Mohamed Azmin yang nasibnya bakal diputuskan di Julau, sama ada dapat mempertahankan kedudukannya atau tidak berkata, kegagalan Saifuddin dan JPP bertindak bakal menjahanamkan PKR kerana segala bukti yang amat meragukan telah didedahkan banyak pihak.
“Ini satu perkara yang tidak boleh diketepikan, masalah dibangkitkan itu masalah serius yang boleh menjahanamkan parti. Sebab itu, kita mendesak Setiausaha Agung dan JPP ambil serius pandangan ini kerana bukti dikemukakan itu terlalu kukuh dan tidak boleh untuk diketepikan begitu saja.
“Keadilan (PKR) membicarakan soal reformasi, kita menegur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi kita juga harus me­lakukan muhasabah. Sebab itu JPP harus ambil serius perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir mendengar Taklimat Pembangunan Sela­ngor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Kepada soalan apakah 13,000 ahli PKR Cabang Julau yang dikatakan layak mengundi itu bakal menjejaskan peluang­nya untuk mempertahankan kedudukan Timbalan Pre­siden, Mohamed Azmin berkata, perkara utama adalah bukan soal jumlah ahli, tetapi masalah kelayakan.
“Jangan cepat cakap soal la­yak, isu kelayakan mereka sebagai pengundi perlu diselesaikan terlebih dahulu dan kalau tak, mereka tidak layak mengundi (tetapi jika masih tidak diselesaikan) ini tidak boleh kita terima,” ujarnya. (Utusan)