Saturday, April 12, 2008

Kisah Pengemis Jalanan & Pencopet Profesional..



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

“SAYA kenal mereka ini…” Kata pemilik Hotel Adamson Ir Hj Zamani Adam, semasa kami sedang minum-minum di perkarangan hotel tersebut, bawah khemah kantinnya.

Mereka adalah seorang wanita separuh umur berkaca mata hitam (difahamkan seorang yang buta) bertongkat, dipimpim oleh seorang lelaki tidak buta sedang mengunjungi pengunjung-pengunjung kantin tersebut, perlahan-lahan dan jalan berhati-hati, meminta derma dari meja ke meja.

“Ada orang nampak, bila sampai di tempat gelap, tiba-tiba yang buta itu boleh berjalan laju meninggalkan yang celek. Mereka berkejar-kejar menuju kepada sebuah kereta yang sedang menunggu, untuk membawa mereka mengutip derma ke tempat lain pula.” Sambung Ir Hj Zamani lagi.

“Itu pula…” Dia menunjuk kepada beberapa pemuda berkupiah putih pakaian Afghanistan sedang makan-makan capati, “Mereka juga kutip derma, konon untuk jihad di Afghanistan, dengan menunjukkan pelbagai surat pengesahan. Kalau diberi derma seringgit dua, dia macam tak layan. Kadang-kadang mereka datang tukar wang hasil kutipan antara RM300 ke RM400 sehari. Naik kapal terbang pergi-balik ke negeri mereka hampir tiap bulan.”

“Ha! Hebat sungguh Malaysia ni. Peminta sedeqah pun boleh balik negeri naik kapal terbang setiap bulan!!” Seorang kawan saya meningkah.

“Bagaimana dengan orang Islam Thai minta derma untuk pembinaan masjid dan sekolah-sekolah agama mereka di sana? Ada nama, alamat, nombor telefon dan gambar bangunannya di sana? Betul ke?” Ada lagi yang bertanya.

Masing-masing diam, tak jawab.

“Bukan itu saja, bahkan sami-sami luar negara ada yang datang kutip derma di sini untuk kuil-kuil mereka, kadang-kadang menghadiahkan kalungan patung kecil kepada penderma-penderma!” Kata yang lain pula.

“Ada lagi yang lebih menarik. Beberapa tahun lalu, ada seorang pemuda yang tiada kerja...” Kata saya. “Pagi-pagi dia keluar dari rumahnya berpakaian seperti orang kerja pejabat. Kerjanya bergayut di pondok telefon awam, pura-pura telefon. Bila ada orang lalu lalang dekatnya, dia minta wang kecil kerana tiada tukaran, kononnya. Sesudah beberapa jam, dia pindah bergayut di pondok telefon lain pula kerana bimbang dikenali. Begitulah dilakukannya hingga petang.. dia dapat kira-kira RM10 ke RM20 sehari untuk belanja. Dia tidak mencuri, tetapi dia minta. Itulah kerjanya hari-hari. Salahkah??”

“Dia tidak mencuri tetapi menipu, lebih kurang macam pengemis buta tadi.”
Saya bercerita lagi, “Ada lagi, kisah seorang pencopet antarabangsa. Dia tinggal di Malaysia Timur. Dia keluar pagi-pagi berpakaian kemas bagaikan ahli perniagaan, naik pesawat ke KLIA Malaysia Barat, atau ke Singapura dan petang pulang ke rumahnya di Malaysia Timur. Hidupnya nampak agak mewah, hari-hari naik kapal terbang. Jiran dan kawan-kawan kagum dengan bisnes dan ke’profesional’an kononnya. Apa bisnesnya dan profesionnya?

Akhirnya baru diketahui, apabila keluar berita di akhbar dia ditangkap kerana menjadi penyeluk saku di dalam bilik air Airport Antarabangsa KLIA (beberapa tahun lalu). Sesampai di dalam kawasan lapangan terbang dia menukar pakaian dan menyamar sebagai pencuci bilik air. Di situlah dia mencopet beg duit ramai mangsa yang sedang buang air. Untuk mengesan hingga tertangkapnya juga memakan masa lama, kerana dia sering bertukar-tukar operasi di beberapa lapangan terbang antarabangsa.”

Inilah catatan santai saya kali ini, mengenai corat-corit manusia di KL dan sekitarnya… . yang boleh diambil iktibar oleh kita dan kerajaan dalam menanganinya dengan baik, adil, sesuai dengan kemanusiaan dan agama Islam itu sendiri. Umpamanya dalam menangani masalah pengemis tadi. Sekian.

Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 12-04-08. KL.


.

Wednesday, April 09, 2008

Bila Belakang Mati Akan Dibangunkan? Dr Mohd Hasyim



BY MEGAT ALI MEGAT ALANG


CHOW KIT Road: April. Pihak DBKL perlu jelaskan segera bila projek membangunkan Lorong Haji Taib di Jalan Haji Taib atau Belakang Mati akan dilaksanakan seperti jaminan yang diberikan Ketua Pengarah DBKL, pada Januari lepas. Demikian dinyatakan oleh Dr Mohd Hasyim selaku Presiden Group Universiti Ulu Klang, dalam pertemuan ringkas semasa lawatan kesatuan tersebut di Belakang Mati malam tadi.

Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup pada masa itu memberitahu (Utusan Malaysia 26-01-08), DBKL berasa terkilan kerana kegiatan maksiat di Jalan Haji Taib bertambah kronik sehinggakan berleluasa di siang hari (biasanya dilakukan pada waktu malam sahaja). Dengan itu beliau memberi jaminan, imej di Jalan Haji Taib yang sinonim dengan sarang maksiat akan dibersihkan dan berharap orang ramai dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Sebelum itu menurut sejarawan Profesor Datuk Dr Ramlah Adam (Utusan Malaysia 17.01.08), kegiatan yang berlaku di jalan tersebut nyata tidak bersesuaian dengan kesohoran nama Haji Muhamed Taib sendiri. Menurut Profesor Madya Dr Kamarulzaman Yusuf dari UKM (Utusan Malaysia 17.01.08), nama baik Haji Taib seharusnya dipelihara dengan menukar kawasan itu kepada kegiatan yang berkonsep kekeluargaan.

Dr Kamarulzaman mencadangkan semua pihak berusaha sedaya mungkin menjaga nama baik Jalan Haji Taib, agar masyarakat tahu bahawa tokoh itu adalah membawa banyak kejayaan kepada orang Melayu di Kuala Lumpur. Katanya lagi, hanya pihak berkuasa yang mampu mengubah keadaan itu dan apa yang perlu kini ialah ketegasan dalam menjayakan usaha itu.

Dalam menyambut pelawaan pihak DBKL, “PAS Wilayah sedia beri kerjasama dengan pihak DBKL demi ‘suruh yang baik dan mencegah mungkar’ seperti yang diperintahkan Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Kami sentiasa mengalu-alukan! Apalagi bila ibupejabat PAS sekarang berada di Jalan Raja Laut berhampiran kawasan ini. Tanggungjawab itupun adalah tanggungjawab kami.” Kata Cekgu Ishak Surin seorang pemimpin PAS Wilayah”

Menurut Cikgu Ishak lagi, sekarangpun PAS beri makanan percuma kepada fakir miskin tak kira bangsa dan agama tiap hari Jumaat petang di situ. Pejabat PAS pun sentiasa terbuka bagi orang-orang Islam yang nak tumpang sembahyang atau mendengar kuliah zohor yang sering diadakan.

Menurut Presiden FBI (Forum Blogers Independent ), Saudara Tarmizi Mat Jam, “Pertemuan MP-MP Wilayah Persekutuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini mungkin tidak menampakkan kaitan dengan perlaksanaan pembangunan tersebut. Saya cadangkan pihak-pihak tertentu perlu wujudkan surau, buka kelas-kelas agama dan adakan kegiatan-kegiatan sosial yang sihat. PAS juga perlu beri kerjasama dengan menerbitkan risalah-risalah dakwah dan tubuhkan cawangan… buat kebajikan untuk semua!”

Monday, April 07, 2008

PAS Akan Hancur Jika Lari Landasan.. Dr Mohd Hasyim




BY MEGAT ALI MEGAT ALANG


UK Perdana: 7 April. PAS akan hancur jika lari dari dasar perjuangan Islam, kerana perjuangan PAS adalah lanjutan dari perjuangan para rasul dan nabi-nabi. Bermula dari Adam AS, hingga ke Nabi terakhir Muhammad SAW. Disambung oleh khalifah-khalifah Ar-Rasyidin Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Khalifah-khalifah Bani Umayah, Bani Abasiah dan yang terakhir sekali kerajaan Uthmaniah di Turki. Maka ulama-ulama pewaris para Nabi memegang amanah dan meneruskan perjuangan tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Dr Mohd Hasyim selaku Presiden Grop Universiti Hulu Klang, dalam pertemuan ringkas selepas majlis dialog bersama-sama ahli group tersebut malam tadi. Menurut beliau lagi, perjuangan PAS yang bertolak dari kalimat ‘La Ilaha Illallah’ secara seluruhannya berdasarkan kepada Al-Qur’an, As-sunnah dan tokoh-tokoh Khulafa Ar-Rasyidin. Di situ titik-titik pertemuan dalam perjuangan antara PAS dengan gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia.

“PAS adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan pada Ogos 1951 diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 adalah bertujuan atau bermatlamat perjuangannya ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.” Demikan ujar Dr Mohd yang juga seorang penulis dan penganalisis politik.


Menurut beliau lagi, “Apalagi bila kita melihat kepada kepada ‘janji Allah’ pada firman-firman dalam Al-Qur’an...

- ‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’ Surah Al-Mujadalah ayat 22.
- ‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.
- ‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.
- ‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.’ At-taubah ayat 32 & 33.

