Saturday, May 08, 2021

Wartawan Muslim Ditahanan Myanmar, Dimasukkan ke Penjara kerana Berpuasa.

 

WARTAWAN Muslim Kay Zon Nway, yang ditahan pada bulan Februari kerana melaporkan tunjuk perasaan anti-rampasan kuasa di Myanmar, dipenjara kerana berpuasa

Nilar Khine, peguam wartawan Nyaw, yang bekerja di laman web Myanma Now, menyatakan bahawa kliennya telah ditahan di dalam sel sejak 28 April semasa perbicaraannya semalam.

Menyatakan bahawa Nyaw dibawa ke sel dengan alasan dia mogok makan kerana berpuasa di bulan Ramadhan, peguam Khine berkata,

"Nyaw tidak membantah selama dia disana. Dia hanya berpuasa selama bulan Ramadan. Dia ditahan di penjara tanpa alasan." katanya.

Khine mengumumkan bahawa dia telah membuat permintaan ke pengadilan militer agar anak guamnya dikeluarkan dari sel.

Menurut data dari Bantuan Politik untuk Tawanan (AAPP), 48 wartawan telah ditahan di Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Februari. (IH)

Tentera Myanmar Melarang Penggunaan Penerima Satelit Televisyen Antarbangsa
Tiga Bom Meletup di Myanmar, Ahli Politik Maut

Bilangan Kematian dari Demonstrasi Anti Rampasan Kuasa di Myanmar Meningkat
Tentera Myanmar Anjur Serangan Udara Terhadap Pasukan Etnik Minoriti

Biadap DAP? Penolakan saman pemula.. -Dr Kamarul Zaman 4.

 

4. Penolakan saman pemula gagalkan kedengkian kepada PAS

...mereka memohon pengisytiharan bahawa Dato’ Seri Abdul Hadi telah menghasut dan tidak layak memegang jawatan dalam pemerintahan Malaysia..

PADA 2 April 2020, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri berkuatkuasa serta merta.

Berikutan itu, pada 9 Disember 2020, dua penganut Kristian dari Sabah, Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian memfailkan saman pemula terhadap beliau di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam saman pemula ini, mereka memohon pengisytiharan bahawa Dato’ Seri Abdul Hadi telah menghasut dan tidak layak memegang jawatan dalam pemerintahan Malaysia, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Peliknya, tindakan menghasut yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi ini bukanlah satu tindakan baru tetapi adalah satu tindakan lama, iaitu kononnya melalui kenyataan yang diterbitkan dalam Harakah  pada 18 Januari 2016.

Sepatutnya bila ada laporan polis dibuat kepada mana-mana pihak, dalam kes ini kepada Dato’ Seri Abdul Hadi, semua pihak perlulah meletakkan kepercayaan kepada pihak polis dan pendakwa raya untuk menyiasat dan membuat keputusan.

Bila tidak ada pendakwaan dibuat ke atas Dato’ Seri Abdul Hadi maka nyatalah bahawa tidak ada apa-apa perbuatan menghasut yang dilakukan oleh beliau di dalam kenyataan yang diterbitkan dalam Harakah  pada 18 Januari 2016 tersebut.

Malang sungguh bila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak polis dan pendakwa raya serta membawa kes ini ke mahkamah untuk menggunakannya bagi menghalang Dato’ Seri Abdul Hadi dari memegang jawatan kerajaan.

Syukurlah bila Hakim Dato’ Akhtar Tahir membenarkan permohonan Dato’ Seri Abdul Hadi untuk membatalkannya dengan memutuskan bahawa saman itu tidak mempunyai ‘locus standi‘, remeh dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dapatan lain mahkamah ialah Dato’ Seri Abdul Hadi tidak menghasut serta Mahkamah Sivil tidak boleh digunakan untuk menguatkuasa undang-undang jenayah dan tidak boleh mengambil alih kuasa Pendakwa Raya dan Perdana Menteri.

Lebih menarik lagi adalah kenyataan Hakim Dato’ Akhtar bahawa jika ada pihak yang hendak dipersalahkan kerana menghasut adalah pihak yang menyaman sendiri kerana membangkitkan semula perkara lama dan menjadikannya isu baharu.

Saman pemula ini jelas merupakan satu manifestasi kepada kebusukan hati pihak tertentu yang sedaya-upaya mahu memburukkan imej PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi, termasuk dengan menghalang beliau dari memegang jawatan kerajaan.

Begitulah teruk sekali dengkinya pihak ini kepada PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi padahalnya PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi sendiri tidak pernah walau sekalipun cuba menghalang mana-mana pemuka Kristian dari memegang jawatan kerajaan.

Tahniah kita ucapkan kepada peguam-peguam yang mewakili Dato’ Seri Abdul Hadi, iaitu Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan, di atas kejayaan mereka memulihkan imej PAS dan Dato’ Seri Abdul Hadi yang cuba hendak dicemari ini.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 8/5/2021

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Israel 'bukan negara, sebaliknya pangkalan pengganas. -Khamenei

 

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - Foto AFP

TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sempena ulang tahun demonstrasi pro-Palestin hari ini, berkata Israel 'bukan negara, sebaliknya pangkalan pengganas' dan mendesak negara Islam untuk memeranginya.

"Israel bukan negara, tetapi pangkalan pengganas terhadap bangsa Palestin dan negara Muslim lain.

"Memerangi rejim kejam ini adalah memerangi penindasan dan keganasan dan (ia) adalah tugas semua orang," katanya menerusi ucapan disiarkan secara langsung di televisyen sempena Hari Al-Quds (Baitulmaqdis)

Kenyataan itu susulan ketegangan antara musuh daerah, selepas rangkaian serangan maritim, letupan di kemudahan nuklear Iran dan pembunuhan seorang saintis nuklear terkemuka, yang didakwa didalangi Israel.

Hari Quds diraikan setiap tahun sejak awal revolusi Islam Iran untuk menyokong rakyat Palestin, tetapi tahun ini demonstrasi nasional tidak dilakukan susulan COVID-19.

Di sebalik sekatan itu, sejumlah orang ramai keluar 'secara spontan' di ibu kota Tehran, lapor televisyen kerajaan, memaparkan kejadian membakar bendera dan nyanyian 'Kehancuran bagi Amerika Syarikat dan Israel'.

Khamenei turut menegaskan, 'kemunduran musuh rejim Zionis sudah bermula dan tidak akan berhenti'.

Beliau mengecam normalisasi hubungan Israel dengan 'beberapa pemerintah Arab lemah' sebagai usaha melemahkan 'mimpi buruk kesatuan Muslim', selain menyeru rakyat Palestin terus menentang dan pemerintah Muslim untuk menyokong mereka.

Republik Islam tidak mengiktiraf negara Israel, dan menyokong perjuangan Palestin dengan ia menjadi tonggak dasar luar Iran sejak revolusi 1979. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tak kira sunni-syiah, pengganas antarabangsa, penentang Islam, semuanya wajib dihalangi dan diperangi. Negara umat Islam wajib memeranginya.

Sila lihat..

Permintaan daging tinggi, lembu pula dipaksa berenang, rentas Sungai Golok

 

Ekoran permintaan daging tempatan yang tinggi, sekumpulan lelaki menyeludup masuk 13 lembu bernilai RM91,000 dari Thailand, yang diheret menggunakan perahu ketika menyeberangi Sungai Golok. - Foto hiasan

KOTA BHARU: Ekoran permintaan daging tempatan yang tinggi, sekumpulan lelaki menyeludup masuk 13 lembu bernilai RM91,000 dari Thailand, yang diheret menggunakan perahu ketika menyeberangi Sungai Golok menerusi pangkalan haram Mek Gombak dekat Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata hasil maklumat yang diterima, anggota Strike Force PGA7 membuat pemerhatian awal di tebing Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Mek Gombak kira-kira 10.30 pagi.

"Hasil pemerhatian anggota bertugas mendapati beberapa lelaki yang tidak dikenali mengheret beberapa ekor lembu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok dari sebelah sempadan Thailand ke Malaysia.

"Seterusnya anggota PGA7 telah mengekori kumpulan lelaki yang mengheret lembu itu ke dalam hutan berhampiran dipercayai untuk disembunyikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 membuat kawalan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand.

Bagaimanapun, katanya menyedari kehadiran pihak PGA7, kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu tersebut bertindak melarikan diri di kawasan semak berhampiran dengan melepaskan tali-tali yang terikat pada lembu.

Azhari berkata, pasukan Strike Force cuba mengejar tetapi tidak berjaya mengesan kumpulan lelaki tersebut yang disyaki sudah menghilangkan diri ke dalam hutan.

"Hasil pemeriksaan di kawasan semak berhampiran, pihak PGA7 menemukan 13 ekor lembu. Pasukan serbuan menunggu selama 30 minit di kawasan semalam berdekatan tetapi tiada individu datang menuntut lembu-lembu tersebut.

"Difahamkan, kesemua lembu itu diseludup masuk ekoran permintaan yang tinggi di sini terhadap daging lembu pada bulan Ramadan selain harga daging yang meningkat tinggi sekarang," katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu pihak PGA7 bertindak merampas kesemua lembu tersebut dan membuat laporan polis di Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan agensi yang berkaitan.

"Kesemua lembu yang dirampas dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia ( Maqis ) 2011," katanya. – BERNAMA


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails