Saturday, September 29, 2007

Peluang Berniaga Di Aceh.



Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

O le le di Kotaradja, boleh tak boleh dibawa saja..’ Itulah sebagian kata-kata dalam sebuah lagu Melayu lama yang masih teringat lekat dalam pemikiran saya. Kotaradja nama lama kepada Banda Acheh sekarang, iaitu ibukota Nanggroe Aceh (Negara Aceh). Negara Aceh adalah sebuah Daerah Istimewa di hujung Pulau Sumatra. Terletak di barat laut Sumatra dengan kawasan seluas 57,365.57 km persegi atau merangkumi 12.26% pulau Sumatra.

Negara yang memiliki 119 buah pulau, 73 sungai yang besar dan 2 buah danau. Itulah Danau Laut Tawar di Takengon Aceh Tengah dan Danau Aneuk Laot di Kota Sabang. Aceh dikelilingi Selat Melaka di sebelah utara, Provinsi Sumatera Utara di timur dan Lautan Hindi di selatan serta barat.

“Aceh merupakan kawasan yang paling teruk dilanda gempa bumi (Tsunami pada 26 Disember 2004). Beberapa tempat di persisiran pantai musnah sama sekali. Malah Banda Aceh hampir hancur..” Kata seorang ahli peniagaan asal Aceh yang saya temui di KL malam itu, selepas sholat tarawih. “Namun ada hikmah di sebalik bencana tersebut..”

“Apa hikmahnya??” Saya tanya.

“Apa tidaknya? Sebelum berlaku Tsunami, kami tidak aman sentiasa berperang melawan pemerintah Indonesia. Kami mahu merdeka dari penjajah yang sebangsa dengan kami, setelah kami berperang melawan Belanda dalam peperangan paling lama (Perang Aceh 1873-1942) yang meragut lebih 10,000 orang tentera mereka.” Katanya macam mengeluh, tetapi bersemangat.

“Kini, kami mahu melaksanakan Islam sepenuhnya di negara kami seperti yang dituntut oleh ulama-ulama kami. Mereka penjajah bentuk baru sama kulit dengan kami telah mengorek khazanah sumber bumi kami seperti minyak dan gas asli dibawa ke Jakarta. Akibat ketamakan tersebut hingga berlaku pembunuhan sepanjang masa..”

Menutut beliau lagi, sebelum ditarik balik DOM (Daerah Operasi Militer atau Operasi Jaring Merah) pada 7 Ogos 1998, setelah 10 tahun perlaksanaannya (sejak 1989), tuntutan kemerdekaan Aceh yang disuarakan oleh GAM (Gerakan Aceh Merdeka) terus bergema. Muncul pula tuntutan pungutan suara sebagai akumulasi kekecewaan rakyat Aceh pada pemerintah Jakarta.

Tuntutan yang digerakkan oleh golongan intelek muda Aceh di dalam SIRA (Organisasi Sentral Informasi Referendum Aceh) yang ditubuhkan di Banda Aceh pada 4 Februari 1999. SIRA pimpinan Muhammad Nazar dengan aksinya telah direstui oleh 2 juta rakyat Aceh (penduduk Aceh berjumlah 4.5 juta) dari berbagai kabupaten pada 8 Nevember 1999 di Aceh bagi menuntut hak-hak mereka.

Ditambah lagi dengan kelahiran berbagai organisasi seperti KARMA, Farmidia, SMUR, FPDRA, SPURA, PERAK, dan HANTAM. Antara isu tuntutan mereka, antaranya ialah menuntut gencatan senjata antara Republik Indonesia dan GAM serta meminta penglibatan PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang berlangsung pada 6 Mei 2002.

“Ya. Ya. Saya ingat, di sekitar tahun-tahun tersebut saya pernah berada di sana!” Saya menambah. Saya teringat sewaktu saya menaiki beca berenjin di Lhokseumawe,, di mana pemandunya, tiada henti-hentinya mengkritik dan mengutuk habis-habisan pemerintah RI waktu itu.

“Tetapi malangnya, peristiwa 6 Mei 2002 tersebut, berakhir dengan penangkapan tokoh-tokoh dan pemimpin tuan, seperti Taufik Al Mubarak, Muhammmad MTA, Asmara, Askalani, Imam, Habibir, Ihsan, dan beberapa orang lagi. Aksi yang melibatkan campurtangan PBB dalam konflik di Aceh.” Kata saya lagi.

Jelas beliau seterusnya, “Tiba-tiba berlaku tragedi Tsunami yang dahsyat, tetapi membawa rahmat, seolah-olah memberi amaran dan kesedaran kedua belah pihak yang bertelagah itu supaya berdamai. Masing-masing menunjukkan sikap ingin membela rakyat Aceh, di mana akhirnya bermulalah era perdamaian. Berterusan pula dengan pengisian pembangunan di Aceh, yang dibantu pula oleh simpati negara-negara jiran. Alhamdulillah!.”

“Bagaimana pengisian pembangunan di sana? Apa yang boleh kita bantu dan peluang-peluang perniagaan yang boleh kita dapat??” Seorang kawan lagi bertanya.

Ahli peniagaan Aceh tersebut, kini menjadi pengurus sebuah syarikat perunding Malaysia mengenai peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Aceh, katanya, “Memang di Aceh terasa kekosongan dalam bidang tersebut. Pada zaman Nabi Muhammad SAW di tanah Arab dulu, semasa suasana perang beliau melantik pemimpin perangnya yang gagah berani, tetapi bila suasana agak tenang, beliau memilih pemimpin berilmu sebagai pengisian dalam pemerintahannya. Pemimpin-pemimpin seperti itulah yang agak berkurangan di Aceh.”

Menurut beliau lagi, antara peluang niaga dan pelaburan yang perlu dan boleh diuruskan ialah:

1. Masih kekurangan industri kecil seperti kilang cili sos, kicap, sabun, air batu tiub dan pengedarannya ke seluruh Aceh.
2. Masih perlu diimport barangan dari Malaysia untuk sektor pembinaan dan pembangunan. Contohnya seperti bumbung plastik keras tambahan rumah dan lain-lain.
3. Import-eksport dagangan yang dibenarkan antara dua negara Malaysia dan Aceh.
4. Perdagangan butter trade.
5. Import daging halal India-Aceh.
6. Import kenderaan recon Jepun-Aceh.
7. EXIM Bank untuk pelaburan di Aceh.
8. Pengangkutan feri kargo dan pelancung.
9. Pembinaan kilang sawit.
10. Perladangan Sawit Swasta Koperasi dan Kerajaan (Pasera). Dan lain-lain.

“Begitulah kira-kiranya serba sikit peluang-peluang niaga di Aceh. Jika anda berminat sila hubungi saya..” Pelawa beliau.

“Saya akan panjangkan hal ini kepada sesiapa yang berminat. Insya Allah!” Ikrar saya.
O le le di Kotaradja, boleh tak boleh dibawa juga.. Malaysia boleh.. Aceh boleh.. Islam lagi boleh!!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 28-09-07

Wednesday, September 26, 2007

Imbauan 6: Pak Din Hancur, Pak Amjal & Badarudin


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

(gambar: Pak Amjal, berdepan dengan polis dalam demontrasi biasa baginya..)


“SUDAH 5 siri anta tulis fasal Harakah, anta tak sebutpun fasal peniaga-peniaga Harakah peringkat awalan yang menjual Harakah bukan kerana nak untung duit sangat, tapi kerana nak dakwah dan sampaikan perjuangan parti Islam…”Kata sesorang pada saya.

“Siapa.. contohnya??”

“Oh, ramai.. Allahyarham Pak Din Hancur bersama rakan karib mereka Pak Amjal, Badarudin.. dan juga Allahyarham Haji Sani serta lain-lainnya di KL, ramai lagi kalau di luar KL..”

“Ya. Ya. Memang saya kenal Pak Din. Dia dan PAS Parit pernah menjemput saya ceramah motivasi di markas yang baru diwakafnya dalam kawasan Parit. Saya dah pergi ke sana tetapi malangnya tak sempat seperti dirancang, kerana ada sesuatu perkara yang menghalang. Saya sangat memohon maaf kepada mereka, kerana ramai yang sudah menunggu.. hampa.” Jelas saya pula. “Beliau sendiri mengeluarkan wang kira-kira RM30,000 untuk wakaf buat bangunan PAS di atas tanahnya itu. Satu pengorbanan besar bagi seorang yang tiada kerja tetap hanya jual surat khabar Harakah dan keset-keset ceramah PAS, terutama yang diedarkah oleh Syariakt GG Edar. Segala barang-barang ibadah dan dakwah beliau tidak segan-segan menjualnya.. apa lagi untuk lelong..murah-murah!”

“Mengapa orang panggil Pak Din Hancur?” Seorang lagi kawan kami bertanya.

Jelas kawan saya yang satu lagi, “Ada yang special dari allahyarham Pak Din.

Pertama, bila pemimpin berceramah, bukan saja disambut dengan slogan Allahu Akbar, bahkan ditambah dengan ‘Hancur UMNO!’ Kalau yang berceramah itu YB Mohd Sabu, responnya dari penceramah mungkin menggalakkan terhadap celahan Pak Din semasa berceramah tersebut. Pernah semasa Allahyarham Ustaz Fadzil berceramah di Taman Jasa Gombak pula, Ustaz Fadzil menyindirnya setelah rasa terganggu dengan celahan Pak Din itu, ‘Kalau nak ceramah, mai naik le ke pentas!’

Kedua, bila dia jumpa kita, dia beri salam dan ada tambahannya, ‘As-salamu ‘alaikum? Hancur UMNO!’, ..dengan tangan yang mengenggam penumbuk. Jadi macam wirid baru dalam budaya politik kepartian di Malaysia. Itu sebab orang panggil dia Pak Din Hancur.”

“Eh, orang tak marah ke??” Ada kawan yang tanya.

“Nabi sendiri pernah menyebut Musailamah ‘Al-Kazzab’, atau Musailamah ‘Penipu’, kerana Musailamah mencipta agama baru. Begitu juga gelaran Abu Lahab (Melayunya Pak Nyala) dalam Al-Quran. Termasuk juga, ada yang menambah perkataan ‘Laknatullah’ bila disebut UMNO, kerana pada mereka UMNO berkhianat kepada perjuangan menegakkan agama Allah, dan berparti asabiah..” Yang lain menjelaskan.

“Bagaimana dengan UMNO pula? Tak marah ke?”

“UMNO nak marah macam mana,. dia sendiri pernah menggelar PAS macam-macam. Antaranya, PAS lebih bahaya dari komunis, parti kampong, pencetus dua imam dan macam-macam. Tok Guru Nik Aziz juga diperli bagaimana nak perintah Malaysia dengan pakai kain pelikat? Allahyarham Ustaz Fadzil pernah disebut tak larat angkat pelupuk mata.. dan macam-macam hal dihinakan. Pemimpin-pemimpin BN juga bila sebut Osama Laden dan Al-Qaeda secara aotomatik mengaitnya dengan pengganas. Umpamanya .. Pertubuhan pengganas Osama Laden … Pada hal pengeboman WTC 11 September dulupun masih belum boleh dibuktikan di mahkamah sepenuhnya ada kaitan dengan Al-Qaeda.”

Yang lain menambah, “Pak Amjal juga ada specialnya. Kalau semasa demontrasi, dia tidak pernah berundur, terus ke depan. Pernah beberapa kali ditahan polis. Dia terus berdemontrasi sejak dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim jadi pembangkang (dalam ABIM 1970an & awal 80an) dia sokong demontrasi Anwar. Sejak Anwar jadi menteri dia demontrasi lawan Anwar dan sampai jadi pembangkang semula dia berdemontrasi bersama Barisan Alternatif atau PAS sekarang. Pak Amjal tidak pernah serek-serek. Kalau nak jumpa dia sekarang, sila ke kedai makan berhampiran bulatan depan pintu masuk Universiti Malaya KL.. bersama regunya Sulaiman Bujang itu.”

“Begitu juga dengan Ustaz Badarudin, kawan rapat Pak Din itu.” Giliran saya pula bercerita.

“Beliau pernah jual keset-keset ceramah PAS di bangunan PWTC puluhan tahun lalu semasa mesyuarat Agung UMNO sedang berjalan. Dalam mesyuarat tahun tersebut, berdegar-degar perwakilan UMNO mencadangkan supaya Ustaz Hadi pemimpin PAS, yang keset-keset ceramahnya paling laris dijual itu ditangkap atau ditahan saja di bawah ISA. Merbahaya.. kata mereka. Bahkan pada suatu ketika keset itu diperdengarkan dalam mesyuarat tersebut.

Ustaz Badarudin menjual barang-barang ibadat, termasuk keset dan buku, yang diletakkan di atas meja jualan. Tapi tiada keset ceramah Ustaz Hadi di atas meja itu. Kalau ada yang menghampirinya, dia berbisik di telinga mereka, ‘Keset ceramah Ustaz Hadi ada.. nak ke?’ Rupanya ramai yang nak. Mula-mula jual sorok-sorok, kerana ramai perwakilan dan pemerhati yang minta maka dia terus pamerkan atas meja. Jualan terus laris hingga ke petang.

Tiba-tiba seorang perwakilan bercakap dan mendedahkan dalam mersyuarat itu, ‘..sedang kita sibuk-sibuk suruh tangkap Ustaz Hadi dan haramkan kesetnya, dibawah sana dalam bangunan ini keset tersebut sedang laris dijual!’. Maka melurulah pegawai keselamatan datang merampas dan menangkap Ustaz Baharudin. Sesudah beberapa jam ditahan di bilik keselamatan hingga masuk waktu asar, beliau minta nak sembahyang asar.

Jawab pegawai itu, ‘Sebenarnya kami bukan nak tahan encik. Encik tak salah, keset-keset itu belum digezetkan sebagai barangan salah. Barang itu pun bukan barangan merbahaya seperti senjata. Cuma kami diarahkan supaya tahan encik buat sementara hingga perwakilan pulang. Ya, encik pergilah sembahyang dulu, lepas itu encik bebas dan boleh bawa balik barang-barang encik!

Beliaupun pergi sembahyang di bilik sembahyang, mulanya seorang diri, lepas beri salam, rupanya ramai pemimpin-pemimpin agama UMNO menjadi makmum di belakangnya. Alhamdulillah, takde apa-apa.. ’ Begitulah yang pernah diceritakan Ustaz Badarudin kepada saya.”

Merekalah antara regu yang gigih dan berani dalam usaha menjual dan membangunkan Harakah, apalagi di saat-saat ramai orang lain masih belum boleh menerima penyebaran akhbar rasmi PAS itu. Itu mereka yang tidak boleh saya dan kita lupakan.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 26-09-07

Monday, September 24, 2007

Antara Masjid Negara KL & Masjid Huai Sheng China..



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI


PADA zaman dahulu, menara azan di masjid juga memainkan peranan penting dalam kehidupan harian manusia. Tidak kira apa juga agama, bangsa dan dari mana asal negara mereka, yang penting ianya perlu sebagai isyarat dan panduan bagi kapal yang belayar di lautan. Di situ, dikibarkan bendera di bawah sinaran matahari dan digantung lampu di bawah sinaran bulan. Anak-anak kapal yang belayar di laut bila melihatnya, sedarlah mereka di mana mereka sudah sampai di bandar Guangzhou.


Itulah menara tempat azan di Masjid Huai Sheng atau dikenali juga Masjid Guangta di bandar tersebut, yang dilawati Syukri di negara Cina.

“Masjid dan menaranya bercorak seni bina Timur Tengah ini dibina pada tahun 627M.” Kata seorang kawan yang bersama-sama Yusof dan Syukri. “Pada asalnya, dikatakan terdapat sebuah patung ayam emas di menara itu yang boleh berpusing-pusing menarik perhatian bila ditiup angin…” Sambil jarinya menuding ke menara tersebut. “Namun patung ayam itu telah rosak akibat taufan melanda pada suatu masa…”


Katanya lagi, itulah salah satu masjid bersejarah antara empat buah masjid terawal di China setelah Islam diperkenalkan ke sana pada abad ke 7. Tiga lagi masjid tersebut ialah Masjid Fenghuang di bandar Hangzhou, Masjid Xianhe di Bandar Yangzhou dan Masjid Qilin di Bandar Quanzhou. Masjid Huai Sheng dulunya pernah musnahkan akibat kebakaran dan dibaik pulih pada tahun 1695.


Di masjid yang seluas 2,966 meter persegi ini, terdapat sebuah menara azan di penjuru baratdayanya. Bangunan cerapan bulan terletak di tengahnya, di belakang bangunan tersebut terdapat bilik wuduk, koridor dan ruang solat.

“Kononnya suasana di dalam masjid ini dikatakan amat keramat.. Tetapi pada saya yang sering bersembahyang di sini, tiada rasa apa-apa pun, bahkan terasa bertambah tenang dan khusyuk lagi.” Sambungnya. “Tapi lebih jelas, Imam Wang Wenjie yang berkhidmat di Masjid Huai Sheng ini waktu saya temui sebelumnya pernah berkata, sempena Ekspo Guangzhou diadakan, umat Islam dari pelbagai negara yang berniaga di Guangzhou telah melawat dan bersembahyang di masjid kami ini.


Menurut Imam Wang Wenjie lagi, 80% umat Islam yang sering bersolat di masjid kami ialah pemuda. Terdapat ramai saudagar dari seluruh dunia bersolat di masjid kami. Kini, jumlah umat Islam di bandar Guangzhou yang sudah berdaftar kepada kerajaan mencapai lebih 9,800 orang, namun jumlah umat Islam berasal dari kawasan lain yang bekerja di Guangzhou mencapai kira-kira 50 ribu orang.”

“Aktiviti tersebut telah meningkatkan interaksi dan hubungan umat Islam China dengan umat Islam di negara asing. Oleh sebab masjid ini sangat terkenal, terdapat ramai umat Islam dan pelancong bukan Islam dari pelbagai kawasan di China, juga pelbagai negara lain telah melawat masjid ini setiap tahun.” Yusof pula menambah. “Bukan itu sahaja, bahkan pada tahun-tahun kebelakangan ini, masjid ini pula telah menghantar rombongan untuk melawat negara-negara lain seperti Malaysia, Iran, Hong Kong dan lain-lain.”


Aktiviti masjid ini menghantar rombongan-rombongan ke negara-negara lain amat baik. Nabi Muhamad SAW sendiri telah menghantar sahabatnya, Saad bin Abi Waqqas ke China untuk berdagang dan mengembangkan agama Islam, sehingga tertubuhnya masjid ini (627M) melebihi 1,300 tahun lalu. Menurut catatan sejarah, negara Timur Tengah (pimpinan Nabi Muhammad SAW) telah menghantar utusan ke China untuk menziarahi maharaja China pada tahun 651 Masihi.


Ahli sejarah menganggap tahun itu sebagai lambang penyebaran agama Islam ke China. Tetapi sebenarnya, sebelum utusan Arab itu melawat ke China, sejumlah umat Islam dari Timur Tengah telah berhijrah ke China dan memperkenalkan agama Islam kepada rakyat China. Pada zaman itu, ramai saudagar dari Arab dan Parsi datang ke China melalui laluan laut. Mereka bertolak dari teluk Parsi dan Lautan Arab, melalui Melaka di Asia Tenggara, di mana akhirnya tiba di Bandar Guangzhou, Quanzhou dan Hangzhou di selatan China.


Saudagar-saudagar dari Arab dan Parsi di Guangzhou menetap secara berkelompok di satu kawasan perumahan di bandar itu. Mereka tetap menjalankan adat resam dan agama Islam. Agama Islam yang tersebar ke Guangzhou adalah pada zaman itu. Dikatakan salah satu sebab berkembang pesatnya Islam di Asia Tenggara adalah dari negeri Cina. Termasuk melalui perdagangan dan pelayaran tokoh Cina terkenal Laksamana Muhammad Cheng Ho.

“Jadi perdagangan dan masjid menjadi bahan motivasi penting dalam perkembangan Islam ke peringkat gobalisasi.” Tambah Yusuf lagi.


“Ya, saya sampai ke sini pun adalah hasil dari pertemuan dan perkenalan kita di Masjid Negara Kuala Lumpur!” Syukri mengakui. “…dan kalau yang berhijrah awal ke Malaya selepas lawatan Cheng Ho dulu adalah kaum Cina Islam, maka suasana politik di Malaysia hari ini mungkin lebih Islamik lagi.. Mungkin wujud negara Islam total, yang pemimpin-pemimpinnya dari kalangan orang-orang Cina. Di sini, jelas terbukti perancangan penjajah mengimport buruh-buruh Cina bukan Muslim membanjiri negara ini sebelum Malaya merdeka (kumpulan kongsi gelap Gee Hin & Hai San wujud bersama perkerja lombong bijih di Perak), adalah untuk menyekat perkembangan Islam hasil lanjutan dari Perang Salib di Eropah, pada masa itu.”


“Sekarang kita sambung balik usaha ukhwah, dakwah melalui bisnes.. Insya Allah!!” Kata Yusof membuka jalan penyelesaian dengan penuh harapan.

“Insya Allah!!” Semuanya jawab serentak.


Jadi, kesimpulan boleh dibuat untuk membangunkan agama dan ekonomi umat Islam, peranan masjid perlu dihidupkan semula dan dinaikkan taraf supaya sejajar dengan peredaran masa dan dunia global ini. Kalau sesebuah syarikat perniagaan dalam sesebuah negara boleh bergerak pantas naik meningkat dengan cepat, dari pejabat kecil hingga mempunyai bangunan pencakat langit, dari operasi peringkat tempatan hingga beroperasi ke peringkat antarabangsa, dari negara ke negara dalam masa singkat, mengapa institusi masjid masih terperap ke tahap yang sama seperti dulu??


Contohnya, tukang azan. Apakah peranannya memada dengan tugasnya menyeru dan memanggil orang sembahyang hanya melalui corong pembesar suara di masjid sahaja? Apakah tiada cara lain yang canggih untuk memanggil manusia (Marilah kepada sholat! Marilah kepada kemenangan!) hingga boleh masuk ke pasar & pasarayaaya, pejabat, ke kelab-kelab malam atau siang, tempat-tempat perjudian atau pelacuran atau jadi senator di Dewan Negara? Apalagi di zaman dunia tanpa batasan (melalui internet) menyeru ke seluruh dunia dalam ratusan bahasa? Boleh membuka sebuah universiti atau sebuah kerajaan Islam di internet??


Imam-imam pula lebih besar lagi peranannya. Bukan sahaja takat memantau tukang azan, tok siak (tok siak yang canggih juga besar peranannya), bukan juga menjadi tukang angguk di atas mimbar atau di luar mimbar dan lain-lain. Bahkan menjadi pemantau masyarakat ke arah kebaikan, menghidupkan intitusi pendidikan di masjid ke peringkat lebih tinggi (nasional atau internasional), mampu menyalurkan bantuan kepada fakir miskin dan lain-lain, bahkan juga menjadi pemimpin dan layak bersuara di parlimen.


Yang penting institusi masjid perlu dinaikkan taraf, termasuk gaji dan elaun aktivis-aktivis yang sepadan dengan kerjanya. Wallahu ‘aklam. Bersambung..


Perhatian: Penulis telah menerima beberapa e-mail dari pembaca-pembaca, ramai yang tanya cara-cara dan peluang berniaga di China, ekoran dari tulisan lepas ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Peniaga Global..’ & ‘Dari Niaga Depan Masjid Ke Guagzhou’ Lihat Tranungkite.net atau blog penulis ini sendiri. Untuk mudahnya anda terus menghubungi: Sdr Syukri Tel: 019 6190145 atau datang ke Gerai Niaga Halaman Masjid Negara pada tiap hari Jumaat sebelum atau selepas sembahyang Jumaat. O ya. maaf kalau penulis tak sempat jawab e-mail anda!

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 21-09-07

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails