
      
by
 Dr Azhari Ariffin DENGAN memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam  Harakah, antara lain menyatakan:
“Ibadat zakat sebagai contoh,  sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan  bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan  kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung  sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan  modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab,  maka berlakulah pelbagai penyelewengan." 
 
 Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat  ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi  perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan  amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.
  
 Pertama: Pengurusan Zakat
  
 Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan  agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan  zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma  pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan  semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan  pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.
  
 Kedua: Pelaburan Harta Zakat
  
 Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di  kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting  menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku  Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh  Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan  lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak  menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang  dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun  begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan  supaya selamat daripada sebarang kerugian.
 Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat
 Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan  dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:
  
 Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk  menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang  lahir akibat kefakiran tersebut.
  
 Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.  
- Yang utamanya ialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur. 
- Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain . 
- Ketiganya,  kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang  memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan  oleh Allah.
- Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai  bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk  yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang  disalah gunakan penyalurannya.
 
 Majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak  mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat.  Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang Islam pada  zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang  Islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga  sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya  juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan,  penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport   dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan  kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.
  
 Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya  untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi  menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja  pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih  menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta  zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.
  
 Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang  yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang  tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman  dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan  zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak  mampu menutup keperluan orang-orang fakir.
  
 Seterusnya  timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.
  
 Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.
  
 Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan  asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hukum-hakam Islam  tidak  menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan  sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara  kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.
  
 Semoga respons yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman  kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah Tuhan. (Hrkh)
  Artikel di atas oleh penulis dan Panel Penyelidik Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat.