Sebelum ini gambar Perdana Menteri tertera dalam poster promosi ceramah PRK berkenaan dan diuar-uarkan bakal muncul bersama pemimpin lain dalam ceramah Grand Finale itu.
Ketiadaan Dr. Mahathir dalam ceramah di Dataran Metro Park, Bandar Sri Sendayan di sini, mengecewakan segelintir penyokong.
Seorang warga emas, Mukhtar Daud, 60, berkata, beliau datang dari Kuala Pilah kerana mengharapkan pemimpin nombor satu negara itu akan berceramah bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika hadir ke Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan di Bandar Sri Sendayan DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika hadir ke Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan di Bandar Sri Sendayan, disini hari ini. -UTUSAN ONLINE/ ABD RAZAK AID
“Sejak dulu saya kagum dengan Dr. Mahathir, malam ini tak dapat tengok beliau. Tak mengapalah, pemimpin lain pun ada,” katanya ketika ditemui di sini.
Selain Anwar, pemimpin PH yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK Rantau, Dr. S. Streram.
Petang tadi, media melaporkan Dr. Mahathir tidak dapat membantu hari terakhir kempen PH dalam PRK Rantau kerana jadualnya yang padat.
Perkara tersebut bukan pertama kali berlaku kerana beliau tidak turun berkempen bagi calon PH yang lain antaranya dalam PRK DUN Seri Setia, Balakong dan Sungai Kandis.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir membantu kempen PH di Port Dickson, Cameron Highlands dan Semenyih.
Hari pengundian PRK DUN Rantau akan diadakan esok dengan pertandingan empat penjuru antara Streram, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional dan dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi. - UTUSAN ONLINE