Saturday, February 05, 2022

Jokowi dapat sokongan kumpulan Muslim, sultan untuk projek 'Nusantara'

 

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). - Foto AGENSI

BALIKPAPAN: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sedang mendapatkan sokongan daripada kumpulan Muslim terbesar negara itu, Nahdlatul Ulama (NU) terhadap Nusantara.

Beliau juga sedang berusaha mendapatkan sokongan beberapa sultan tempatan dan komuniti orang asli terhadap ibu negara baharu Indonesia itu, susulan kritikan di Jakarta.Awal minggu ini, Jokowi terbang ke Balikpapan di Kalimantan Timur, di mana NU mengadakan majlis pelantikan anggota lembaga eksekutif nasionalnya yang baharu.

Kumpulan Muslim itu merancang untuk membina pejabat baharu di Penajam Paser Utara di Nusantara, bersebelahan Balikpapan. Ketika majlis itu, Jokowi memaklumkan sedia memberikan konsesi tanah yang besar kepada NU, namun tidak jelas sama ada plot tanah itu adalah untuk pembinaan pejabat baharu NU di Penajam.

Pengerusi baharu NU, Yahya Cholil Staquf menyokong keputusan kerajaan untuk memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta, dan menyifatkannya sebagai perancangan 'di luar kotak'.

"Semakin jelas bahawa langkah mewujudkan ibu negara baharu di Kalimantan Timur adalah inisiatif berkesan untuk membangunkan masa depan lebih baik untuk Indonesia," katanya pada majlis itu.

Kerja pembinaan awal di Nusantara sudah bermula, termasuk infrastruktur asas seperti empangan untuk bekalan air bersih dan akses jalan raya menerusi ladang acacia dan pokok eucalyptus, yang bakal menempatkan istana presiden dan pejabat kerajaan yang baharu.

Kerajaan Indonesia juga sedang menyediakan perundangan untuk mempercepatkan pembangunan Nusantara supaya proses pemindahan boleh bermula pada Ogos 2024, namun ia mencetus kontroversi.

Pengkritik mempersoalkan keperluan menyegerakan pembinaan ibu negara baharu itu dan menyifatkannya sebagai pembaziran, selain kebimbangan terhadap impak alam sekitar dan kehidupan komuniti orang asli di Kalimantan Timur.

Di Balikpapan, Jokowi bertemu wakil komuniti orang asli, termasuk ketua Kutai Kertanegara dan kesultanan Paser, dengan Sultan Kutai, Muhammad Arifin menyatakan sokongan selepas pertemuan berkenaan. - AGENSI


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Blog ini membuka ruang untuk berbincang mengenai kerjasama peluang berniaga "Siri Kalimantan: Kerjasama M'sia/Indo."

Mengenai ternak dan eksport belut, pihak kami sedang mengumpukan maklumat penternakan (budi daya) samada untuk eksport ke China, Jepun, Malaysia atau lain-lain negara.

Melalui telefon sila hubungi 
Ibnu Hasyim (Malaysia 011 33111321).
Sekian.

Lihat sebelum ini.. 
Siri Kalimantan: Kerjasama M'sia/Indo.

"itik patah kaki", Zaid jawab Abdul Hadi..

 

PRN JOHOR | Ahmad Zahid Hamidi mempunyai cara tersendiri untuk membalas label yang diberikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke atas partinya, Umno.


Jelas tidak senang dengan gelaran "itik patah kaki", presiden Umno terbabit berkata mereka bukanlah haiwan seperti yang disebutkan Abdul Hadi baru-baru ini.

"Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).

"Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi," katanya dengan sinis.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran jentera BN di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri , Johor malam tadi.

Ia turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial.

Turut hadir Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pada 28 Jan lalu Abdul Hadi menyatakan rasa tidak senangnya terhadap Umno yang digambarkan sebagai itik patah kaki selepas kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selepas PAS membantu mereka, kata Abdul Hadi, Umno bertindak meninggalkan PAS dan dia menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

Duta Khas Perdana Menteri itu juga mempersoalkan tindakan Umno-BN menggerakkan langkah secara sendirian bagi mengadakan PRN Johor.

Kata Ahmad Zahid dia juga "bimbang" apabila tuduhan yang dibuat PAS ke atas Umno sebaliknya memakan tuan.

"Saya tahu itu ilmu mantik, tapi saya khuatir jika satu jari dituduh kepada orang (lain) empat jari akan kena pada pada dia," katanya lagi.

Justeru kata ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, untuk Umno tidak disindir dan dicaci-maki, penyokong parti berkenaan perlu berusaha memenangi PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kita pastikan orang yang menghina kita, yang menyindir kita akan malu sendiri," katanya.

Diangkat dari 


malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jan 24, 2022 9:55 AM

Ahmad Zahid Hamidi perlu membela diri dalam 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Bekas timbalan perdana menteri itu diperintahkan berbuat demikian oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah menunjukkan terdapat kes prima facie (tertuduh perlu menjawab) terhadap bekas menteri dalam negeri itu, melibatkan 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan pada akhir kes pendakwaan, yang menyaksikan 99 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan yang pertama kali bermula pada 18 Nov 2019.

Susulan keputusan itu, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan mahkamah bahawa Zahid telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah daripada kandang saksi bagi peringkat pembelaan perbicaraan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Lebih kurang macam LG Eng dan pemimpin DAP juga, tak kira halal-haram dari sudut negara dan agama. Main rempuh saja, sehingga tertuduh rasuah, rogol, dadah, manifesto bukan kitab suci. Ikutlah Kelantan, sifar rasuah!

Dan PRN Johor.. Undilah PAS.

Selamat dunia akhirat!

10 perkara: Kedah catat pelaburan tertinggi -JPM, DPP.

 

Kedah catat pelaburan tertinggi negara

PELABURAN ialah suatu perniagaan yang dibuat ke atas sesuatu aset untuk mencapai peningkatan nilai dalam suatu jangka masa tertentu. Ia memerlukan pengorbanan beberapa aset semasa seperti masa, wang dan usaha.

Dalam kewangan, tujuan pelaburan adalah untuk menjana pulangan daripada aset yang dilaburkan. Pulangan terdiri daripada keuntungan pendapatan atau kerugian yang direalisasikan daripada penjualan harta atau pelaburan, peningkatan modal yang tidak direalisasi (atau susut nilai), atau pendapatan pelaburan seperti dividen, faedah atau pendapatan sewa. 
Pulangan juga mungkin termasuk keuntungan atau kerugian mata wang akibat perubahan dalam kadar pertukaran mata wang asing. 

1. Pelaburan biasanya berlaku di negeri-negeri maju yang membangun seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Para pelabur lebih mengharapkan keuntungan yang lebih tinggi jika pelaburan dibuat di negeri-negeri ini. Namun, tahun 2021 mengejutkan ramai pihak apabila Kedah menjadi negeri yang paling banyak meluluskan pelaburan iaitu berjumlah RM57.1 bilion, diikuti oleh juara bertahan Selangor (RM13.3 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM11.9 bilion).

2. Sebanyak 20 hingga 25 peratus pendapatan negara Malaysia datangnya daripada sumber pelaburan. Bagi negara-negara maju, peratusan pendapatan daripada sumber pelaburan sekitar 18-20 peratus. Bagi negara-negara jiran pula, Indonesia mendahului dengan 30-32 peratus diikuti oleh Thailand (23 peratus), Vietnam (23-24 peratus) dan Singapura (21-25 peratus).

3. Di dalam fasa COVID-19, jumlah pelaburan asing yang masuk ke rantau Asia adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak USD 535 bilion pada tahun 2020 berbanding USD 516 bilion pada tahun 2019. Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Singapura berada di tempat pertama dengan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak USD 120 bilion jauh meninggalkan negara-negara jiran lain seperti Indonesia (USD 25 bilion), Vietnam (USD 16 bilion), Malaysia (USD 9 bilion) dan Filipina (USD 8 bilion).

4. Pada 2020, projek infrastruktur tenaga jatuh sebanyak 40 peratus kepada USD 27 bilion, iaitu yang terendah bagi tempoh lapan tahun. Asia adalah satu-satunya rantau yang berkembang baik dalam bilangan dan nilai projek berkaitan tenaga. FDI bagi rantau Asia di dalam projek tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy, RE) meningkat kepada USD 33.4 bilion pada 2020 berbanding USD 30.7 bilion pada 2019. Walaupun industri RE hanya merangkumi 2 peratus daripada jumlah pelaburan di Malaysia, projek berkaitan RE semakin meningkat saban tahun terutama berkaitan dengan tenaga solar.

5. Bagi konteks nasional, jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Malaysia ada naik turunnya sejak lima tahun terdahulu. Dengan kehadiran pandemik COVID-19 sejak akhir 2019 yang merunsingkan seluruh dunia, Malaysia turut terjejas sama ada daripada sudut ekonomi, kesihatan mahupun sosial. Berikut adalah jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan oleh Malaysia: 

2016- RM 207.9 bilion
2017- RM 197.1 bilion
2018- RM 201.7 bilion
2019- RM 207.9 bilion 
2020- RM 164.0 bilion
2021- RM 107.5 bilion (Bagi tempoh Januari sehingga Jun)

6. Negara maju yang sentiasa menjadi pelabur utama di Malaysia adalah Jepun, Belanda, Amerika Syarikat dan China, manakala Singapura dan Indonesia adalah dua negara jiran yang turut menjadi antara pelabur utama di negara ini. Bagi tahun 2021, Singapura berada pada kedudukan teratas dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 43.5 bilion, diikuti oleh Korea Selatan (RM 6.3 bilion) dan Belanda (RM5.1 bilion).

7. Pelaburan terbahagi kepada dua, iaitu pelaburan domestik (DDI) dan pelaburan asing (FDI). Malaysia sentiasa didominasi oleh pelaburan domestik dengan peratusan melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan pelaburan. Namun begitu, lima tahun kebelakangan ini, hanya pada tahun 2018 dan 2021 sahaja pelaburan asing melebihi pelaburan domestik sehingga mencapai 2/3 jumlah pelaburan.

2016: DDI (72 peratus), FDI (28 peratus)
2017: DDI (72 peratus), FDI (28 peratus)
2018: DDI (34 peratus), FDI (66 peratus)
2019: DDI (60 peratus), FDI (40 peratus)
2020: DDI (60 peratus), FDI (40 peratus)
2021: DDI (42 peratus), FDI (58 peratus) 

8. Jumlah pelaburan di Kedah ini didominasi oleh FDI berbanding DDI, dan ia adalah antara bukti keberkesanan usaha kerajaan negeri melalui projek Invest Kedah Berhad. Hasilnya, sebanyak 1/3 peluang pekerjaan yang terhasil daripada keseluruhan projek pelaburan di Malaysia terletak di negeri Kedah.

9. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, pendapatan per kapita negeri Kedah tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan apabila masih berada pada kedudukan ke-13 di antara semua negeri di Malaysia sejak 1970 sehingga tahun 2000. Justeru, dengan jumlah pelaburan yang besar pada tahun 2021, ia diharapkan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat daripada pelbagai sudut sama ada ekonomi, politik dan sosial bermasyarakat. 

10. Kejayaan negeri Kedah membuktikan bahawa dengan usaha yang tepat dan konsisten, sesebuah kerajaan negeri mampu meningkatkan prestasi ekonomi negeri dan rakyatnya tanpa mengira status semasa negeri tersebut. Usaha ini sangat penting dalam memastikan Malaysia dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. 

ASYRAF SALLEH
Kluster Ekonomi & Kewangan
Jabatan Profesional Muda
Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM. Beliau juga adalah seorang Pegawai Penyelidik dan mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi.
Sumber: 

Johor sebagai gelanggang untuk BN menebus malu..

 

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berucap pada Pelancaran Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat di Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

BN akan terlalu yakin menang - Ahmad Zahid

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu yakin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun menang besar dalam PRN Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PRN Johor bukan pilihan raya yang biasa, namun amat istimewa untuk menjulang semula nama BN, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15.)

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ramai musuh politik BN yang berdepan dengan kekalahan sebelum ini, sudah tentu akan menjadikan Johor sebagai gelanggang untuk mereka menebus malu.

"Saya lihat berpusu-pusu jentera kita dengan penuh semangat datang malam ini. Dalam hal ini, kita pula jangan terlampau yakin walaupun kita menang banyak PRK (pilihan raya kecil), PRN Melaka dan rakan kita di Sarawak.

"Jangan pandang ringan strategi dan langkah yang akan dilakukan oleh mereka. Tetapi, saya yakin jentera BN amat tersusun dengan komitmen tinggi, semangat perkasa. Maka, tiada sebab BN tak boleh menang dan jadi kerajaan semula di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan Hasni akan dilantik semula sebagai Menteri Besar, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri nanti.

"Saya juga ingin pesan, tidak penting calon dari parti mana kerana apa yang penting mereka mewakili BN yang kesemua parti wajib menyokong. Tak kira dari mana.

"Selain itu, sekarang bukan masa yang sesuai untuk berbeza pendapat dan berhati-hati untuk mengeluarkan pandangan tidak kira ia bersifat peribadi atau rasmi, demi menjaga hati rakan-rakan dalam komponen," katanya.(BH)

Friday, February 04, 2022

Lawatan 4 hari ke Qatar -utusan khas PM.

 

Utusan Khas PM sempurnakan lawatan empat hari ke Qatar

PUTRAJAYA: Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyempurnakan lawatan kerja selama empat hari ke Qatar pada 31 Januari hingga 4 Februari  dengan mandat dan persetujuan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, tujuan lawatan itu adalah untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-Qatar yang sedia terjalin serta membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama di rantau Timur Tengah dan umat Islam seluruhnya.

Tambah kenyataan itu, sepanjang lawatan di Doha, Tuan Guru Abdul Hadi telah mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Qatar dan pemegang taruh utama seperti Perdana Menteri, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al- Thani, Menteri Perdagangan dan Industri, Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani, Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Lolwah binti Rashid Al-Khater.

Selain itu, Tuan Guru juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah, Qatar Fund for Development (QFFD), Khalifa Bin Jassem Al-Kuwari, Ketua Pegawai Eksekutif, Qatar Charity (QC), Yousef bin Ahmed Al-Kuwari, Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Sheikh Dr. Ahmed Raissouni dan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

“Fokus utama lawatan ini adalah untuk menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusian, di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat Bersama,” ujar kenyaatan itu yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu menambah, pada masa sama, Tuan Guru Abdul Hadi berkesempatan mengadakan kunjungan ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar yang baharu, disamping mengadakan majlis ramah mesra dengan kalangan rakyat Malaysia yang menetap di Qatar.

Sehubungan itu, Tuan Guru Abdul Hadi merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri Qatar, Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar dan Pejabat Kedutaan Qatar di Malaysia.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi sedang menjalani kuarantin di rumah mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – HARAKAHDAILY 4/2/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Fokus lawatan ini: 

(i) bekerjasama dengan Qatar. (ii) pembangunan semula Afghanistan. (iii) misi penyelarasan misi bantuan kemanusian, (iv) dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat bersama.

Puak-puak anti Islam dan pencetus Islamfobia mana mahu faham, pentaklik-pentaklik buta tulinya dan baruanya di Malaysia, mana reti?  

Lagi perkauman X tamadun AS, video polis tembak lelaki kulit hitam.

 

Polis AS menyiarkan rakaman yang menunjukkan pegawai menembak lelaki kulit hitam. - Foto AGENSI

Polis AS siar rakaman video polis tembak lelaki kulit hitam

WASHINGTON: Pihak berkuasa di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) semalam menyiarkan video kamera badan yang menunjukkan polis menembak seorang lelaki Afrika-Amerika berusia 22 tahun.

Menurut polis di bandar itu, tempat di mana lelaki berkulit hitam, George Floyd dibunuh pada 2020, Amir Locke ditembak Rabu lalu oleh pegawai yang melaksanakan waran geledah di pangsapuri yang didiaminya, selepas Locke mengeluarkan pistol dari bawah selimut.

Masa antara pegawai itu masuk dan tembakan yang dilepaskan adalah kurang daripada sepuluh saat.

Locke disahkan meninggal dunia di hospital.

Akhbar tempatan, Star Tribune melaporkan, Locke tidak dinamakan dalam waran geledah, namun dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek dalam siasatan kes pembunuhan.

Peguam keluarganya dalam satu kenyataan semalam berkata, Locke 'memiliki senjata api secara sah' dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ibunya memberitahu Star Tribune, "Kami mahukan keadilan untuk anak kami."

Dalam video berkenaan, seorang pegawai kelihatan menggunakan kunci untuk membuka pintu dan kemudian sekumpulan pegawai masuk sambil menjerit 'Polis, waran geledah!'.

Locke yang ketika itu berada di atas sofa, mula bangun dari bawah selimut, dengan pistol di tangannya, ketika polis melepaskan tembakan.

Keluarganya kekal menggunakan khidmat peguam, Ben Crump, yang sebelum ini mewakili ramai warga kulit hitam yang menjadi mangsa keganasan polis, termasuk George Floyd dan Breonna Taylor, yang mana pembunuhan mereka pada 2020 mencetuskan protes di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, Crump dijadual mengadakan sidang media secara maya bersama keluarga Locke pada pagi ini. - AFP

Komen Weblog Ibnu HasyimLagi perkauman tak tamadun AS, video polis tembak lelaki kulit hitam. Kalau tidak, tidak wujud le kasta bilik air di AS.

Video

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails