berikhtiar walaupun dalam keadaan kekangan kewangan iaitu mengeluarkan lebih RM17 bilion 'bailout' untuk menyelamatkan satu institusi tabung bumiputera yang begitu besar iaitu Tabung Haji.”
(2) “Kerajaan PH di bawah Menteri Kewangannya Lim Guan Eng mengeluarkan lebih kurang RM6.2 bilion untuk 'bailout' dan menyelamatkan Felda, satu-satunya institusi yang dikuasai sepenuhnya oleh Melayu, Bumiputera, Islam.”
Saya katakan preskripsi yang beliau berikan untuk merawat penyakit ini salah kerana “Menyelesaikan skandal 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji” atau Janji 13 Manifesto PH bukanlah janji pembelaan Melayu Islam yang ada dalam Manifesto PH.
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang ada dalam Manifesto PH adalah terkandung di dalam Janji 11, “Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya”, dan Janji 30, “Memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa”.  
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang melibatkan Raja-Raja Melayu dalam Janji 11 adalah:
(1) Kerajaan PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita. 
(2) Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.
(3) Kerajaan PH akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia.
(4) Muzium Diraja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu.
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang lain dalam Janji 11 pula adalah:
(1) Kerajaan PH akan memastikan Tanah-tanah Rezab Melayu dilindungi dan semua Tanah Rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi.
(2) Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy-out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat.
(3) Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. 
(4) Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.
Janji utama pembelaan Melayu Islam dalam Janji 30 pula adalah:
(1) Kerajaan PH akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat di serata dunia.
(2) Untuk memastikan iltizam kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan PH akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam pasaran. Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan. 
(3) Kerajaan PH juga akan mengangkat kedudukan badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan status ekonomi Melayu dan Bumiputera, seperti Majlis Perundingan Melayu atau badan-badan lain, sebagai rakan dialog rasmi kerajaan.
Oleh itu, jika PH mahu bercakap mengenai usahanya membela Melayu Islam maka pencapaian segala butiran janji dalam Janji 11 dan Janji 30 inilah yang perlu diulas.
Jika segala butiran janji dalam Janji 11 dan Janji 30 ini masih belum dicapai maka pemimpin Melayu Islam PH perlulah mendesak kerajaan melaksanakannya dengan segera.
Memberi kredit kepada Lim Guan Eng dalam isu Tabung Haji dan FELDA bukanlah caranya, lebih-lebih lagi bila yang bertungkus-lumus menanganinya adalah menteri lain.
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF HARAKAHDAILY 17/4/2019

Wednesday, April 17, 2019

Muay Thai: Jordan Boy Berazam Menyengat Di Jakarta. Sirah Bersukan..

Muay Thai: Jordan Boy berazam kembali menyengat di Jakarta
Jordan Boy (tengah) bersama ayahnya Mahmoud Omar (kiri) dan abangnya, Nidal Mahmoud. - Foto Instagram/jordanboy_1996
SUKAN

KUALA LUMPUR: Meskipun pertarungannya di Tokyo tidak berakhir dengan baik, namun itu tidak mematahkan semangat petinju muda Muay Thai negara, Mohammed Mahmoud atau lebih mesra dengan panggilan Jordan Boy.

Mohammed, 22 tahun, berazam akan menebus kekalahannya yang lalu apabila berdepan petinju Scottland, Andrew Miller di kejohanan ONE: For Honor di Jakarta, Indonesia pada 3 Mei nanti.

Abangnya, Nidal Mahmoud yang sendiri melatih adiknya itu untuk pertarungan kali ini, berkata akan memastikan Mohammed bersedia sepenuhnya bagi pertandingan Muay Thai divisyen bantamweight ONE Super Series tersebut.

"Sebenarnya, walaupun tewas, kami, Team Jordan Boy gembira dengan cara Mohammed bertempur. Dia tidak banyak melakukan kesilapan, dan dia melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Tetapi yang paling penting, dia berlawan sepenuh hati.

"Ya, keputusan tidak memihak kepadanya. Tetapi kami tidak membiarkan perkara itu mengganggu kami; Sebaliknya, kami telah menjadikannya pengajaran untuk melakukan yang lebih baik pada pertarungan seterusnya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk perlawanan kali ini yang akan berlangsung di Istora Senayan, Mohammed yang selama ini berlatih di gim Sampuri Muay Thai (Ampang), kini memilih untuk berlatih di gim Monarchy MMA di Kuala Lumpur pula.

Monarchy MMA merupakan gim yang telah melahirkan ramai atlet tempur ternama Malaysia, antaranya ialah Agilan Thani dan Keanu Subba.

"Dia telah berlatih bersungguh-sungguh di Monarchy, dan rakan-rakan atlet negara yang berlatih di sana turut membantunya," kata Nidal, 24, yang merupakan anak sulung dari empat adik-beradik.

Menurutnya, prestasi Mohammed terus meningkatkan sejak kemenangannya ke atas Stergos Mikkios di ONE: Destiny Of Champions di ibu negara, pada Disember tahun lepas.

Itu merupakan pertarungan pertama Jordan Boy di ONE Championship.

"Dia bukanlah jenis yang suka bangun awal pagi. Namun, nampaknya sudah ada perubahan besar. Sekarang dia sudah mula berlatih di rumah pada waktu pagi, lepas tu dia ke Monarchy pula untuk sambung berlatih di sana.

"Selepas itu, dia akan pulang untuk berehat seketika, dan di sebelah petang pula dia akan pergi ke Sampuri untuk berlatih lagi. Dia juga sudah mula berjogging jauh dengan saya. Saya rasa kita dah dapat momentum yang bagus, Jadi, ayuh Jakarta!" kata Nidal lagi.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan memang digalakkan dalam Islam. Untuk melihat ke arah mana sukan yang dikehendaki mari kita lihat riadah sukan cara Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)
Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.
Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Secara ringkasnya...

1.Memanah
Rasulullah SAW juga sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, Baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.

Bersabda Rasulullah SAW, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. 
Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kebaikan Memanah
Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.

Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.

2.Berkuda
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.” (Riwayat Ahmad)
“Demi Allah! Sungguh Rasulullah SAW pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka dia dapat mengalahkan orang lain, Baginda SAW sangat tangkas dalam hal itu dan mengherankannya.” (Riwayat Ahmad)

Taruhan yang dibenarkan, atau yang dimaksudkan ialah suatu upah (hadiah) yang dikumpulkan bukan dari orang-orang yang menunggang saja atau dari salah satunya saja, tetapi dari orang-orang lain juga.

Adapun hadiah yang dikumpulkan daripada para penunggang, kemudian siapa yang unggul itulah yang mengambilnya, maka hadiah seperti itu termasuk judi yang dilarang. Dan Nabi sendiri menamakan tunggangan kuda seperti itu, iaitu yang disediakan untuk berjudi, dinamakan Kuda Syaitan. Harganya adalah haram, makanannya haram dan menungganginya juga haram. (Riwayat Ahmad).

Dan Rasulullah SAW bersabda: “Kuda itu ada tiga jenis: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang digunakan untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan kuda manusia pula, adalah kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebaikan Dari Segi Kesihatan
Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya. Bentuk lekuk badan belakang kuda – tempat di tunggang- baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.

Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik  pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.

Seluruh anggota: tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem  saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau ’ter’gelumang dengan tabiat-tabiat seks yang di luar tabie.  

Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.

3. Berenang
Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda: Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya; Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)
Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina ( sistem kardiovaskular).
Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.

4. Gusti
Malah, ada riwayat menyatakan Rasulullah SAW pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy bernama Rukanah Bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya.

Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukanah akan memeluk Islam. Keputusannya, Rasulullah SAW dapat mengalahkan Rukanah dan memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu. Akhirnya, ahli sukan Quraisy itu memeluk Islam.

5. Lumba Lari

Dalam satu kisah lain, Rasulullah SAW pernah bertanding berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aisyah ketika bermusafir. Ada ketikanya Baginda menang dan ada ketikanya Rasulullah SAW kalah dalam perlumbaan itu.

Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.
Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.

Rumusan

Dalam keghairahan berriadah dan bersukan, janganlah mengabaikan perkara yang dilarang syariat seperti mendedahkan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan selain lalai menunaikan kewajipan solat. Hindari acara sukan yang membabitkan perjudian.

Firman Allah: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah al-A’raaf, ayat 26)

Satu perkara yang perlu diambil berat ialah sikap dan mentaliti penonton tatkala memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Jangan kerana terlalu taksub dengan pasukan kesayangan sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan biadap terhadap pemain lawan.

Allah SWT berfirman: “Dan taatlah kamu kepada Allah SWT dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala berserta dengan orang-orang yang sabar.”  (Surah al-Anfal, ayat 46)

Perkara yang paling sukar bagi mereka terbabit dalam sukan adalah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Islam mengajar kita supaya tenang, berjiwa besar, reda, wasatiah dan bersikap rasional tatkala menerima keputusan di akhir pertandingan.

Paling menyedihkan, ada segelintir peminat sukan yang bergaduh sesama sendiri kerana bersikap emosional serta mudah mengikut telunjuk hawa nafsu.

Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu tentang sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan ataupun keburukan? Sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan,’ sabda Rasulullah SAW, ‘adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali silaturahmi, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah balasan bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan persaudaraan”   (HR Ibnu Majah).

Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah. Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan.

Nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah SWT wajar dimanfaatkan secara betul menurut landasan syariat supaya kita menjadi mukmin atau mukminah bertakwa kepada Allah serta bersedia menabur khidmat dalam masyarakat.

Wallahu A’lam bishowab

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails