Saturday, March 03, 2012

Tok Guru N/Aziz Hadir Majlis 3 Artis

HALAMAN HIBURAN
KOTA BHARU, 3 Mac 12: Tiga artis yang mewakili tiga negara telah membuat persembahan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan. Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) telah selamat disempurnakan perasmiannya oleh Tengku Mahkota Kelantan yang mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, malam tadi (gambar).

Tiga artis di majlis bersejarah yang mewakili tiga negara telah membuat persembahan di Stadium Sultan Muhammad IV itu ialah, Kumpulan Raihan (Malaysia), papa rock Ramli Sharif (Singapura) dan Opick (Indonesia).

Hampir 5,000 orang hadir pada program yang penuh warna warni itu walaupun keadaan hujan.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota-anggota exco yang lain, Adun serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sempena majlis itu, dua pertunjukkan bunga api telah diadakan di samping persembahan lagu tema TMK@12. Takiyuddin ketika berucap pada majlis itu memberitahu pihaknya akan berusaha untuk menjayakan hasrat mencapai kehadiran pelancong dalam dan luar negara seramai 6 juta orang.

Katanya, untuk menjayakan hasrat itu pelbagai persembahan dan program telah diatur untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Selain persembahan malam ini, diadakan juga Pesata Sukan Air, pertunjukan kereta berhias dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Ramli Sarip mendendangkan beberapa buah lagu popularnya Doaku Buat Mu Kekasih, Nyanyian Serambi, Kasturi, manakala Opick Cahaya Hati serta lagu popularnya Rapuh dan Raihan lagu-lagu nostalgia kumpulan itu seperti Syukur, Allahu. (IH)

Video..

  1. Ramli Sarip - Bukan Kerana Nama

    www.youtube.com/watch?v=T06i6qHv5zk23 Dec 2005 - 5 min - ziarahseni
    Album: Ruh Zaman (2005)
  2. Ramli Sarip - Kamelia

    www.youtube.com/watch?v=CreKbwMTZA812 Oct 2005 - 5 min - ziarahseni
    Album: Ruh Zaman (2005)
  3. Ramli Sarip - Nyanyian Serambi

    www.youtube.com/watch?v=4mTkXNdXrKs12 Oct 2005 - 7 min - ziarahseni
    Album: Ruh Za

Catwalk, Ghairah, Zina & Di Pusat Hiburan Bawah BN

OPERASI Polis D7 IPKKL membanteras aktiviti kegiatan maksiat di OPS Pub, Jalan Metro Prima Perdana Barat 7, Kepong.
OPERASI Polis D7 IPKKL membanteras aktiviti kegiatan maksiat di OPS Pub, Jalan Metro Prima Perdana Barat 7, Kepong.

KL: Aksi 'catwalk' sambil menari dan menyanyi dalam pakaian mengghairahkan menjadi santapan mata buat pelanggan selain menyajikan khidmat seks atau zina dengan harga lumayan adalah antara tarikan sebuah pusat hiburan di Kepong.

Malah, pusat hiburan terbabit yang sudah lima tahun beroperasi didapati menyediakan pentas 'catwalk' di tengah-tengahnya sebagai tarikan kepada pengunjung melihat aksi ghairah wanita Thailand dan Vietnam.

Bagaimanapun, kegiatan mereka akhirnya terbongkar selepas diserbu sepasukan anggota Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Pegawai Turus D7 IPK KL, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, 15 GRO , termasuk 14 warga Thailand dan seorang warga Vietnam berusia 20 hingga 35 tergamam sebaik diserbu polis ketika mereka leka melayan tetamu. Malah, sebahagian daripada mereka ketika itu berada di atas pentas menyanyi sambil menari dengan pakaian mengghairahkan.

Azman berkata, pihaknya sudah mengadakan intipan di pusat hiburan terbabit sejak seminggu lalu selepas menerima aduan orang ramai mengenai kegiatan maksiat di premis terbabit. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan terbabit yang sudah beroperasi sejak lima tahun lalu dan bertukar majikan tidak mempunyai lesen selepas ia gagal diperbaharui.

“Pusat hiburan ini menggunakan khidmat GRO dengan menyediakan sebuah pentas 'catwalk' di mana wanita terbabit akan menari, menyanyi dalam aksi mengghairahkan dengan pakaian seksi.

“Kita juga percaya mereka turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang memberi tawaran lumayan bergantung kepada cara mereka memujuk GRO terbabit,” katanya selepas operasi terbabit.

Beliau berkata, kesemua mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan penjaga. Azman berkata, seorang wanita tempatan berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak memperbaharui lesen premis terbabit selain akan mengeluarkan saman kepada pemiliknya,” katanya. (sumber myMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Semuanya ini berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai yang mempunyai segala jentera dan kelengkapan perlaksanaan yang canggih. Pihak-pihak ertentu perlu kaji balik akta pusat hiburan.. (IH)

Aku.. Bersama Suku Dayak Kalimantan

CATATAN PERJALANAN: Kalimantan siri 6

Keluarga suku kaum Iban..

Kanan: Suku kaum Dayak di kampung-kampung.

TIDAK sempurna rasanya, kalau sampai ke Kalimantan kita tidak menziarah suku kaum Dayak. Dayak atau Daya (ejaan lama: Dajak atau Dyak) adalah nama oleh penduduk pesisir pulau Borneo diberi kepada penghuni pedalaman yang mendiami Pulau Kalimantan.

Pulau Kalimantan, didalamnya termasuk Brunei, Malaysia (Sabah dan Sarawak), dan Indonesia yang terdiri dari Kalimantan Barat, Kalimantan Timur, Kalimantan Tengah, dan Kalimantan Selatan. Budaya masyarakat Dayak adalah Budaya Maritim atau bahari. Hampir semua nama sebutan orang Dayak mempunyai erti sesuatu yang berhubungan dengan "perhuluan" atau sungai. Terutama pada nama-nama rumpun dan keluarga.

Ada yang membagi orang Dayak dalam 6 rumpun.

Bahasa mereka, terdapat 5 kelompok bahasa yang dituturkan di pulau Kalimantan. Masing-masing memiliki kerabat di luar pulau Kalimantan:

  • "Barito Raya (33 bahasa, termasuk 11 bahasa dari kelompok bahasa Madagaskar, dan Sama-Bajau),
  • "Dayak Darat" (13 bahasa)
  • "Borneo Utara" (99 bahasa), termasuk bahasa Yakan di Filipina.
  • "Sulawesi Selatan" dituturkan 3 suku Dayak di pedalaman Kalbar: Dayak Taman, Dayak Embaloh, Dayak Kalis disebut rumpun Dayak Banuaka.
  • "Melayik" dituturkan 3 suku Dayak: Dayak Meratus/Bukit (alias Banjar arkhais yang digolongkan bahasa Melayu), Dayak Iban dan Dayak Kendayan (Kanayatn). Tidak termasuk Banjar, Kutai, Berau, Kedayan (Brunei), Senganan, Sambas yang dianggap berbudaya Melayu. Sekarang beberapa suku berbudaya Melayu yang sekarang telah bergabung dalam suku Dayak adalah Tidung, Bulungan (keduanya rumpun Borneo Utara) dan Paser (rumpun Barito Raya).

Begitulah, maklumat secara ilmiahnya. Ku malai mencari maklumat untuk dapat mendekati bersama-sama mereka. Aku buat keputusan untuk masuk ke pendalaman lagi, ke Putussibah (Putussubau). Dan akan menjelajahi pekan-pekan kecil di sana. Difahamkan tidak ada talian internet atau warnet untuk awam di sana. Namun aku akan pergi juga.

rumah adat Iban

Rumah adat Iban dibangun dari pohon hutan

Rumah panjang suku kaum Bidayuh

Pemukiman pedesaan di Kalimantan mengikuti alur sungai karena sungai ...

Mengayau adalah upacara adat Suku Dayak Iban di Kalimantan Barat.

Pakain adat kaum Dayak

Sila lihat vedeo ini...
Thumbnail 1:17
Tradisi Kekebalan Tubuh Suku Dayak 23.06.2008 Festival Budaya di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dibuka dengan tradisi manau oleh sejumlah anggota suku Dayak pegunungan Meratus ...
by
puterapanas 3 years ago 339,450 views


Bersambung, insya Allah.

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

25 Feb 2012
Pontianak, Ind.

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan

E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan

E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
Bab I
Bab 2
Bab 3
Bab 4

Ikuti selanjutnya.

Friday, March 02, 2012

Kemelut PAS, Seluruh Pimpinan Ke Kedah Esok.

Kl, 2 Mac 12: Sebentar tadi, Harakahdaily.net melaporkan, seluruh pimpinan PAS Pusat akan turun ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan mahabbah dengan pimpinan parti di negeri itu berhubung kemelut yang melanda. Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta, supaya seluruh ahli PAS bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti menyelesaikan isu yang melanda Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau berkata, beliau yakin isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin dengan semangat ukhwah yang tinggi.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda negeri Kedah mutakhir ini.

"Insya Allah ia akan selesai sehari dua lagi atas usaha kepimpinan dan semangat ukhuwah seluruh pihak yang mendukung perjuangan ini," katanya dalam kiriman mesej ringkas kepada Harakahdaily lewat petang ini.

Presiden PAS itu kini masih di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi, kira-kira empat jam itu dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Pada sidang media semalam, Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Difahamkan sebelum ini, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi telah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka. Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Pada Selasa lalu, lapan daripada 10 Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah. Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dikatakan enggan menyambung jawatannya. (IH/Hrkh)

Lihat sebelum ini..

Dialog Dg Azizan Razak, Akhiri Krisis PAS Kedah?

KL 2 Mac 12: Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah adalah suatu pertanda baik ke arah mengakhiri krisis dalaman PAS Kedah.

Dailog tersebut bertujuan untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini, walaupun ada pihak yang mencadangkan (dalam kes Azizan Razak dengan timbalannya Phahrolrazi Zawawi), supaya diadakan pertemuan mahhabah memsemukakan Azizan Razak dengan timbalannya Phahrolrazi Zawawi yang bertegas tidak mahu menyambung khidmatnya sebagai Exco.

Berikut kenyataan bersama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah:

1. Dewan Ulamak PAS Kedah dengan ini menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini. Hal ini berlandaskan arahan Allah Taala bermaksud: "Dan segala urusan mereka berlaku dengan perbincangan sesama mereka." (Surah al-Syura ayat 38)

2. Dewan Ulamak PAS Kedah menegaskan sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kedah.

3. Dewan Ulamak PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan Kerajaan PAS Negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia.

4. Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh sebarang usaha menggantikan mana-mana pemimpin yang sabit penyelewengannya.

YB Datuk Tuan Guru Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Tuan Guru Syeikh Mohamad Abdullah,
Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Madrasah Makarimul Akhlak, Pondok Hj Abdullah Kecil, Langgar,
Alor Star, Kedah Darul Aman.
Jumaat, 2 Mac 2012 bersamaan 8 Rabi'ulAkhir 1433H, 5.30 petang

Sementara itu sebentar tadi, Harakah melaporkan bahaw Seluruh ahli PAS diminta bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti menyelesaikan isu yang melanda Kerajaan Negeri Kedah. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau yakin isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin dengan semangat ukhwah yang tinggi.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda negeri Kedah mutakhir ini.

"Insya Allah ia akan selesai sehari dua lagi atas usaha kepimpinan dan semangat ukhuwah seluruh pihak yang mendukung perjuangan ini," katanya dalam kiriman mesej ringkas kepada Harakahdaily lewat petang ini.

Presiden PAS itu kini masih di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok. (IH)

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-50: Pemikiran Yusuf Rawa

E-Buku IH-50: Pemikiran Yusuf Rawa

BAB 1
BAB 2

Gas Perlu Didaratkan Di K'tan -Sultan Muhammad V

Kerjasama yang mantap antara kerajaan negeri dan sultan Kelantan.

KOTA BHARU, 2 Mac 12: Sultan Muhammad V berharap projek-projek yang telah dirancang dilaksanakan di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Ke-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Titah baginda bagi RMK-10 yang bermula 2011 hingga 2015 menggunakan pendekatan format pelan pusingan (rolling plan) yang dilaksanakan sejak tahun lepas memfokus pembangunan tempoh dua tahun.

“Pembangunan kepada tempoh dua tahun berdasar keupayaan kewangan semasa kerajaan Persekutuan.

“Beta berharap projek-projek yang telah dirancang untuk Kelantan melalui RMK-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya,” titah baginda pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dun Kelantan ke-12 semalam.

Menurut baginda juga pada tahun lepas Kelantan menerima pelaburan hampir RM1.4 bilion meliputi bidang hartanah, pertanian, pembuatan dan tenaga diperbaharui. Oleh itu baginda berharap kemasukan pelaburan tahun ini akan meningkat dengan adanya kemudahan pangkalan bekalan di Tok Bali yang dijangka siap pembinaan tahun ini.

Selain itu pembangunan Bandar Baru Tunjung semakin rancak, di samping rakyat akan menerima kesan berganda daripada projek-projek yang dilulus tahun lepas. Sultan Kelantan juga bertitah gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) sudah mulai dikeluarkan.

“Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi,” titah baginda.

Sementara itu, kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan disambut meriah oleh rakyat negeri itu termasuk mengantung banner (gambar kanan). Di Jeli, tempat Najib dibawa oleh Datuk Mustapha Mohamad bertemu rakyat, kain-kain pemidang dinaikkan oleh rakyat kawasan itu.

Najib dalam rangka lawatannya ke Kelantan hari ini dijangka akan bertemu rakyat di Jeli, kawasan Parlimen pengerusi perhubungan Umno Kelantan. Lawatan terakhir Najib ke Kelantan adalah Julai tahun lalu di mana beliau telah melawat daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.

Di Pasir Puteh, beliau telah melawat stesen teksi Pasir Puteh dan berjanji akan membina stesen teksi baru di situ. (IH/Hrkh)

M'sia Tak Malu, Dg Pakaian Atlet Wanitanya..

SUKAN

Malukah anda melihat gambar pakaian atlet wanita kita begini? Malu apa? Kerajaan Malaysia pun tidak malu mewakilkan atlet-atletnya ini!! Lihat lagi gambar-gambar di bawah...

PAKAI tudung dan menutup aurat tidak mengganggu kredibiliti gerakan pemain-pemain dalam sukan. Buktinya, pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, setengah atlet Mesir dan semua atlet Iran, Afghanistan,Yaman memakai tudung berjaya memenangi pingat emas.

Baru-baru ini (Jan 2012) sebuah keputusan penting diambil oleh persekutuan bola sepak antarabangsa FIFA, dengan membenarkan pemain wanita Muslim memakai tudung di padang.

Bila lagi kerajaan Malaysia di bawah pimpinan UMNO/Islam akan memanfaatkan 'tarik balik' larangan tersebut. Bahkan memperjuangkan 'tutup aurat' di kalangan atlet-atlet Malaysia dalam pelbagai jenis sukan, temasuk sukan renang.


Anda bezakan sendiri mana pakaian yang lebih bermaruah dan bertamadun. Pakaian yang lebih sesuai menurut pelbagai agama, bukan hanya agama Islam sahaja.




Thursday, March 01, 2012

Penjelasan, B/Islam Pimpin PAS -Tuan Ibrahim


KL, 1 Mac 12: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal perlantikan pimpinan dari kalangan bukan Islam dalam parti.

Ini, katanya kerana perlembagaan parti jelas memperuntukkan Islam sebagai syarat utama dengan menjadikan al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias sebagai rujukan.

“Tidak mungkin seseorang yang tidak yakin dengan sumber rujukan parti akan dipilih sebagai pimpinan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan media mengenai pandangan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan.

Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti.

Justeru, Tuan Ibrahim menambah, PAS menyeru seluruh ahli memberikan fokus kepada persiapan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang semangkin hampir.

“Jangan terperangkap dengan plot yang dirancang oleh musuh, tanpa kita sedari. Kerana terlalu banyak masa, tenaga dan tumpuan kepada titik bengik dalaman parti, sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan Pilihan raya Umum,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. (Hrkh)

Lihat sebelum ini...

Pontianak: Yusuf Saigon, Kaitan Dg MP PAS 1955..

Syech H Muhammad Yusuf Saigon, ada kaitan dengan MP PAS 1955?

Masjid Al Karim Kampung Saigon, di Jalan Tanjung Raya II. Sejarahnya tidak terlepas dari sosok H Muhammad Yusuf Saigon, seorang tokoh yang pertama kali menerabas hutan di lokasi ini.

CATATAN PERJALANAN: Kalimantan siri 5

PERJALANAN, pengembaraan dan berdakwah antara sifat-sifat yang ada pada seseorang ulama Islam. Di Pontianak ini, nama Syech H Muhammad Yusuf Saigon, tidak lekang dimakan zaman. Meski sudah lama mangkat, namun masyarakat tetap mengingat jasa-jasa sosok salah seorang antara tokoh-tokoh ulama dunia yang disebut-sebut.

Salah seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad al-Banjari yang terkenal dari suku kaum Banjar, ialah Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa buah negeri kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu tajwid. Sewaktu beliau merantau ke Brunei, berkahwin di sana, memperoleh anak bernama Ramli. Ramai juga keturunannya di Brunei dan Sabah.

Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak, Kalimantan Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Yusuf, Muhammad Arsyad dan Abdur Rahman. Muhammad Yusuf, setelah belajar ilmu-ilmu keIslaman secara mendalam, akhirnya menjadi saudagar intan. Mohammad Yusuf juga seperti ayahnya, merantau ke seluruh tanah Kalimantan, Sumatera dan ke luar negara, iaitu ke Saigon dan Kemboja.

Di Kampung Melayu, Kemboja, Muhammad Yusuf berkahwin lagi. Beliau berkahwin sebanyak empat puluh kali. Isteri ke 40 dari Kemboja, itulah yang dibawanya pulang ke Kalimantan Barat. Di Pontianak, Muhammad Yusuf membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas. Kampung itu diberi nama 'Kampung Saigon'. Akhirnya beliau dipanggil Yusuf Saigon dan hilanglah nama Banjarnya.

Oleh itu ramai orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon bukan orang Banjar. Beliau dan saudaranya, Muhammad Arsyad meneruskan perjuangan moyang mereka, iaitu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al- Banjari yang sangat masyhur itu.

Dasar Perjuangan

Mereka berdua beriktikad,

  • Bahawa tiada satu perjuangan pun yang lebih mulia, dapat menyelamatkan seseorang sama ada di dunia mahu pun akhirat, melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para nabi dan rasul Allah.
  • Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, Nabi dan rasul akhir zaman, tidak syak lagi adalah satu- satunya agama yang wajib diperjuangkan oleh setiap insan Muslim.

Pembahagian Tugas

Urusan mencari dana untuk kepentingan umat Islam ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan propaganda dan dakwah dilakukan oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.

Pesantren & Institiut

Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh Allah, kerana dalam tahun 1925 M. datang seorang pemuda alim dari Ketapang bernama Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah Shaulatiyah, Mekah. Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah, Mekah ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian dikenali sebagai Syeikhul Islam di Kerajaan Selangor.

Abdus Shamad ditampung oleh Muhammad Yusuf Saigon, lalu didirikanlah pondok-pondok tempat tinggal pelajar. Ketika itu berdirilah 'Pondok Pesantren Saigoniyah' sebagai pondok pesantren pertama di Kalimantan Barat (walaupun ada yang menganggap sistem pendidikannya bukan sistem pondok, kerana ia mempunyai bangku- bangku tempat duduk pelajar).

Pondok pengajian selain itu yang ada di Kalimantan Barat ialah Dar al-'Ulum yang diasaskan oleh Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, murid Tok Kenali. Pengajian pondok ini terletak di Kampung Terusan, Mempawah. (Hanya pondok pengajian inilah satu-satunya pondok pengajian tanpa kelas dan tanpa bangku, sistem pendidikannya sama dengan di Patani, Kelantan, Kedah dan Pulau Jawa.)

Dalam tahun 1975, beberapa orang kader Pondok Pesantren Saigoniyah dan Dar al-'Ulum bergabung, sama-sama mengajar di Pondok Pesantren Al- Fathaanah di Kuala Mempawah. Bererti kelanjutan daripada kedua-dua institusi tersebut, masih berjalan terus sampai sekarang.

Sebelum itu, Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan kader-kader yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat, tetapi sekarang hampir semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren Saigoniyah hilang atau tenggelam namanya akibat keganasan tentera Jepun dalam Perang Dunia kedua, di Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah, nama itu tidak muncul lagi.

Namun pada tahun 1977 muncul pula nama baru iaitu Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan bertujuan mengabadikan nama keturunan beliau, Syeikh Muhammad Arsyad al- Banjari. Syeikh Muhammad Arsyad al- Banjari adalah satu-satunya ulama yang dihormati di Kampung Saigon ketika itu.

Jasa Kepada Dunia

Perlu juga kita ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini juga menjalankan aktiviti serupa di tempat-tempat lainnya di dunia Melayu, bahkan termasuk Mekah. Sebagai contoh Mufti Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di Parit Hidayat, Sapat, Inderagiri Hilir, dan Sumatera.

Tuan Husein Kedah al-Banjari mengasaskan beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam Madrasah Al- Khairiah.

Masih banyak lagi institusi pendidikan keluarga ulama Banjar tersebut di tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa Timur seperti Pesantren Datuk Kelampayan. Pondok tersebut diasaskan oleh al-Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad Syarwani Abdan al- Banjari. Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di Kelampayan.

Di Dalampagar (Banjar) sekurang- kurangnya terdapat dua buah institusi pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian pula di Teluk Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah di Dalampagar diberi nama Madrasah Sullam Al-'Ulum dan Madrasah Mir'ah ash-Shibyan. Yang di Teluk Selong diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad. Yang di Sungai Tuan diberi nama Madrasah Al- Irsyad.

Yayasan yang diasaskan oleh keluarga ulama Banjar tersebut juga terdapat di beberapa tempat, seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Yayasan terbentuk dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali oleh panitia (jawatan kuasa) pada 30 November 1967. Iaitu hari kewafatan beliau yang jatuh pada 7 Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Selatan.

Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini bernama Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919), telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar. Sejak tahun 1972 telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah.

Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein.

Saya (Ibnu Hasyim) tertarik kepada Tuan Hussein Kedah al-Banjari, atau nama sebenarnya Hussein bin Haji Muhammad Nasir. Tokoh ulama yang menjadi pengasas enam buah pondok termasuk Madrasah al-Taufiqiah al-Khairiah, yang kemudiannya dikenali sebagai Pondok Pak Ya. Dengan 18 buah kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah.

Tuan Hussein lahir di Titi Gajah, Kedah pada 20 Jamadilawal 1280H (1863M). Sejak kecil, Tuan Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M. Dalam lingkungan usianya 18 tahun, Tuan Hussein mendapat restu datuknya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Tuan Hussein berangkat ke Patani, negeri yang terkenal sebagai pusat penyebaran ilmu agama pada masa itu. Beliau menuntut dengan beberapa orang ulama terkemuka termasuk Tuan Samela, yang pernah menjadi guru datuknya, Haji Mohd Taib. Selepas itu, bagi mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman, Tuan Hussein menghabiskan 10 tahun menjelajah ke merata negeri, bermula pada tahun 1299H (1881M). Negeri-negeri yang dijelajahinya ialah Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Melaka.

Dari Melaka, beliau menaiki tongkang menyeberang Selat Melaka menuju Medan dan terus ke Acheh. Setelah setahun belajar di Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’.

Kemasyhurannya memikat hati Tok penghulu Abdul Wahab di Panjang Laut, Sitiawan, Perak yang menjodohkan Tuan Hussein dengan anaknya bernama Jaharah. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein berkahwin pula dengan Siti Khadijah setelah Jaharah kembali ke rahmatullah kerana sakit bersalin anak kedua. Tidak berapa lama kemudian, Tuan Hussein bersama isteri pulang ke Titi Gajah untuk membantu datuknya yang sudah lanjut usia mengajar di pondoknya.

Pada tahun 1314H (1896M), Tuan Hussein bertolak ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya, dan sempat belajar dengan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga dan Syeikh Omar Sembawa. Beliau bersahabat rapat dengan Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah Melayu lain yang bersama-sama di Mekah. Tuan Hussein belajar selama empat tahun di Mekah dan apabila pulang semula ke Titi Gajah, beliau berusaha selama dua tahun menyusun semula pondok peninggalan datuknya.

Dalam masa yang sama, beliau membangunkan pondok di Alor Ganung kerana memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Di Bohor, Tuan Hussein menetap selama 13 tahun. Itulah paling lama beliau menetap di satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan membangunkan pondok.

Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi 3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian).

Beliau hanya sempat menetap selama empat tahun di Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai. Penghijrahan Tuan Hussein ke Pokok Sena itu berlaku disebabkan beliau diperintahkan keluar dari Kedah atas alasan melanggar beberapa peraturan atau undang-undang negeri. Penghijrahan itu mendorong Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah. Madrasah itu hidup, dan sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad.

Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussein, itukah ulama Islam yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Pertama Malaya 1955 sebelum merdeka? Beliaukah yang menang menjadi Ahli Parlimen Pertama dari PAS atau Parti Islam Se Malaya, merebut 1 dari 52 kerusi Parlimen? Beliau, dikatakan menang adalah atas sokongan mayarakat Banjar sekitar tempat beliau bertanding.

Waktu itu, PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Iaitu satu di Pulau Pinang, Pahang dan Kedah. Dua di Selangor, tiga di Kelantan dan Perak. Calon PAS yang bertanding ialah Haji Zabidi Ali (Wellesley South atau Seberang Perai Selatan), Hassan Adli (Teluk Anson), Abdul Wahab Nor (Dinding), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian), Zulkifli Mohamed (Selangor Tengah), Othman Abdullah (Kuala Selangor), Mohd Yassin Salleh (Semantan), Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas), Mohd Asri Muda (Kelantan Timor), Haji Nor Yusof (Kelantan Selatan) dan Mohd Salleh Shafie (Kedah Selatan).

PAS cuma dapat satu kerusi parlimen atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin. (Juga satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut.)

Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad yang menurut sumber Banjar Pontianak ini pernah berkata mengenai ayahnya, “Prinsip Tuan Hussein membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya..."

Ertinya, perjuangannya ialah melanjutkan perjuangan ayahnya, yang juga sama dengan perjuangan Syech H Muhammad Yusuf Saigon, iaitu perjuangan menegakkan agama Islam. Itulah juga yang diperjuangkan oleh PAS pada masa itu.

Apakah benar dua nama yang sama itu adalah satu individu? Saya masih dalam penyelidikan lagi. Harap bantu-bantulah saya menyelidikinya.

Bersambung, insya Allah.

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

25 Feb 2012
Pontianak, Ind.

Lihat sebelum ini..

U/M'sia, Azizan Tumbang Sebelum PRU13?


KL, 1 Mac 12: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka akan ditumbangkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, menurut akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini.

Akhbar berbahasa Melayu itu melaporkan, berdasarkan sumber dalaman PAS, gerakan menyingkirkan Azizan (gambar) itu akan dilakukan oleh kelompok PAS Kedah yang tidak senang dengan cara beliau mengendalikan isu pelantikan semula dua orang ahli jawatankuasa eksekutif (exco) kerajaan negeri berkenaan.

Berdasarkan sumber dalam PAS, Utusan melaporkan bahawa terdapatnya desakan kepada PAS Pusat agar mengarahkan Azizan bercuti dan tidak dilantik semula sebagai menteri besar jika pakatan PAS-PKR-DAP memerintah Kedah.

Hanya lapan daripada 10 exco dilantik semula semasa istiadat pelantikan exco 28 Febuari lalu di Istana Anak Bukit.

Dua exco yang tidak dilantik itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh telah mengeluarkan surat menyatakan keengganan mereka dilantik semula berikutan terdapatnya krisis yang berlaku antara mereka dengan Azizan.

“Mereka bertekad untuk menjatuhkan Azizan dari kerusi Menteri Besar, malahan ada yang berazam menamatkan karier politik beliau dalam pilihan raya akan datang.

“Selain itu, mereka juga mendakwa Azizan sudah tidak layak menjadi pemimpin PAS Kedah kerana langsung tidak mahu mendengar nasihat exco dan kepimpinan parti,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber berkenaan, Azizan bukan sahaja menerima tekanan daripada penyokong dua exco berkenaan, malah turut menghadapi keadaan yang “kritikal” memandangkan PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan kemelut Kedah esok.

“Dalam mesyuarat itu, naib presiden PAS Salahuddin Ayub akan menbentangkan beberapa cadangan dan syor yang akan menekan Azizan untuk menerimanya, walaupun sebelum ini beliau menyatakan menteri besar mempunyai kuasa untuk memilih exco tanpa merujuk kepada presiden PAS, Datuk Seri hadi Awang,” katanya.

Selain tekanan dari PAS, Azizan turut berkemungkinan menghadapi uasaha penyingkirannya daripada kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau mengeluarkan kenyataan hanya akan akur kepada perintah Hadi sahaja.

Kenyataan itu jelas sumber berkenaan, seolah-olah Azizan memperkecilkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).

Selain itu, ketika ditanya sama ada Azizan akan akur dengan keputusan PAS Pusat, sumber berkenaan menjelaskan, kumpulan ulama di Kedah juga tidak menyebelahi Azizan, ditambah dengan Dewan Pemuda PAS negeri yang dilihat masih belum membuat keputusan untuk menyebelahi mana-mana pihak.

“Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada di kalangan pemimpin pusat yang tidak menyenangi beliau,” kata sumber itu lagi yang menjelaskan Azizan mempunyai tekanan yang begitu hebat. (Diangkat dari The Malaysian Insider)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sama-sama tunggu penjelasan dari PAS Pusat.

Lihat sebelum ini...

B/Islam Pemimpin Utama PAS, Penjelasan Nik Aziz


KL, 1 Mac 12: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengulangi penegasannya bahawa sesiapa sahaja yang beragama Islam yang soleh boleh memimpin parti itu.

Katanya, persoalan bangsa sama ada Melayu atau sebaliknya tidak menjadi persoalan selagi mereka adalah "muslim yang soleh".

"Saya ingin mengulangi penegasan saya bahawa sesiapa sahaja yang merupakan muslim yang soleh boleh memimpin PAS sekalipun bukan berbangsa Melayu kerana bangsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah SWT, " katanya melalui laman sosial Facebook hari ini.

Menurutnya, tiada guna sekalipun pemimpin itu Melayu, jika jahil tentang undang-undang Islam itu sendiri.

Tanpa menamakan sesiapa, Tuan Guru Nik Aziz juga turut merujuk kepada bekas seorang pemimpin Melayu negara yang disifatkannya masih meraba-raba.

"Untuk apa berbangsa Melayu jika masih mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kejahilan terhadap undang-undang Allah SWT?

"Saya simpati dengan salah seorang bekas pemimpin negara yang rupanya masih meraba-raba," katanya dalam nada menyindir.

Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan itu dipercayai sebagai respon terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir dalam kennyataannya semalam mencabar PAS melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Presiden PAS.

“Dulu PAS kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam PAS?

"Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden PAS kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada pandangan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti. (hrkh)

Lihat sebelum ini...

Syabas Phahrolrazi, Terima Exco Bersyarat

KL, 1 Mac 12: Weblog Ibnu Hasyim mengucapkan syabas kepada Datuk Phahrolrazi Nawawi (gambar) yang menegaskan beliau sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung tugasnya sebagai exco kerajaan negeri Kedah semalam. Apa lagi bila hubungan dengan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah mencapai tahap kritikal.

Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah berkata, beliau enggan dilantik semula sebagai exco kerana mempunyai perbezaan pendapat dengan Menteri Besar itu berhubung soal pentadbiran kerajaan negeri. Beliau menambah tindakan untuk tidak menyambung tugas itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak seperti yang dikaitkan sebelum ini iaitu Anwarism atau Erdogan untuk mendesak Azizan melepaskan jawatannya dalam kerajaan.

"Hal berkaitan khilaf atau berbeza pendapat tidak boleh dielak dalam mana-mana kepimpinan organisasi. Kadangkala dalam 10 perkara mungkin empat lima perkara tidak sependapat, tidak apa lagi tetapi kalau enam tujuh perkara tidak sependapat tidak wajarlah kita duduk dalam organisasi ini.

"Kenapa sekarang? Saya melihat tahun pertama PAS Kedah mula mentadbir parti masih terumbang-ambing lagipun tentulah tidak banyak keputusan kita buat, tetapi sekarang banyak perkara dan keputusan dibuat," katanya.

Semalam lapan anggota exco kerajaan negeri mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Phahrolrazi antara dua exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah termasuk Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurut akhbar rasmi Umno itu, Phahrolrazi mengakui sudah lama 'tidak sebulu' dengan Azizan berkata, ia melibatkan hal berkaitan pentadbiran kerajaan negeri yang meliputi isu kecekapan dan dalam perkara membuat sesuatu keputusan.

Menyentuh kemungkinan beliau akan menerima semula tawaran sekiranya dilantik sebagai exco, Phahrolrazi memberitahu, beliau sedia berbuat demikian, namun dengan beberapa syarat.

"Saya tidak boleh dedahkan syarat itu, biar ia jadi rahsia dulu," katanya.

Phahrolrazi juga mengakui bahawa Dr Ismail sependapat dengan beliau dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

"Selepas empat tahun mentadbir kita boleh menilai keberkesanan kerajaan negeri, jadi saya memilih untuk tidak lagi bersama barisan kepimpinan negeri," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau bercita-cita mahu menjadi menteri besar, Phahrolrazi berkata, perkara tersebut tidak benar kerana beliau sepatutnya perlu terus berada dalam kerajaan negeri jika mahu memegang jawatan itu. (IH/MI)

Mekah Di Tengah-tengah London..

Jemaah solat Jumaat di jalanan London

‘MEKAH’ di tengah-tengah London. Begitulah tajuk akhbar harian terkemuka British Daily Mail pada hujung minggu-minggu lalu.

Laporan tersebut menulis mengenai orang Islam British yang melaksanakan solat Jumaat di sebuah jalan di London. Mereka terpaksa solat di atas jalan kerana ruangan masjid sudah penuh sehingga tidak dapat menampung jemaah yang ramai.

Dalam artikel bertajuk “The Mecca of the city: In a London street, the faithful find a way to pray as their mosque overflows”, harian itu melaporkan ramai yang merasa terkejut ketika datang ke daerah itu pada Jumaat lalu. Mereka melihat ramai orang berdoa bersama di luar.

”Perkara itu bukanlah pemandangan biasa di England,” tulisan the Daily Mail.

Dalam bayangan gedung pencakar langit dan ruang kaca serta batu-batu di Mile Square, ratusan umat Muslim berlutut di jalanan melaksanakan solat Jumaat. Kegiatan selama satu jam di tengah-tengah kawasan kewangan kota London itu ternyata menjadi sangat popular sehingga jemaah memenuhi jalan-jalan di sekitar masjid komuniti kecil.

Pekerja yang memakai uniform bercampur dengan umat Islam dari komuniti Bangladesh tempatan. Mereka terkeluar sehingga ke jalan-jalan di sekitar Bentley dan kawasan letak kereta.

Masjid Brune Street di Spitalfields, London Timur, merupakan masjid terdekat untuk solat Jumaat bagi pekerja. Ramai juga jemaah yang datang dari Brick Lane dan Whitechapel. Pekerja-pekerja profesional mengisi jalan di bawah bangunan perniagaan yang menjulang tinggi. Umat Muslim tanpa memakai kasut melakukan solat Jumaat dan bersujud menghadap ke kiblat.

Islam semakin berkembang di Kota London

Dalam ruangan masjid yang hanya dapat menampung 100 orang, sekitar 300 umat Muslim yang bekerja di kawasan berhampiran hadir bersama penduduk setempat yang juga ingin menjalankan solat Jumaat. Dan ini menyebabkan jemaah solat Jumaat melimpah sehingga ke jalan.

“Keadaan ini semakin ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini” kata seorang pekerja yang masih memakai pakaian solat Jumaat. “Ramai orang yang terkejut ketika mereka datang ke daerah itu pada hari Jumaat. Kerana, mereka dapat melihat ramai orang yang berdoa bersama di luar. Mereka melaksanakan solat betul-betul di tengah Kota London.

Penambahan umat Islam di Eropah menyebabkan banyak tempat-tempat ibadah seperti kuil yahudi dan gereja bertukar milik menjadi tempat ibadah bagi umat islam (kisahnya : klik sini)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails