Perhimpunan bermula pukul 2 petang itu pada asalnya dijadualkan tamat pada pukul 6 petang, namun sesetengah peserta dilihat mula meninggalkan lokasi kira-kira pukul 3 petang ekoran hujan dan perhimpunan itu ditamatkan sejurus kemudian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visunathan Abdullah berkata, sebanyak 600 anggota polis ditugaskan untuk mengawal himpunan pada hari ini.
Menurutnya, himpunan yang dihadiri ribuan peserta itu berlangsung dalam keadaan tenang dan aman tanpa sebarang perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Kita akan membuat penelitian dan ambil kira maklum balas mengenai himpunan ini. Selain itu, kita juga akan kaji semula ucapan yang telah disampaikan.
“Selepas itu, baru kita boleh nyatakan sekiranya ada kesalahan-kesalahan ketika himpunan berlangsung,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi himpunan, di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai status notis yang diserahkan oleh penganjur sebelum ini, Mohd. Fahmi berkata pihaknya telah menerima notis pemberitahuan dan mengadakan pertemuan dengan penganjur.
“Bagaimanapun, penganjur tidak sertakan bersama notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jadi dianggap tidak lengkap.
“Oleh itu, kita akan jalankan siasatan lanjut dan kita akan panggil penganjur sekiranya ada keperluan,” ujarnya.
Terdahulu, peserta himpunan berkumpul di Masjid Jamek sebelum berarak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran pusat beli-belah Sogo.
Turut kelihatan pada perhimpunan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Peguam bela yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab.
Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam anjuran Ummah diselia UMNO dan Pas itu bertujuan membantah ancaman terhadap kedaulatan Islam di negara ini, termasuk beberapa isu yang cuba menggugat kedudukan Islam dan Perlembagaan antaranya Statut Rom, kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib, isu pendidikan dan desakan pemecatan Peguam Negara, Tommy Thomas. - UTUSAN ONLINE