Maka jika PAS lari dari pejuangan Islam, sudah pasti PAS akan hancur. PAS telah memilih pendekatan kebangsaan (bukan asabiah) dan kemerdekaan di peringkat awal tahun 50an. Pendekatan Kepimpinan Ulama dan negara Islam awal 80an hingga akhir 90an. Kini Negara Kebajikan... Namun dasarnya tetap Islam.

Mengulas tentang kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan supaya Karpal Singh tokoh DAP yang sering pertikaikan perlaksanaan Islam di negara ini supaya melawat Kelantan adalah sesuatu yang wajar. “Karpal dan DAP sepatutnya lebih berhati-hati bila membuat kenyataan demi kesetia-kawanan Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama.” Tegas beliau yang juga seorang ahli PAS.

Sunday, April 06, 2008

Sejarah PAS 12: Pembunuhan Pertama Mencabar ...


Abdul Samad Gul Ahmad (gambar atas & bawah)

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 12


MENURUT Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, “Pernah Dr Burhanuddin menasihatkan saya dan rakan-rakan yang lain seperti Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Abdul Wahab Nor dan Ibrahim Hassan yang telah menjadi ahli PAS supaya tabah hati, sabar dan tegas dalam mengembangkan PAS serta mencapai cita-citanya untuk memperjuangkan negara Islam di tanahair kita sebagai sambungan perjuangan Hizbul Muslimin.”

Persahabatan mereka sangat karib, terutamanya kerana Dr Burhanuddin sering ke Semanggul melihat anaknya yang pada masa itu dalam peliharaan Ibrahim Hassan… Menyebabkan akhirnya beliau setuju sertai PAS, melalui PAS Johor Bahru. Borangnya dikirim dari Gunung Semanggul kira-kira 3 bulan sebelum Muktamar Agung Tahunan PAS ke 5 tahun 1956 di Kuala Lumpur. Dalam muktamar itu beliau dicalonkan oleh PAS cawangan Gunung Semanggul sebagay Yang Dipertua Agung parti tersebut.

Ustaz Zulkifli Muhammad pula dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua. Tetapi, menurut kenyataan dalam suratnya dari Kolej Islam Malaya, Klang, pada 21 Januari 1957 kepada Pengarang Utusan Melayu dan Warta Negara, ianya berbunyi…

“Berkenaan dengan pencalonan dan pemilihan saya sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Islam Se Malaya baru-baru ini, maka dukacita dimaklumkan bahawa saya tiada dapat menerima jawatan itu kerana kedudukan saya sebagai seorang kakitangan College Islam Malaya. Keputusan saya ini diambil kerana memandang kepada maslahat college dan menurut keputusan-keputusan Majlis College Islam yang tidak membenarkan anggotanya mengambil bahagian yang cergas di dalam politik.”

Walaupun begitu, regu Dr Burhanuddin-Zukifli terus mengambil-alih tugas tersebut dengan mengemaskinikan pentadbiran Pejabat Agung. Langkah pertamanya melantik Encik Abdullah Zawawi Hamzah sebagai Setiausaha Agung. Abdullah Zawawi berasal dari Kuala Kangsar, sekampung dengan Ustaz Zulkifli. Beliau yang berkebolehan bahasa Arab, Inggeris dan agama adalah bekas Setiausaha PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya) dari Singapura, juga seorang wartawan.

Beliau ditugaskan untuk menyusun gerakan penerangan dan perhebatkan ke seluruh pelusuk tanah air. Di Kelantan pula selepas tahun 1955, perkembangan PAS membuka lambaran baru dengan kepulangan Mohd Asri. Mohd Asri diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu.

Ketokohan Mohd Asri dikatakan boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme hingga berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. Kesannya PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung

Saudara Amaluddin Darus dengan regunya Mohd Asri hanya berehat cuma seminggu sahaja selepas kekalahan 1955, mereka terus menggerakkan jentera penerangan, ceramah dan rapat-rapat umum. Di mulai dengan kawasan yang dipertandingkan hingga ke seluruh negeri tiada henti-hentinya. Inilah antara sebab-sebab kemenangan PAS dalam pilihanraya 1959 merebut 28 dari 30 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan.

Di akhir tahun 1958, Amaluddin Darus dipanggil ke Kuala Lumpur memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat, bagi menggiatkan penerangan mengelilingi tanah air. Di samping itu beliau menjawat jawatan Penolong Pengarang suara rasmi PAS iaitu Suara Islam. Regu-regu tersebut bercantum di peringkat Pusat. Dalam pilihan raya 1959 tersebut, PAS berjaya menggema suaranya dengan lantang di parlimen Malaya apabila mampu merebut 13 dari 104 kerusi parlimen.

Antara isu-isu yang diperjuangkan ialah:
1. Masalah rupa bangsa atau nationality bagi Malaya yang masih belum ditetapkan.
2. Islam sebagai agama rasmi yang amat terbatas kuasanya (PAS hendakkan yang lebih menyeluruh).
3. Gagasan Maphilindo (Malaya, Philipina dan Indonesia).
4. Kewujudan Malaysia.
5. Kemasukan Singapura dalam Malaysia.

Semuanya menjadikan PAS sebagai pembangkang yang mendapat perhatian hebat dari rakyat. Antara wakil-wakil PAS ialah:

1. Ustaz Zulkifli Muhammad.
2. Haji Hasan Adli.
3. Haji Ahmad Abdullah Perai.
4. Abdul Samad Gul Ahmad.
5. Haji Othman Abdullah.
6. Datuk Raja Mohd Hanifah.
7. Dan lain-lain.

Ini menyebabkan ramai umat Islam, terutamanya bekas ahli PKMM menyertai PAS, yang akhirnya menyebabkan PAS disabotaj dengan tragedi pembunuhan ke atas Ketua Pemuda PAS waktu itu, iaitu YB Abdul Samad Gol. Ketua Pemuda sebelum itu ialah Abu Bakar Hamzah, Haji Hasan Adli dan Haji Othman Abdullah. Ada pendapat yang menyebutkan Ketua Pemuda PAS pertama ialah Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah, ayah kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5. Masa itu Ahmad Badawi yang juga ahli jawatankuasa penaja penubuhan PAS telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Ketua Pemuda pertama (Sila lihat tambahan I di bawah).

Inilah pembunuhan pertama berlaku dalam sejarah perjuangan PAS yang melibatkan Ketua Pemudanya. Menurut cerita-cerita yang saya (penulis buku ini) kutip, Allahyarham dikapak di lehernya dengan kapak siam (kapak kecik) semasa hendak memasuki kereta di depan orang ramai selepas berceramah malam hari. Gambarnya dengan darah membahasahi baju diiringi beberapa pengiring PAS ada dipamerkan di Majlis Sambutan Perayaan 40 tahun PAS, di Muassasah Darul Ulum Kedah, pada 20 September 1991. Tapi saya sendiripun belum melihatnya.

Menurut Ustaz Uthman Hamzah lagi…

“… yang dipercayai satu pembunuhan politik yang dirancang begitu rapi hingga tidak dapat dikesan pembunuhannya oleh pihak yang berkuasa.”

Apakah ini boleh dikatakan satu perubahan di era kebangkitan PAS peringkat kedua ini? Ataukah ‘pembunuhan’ ini satu evolusi atau revolusi yang mula tercetus dan menyerlah, tetapi cuba disekat dan diempang?? Walau apapun yang terjadi namun regu Burhanuddun-Zukifli sudah mula menampakkan kekuatannya dan mula tercabar.

Seperti kata Ustaz Uthman Hamzah lagi…

“Jika ini hendak dikatakan suatu perubahan yang dibanggakan oleh PAS dalam dekad-dekad pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy, memanglah suatu pencapaian dan kejayaan beliau berserta Timbalannya Ustaz Zulkifli Muhammad, yang masing-masing berkelayakan mewarisi kepimpinan Islam, yang menghargai rakyat biasa, orang-orang kampung dan menghormati orang-orang atasan, yang sentiasa tegas dengan dasar atau konsep perjuangan mereka sebagai pemimpin harakah Islam.”

Tambahan I:

Kerana Ini... Pak Lah Jadi Anak Derhaka.
Posted on Tuesday, March 04 @ 01:08:11 MYT by greenboc. Oleh ibnuhasyim (Siaran dalam Tranungkite Net)

AYAH Pak Lah Haji Ahmad Badawi Abdullah adalah antara penaja penubuhan PAS pada tahun 1951. Salah satu sebab penubuhan tersebut ialah sebagai protes kepada UMNO yang pada waktu itu membenarkan judi dan loteri. Yang jelas Tuan Haji Ahmad Fuad, Haji Abdullah Fahim (dari Seberang Prai) dan Haji Fathullah Suhaimi (dari Singapura) telah bangun menentang dengan sekeras-kerasnya hal tersebut. Merekalah antara pengasas-pengasas penubuhan PAS.

Rupanya, begitulah UMNO dahulu, sekarang dan selamanya, tetap tidak berubah dengan dasar perjuangan kebangsaannya. Apabila anaknya, Pak Lah Ahmad Badawi memimpin UMNO, industri judi dan arak terus subur membangun bersama Islam Hadhari ciptaannya. Dalam Islam Hadhari minyak dan air rupanya boleh dicampurkan. Cuba anda bayangkan jika Syurga dan Neraka pun dicampurkan... Itulah simboliknya.

Sebenarnya, Perdana Menteri Pak Lah Badawi tidak lepas dari tanggungjawab meluluskan lesen kepada syarikat-syarikat arak dan judi ini... Antaranya:

Nama Syarikat & Jenis Perniagaan:

1. Genting Bhd : Kasino.
2. Resort World : Hiburan & Judi.
3. Magnum Corp. : Loteri.
4. Metroplex Bhd : Subic Bay Casino judi atas kapal.
5. Laisure man : Nombor ekor.
6. Lumba Kuda : Nombor ramalan.
7. Berjaya Sport Toto : Empat nombor ekor.
8. Guiness Anchor Bhd : Minuman keras.
9. Tanjong Public Limited Co : Nombor ramalan.
10. Carlsberg Brewery Bhd : Arak.

Kajian badan bebas Amerika Syarikat, National Gambleng Impact Study Commision mengenai kesan negatif industri perjudian merumuskan:

1. Ada kaitan antara judi dengan penagihan dadah.
2. Pertambahan penceraian, 5 kali ganda dari biasa.
3. Pertambahan potensi dalam kes-kes jenayah.
4. Pertambahan hutang peribadi yang besar.
5. Merosakkan hubungan antara kawan dan keluarga.
6. Pertambahan kes bunuh diri.

Hasil pendapatan kerajaan dari beberapa industri arak dan judi adalah melalui cara berikut:

1. Cukai korporat sebanyak 28%.
2. Cukai perkhidmatan sebanyak 5%.
3. Perlesenan.
4. Melalui syer.

Kementerian Kewangan memaklumkan pada 2005, kerajaan Malaysia memungut RM924 juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat judi. Manakala jumlah wang yang dibayar firma judi kepada mereka yang menang bertaruh adalah RM4.8 bilion. Menurut Mufti Perak Dato’ Harussani Zakaria tahun lalu, mendedahkan di mana orang Melayu membelanjakan RM 4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi. Sejumlah 75% yang tikam ekor adalah orang Melayu.

Oleh itu, Pak Lah bukan sahaja derhaka kepada perjuangan Islam ayahandanya bahkan juga derhaka kepada Allah SWT, seperti firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90..

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, undi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar anda dapat untung.”

Sebenarnya kita semua akan beruntung jika tiada industri judi dan arak. Untung yang paling besar ialah kita tidak menjadi penderhaka kepada Allah SWT, bukan macam Pak Lah dan kuncu-kuncu sekandang dengannya. Nak tahu bagaimana Pak Lah derahaka kepada ayahnya mengenai aurat wanita, sila lihat tulisan dalam blog saya Disember 2007 ‘Hari Raya: Saya Cabar Pak Lah, Apa Alasan Biarkan Isteri Tak Tutup Aurat??’.

Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallhu aklam. Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 03-03-08. KL


Ulasan GB (greenboc) Tranungkite Online sekadar untuk makluman dan rekod:


Golongan agama di dalam UMNO telah bertindak keluar sehingga lahirnya PAS pada tahun 1951 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Di antara jawatankuasa penaja Parti Islam SeMalayia adalah:
Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota (ayahanda PM Abdullah Badawi)
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
dan dua tiga orang ulama lain yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.

* Datuk kepada Dato Seri Abdullah, Haji Abdullah Fahim adalah calon Presiden PAS yang pertama? Beliau dicalonkan bertanding dengan Haji Ahmad Fuad. Ditakdirkan beliau tewas. Dan beliau menjadi pengasas pula kepada Dewan Ulama PAS. Haji Ahmad Badawi pula terpilih menjadi ahli jawatankuasa agung dan ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Alangkah deritanya roh datuk dan ayah Abdullah Ahmad Badawi yang mengetahui cucu / anaknya kini menjadi Presiden sebuah Parti yang ditentang oleh mereka yang meneruskan ciri-ciri kemungkaran yang yang kini menjadi penentang kepada Parti Islam SeMalaysia yang datuk dan ayahnya telah asaskan.

Sejarah PAS 11: Muktamar ke 5 Yang Menarik..


Senikata Asal Lagu Rasmi PAS digubah oleh Allahyarham Abdullah Bukhari

Gambar atas: Abdullah Bukhari (bercemin mata) dan Dato` Mohd. Asri

Allahyarham Abdullah Bukhari adalah penggubah lagu PAS (mantan conductor orkestra Tala Wijaya) dan senikatanya pula disusun oleh Allahyarham Dato` Mohd.Asri bi Hj.Muda (mantan MB Kelantan) untuk dikumandangkan dalam Mesyuarat Agung PAS ke-5 di Kuala Lumpur. Senikata asalnya diubah sedikit mengikut perkembangan semasa, iaitu 'Selamatlah Persatuan Islam Melangkah' ditukarkan kepada 'Selamatlah Parti Islam Melangkah'


IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 11

BANYAK yang menarik dalam Muktamar Agung PAS ke 5 ini. Muktamar telah menerima sebuah lagu dari cawangan Kota Bharu, dijadikan lagu rasmi PAS. Lagi digubah oleh Abdullah Bukhari yang terkenal di Kota Bharu dan senikata disusun oleh Muhammad Asri. Muktamar telah menerima lagu tersebut. Senikatanya ialah…

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau kalah atau capai kemenangan.

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau rebah atau tegak kejayaan.

Berjuanglah wahai ansharullah
Dengan semangat yang tak kenal kalah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan.

Bergerak ke gerbang jaya
Agar bebas dan kekal merdeka
Beramallah wahai roh yang suci
Hingga nyata benarnya janji Robbi.

Ulangan:

Selamatlah Persatuan Islam melangkah
Membimbing umat ke medan siasah
Berpedomankan Qur’an dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan berbuah.

Inilah kali pertama PAS memiliki lagu rasmi… Tapi adalagi yang menarik dalam muktamar ini, iaitu majalah rasmi PAS pula. ‘Suara Islam’ yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan. Pengurus dan pengarangnya adalah saudara Muhammad Asri yang juga menjadi Pesuruhjaya PAS bagi Kelantan dan Terengganu sejak awal tahun 1955 lagi. Beliau menyertai PAS tahun 1953 atas jemputan Saudara Othman Abdullah. Beliau terus berkhidmat sebagai pembantu atau setiausaha kerja dan pegawai tetap di Pejabat Agung PAS.

Waktu itu Setiausaha Agung PAS ialah Encik Ahmad Awang, seorang Guru Besar sekolah Melayu yang masih dalam perkhidmatan kerajaan. Semasa Tuan Haji Ahmad Fuad (Yang Dipertua Agung PAS pertama) keluar PAS, Pejabat Agung PAS terpaksa dipindahkan dari menumpang di Madrasah Masriah Bukit Mertajam (Seberang Perai), kerana Pengetua dan Pengelolanya Tuan Haji Ahmad Fuad sendiri menghendaki begitu. Akhirnya terpaksa menumpang pula di madrasah yang dikuasai oleh Tuan Haji Ahmad Haji Abdullah dan Tuan Haji Ahmad Maliki di Kepala Batas (Seberang Perai).

Penolong pengurus atau pengarang Suara Islam itu pula adalah Saudara Amaluddin Darus. Saudara Amaluddin, orang pertama yang membawa masuk PAS ke Kelantan itu baru ambil-alih jawatan ketua atau Yang Dipertua PAS cawangan Kota Bharu dari Encik Muhammad Daud Haji Saleh. Beliau yang dilahirkan di Kedah pada 24 Disember 1927 (sama dengan tahun kelahiran Ustaz Zulkifli Muhammad) juga menjadi Setiausaha Perhubungan PAS bagi Kelantan dan Terengganu.

Semua kerja-kerja yang dibuat oleh Muhammad Asri dan regu penerbitan majalah tersebut tidak pernah dibayar oleh PAS. Suara Islam isu pertama diterbitkan pada 17 Disember 1956. Antara kandungannya ialah sedutan ceramah Ustaz Zukifli Muhammad, Ahli Jawatankuasa Politik PAS waktu itu. Iaitu ceramah yang ditujukan khas kepada pegawai-pegawai dan jentera parti. Mari kita lihat antara kandungan dan pandangan Ustaz Zulkifli…

Mengenai tujuan dan cita-cita Ustaz Zulkifli mengatakan:

“Kita adalah umat Islam, dengan sebab itu kita ingin melihat hukum-hukum Allah itu dapat dilaksanakan di bumi Allah ini. Kalau dulu cita-cita Islam itu dapat dilaksanakan, maka tidak ada sebab mengapa kita ketinggalan. Maka dengan dorongan ini, dan dengan kepercayaan bahawa hanya dengan ajaran Islam, dengan dasar hidup Islam itu sahajalah kita boleh selamat, maka inilah sebabnya kita percaya kepada pergerakan kita, kepada persatuan kita sendiri.”

Mengenai kemerdekaan beliau mengatakan:

“Kita mahu merdeka sama seperti orang lain, kita mahu makmur sama seperti orang lain, kita mahu samarata seperti orang lain. Akan tetapi semuanya itu kemerdekaan kita, kemakmuran kita, dan samarata kita, semuanya kita mahu dilingkungi oleh hukum-hukum Islam, oleh kebijaksanaan yang dipesan oleh Allah SWT dan oleh Nabi Muhammad SAW”

Tugas menerang dan memberi kefahaman kepada rakyat, kata beliau:

“… kita merasa adalah penting bagi kita sendiri memperjuangkan, hingga fahamlah orang bahawa saloran hidup yang kita perjuangkan ini adalah pembawa bahagia bagi mereka. Perhatilah, bahawa kalau semuanya fikiran-fikiran yang benar ini menang, maka tentulah dunia ini aman, tentulah dunia ini dipenuhi oleh kebenaran dan keadilan. Tetapi yang kita lihat adalah sebaliknya.”

Mengenai perjuangan dan pertarungan melalui medan domokrasi, beliau begitu menekankan soal aktiviti, kegiatan dan susunan kerja:

“Demokrasi, kata pakar-pakar politik, adalah satu cara pemerintahan yang bukan pemerintahan orang ramai. Sebaliknya ialah pemerintahan mereka yang rajin dan giat dari orang ramai. Ya, kalau orang Islam dan umat Islam yang berjiwa Islam itu lebih ramai, tetapi tidak giat, tidak rajin, maka pastilah faham Islam itu akan tenggelam. Kerana sebenarnya siapa yang rajin, yang berkerja, dan yang bergiat, itulah yang mendapat tempat dalam masyarakatnya. Dalam perkara ini, susunan kegiatan itulah yang penting dan inilah pula yang penting kita perhatikan.”

Beliau yakin akan menang:

“Inilah pendirian kita. Kita yakin bahawa kita akan menang, bukan sahaja dalam susunan kerja kita, malah dalam ertikata membawa kemenangan sejati, dan kebahagiaan hidup kepada negeri ini.”

Tetapi beliau memberi amaran:

“…. Ingatlah bahawa tidaklah ada kebenaran yang menang dengan tidak berkerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia berkerja. Merdeka dan Allahu akbar.”

Lebih menarik lagi apabila Muktamar Agung PAS ke 5 ini mendapat liputan dari ‘Suara Islam’ bil: 3. 15 Februari 1957. Penulisnya adalah Amaluddin Darus, guna nama ‘Pemerhati’ di bawah jodol ‘Ole ole dari Kongres PAS’.

Begini liputannya:

‘Muktamar Agung PAS ke 5 telah berlangsung 3 hari berturut-turut sejak 23 hingga 25 Disember 1956 yang lalu. Sebagai seorang yang pernah mengikuti dan menghadiri majlis-majlis mesyuarat agung PAS masa lalu, nyata sekali PAS telah mendapat sambutan rakyat di seluruh tanah air. Terbukti dengan adanya wakil-wakil district atau jajahan dari tiap-tiap negeri Melayu, kecuali Melaka.

Apa yang menarik perhatian saya kali ini ialah adanya wakil-wakil badan politik lain turut hadir di dalam rapat umum yang diadakan pada hari pertama persidangan agung itu dibuka. Juga turut hadir dalam rapat umum itu, wakil-wakil dari Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII), iaitu saudara-saudara Anuar Akraman dan Abdul Majid Haryadi. Rapat umum dimulai dengan pembacaan Al-Qur’anul Karim oleh Tuan Haji Abdul Latif dari Kelantan untuk tabarruk.

Saudara Abdul Hajid Haryadi sebelum berpidato telah menyampaikan salam muhibbah dari Tuan Muhammad Nasir, Ketua Umum Masyumi untuk pejuang-pejuang Islam di Tanah Melayu ini. Pesanan Muhammad Nasir yang disampaikan jua oleh saudara wakil GPII itu ialah:

Jangan merasa sombong jikalau mendapat kemenangan dan jangan merasa berputus asa kalau mendapat kekalahan.

Pesanan ini, pesanan yang diminta sampaikan oleh seorang Bapa Perjuangan Islam Indonesia itu sangat besar kesannya mempengaruhi jiwa para perserta mesyuarat agung PAS seluruhnya. Dalam rapat umum PAS itu, turut berucap Tuan Dr Burhanuddin dan Yahaya Nasim wakil Partai Rakyat. Sesudah rapat umum, Kongres Pemuda PAS dijalankan. Pemilihan ketua-ketua dan anggota-anggota dewan pimpinan telah berlangsung dengan baik, yang hasilnya terpilih satu barisan atau jamaah pimpinan Dewan Pemuda PAS yang boleh dipertanggungjawabkan.

Mudah-mudahan, Dewan Pemuda PAS akan berkembang luas dalam tempoh yang sesingkat-singkatnya. Mesyuarat agung PAS dalam keseluruhannya, nampaknya lebih tenang dari masa-masa yang sudah. Para perwakilan dapat berkerjasama hingga perjalanan mesyuarat itu mendapat sepenuh-penuh kejayaan. Dalam memilih pegawai-pegawai dan Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Agung seperti biasa dilakukan secara sulit.

Mulanya ada 3 calon untuk dipilih menjadi Yang Dipertua Agung PAS, iaitu Zulkifli Muhammad, Haji Hasan Adli dan Dr Burhanuddin. Tetapi dengan terpilihnya Hasan Adli menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS, maka beliau dengan sendirinya telah menjadi seorang dari Naib Yang Dipertua Agung PAS. Yang demikian hanya tinggal 2 calon sahaja yang akan dipilih oleh para perwakilan dengan tiada sebarang kempen.

Satu jamaah penyelia pilihanraya dilantik oleh jamaah mesyuarat sebelum kertas undi dibahagikan. Jamaah penyelia semuanya seramai 10 orang dan mereka lebih dahulu memeriksa kertas-kertas undi yang mempunyai tanda rasmi serta menetapkan peraturan mengundi. Undi kerana memilih Yang Dipertua Agung dijalankan. Sementara kertas-kertas sedang dihitung, seluruh mata dan telinga menuju kepada penyelia pilihan raya PAS, masing-masing hendak mengetahui keputusan undi itu.

Akhirnya kiraan undi menunjukkan 12 suara memilih Zulkifli Muhammad, 84 suara memilih Dr Burhanuddin. Dan undi rosak sebanyak 4 sahaja. Keputusan ini disambut dengan takbir dan teriakan merdeka oleh para perwakilan. Demikianlah terpilihnya Dr Burhanuddin Al-Helmy bukan dengan kemahuan beberapa orang PAS, tetapi nyata sekali pilihan itu oleh sebahagian besar dari orang-orang PAS.

Sesudah semua pegawai dan AJK Agung PAS yang baru; dipilih, rapat umum penutup diadakan pula. Di mana Tuan Dr Burhanuddin muncul ke hadapan bukan lagi sebagai bekas pimpinan, bukan lagi sebagai tokoh politik bersendirian, tetapi sebagai pemimpin parti politik yang tegas dalam cita-cita perjuangan terhadap kawan dan lawan. Ucapan beliau yang pertama setelah kembali memegang memegang parti politik memakan masa lebih dari 2 jam.

Sebagai tanda gembira dengan terpilihnya Dr Burhanudin, wakil PAS cawangan Bangsar Road, mengkalungkan bunga ke leher Dr, dan Dewan Pemuda PAS menghadiahkan sebuah Al-Qur’an bersama sebuah buku undang-undang dasar PAS dengan satu peringatan supaya sentiasa tunduk kepada ajaran Al-Qur’an. Yang mana itulah satu dasar dan pegangan PAS yang termaktub dalam undang-undang tubuh PAS.

Tuan Haji Ahmad Tuan Husin wakil PAS di Federal Council (wakil rakyat tunggal kawasan parlimen Kerian, Perak) memberi peringatan halus kepada Tuan Yang Dipertua baru. Demikian juga wakil Hilir Perak, Haji Ahmad Haji Ali telah membacakan satu ucapan lengkap, merupakan ucapan taat setia tetapi bersekali dengan amaran keras. Amaran terakhir diberi oleh saudara Uthman Abdullah bekas Ketua Pemuda PAS.

Keseluruhan dari peringatan dan amaran itu, ialah mengingatkan Dr Burhanuddin supaya memperjuangkan cita-cita Islam yang termaktub di dalam undang-undang dasar PAS. Demikian beberapa kejadian yang telah berlaku dalam majlis persidangan PAS baru-baru ini, yang diakhiri dengan bergambar ramai di halaman Sultan Sulaiman Kelab untuk terus menghidupkan kenangan kepada kejadian yang bakal menjadi sejarah di masa hadapan.

Peristiwa yang berlaku dalam mesyuarat agung PAS telah kita ketahui. Satu perkara lagi yang tak patut kita lupakan, ialah kejadian-kejadian yang berlaku di ‘Asrama Mujahidin’, demikian gelaran yang diberi oleh seorang kawan kepada Dewan Masyarakat Kampung Baru Kuala Lumpur, yang telah dipinjamkan kepada PAS untuk tempat penginapan para perwakilan dan pemerhati seluruhnya.

Di sana, pada malam sesudah mesyuarat diadakan majlis membaca Al-Qur’an, yang dibacakan oleh Tuan Haji Abdul Latif, dari Tumpat, Kelantan. Tiap-tiap kali diadakan majlis seumpama itu, derma kilat dijalankan sebagai derma kepada Tabung Kewangan Pejabat Agung PAS. Di antara derma-derma yang diterima selain daripada wang tunai, juga sebutir telur dan sebatang ballpen yang kemudiannya dilelong kepada ramai. Hasil dari ‘Lelong Merdeka’ ini, berjumlah hampir $50.

Derma kilat yang akhir sekali dijalankan ialah kerana menyediakan asas derma tabung pilihan raya. Ini juga mendapat sambutan yang memuaskan. Pada malam akhir sesudah persidanagan, pihak panitia sambutan menyediakan jamuan nasi minyak untuk seluruh para perwakilan. Dan besoknya, pada 26 Disember 1956, semua peserta mesyuarat agung PAS ke 5, mula beredar meninggalkan kota Kuala Lumpur.

Masing-masing kembali membawa oleh-oleh sambil bernyanyi mengingatkan lagu rasmi PAS yang telah dipelajari dari wakil Kota Bharu sepanjang malam perpisahan itu. Saya dan kawan-kawan seperjuangan kembali ke tempat masing-masing dengan kenamg-kenangan dan perasaan baru, dengan tekad baru untuk menghadapi perjuangan yang lebih hebat lagi di masa akan datang.’

Demikianlah liputan Muktamar Ke 5 dalam majalah PAS ‘Suara Islam’ bilangan ke 3. Majalah ini hanya dapat bertahan sehingga menjelang pilihan raya1959 sahaja. Lepas itu tiada kedengaran lagi. Itulah antara perkara-perkara menarik dalam Muktamar Agung PAS ke 5.


Rujukan:

1.‘Suara Islam’ bil: 3. 15 Februari 1957.

2.Amaluddin Darus. Kenapa Saya Tinggalkan PAS (1977) terbitan Harimau Press Sdn Bhd., Kuala Lumpur.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails