Saturday, November 11, 2017

Punca Banjir S/Perai, G/Eng Salahkan Kedah.. Tuntut Bayaran. -MB Kedah.


ALOR SETAR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan sengaja berhelah dengan menyalahkan Kedah dalam isu banjir di negeri itu bagi meredakan kemarahan rakyat terhadapnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sebagai pemimpin Guan Eng seharusnya bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi dan bukannya menuding jari kepada orang lain.
Mengulas lanjut beliau berkata, Guan Eng sepatutnya menguruskan masalah itu dengan memperbetulkan kesilapan berikutan masih mempunyai ruang dan masa untuk berbuat demikian.
"Saya faham kegusaran yang dialami Guan Eng kerana banjir yang berlaku ini agak luar biasa bagi Pulau Pinang...ini mungkin perkara baru bagi beliau.
"Sejujurnya saya tidak berminat untuk ikut campur dalam hal pentadbiran Pulau Pinang apatah lagi hal membabitkan projek pembangunan yang dikatakan sebagai antara punca banjir luar biasa ini terjadi.
"Biar lah Guan Eng uruskan sendiri jika ada yang silap boleh diperbetulkan... begitulah juga kita semua yang diberi amanah yang besar ini, " katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Guan Eng yang menyalahkan Kedah sebagai punca banjir di kawasan Seberang Perai masih belum surut.
Guan Eng berkata, banjir di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) sepatutnya sudah surut lebih awal, namun berlarutan kerana limpahan air dari negeri jiran itu.
Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Kedah akan membayar Pulau Pinang terhadap limpahan air berikutan negeri itu terpaksa berbuat demikian bagi bekalan air.
Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Bashah berkata, Guan Eng sebelum ini langsung tidak mahu berbincang soal bayaran untuk sama-sama melindungi dan memelihara kawasan tadahan air di Ulu Muda di Kedah.
"Ia bukan bayaran untuk bekalan air tetapi komitmen bersama untuk melindungi dan memelihara kawasan tadahan air berkenaan.
"Jadi bagaimana pula timbul soal bayaran kepada kerajaan negeri Kedah dengan jumlah tertentu sebelum ini?" katanya.
Ahmad Bashah turut meminta rakyat Pulau Pinang supaya bersabar dengan bencana banjir yang menimpa ini. (BH)

Komen Weblog Ibnu HasyimLima hari selepas Pulau Pinang dilanda banjir yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah, KM PP mengumumkan pelancaran "Pulau Pinang Bangkit" dengan peruntukan RM100 juta untuk membina semula negeri itu, serta bantuan RM500 kepada 100,000 isi rumah yang terkesan dengan musibah yang menimpa.

"Pulau Pinang Bangkit" adalah projek menaikan semula imej DAP yang terjejas teruk akibat siri banjir kilat yang berulang-ulang sepenjang tahun ini. Ada pula yang bertanya..
"Sekadar nak tanya tentang pemberian RM400 secara “one-off” kepada mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat kerosakan bangunan dan kenderaan ekoran banjir pada 15 September 2017 lalu telah sempurna ke?
"Walaupun bayaran itu bukan “precedent”seharusnya diselesaikan sebelum janji baru RM500 untuk 100k isi rumah. Jangan nak kejar publisiti dan menaikan imej DAP, kebajikan pendudukan yang menjadi mangsa terabai."
IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat. Begitu juga mengenai kerja petik buah.

Penduduk Memali Bina Kehidupan Baharu


KAMPUNG Memali yang terletak di Mukim Siong, Baling di Kedah mula dikenali ramai selepas peristiwa berdarah di kampung tersebut pada 19 November 1985.
Tragedi itu tercetus setelah polis melancarkan operasi untuk menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Dalam peristiwa tersebut, seramai 14 penduduk termasuk Ibrahim Libya terbunuh manakala empat lagi anggota polis turut terkorban.
Pada waktu itu, kebanyakan penduduk di Kampung Memali begitu taksub dengan fahaman politik yang ekstrem sehingga timbul isu kafir-mengkafir dan pulau-memulau.
Bagaimanapun, selepas 32 tahun peristiwa itu berlalu, penduduk di kampung berkenaan kembali hidup dalam suasana yang cukup harmoni, mesra dan saling hormat-menghormati.
Selain itu, taraf ekonomi penduduk di kampung yang terletak tidak jauh dari sempadan Thailand itu semakin baik apabila terdapat dalam kalangan generasi muda yang bekerja di dalam sektor kerajaan dan berniaga. Bagaimanapun, terdapat sebahagian penduduk masih bekerja sebagai penoreh getah dan petani.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Memali, Mhd. Khir Ibrahim, 62, berkata, Kampung Memali yang berasal daripada sejenis pokok bernama Mali-mali mempunyai seramai 400 penduduk.


OMAR (kanan) mengetuai projek ternakan madu kelulut di Kampung Memali.



Gembira
Menurutnya, kawasan kampung berkenaan yang berkeluasan kira-kira dua kilometer persegi terletak berdekatan Selatan Thailand mempunyai hubungan dengan masyarakat Patani di selatan negara jiran itu sejak dahulu.
“Saya gembira penduduk di kampung ini kini hidup dalam suasana cukup mesra dan erat sejak beberapa tahun lalu.
“Pada masa ini, tiada lagi masalah politik ekstrem dalam kalangan penduduk apabila mereka menunjukkan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu seperti majlis kenduri perkahwinan dan kematian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kampung berkenaan baru-baru ini.
Mhd. Khir memberitahu, kampung tersebut yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu dan Parlimen Baling juga tidak terlepas daripada arus pembangunan walaupun terletak jauh di kawasan pedalaman.


Muhammad Mahyudin mengusahakan kedai runcit yang menjadi tumpuan penduduk kampung membeli barangan keperluan harian.



Manfaat
“Penduduk di kampung ini telah mendapat manfaat daripada pembinaan jalan dari Bandar Baling ke kawasan sempadan negara jiran di Durian Burung, Padang Terap yang merentasi kampung berkenaan, selain kemudahan asas lain seperti bekalan air dan elektrik,” katanya.
Dalam pada itu, Imam Masjid Charok Puteh, Rashid Sudin, 63, pula berkata, penduduk di Kampung Memali tanpa mengira fahaman politik bersembahyang di masjid berkenaan yang terletak bersebelahan dengan kampung tersebut.
Menurutnya, sebuah lagi masjid berhampiran dengan Kampung Memali adalah Masjid Pecah Sawa.
Katanya, ahli jawatankuasa Masjid Charok Puteh sentiasa menganjurkan program ceramah agama bagi menggalakkan lebih ramai ahli kariah penduduk Memali mengimarahkan masjid itu.
Selain itu, tambahnya, beberapa program lain juga diadakan seperti gotong-royong, majlis korban pada Hari Raya Aidiladha dan acara penyampaian bantuan.
“Perkara yang membanggakan, penduduk Memali tanpa mengira fahaman politik dan peringkat usia memberi sambutan yang baik dalam menjayakan program-program tersebut,” katanya.
Ketua Peneroka Felcra Weng, Memali, Omar Abu Bakar, 60, berkata, seramai 43 peserta di tanah rancangan itu mengusahakan projek menternak madu kelulut secara berkelompak sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, peserta terbabit akan bergotong-royong mengutip madu kelulut itu kira-kira tiga minggu sekali untuk dijual dan hasil pendapatan dikumpulkan terlebih dulu sebelum diagihkan pada musim persekolahan dan perayaan.
“Pada masa ini, kami mempunyai 380 sarang madu kelulut dan sekali kutipan mendapat hasil kira-kira 69 kilogram madu. Madu kelulut ini dijual kepada Felcra pada harga RM200 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, peserta terbabit juga merancang untuk menambah bilangan sarang madu kelulut itu dari semasa ke semasa bagi memberi pulangan pendapatan yang lebih tinggi.
“Selain itu, projek menternak madu kelulut ini diharapkan dapat menarik pelancong berkunjung ke Felcra Weng, Memali ini untuk melihat secara dekat penternakan madu kelulut,” katanya.


GAMBAR fail tragedi Memali yang berlaku 32 tahun lalu.



Maju
Seorang peniaga kedai runcit, Muhammad Mahyuddin Abd. Rahman, 41, berkata, perniagaan kedai runcit yang diusahakan sejak empat tahun lalu di kampung itu semakin maju dan dia merancang untuk membuka sebuah lagi kedai runcit untuk memenuhi permintaan penduduk dalam tempoh terdekat.
“Pelanggan kedai runcit saya ini bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah orang ramai yang melalui jalan baharu dari Baling ke Durian Burung untuk ke pintu sempadan Malaysia dan Thailand turut singgah di sini,” katanya.
Selain itu, Muhammad Mahyuddin memberitahu, kedai runcitnya menjadi tumpuan penduduk kerana kedudukan kampung itu agak jauh dari bandar Baling untuk mereka membeli barangan keperluan harian.(Kosmo!)
IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat. Begitu juga mengenai kerja petik buah.

3,797,785 Warga Layak Mengundi Belum Daftar - Azalina



KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa jumlah pemilih berdaftar sehingga 30 Jun lalu ialah 14,622,881 orang.

Beliau berkata, jumlah pemilih baru yang didaftarkan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun lalu ialah 409,564 orang manakala jumlah pendaftaran menukar alamat bagi tempoh yang sama ialah 152,832 orang.

"Jumlah warganegara berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mendaftar tetapi belum mendaftar sebagai pemilih sehingga 30 Jun lalu ialah 3,797,785 orang," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018.

Azalina turut berkata, kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya sedang disiapkan sebelum tempoh dua tahun kajian berakhir pada 14 September 2018.

Katanya, syor kajian itu akan dibincangkan selepas laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, pindaan Akta Insolvensi 1967 yang berkuat kuasa Oktober lalu dijangka akan mengurangkan jumlah kes yang dijatuhkan perintah kebankrapan sebanyak 50 peratus, iaitu pengurangan kira-kira 10,000 kes setahun.

"Pindaan itu juga dijangka melepaskan lebih kurang 50,000 bankrap yang layak dilepaskan secara berperingkat-peringkat iaitu penjamin, bankrap disahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai seorang yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya dan bankrap yang disahkan pegawai perubatan kerajaan," katanya.

INFO

* 23,036 orang berusia 25-34 tahun diisytihar bankrap sejak 2013-Ogos 2017

* 1,109 orang berusia 25 tahun ke bawah diisytihar bankrap (tempoh sama)

- Antarapos


IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat. Begitu juga mengenai kerja petik buah.

Belum Apa-apa, DAP Seleweng Dana Banjir RM1.185J? Ini..


TRAGEDI banjir besar yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini telah menampakkan betapa kerajaan pusat begitu prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia tanpa kira apa jua fahaman politik.

Menurut laporan media, sejumlah RM1 bilion diperuntukkan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang bagi menguruskan semula keadaan negeri itu pasca bencana di samping bina 13 beting penahan banjir di seluruh negeri berkenaan.
Pada masa sama, DAP Pulau Pinang turut melancarkan tabung derma kilat buat kerajaan negeri berkenaan sehingga menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan sendiri kerana diragui dari segi ketelusannya!
Ini terbukti apabila Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dengan bangga mengumumkan sebanyak RM6.185 juta berjaya dipungut hasil daripada sumbangan orang ramai dan beberapa buah syarikat pro-parti itu.
Namun begitu, daripada jumlah ini, menurut laporan portal berita propembangkang tersebut semalam, hanya RM5 juta sahaja kemudian diagihkan DAP kepada seluruh rakyat yang terjejas akibat banjir terburuk berkenaan.
Mengikut pecahan, cuma RM500 diberikan kepada lebih 3,000 orang mangsa yang terjejas, setelah mereka dikecualikan daripada bayar bil air untuk dua bulan dan dikecualikan beberapa jenis cukai juga untuk dua bulan.
Menariknya, daripada jumlah diumumkan oleh Kon Yeow ini jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh kerajaan negeri sendiri, baki sebanyak RM1.185 juta itu pula tidak diserahkan kepada rakyat Pulau Pinang.
Sedangkan, jika menurut pemahaman sebelum ini, kerajaan DAP negeri itu mengumumkan, setiap hasil derma yang berjaya dipungut, akan diserah balik seratus peratus kepada seluruh rakyat Pulau Pinang terjejas sebagai mangsa.
Timbul persoalan, ke manakah hilang wang RM1.185 juta yang dikutip itu telah dibelanjakan? Kenapa pula masih terdapat baki wang sebanyak itu dan ia disimpan begitu sahaja oleh DAP? Walhal ia dikutip untuk bantu mangsa!
Jika menurut perkiraan kasar, sekiranya RM6.185 juta berkenaan dibahagikan sama rata kepada 3,000 mangsa banjir, setiap seorang mendapat RM2,266 manakala jika cuma RM5 juta, setiap seorang memperoleh RM1,666.
Bukankah agak pelik jika diperhatikan kepada jumlah yang diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada mangsa banjir di Pulau Pinang? Mudah cakapnya kutip banyak tapi agih sikit sahaja… Mana keadilannya?
Benarlah seperti yang disarankan oleh salah seorang pemimpin UMNO di Pulau Pinang yang berkata, sepatutnya, setiap seorang rakyat Pulau Pinang terjejas akibat banjir dahsyat ini wajar menerima RM2,000 setiap seorang.
Malah, amaun ini mungkin akan menjadi lebih tinggi sekiranya kediaman mereka terjejas teruk dan tidak lagi boleh didiami. Kini, terserah kepada Guan Eng untuk menerangkan misteri ke mana hilangnya RM1,185 juta lagi.
Ia kini telah tular dan menimbulkan tanda tanya ramai pihak khususnya di Pulau Pinang kerana pentadbiran negeri itu konon bangga melaungkan konsep ketelusan dan akauntabiliti. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


IKLAN:

Informasi Baru Peluang Kerja Di Australia -Ibnu Hasyim.
Pihak kontraktur di Australia membuka peluang kerja-kerja baru bagi sektor pembinaan di bandar-bandar di Australia. Berminat, pihak kami sedia bekalkan maklumat. Begitu juga mengenai kerja petik buah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails