Saturday, February 06, 2021

Dakwaan X tanggungjawab Terhadap YDP Agong, Tun Razak &Datuk Harun -Dr Kamarul Zaman

 

Tragedi 13 Mei: Kepalsuan dakwaan Tommy Thomas terdedah

DAKWAAN Tommy Thomas (pada muka surat 27 bukunya): Rusuhan 13 Mei tidak berlaku secara spontan, tetapi dirancang terlebih dahulu.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam memoirnya yang bertajuk ‘Tan Chee Khoon: An Elder Statesman’, pada muka surat 114 dan 129-131, Dr Tan Chee Khoon menulis bahawa pemimpin-pemimpin bodoh dan sombong DAP, khususnya Goh Hock Guan yang melaungkan DAP akan membentuk kerajaan baru di Selangor, sebagai punca kepada memuncaknya situasi tegang di kalangan orang-orang Melayu. 

Di dalam bukunya yang bertajuk ‘The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia’, pada muka surat 20, Dr Goh Cheng Teik juga menulis bahawa, bila dimaklumkan yang Perlembagaan Negeri Selangor tidak membolehkan seorang bukan-Melayu menjadi Menteri Besar, Goh Hock Guan berkata peguam beliau tidak menemui larangan ini.


Di dalam memoir Tunku Abdul Rahman yang bertajuk ‘Tunku: A Pictorial Biography (1957-1987)’, pada muka surat 83, Mubin Sheppard menulis bahawa adalah amat jelas yang kekejaman-kekejaman 13 Mei adalah akibat langsung daripada dua perarakan penyokong-penyokong pembangkang pada 8 Mei dan 12 Mei 1969. 

Di dalam bukunya yang bertajuk ‘The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia’, pada muka surat 18, 21 dan 39, Dr Goh Cheng Teik juga menulis bahawa Rusuhan 13 Mei berpunca daripada hinaan dan cercaan aktivis dan simpatisan parti-parti pembangkang kepada Umno dan orang-orang Melayu kerana dikatakan sudah kalah di Selangor seperti ‘Kapal layar bocor!’, Melayu sudah jatuh!’, ‘Melayu sekarang tak ada kuasa lagi!’, ‘Kuala Lumpur sekarang Cina punya!’ dan ‘Melayu boleh balik kampung!’. 

Di dalam surat beliau kepada Tunku Abdul Rahman pada 17 Jun 1969, Tun Dr Mahathir juga menulis mengenai ‘orang-orang Cina dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei (1969) kepada orang Melayu’ dan mengenai ‘kalau Tunku biasa diludah di muka, dimaki dan ditunjuk kemaluan, bolehlah Tunku faham perasaan orang Melayu.’

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Kempen-kempen pilihan raya dari Mac ke Mei 1969 tidaklah lebih hangat berbanding pilihan raya – pilihan raya sebelumnya.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam tesis sarjana beliau yang bertajuk ‘PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982’, pada muka surat 220, Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff menulis bahawa kempen-kempen Pilihan Raya Umum 1969 paling hangat pernah berlaku ekoran pengaruh slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang ditinggalkan oleh PAP yang dibawa khususnya oleh sebuah parti baru bernama DAP melalui manifesto bertajuk ‘Our Triple Objective: Towards A Malaysian Malaysia’ yang di antara lainnya menjanjikan pemberian hak politik, ekonomi dan sosial yang sama kepada semua rakyat dan pemberian taraf rasmi kepada Bahasa-bahasa Cina, Tamil dan Inggeris, selain oleh PPP melalui manifesto bertajuk ‘Malaysia for Malaysians’.

Di dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat pada 3 Mac 1971, Tun Dr Ismail menyebut bahawa Ahli-ahli Parlimen DAP adalah ‘ruthless, tricky, smooth, suave, slick political rogues, who use the ‘sensitive issues’ to trick the gullible public into voting them into this House, who use the sensitive issues to assassinate political opponents.’ 

Di dalam ucapan sama, Tun Dr Ismail mengungkap kembali petikan pelbagai kenyataan sensitif Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, sewaktu berkempen, antaranya yang menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dan yang didakwa tidak mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu, termasuklah yang berbunyi ‘I say again and again, the Alliance Government is a Malay Government, anti-Chinese, anti-Indian, anti all other races because it is based on the concept that the country belongs to the Malays and the others here-the Chinese, the ndians, the non-Malays-are all on ‘tumpang’.’

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Tun Razak merancang Rusuhan 13 Mei kerana tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam memoirnya yang bertajuk ‘Drifting Into Politics’, pada muka surat 78, Tun Dr Ismail menulis bahawa Tun Razak adalah seorang ahli politik yang sentiasa pintar dan sabar (an astute and patient politician).

Di dalam bukunya yang bertajuk ‘The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia’, pada muka surat 32, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa Tun Razak menyebelahi Tunku Abdul Rahman bila Tun Dr Mahathir menekan Tunku Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran Rusuhan 13 Mei. 

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Tun Razak merancang Rusuhan 13 Mei kerana beliau diberitahu bahawa beliau mengidap Leukaemia dan hanya boleh hidup lima ke enam tahun sahaja.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam memoirnya yang bertajuk ‘Drifting Into Politics’, pada muka surat 75, Tun Dr Ismail menulis bahawa Tun Razak hanya diberitahu (oleh Dr MacPherson) bahawa beliau mengidap Leukaemia hanya selepas Tun Dr Ismail sendiri diketahui menghidap penyakit jantung pada September 1969.

Di dalam memoir Tun Razak yang bertajuk ‘Tun Razak: His Life and Times’, pada muka surat 246, William Shaw menulis bahawa Tun Razak hanya diberitahu bahawa beliau hanya boleh hidup tidak lebih daripada enam tahun sahaja pada tahun 1970.

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Tidak dapat dipastikan apakah Yang di-Pertuan Agong benar-benar menandatangani Proklamasi Darurat yang diisytiharkan.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam tesis sarjana beliau yang bertajuk ‘PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982’, pada muka surat 224-225, Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff menulis bahawa ekoran daripada rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 ini, satu perisytiharan Darurat telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Warta Kerajaan Persekutuan, 15 Mei 1969, P.U. (A) 145, yang diikuti oleh pembuatan satu ordinan bertajuk Ordinan No. 2 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969, melalui Warta Kerajaan Persekutuan, 17 Mei 1969, P.U. (A) 149, yang memperuntukkan perwakilan kuasa pemerintah bagi Malaysia kepada seorang Pengarah Gerakan yang dibantu oleh suatu majlis yang akan dinamakan Majlis Gerakan Negara di mana Seksyen 2(2) Ordinan No. 2 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969 ini memperuntukkan bahawa ‘Pengarah Gerakan…hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat Perdana Menteri…’.

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 28 bukunya): Datuk Harun terlibat secara langsung atau membantu atau bersubahat dengan perusuh-perusuh di mana kediaman beliau digunakan untuk menghimpun dan merangsang mereka keluar membunuh dan mengganas.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam bukunya yang bertajuk ‘The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia’, pada muka surat 20-22, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa perarakan balas orang-orang Melayu Selangor yang dijadualkan berlangsung pada jam 7:30 malam 13 Mei 1969 adalah dibuat atas permintaan mereka, dan mendapat kebenaran daripada pihak polis, yang mahu menunjukkan kepada parti-parti pembangkang bahawa Umno juga mempunyai sebab untuk merayakan keputusan pilihan raya itu kerana mereka sebenarnya tidak kalah di Selangor (kedudukan kerusi terikat 14-14). 

Di dalam buku sama, Dr Goh Cheng Teik juga menulis bahawa perarakan balas ini adalah bagi membalas perayaan-perayaan kemenangan parti-parti pembangkang, termasuklah kedatangan penyokong-penyokong DAP dan GERAKAN ke rumah Datuk Harun untuk mendesak beliau keluar daripada kediaman rasmi Menteri Besar setelah beliau didakwa kalah pilihan raya.

Di dalam bukunya yang bertajuk ‘The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia’, pada muka surat 22, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa bila orang-orang Melayu Selangor mahu merusuh Datuk Harun merayu mereka untuk bertenang. Di dalam bukunya yang bertajuk ‘Power Sharing In A Divided Nation’, pada muka surat 103, Dr Johan Saravanamuttu juga memetik Karl Von Vorys, penulis buku ‘Democracy Without Consensus: Communalism and Political Stability in Malaysia’ yang mendakwa melihat sendiri Peristiwa 13 Mei, sebagai menyebut bahawa Datuk Harun memainkan peranan positif untuk cuba menyekat rusuhan dari berlaku.

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 29 bukunya): Datuk Harun dilantik semula dengan cepat-cepat dan secara senyap-senyap sebagai Menteri Besar Selangor walaupun beliau tidak mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor. 

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam bukunya yang bertajuk ‘The May Thirteenth Incident And Democracy In Malaysia’, pada muka surat 38, Dr Goh Cheng Teik menulis bahawa pemulihan semula demokrasi, serta pelantikan Datuk Harun sebagai Menteri Besar Selangor, hanya berlaku setelah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari GERAKAN, Chou Yew Koh, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari BEBAS, menyeberang ke arah Perikatan sekali gus membolehkan Perikatan mengatasi parti-parti pembangkang dengan kedudukan 16-12.

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 29 bukunya): Tidak terdapat sebarang siasatan mengenai mengapa atau bagaimana Rusuhan 13 Mei berlaku.

Fakta sebenar yang berlaku: Siasatan mengenai mengapa atau bagaimana Rusuhan 13 Mei berlaku telah dibuat oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang menerbitkan laporan rasminya yang bertajuk ‘Tragedi 13 Mei’ di mana di dalam pengantarnya Tun Razak selaku Pengarah Gerakan Negara menulis pada muka surat vii bahawa ‘laporan ini telah dibuat dengan penuh kesedaran bahawa perkara-perkara yang penting tidak boleh lagi ‘disapu ke bawah tikar’ dan bahawa kenyataan-kenyataan 13 Mei mestilah disebarkan dengan luas kepada orang ramai.’

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 29 bukunya): Tidak terdapat mana-mana orang yang didakwa di mahkamah atas jenayah yang dikaitkan dengan Rusuhan 13 Mei.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam laporan rasminya yang bertajuk ‘Tragedi 13 Mei’, pada muka surat 101, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mencatatkan jumlah orang yang didakwa di mahkamah ekoran Peristiwa 13 Mei seperti pada 31 Julai 1969 adalah 5,561 orang. Di dalam laporan rasmi sama, pada muka surat 102, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mencatatkan jumlah orang yang akan didakwa di mahkamah kerana kesalahan membunuh dan membakar ekoran Peristiwa 13 Mei seperti pada 31 Julai 1969 adalah 45 orang.

Dakwaan Tommy Thomas (pada muka surat 30-31 bukunya): Rusuhan 13 Mei adalah satu insiden kecil yang terpencil di Kuala Lumpur di mana tiada sebarang kejadian buruk berlaku di luar Kuala Lumpur.

Fakta sebenar yang berlaku: Di dalam tesis doktor falsafah beliau yang bertajuk ‘The Chinese In Peninsular Malaysia: A Study Of Race Relations In A Plural Society’, pada muka surat 304, Dr Ting Chew Peh menulis: ‘May 13, 1969 was a tragic day for Malaysia. On that day communal violence broke out in Kuala Lumpur, Malaysia’s capital. Initially, the riots were confined to the capital city and its vicinity. Subsequently, however, they spread to other states, notably the west coast states of Penang, Perak, Malacca and Negri Sembilan. Serious rioting, arson and murder continued for several days before they were finally brought under control.’

Di dalam laporan rasminya yang bertajuk ‘Tragedi 13 Mei’, pada muka surat 97, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mencatatkan jumlah kematian ekoran Peristiwa 13 Mei seperti pada 30 Jun 1969 adalah 196 orang, iaitu 172 di Selangor, 11 di Perak, 7 di Melaka, 4 di Negeri Sembilan, 1 di Pulau Pinang dan 1 di Terengganu.

Sungguh pelik bagaimana seorang peguam terkenal yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara boleh menulis secara semberono tanpa mengalaskan dakwaan-dakwaan beliau kepada mana-mana sumber sahih, apa lagi bila beliau sendiri menyebut bahawa sewaktu Peristiwa 13 Mei berlaku beliau baru berumur 16 tahun.

Dakwaan-dakwaan liar beliau terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tun Razak dan Datuk Harun khususnya adalah amat tidak bertanggungjawab sekali, begitu juga dengan dakwaan-dakwaan lain beliau yang mungkin boleh menimbulkan ketegangan kaum.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 5/2/2021

Islam dan konsep pembahagian kuasa -Presiden PAS

 

PADA satu pagi Jumaat, tersemat dalam ingatan saya detik yang tidak dapat dilupakan. Selepas Kuliah Dhuha saya telah dikunjungi oleh Almarhum YA Tun Mohamed Salleh ‘Abbas, mantan Ketua Hakim Negara.

Beliau mahu mengesahkan apa yang dibaca dalam Tafsir Ibnu Kathir terjemahan Bahasa Inggeris yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah melaksanakan konsep pembahagian kuasa.

Suatu konsep yang disebutkan dalam Bahasa Arab dengan istilahالفصل بين السلطات (pemisahan antara kuasa-kuasa dalam urusan negara). Almarhum Tun Salleh ‘Abbas mahu mengesahkan fakta yang mengatakan bahawa Islam telah mendahului Barat dalam pelaksanaan konsep tersebut secara praktikal.

Konsep pembahagian kuasa dalam Bahasa Inggeris disebutkan dengan ‘separation of powers’ merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama, iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif) dan kehakiman (judiciary). Tujuannya bagi mengelakkan atau menghindari daripada sebarang bahaya kezaliman (tyranny).

Malah dikatakan doktrin pembahagian kuasa dapat mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, memberikan kebebasan sebenar serta menghindari kemaharajalelaan (despotisme) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa. Perkara itu sangat penting bagi mewujudkan fungsi semak dan imbang (check and balance) antara kuasa tersebut.

Gambaran awal kepada pelaksanaan konsep ini ialah mengikut teori yang ditemui dalam karya-karya Aristotle. Pada tahun 1656, James Harrington dalam bukunya Oceana, telah memperkemaskan idea tersebut dengan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. Kemudian John Locke, dalam karyanya Second Treatise on Civil Government pada tahun 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua bahagian, iaitu eksekutif dan legislatif.

Manakala, Montesquieu dalam karyanya Spirit of the Laws telah mengembangkan idea Locke, dengan menambah satu lagi aspek iaitu cabang kehakiman. Selain itu, dikatakan bahawa orang Inggeris telah mewujudkan kaedah sebenar konsep pembahagian kuasa ini secara lebih formal, yang mereka gelar sebagai ‘Instrument of Government’ atau Instrumen Kerajaan.

Perkara positif yang dibincangkan oleh ahli falsafah Barat adalah sebahagian warisan perjuangan para Rasul terdahulu yang dicabut, apabila ditinggalkan wahyu Allah SWT yang dibawa oleh Islam yang menjadi agama para anbiya’ yang dilupakan atau diselewengkan.

Nabi Muhammad SAW adalah penerus risalah para anbiya’ yang menegakkan Islam secara sempurna, termasuk dalam urusan politik kenegaraan dan urusan kehakiman, sama ada menjadi  pemimpin seperti Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS atau menentang kezaliman yang berlaku pada zamannya sebagaimana Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Harun AS dan para nabi yang lain.

Alhamdulillah saya dapat menemuinya melalui teks asal Tafsir Ibn Kathir dalam Bahasa Arab, iaitu dalam jilid pertama yang mentafsirkan ayat ke-282 daripada Surah al-Baqarah.

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ  وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ  وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ  فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا  فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ  وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ  فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى  وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا  وَلَا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ  ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلَّا تَرْتَابُوا  إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلَّا تَكْتُبُوهَا  وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ  وَلَا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ  وَإِنْ تَفْعَلُوا فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ  وَاتَّقُوا اللَّهَ  وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ  وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ٢٨٢﴾ [البقرة: 282]

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah: 282)

Ayat ini menceritakan pertelingkahan antara Rasulullah SAW yang menjadi ketua negara dengan seorang Badwi (orang darat). Peristiwa yang berlaku dalam urusan jual beli yang telah dipersetujui, tiba-tiba Badwi itu mahu membatalkannya kerana ada tawaran harga yang lebih mahal dalam majlis jual beli yang sama.

Walaupun Badwi itu mengadakan salah laku dan tidak beradab terhadap Rasulullah SAW, akan tetapi Baginda SAW meminta supaya ia diselesaikan mengikut proses kehakiman di mahkamah yang disaksikan oleh orang ramai tanpa wujud gangguan. Maka berlangsung perbicaraan yang berkonsepkan pembahagian kuasa terhadap ketua negara yang paling tinggi kekuasaannya.

Proses perbicaraan itu berlangsung dengan disaksikan oleh khalayak ramai. Rasulullah SAW tidak menggunakan kedudukannya bagi memenangkan dirinya walaupun ia boleh dilakukan dengan mudah.

Sebenarnya terlalu banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam sejarah  Islam, telah membuktikan bahawa berlaku amalan pemisahan kuasa dalam kehakiman Islam. Khususnya apabila ketua negara atau khalifah sendiri dihadapkan ke mahkamah yang bebas tanpa sebarang gangguan oleh pihak yang berkuasa memerintah negara terhadap sistem kehakiman.

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA juga pernah dihadapkan di mahkamah kerana perselisihan dengan rakyat biasa daripada kalangan Badwi dan beliau kalah di mahkamah kerana hujah yang dikemukan oleh rakyat lebih kuat. Bahkan hakim yang mengendalikan perbicaraan iaitu Syuraih dinaikkan pangkatnya kerana keberaniannya dalam menegakkan keadilan.

Khalifah ‘Ali bin Abi Talib RA menuduh seorang Yahudi bukan Islam mencuri  baju besinya yang berharga pada zaman itu. Apabila anaknya sendiri dilantik menjadi saksi, maka hakim Syuraih al-Qadhi menolak tuduhannya itu. Peristiwa yang berakhir dengan Yahudi mengaku sebenarnya baju besi itu kepunyaan Khalifah, dan terus memeluk Islam kerana menyaksikan proses keadilan yang menjadi tanda kerasulan yang dibaca dalam Kitab Taurat.

Sultan Muhammad al-Fatih dijatuhkan hukuman qisas oleh hakim yang dilantiknya kerana memukul seorang rakyat bukan Islam. Beliau dihukum melakukan kesalahan, namun hakimnya tidak meletak jawatan dan tidak pula dipecat.

Konsep keadilan Islam menegakkan keadilan mutlak kepada semua,   kerana kedudukan pentadbir dan kehakiman dalam Islam bukan tertakluk di bawah undang-undang ciptaan manusia sahaja. Bahkan ia juga berkaitan dengan beriman kepada perintah Allah SWT dan adanya muhasabah selepas meninggal dunia dan pada Hari Akhirat.

Perkara ini disebutkan oleh al-Quran berulang kali dalam beberapa surah dan ayat-ayat. Antaranya firman Allah:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Ayat di atas menjelaskan bahawa semua perintah Allah SWT merupakan  amanah yang tidak boleh dijual beli dan diperalatkan oleh sesiapa.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum (mengadili) antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Antara perbuatan khianat itu ialah campur tangan dalam urusan kehakiman.

Sesungguhnya sifat adil pula dikaitkan dengan konsep iman dan taqwa, dan diwajibkan berlaku adil walaupun terhadap musuh. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah; dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Amalan kehakiman bukan sekadar berada dalam kepompong undang-undang dunia semata-mata, bahkan muhasabah tentangnya dipanjangkan sehingga Hari Akhirat iaitu selepas semua manusia meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW:

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: اثْنَانِ فِي النَّارِ، وَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ: رَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَلَمْ يَقْضِ بِهِ، وَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ لَمْ يَعْرِفِ الْحَقَّ، فَقَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ، فَهُوَ فِي النَّارِ.

“Hakim itu terdapat tiga kelompok. Dua kelompok akan dihumban ke dalam neraka dan manakala satu kelompok lagi akan dimasukkan ke dalam syurga. Hakim yang mengetahui kebenaran dan mengendalikan dengannya, maka dia akan ditempatkan di dalam syurga. Sedangkan hakim yang mengetahui kebenaran, lalu dirinya tidak berhukum dengan kebenaran itu, maka akan dihumban ke dalam neraka. Manakala hakim yang tidak mengetahui kebenaran (atau jahil), lalu dia menghukum dengan kejahilannya, maka dia juga akan dihumban ke dalam neraka.” (Riwayat Abu Dawud 3573 dan al-Tirmidhi 1322)

Maka hakim yang beriman itu berani kerana sifat iman dan benar dalam dirinya, sehingga tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa pun ketika menjalankan tugasnya. Begitu juga pihak-pihak lain diharamkan mengganggu proses kehakiman.

Konsep pembahagian kuasa bukan sahaja didorong oleh sistem pentadbiran dan undang-undang sesama manusia sekadar di alam dunia sahaja, bahkan diadili di bawah kekuasaan Allah yang Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat. Seterusnya ia dimasukkan dalam suratan amal yang dicatat oleh para malaikat dan semuanya akan dilaporkan pada Hari Kiamat mengikut tugas masing-masing.

Hari Kiamat iaitu hari yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah Yasin sebagaimana yang sering kali dibaca oleh umat Islam:

﴿الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini Kami materikan (tutup) mulut mereka; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Ayat ini menyatakan Islam menetapkan bahawa setiap individu yang berada di tempat masing-masing akan disoal ketika penghakiman pada Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

﴿أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى٣٨ وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى٣٩ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى٤٠ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَى٤١﴾

“Iaitu bahawa sesungguhnya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. (38); Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang telah diusahakannya. (39); Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). (40); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang paling sempurna. (41).” (Surah al-Najm: 38-41)

Sabda Rasulullah SAW:

“أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ…”

“Ketahuilah, bahawa setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab (dipersoalkan) atas apa yang dipimpinnya (di bawah tanggungjawabnya)…” (Riwayat al-Bukhari 7138 dan Muslim 1829)

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:  24 Jumadal Akhirah 1442 / 6 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 6/2/2021

Kisah Babi Industri di Pulau Pinang. Apa Kata Kerajaan DAP Negeri?

 

Ternakan babi di Pulau Pinang pada tahap industri

TASEK GELUGORTernakan babi di negeri ini telah mencapai tahap industri dengan sebahagian besar pengeluaran haiwan itu adalah untuk tujuan eksport berbanding menjadi keperluan makanan atau industri tempatan.

Pengerusi Badan Bertindak Pencemaran Sungai Kreh (BBPSK), Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim berkata, berada sebagai industri bermakna penternakan ini tentu sekali amat menguntungkan para pengusahanya.

Pun begitu menurut beliau, penternakan tersebut telah memberi kesan buruk yang menyebabkan pencemaran ke atas sumber air dan mengeluarkan bau busuk hingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

Namun kesalinya, impak terjadi ke atas alam sekitar dan kesejahteraan penduduk itu seperti diabaikan apabila tiada tindakan diambil atau penguatkuasaan undang-undang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Adakah disebabkan keuntungan besar dari industri penternakan babi ini, (maka) kerajaan negeri menutup mata dan telinga tanpa menghiraukan pencemaran yang semakin berleluasa,” persoal Ustaz Razib.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor mengupas isu bertajuk “Sungai Kreh: Bela Ikan atau Bela Babi?” anjuran Muslimat PAS Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurutnya, Sungai Kreh sepanjang 13 kilometer itu walaupun didakwa tercemar oleh pembuangan sisa kilang oleh pihak tertentu, tetapi BBPSK mendapati penyebab utama adalah kerana pelepasan najis babi.

Terang beliau, masalah yang sudah berlarutan lebih 40 tahun itu turut mengakibatkan pencemaran ke atas beberapa sungai lain dan memasuki kawasan kampung daripada lembangan sama dengan Sungai Kreh.

Antaranya Sungai Korok, Parit Kampung Selamat, Sungai Kreh Tasik, Sungai Kecil Pokok Machang, Parit Malakof, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Meriam Dalam serta tali air ladang kelapa sawit dan sawah padi sekitar.

“Berdasarkan maklumat pihak berkuasa, terdapat 77 lot bersamaan 136,000 ekor babi diternak di Kampung Selamat ini. Hasil tinjauan terbaharu kami saksikan proses pembersihan tinja babi dilepaskan terus ke parit dan mengalir ke dalam sungai tanpa tapisan,” ujarnya.

Maklum beliau, tinjauan tersebut dilakukan bersama lima NGO termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di kandang ternakan babi di Kampung Selamat, di sini hujung tahun lalu.

Malah isu ini juga telah mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man di mana wakil KASA turun padang melihat sendiri serta menerima memorandum daripada penduduk.

Kata Ustaz Razib, masalah pencemaran yang timbul bukan sahaja menyebabkan ketidakpuasan hati penduduk dalam kalangan komuniti Melayu, malah juga daripada kaum Cina dan India warga setempat.

Beliau juga kesal kerana selain bantahan penduduk seperti tidak diendahkan, malah tindakan juga tidak dikenakan ke atas penyebab masalah tersebut di mana penternakan berlaku tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan telah memutuskan sistem Penternakan Moden Babi (MPF) pada 17 September 2014, manakala DUN Pulau Pinang juga meluluskan Enakmen Penternakan Babi 2016.

Tetapi persoalnya, 13 lot ternakan babi di Kampung Selamat itu bukan sahaja tidak berlesen, malah 64 lot lainnya langsung tidak mengikut ketetapan MPF, apatah lagi untuk mematuhi pelepasan kumbahan ‘zero discharge’.

Sedangkan ujarnya, para peniaga di tepi jalan di negeri ini sering kali berdepan arahan penutupan atau sitaan yakni tindakan drastik, tetapi layanan sebaliknya terhadap masalah dilakukan dari industri ternakan babi.

Katanya, jika diambil tindakan, ia tidak berat di mana jika disabit dan didakwa mahkamah hanya dikenakan denda ringan seperti dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 82(5) kompaun RM250 hingga RM2,000.

“Jika dilihat, undang-undang terhadap kesalahan berkaitan tidak setimpal. Ini membuatkan pelanggaran berulang, seolah-olah pesalah tidak serik,” kesali beliau. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim:

Sebelum ini telah wujud.. Kisah Babi Hutan di Sungai Tuang. Jangan ikut pera... Kini kisah babi industri di Pulau Pinang pula. Apa kata kerajaan negeri Pulau Pinang? 

Prihatinkah kerajaan DAP terhadap rakyatnya, walaupun bangsa bumiputera? Mana 'sistem Penternakan Moden Babi' yang bersih melambangkan kemajuan negeri itu? Mahu digelar kerajaan busuk babi?

Ingat, bangsa bumiputera juga yang menaikkan mereka sebagai pimpinan negeri..

Tommy Thomas seleweng fakta kes arwah Adib. -MACSA &PPMM

 


GABUNGAN Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memandang penularan penulisan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berkenaan dengan rentetan insiden yang mengakibatkan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai sesuatu yang menyeleweng dan terpesong daripada fakta sebenar yang telah diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019.

Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ telah mengatakan, antara lain, kononnya:

(i) Kecederaan Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan Bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib. Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit (‘pinned down’). Maka ia tidak disengajakan.

(ii) Dapatan koroner Rofiah Mohamad adalah luar biasa kerana polis telah memaklumkan Tommy Thomas bahawa kemungkinan berlaku perbuatan khianat telah diketepikan sebagai penyebab kematian Muhammad Adib.

(iii) Beliau juga merasa terkejut apabila mengetahui bahawa peguam Syazlin Mansor juga mewakili keluarga Muhammad Adib untuk siasatan mengenai kematiannya. Sedangkan Syazlin juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Oleh itu, dia menghubungi Menterinya Zuraida Kamaruddin untuk meminta agar pelantikan Syazlin sebagai wakil dibatalkan.

Sedangkan fakta dan realiti sebenar seperti yang telah diperakui dalam dapatan Mahkamah Koroner Shah Alam, termasuklah:

(1) Muhammad Adib berasa di dalam kenderaan van bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di belakang jentera pemadam api;

(2) Daripada keterangan dan bukti rakaman video, Muhammad Adib berada di dalam van bomba semasa van ini dan jentera pemadam api diserang oleh perusuh;

(3) Van ini sedang dalam keadaan mengundur dan Muhammad Adib yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah membantu pemandu van dengan melihat ke cermin sisi. Pada ketika inilah Muhammad Adib telah ditarik ke luar van oleh perusuh;

(4) Pada masa Muhammad Adib ditarik keluar, lebih daripada seorang perusuh telah menendang kuat ke arah pintu van sehingga menyebabkan tulang rusuk Muhammad Adib rosak;

(5) Perusuh kemudian mencampakkan Muhammad Adib ke arah belakang van yang sedang mengundur, yakni tepi pintu penumpang sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah di beberapa tempat;

(6) Sehari atau dua sebelum kematian Muhammad Adib, beliau mampu bercakap dengan baik dan telah mengaku kepada petugas di unit rawatan rapi yang menjaganya bahawa beliau telah ditarik keluar dan dibelasah. Perkara yang serupa turut dimaklumkan kepada ketua balai tempat Muhammad Adib bertugas semasa beliau melawat Muhammad Adib pada hari tersebut. Tiada sebab kenapa arwah Adib hendak menipu.

Selain itu, Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara juga maklum mengenai pelantikan Syazlin sejak hari pertama pelantikan lagi. Beliau tidak mengambil sebarang tindakan sehinggalah tindakan Syazlin bertentangan dengan pendirian Tan Sri Tommy Thomas semasa inkues.

Penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku autobiografinya itu memberikan impak yang sangat menyeleweng kerana membenarkan kepalsuan berleluasa tanpa menghargai pengorbanan nyawa oleh seorang adiwira negara. 

MACSA dan PPMM khuatir, kegagalan Tan Sri Tommy Thomas untuk memetik fakta sebenar akan merendah-rendahkan nilai dan harga nyawa barisan hadapan negara yang bermatian demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Malah, rentetan peristiwa yang mengakibatkan kematian Muhammad Adib adalah sejarah hitam dalam keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia. 

Realitinya, Muhammad Adib terkorban ketika menjalan tugas sebagai ahli Unit EMRS, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden rusuhan kaum di Kuil Sri Mariamman. Kematian beliau terpalit dengan isu perkauman apabila ada pihak yang menutup dan memesongkan fakta sebenar sehingga timbul keperluan untuk mengadakan inkuiri menyiasat punca kematiannya. Proses ini yang berjalan dengan penuh tertib akan menjadi tidak bernilai jika Tan Sri Tommy Thomas dibenarkan untuk terus mengeluarkan kenyataan menyeleweng dalam memoirnya. 

Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara sepatutnya mengetahui maklumat dari pihak polis tidak konklusif berbanding dengan penemuan fakta oleh koroner yang telah melalui proses undang-undang dan dibuktikan. Adalah tidak munasabah dan tepat beliau bergantung semata-mata ke atas maklumat polis.

MACSA dan PPMM dengan itu menjemput semua pihak, termasuklah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menghormati bukan saja keputusan inkuiri yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner tetapi lebih utama lagi, pengorbanan nyawa seorang anak muda yang sehingga kini masih belum terbela.

MACSA dan PPMM juga mendesak kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib. Di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat. Menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk memastikan hak ini terpelihara dan jika wujud pelanggaran kepada hak ini, pihak yang melanggar hak ini harus dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa.

LUKMAN SHERIFF ALIAS
PROF MADYA DR RAFIDAH HANIM MOKHTAR
Pengerusi Bersama Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA)

DATO’ ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) – HARAKAHDAILY 5/2/2021

Syabas Dr Kamarul Zaman. Bongkar Hukuman LITTLE Bawah Dr M &DAESH Kini.

 

Penyokong DAESH dihukum, penyokong LTTE dilepas

SAYU rasa di hati bila membaca berita mengenai bagaimana seorang lelaki bernama Nahzatulazran A Rahman dijatuhkan:

(1) Hukuman penjara 10 tahun di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas DAESH dengan cara mengedar bendera dan kain kepada beberapa individu.

(2) Hukuman penjara 3 tahun di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas DAESH dengan cara memiliki bendera, papan, bingkai gambar, gambar dan video.

(3) Hukuman penjara 3 tahun di bawah Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan kerana mengedar item berkaitan kumpulan pengganas DAESH dengan cara mengedar bendera dan kain kepada beberapa individu.

Segera saya teringat kepada kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman waktu itu, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengenai tangkapan pada 10 Oktober 2019 ke atas ADUN N.24 Seremban Jaya merangkap Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB Gunasekaren Palasamy, dan ADUN N.7 Gadek merangkap Setiausaha Organisasi DAP Melaka dan Ketua DAPSY Melaka, YB Saminathan Ganesan, kerana menghadiri program Hari Perwira LTTE di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka, menyampaikan ucapan yang menyokong LTTE dan mengedar item-item yang berkaitan dengan LTTE di dalam program tersebut.

Pada 29 Oktober 2019, YB Saminathan pun didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dan didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE manakala YB Gunasekaren pula didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Begitupun, hasil daripada arahan untuk tidak meneruskan prosiding yang dikeluarkan oleh Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Tommy Thomas, yang mendapat dukungan daripada Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir, yang menyebut secara rasmi ‘tidak ada sebab kita teruskan label LTTE sebagai terrorist’, walaupun Menteri Dalam Negeri waktu itu, Tan Sri Muhyiddin, tegas mengumumkan pada 22 Februari 2020 bahawa beliau ‘mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas’ dan bahawa ‘Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri’, maka:

(1) YB Gunasekaren pun dilepas dan dibebaskan pada 24 Februari 2020.
(2) YB Saminathan pula dilepas dan dibebaskan pada 25 Februari 2020.

Kedua-dua kes adalah sama, melibatkan pemberian sokongan kepada kumpulan pengganas dan/atau pemilikan item berkaitan kumpulan pengganas, satu kepada DAESH dan satu lagi kepada LTTE, malah pemberian sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE boleh dianggap sebagai jauh lebih serius kerana ia turut melibatkan ucapan dan bukan sekadar pengedaran item sahaja seperti di dalam pemberian sokongan kepada kumpulan pengganas DAESH.

Malangnya mengapa Nahzatulazran dijatuhkan hukuman penjara tetapi YB Gunasekaren dan YB Saminathan dilepas dan dibebaskan begitu sahaja?

Apakah yang menyebabkan layanan berbeza boleh diberikan kepada Nahzatulazran berbanding layanan kepada YB Gunasekaren dan YB Saminathan? Di manakah keadilan?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 6/2/2021


Lihat sebelum ini.. 

Cipta Peluang Kerja &Niaga Begini Di Tempat Anda, Mampukah?

 

Riduan (kiri) dan Mohd Redhauddin (kanan)

Jual roti RM1 sepanjang PKP

PUTATAN: Seorang peniaga roti menjual pelbagai roti dengan harga RM1 sejak November tahun lalu.

Ridzuan Jamal, 28, yang memiliki pekerjaan tetap sebagai Penyelia Kanan Jurutera Mekanikal dan Elektrik di sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan roti secara serius.

"Asalnya perniagaan roti ini dimulakan bapa saudara ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu di sekitar daerah Papar.

"Cara pemasarannya tetap sama menjual roti secara bergerak dari satu lokasi ke satu tempat yang lain tetapi bezanya beliau menjual roti dengan harga RM2.

"Beliau sering mengadu perusahaan roti diusahakannya kurang mendapat sambutan dan kebetulan sudah berhenti kerja, saya terus membantu bapa saudara dari segi penjenamaan dan pemasaran," katanya.

Riduan berkata, antara roti RM1 yang dijual termasuk roti tausa, golok, bilis, tuna, sosej dan chicken floss.

"Keadaan ekonomi yang tidak menentu berikutan penularan wabak COVID-19 ketika ini juga akan membuat pelanggan atau pembeli mahu sesuatu barangan terutama makanan dijual pada harga mampu milik serta berkualiti.

"Kami mahu berniaga mencari sumber pendapatan dan pada masa sama tidak mahu ada pihak sampai tahap tiada kemampuan membeli makanan disebabkan harga pasaran yang mahal," katanya kini mampu menjual lebih 3,000 biji roti setiap hari.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan roti RM1 diusahakan, Riduan berkata, dia juga sudah mewujudkan beberapa pasukan untuk membantunya memasarkan semua roti mengikut lokasi berikutan sambutan luar biasa dalam kalangan pelanggan.

Riduan berkata, semua yang membantu memasarkan roti RM1 itu terdiri daripada rakan-rakan yang turut terjejas sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, rakannya, Mohd Redhauddin Ahmad, 26, berkata dia mula mengikuti Riduan berniaga roti terbabit sejak dua minggu lalu dan mampu meraih purata pendapatan sekitar RM100 sehari.

Mohd Redhauddin berkata, dia turut menjual roti itu kerana hilang sumber pendapatan sebagai seorang pemuzik sejak tahun lalu.(BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ya, khususnya untuk remaja. Apabila berazam, berusahalah, belajar, cari lokasi dan bertawakkal kepada Allah SWT. 

Insya Allah kita bersambung kepada peluang-peluang yang lain pula.

Palestin: ICC takut Israel/AS? Macam lantik peguam zaman PH 22 bulan?

 

ICC buka laluan siasatan jenayah perang di wilayah Palestin ditakluki Israel

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam memutuskan bahawa ia memiliki bidang kuasa ke atas situasi di wilayah Palestin yang ditakluk, sekali gus membuka laluan untuk tribunal itu membuka siasatan jenayah peperangan.

Sebelum ini pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda, memohon pendapat undang-undang daripada mahkamah itu sama ada bidang kuasanya menjangkau kawasan ditakluki Israel, selepas mengumumkan pada Disember lalu bahawa beliau mahu memulakan satu siasatan penuh.

Susulan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengecam ICC dengan mendakwa ia adalah 'badan politik'.

Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan 'kebimbangan serius' terhadap keputusan terbabit, manakala Palestin menyifatkannya sebagai 'kemenangan untuk keadilan'.

Menurut ICC dalam satu kenyataan, barisan hakim 'memutuskan dengan majoriti bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin meluas hingga ke wilayah ditakluki Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.'

Palestin adalah negara anggota mahkamah itu selepas menyertainya pada 2015, namun Israel bukan ahli.

Menurut mahkamah itu lagi, ia bukan satu keputusan atas 'kenegaraan' Palestin tetapi berikutan kedudukannya sebagai negara anggota bawah Statut Rome yang mendasari ICC.

"Kamar ini bukan memberi keputusan atas satu pertikaian sempadan bawah undang-undang antarabangsa, serta bukan melakukan pra-pengadilan terhadap persoalan mengenai sebarang persempadanan pada masa depan," katanya.

Disember lalu, Bensouda menggesa supaya siasatan penuh dilakukan berhubung isu berkenaan selepas siasatan awal dijalankan selama lima tahun.

Pejabat beliau memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan kejelasan kehakiman itu dan akan menentukan tindakan seterusnya dengan berlandaskan mandat bebas serta tidak memihak. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim

ICC, mahkamah jenayah antarabangsa kononnya, dalam satu kenyataan, barisan hakim telah menyimpulkan:

(i) 'memutuskan dengan majoriti bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin meluas hingga ke wilayah ditakluki Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.'

(ii) Palestin adalah negara anggota mahkamah itu selepas menyertainya pada 2015, namun Israel bukan ahli.

Tetapi ICC tak boleh buat apa-apa. Takut dengan Israel dan AS? 

Nak jadi macam Malaysia semasa  pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pegang 22 bulan?

Sekian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails