Saturday, June 23, 2018

Halatuju Kewangan &Ekonomi Negara G/Eng Diragui. -Zakaria Ismail.




MUKADDIMAH
Antara hasrat besar rakyat Malaysia menjatuhkan Kerajaan BN dalam PRU14 adalah untuk melihat kewangan dan ekonomi negara yang lebih stabil, diuruskan dengan berhemah dan profesional. Dasar-dasar kewangan dan ekonomi negara juga diharap tidak akan disalahgunakan oleh golongan politik berkelas atasan bagi mendapat laba politik untuk parti pemerintah semata-mata, atau untuk peribadi mereka sahaja.
Lantaran itu isu salah urus dalam 1MDB, derma RM 2.6 billion, GST, kejatuhan Ringgit, kehilangan keyakinan pelabur di Bursa Saham, detailkontrak kereta api dengan Kerajaan China yang meragukan, kenaikan harga minyak dan barang keperluan menjadi isu-isu serius yang dibincangkan oleh rakyat Malaysia sebelum PRU.
Harapan rakyat, tanpa BN isu-isu ini akan segera diambil perhatian oleh kerajaan baru dan ekonomi negara akan dipulihkan dengan jayanya. Justeru, mengelakkan bencana negara kehilangan daya saing, atau lebih teruk negara 'muflis' jika terus kekal di bawah BN.
Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan
Langkah awal Kerajaan PH untuk memulihkan persepsi buruk pengurusan ekonomi negara ialah dengan mengumumkan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
Namun pelantikan LGE sebagai Menteri Kewangan yang baru ini telah mengundang persepsi berbeza daripada pelbagai lapisan masyarakat.
PH menganggap beliau calon paling sesuai kerana latar belakang beliau sebagai 'akauntan' dan 'tulang belakang' kepada pengurusan kewangan yang baik di Pulau Pinang.
Pandangan pengkritik
Namun ada juga yang mempersoalkan mengenai kewajaran Menteri Kewangan daripada bukan Melayu yang dibimbangi kurang cenderung untuk mengambil perhatian isu-isu kewangan yang menghimpit Bangsa Melayu dan Bumiputera yang merupakan majoriti rakyat Malaysia. Isu-isu ini adalah isu sebenar orang Melayu yang gagal ditangani oleh Umno, disebabkan dasar Umnoputra dan Ali Baba mendahului kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
Dan ramai juga yang mempersoalkan mengenai pertuduhan kes ke atas beliau yang sedang dibicarakan. Harapan rakyat, Kerajaan PH akan melantik Menteri Kewangan "yang bukan sahaja bersih dan berkemampuan, tetapi dia juga mestilah dilihat bersih." Slogan yang sering digunapakai oleh pimpinan PH sebelum berkuasa.
Lebih memilukan, Hakim yang mendengar kes LGE, Datuk Hadhariah Syed Ismail semasa mengulas permohonan Peguam LGE bagi menangguhkan perbicaraan beliau sehinggalah Peguam Negara baru yang akan dilantik memulakan tugasnya, dilaporkan berkata, "Ini adalah pertuduhan jenayah di mana tertuduh perlu hadir ke Mahkamah. Namun hari ini, salah seorang tertuduh mengangkat sumpah sebagai Menteri".
Ini memberikan isyarat yang tidak baik kepada tadbir urus negara. Iaitu PH sebagai pihak eksekutif bebas untuk campur tangan dalam urusan pihak Kehakiman, saling tak tumpah seperti era BN.
1MDB: Menteri Kewangan sebagai pendakwa, hakim dan pengkritik utama Najib 
Sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan, LGE memanggil Pegawai-pegawai Utama 1MDB pada 23 Mei untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes tersebut di atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan. Ini adalah baik.
Malangnya, beliau seterusnya membuat sidang media dan mendedahkan maklumat-maklumat yang lebih mengejutkan mengenai 1MDB. Kesimpulannya, Najib dan Kerajaan BN memang jahat.
Dengan itu, beliau telah berperanan sendirian sebagai pendakwa dan hakim. Di samping mengekalkan kedudukan beliau sebagai pengkritik Nombor Satu 1MDB.
Ini adalah sangat bertentangan dengan falsafah 'natural justice' dalam bidang perundangan. Tertuduh didakwa dan diputuskan salah oleh majikan barunya yang telah lama menampakkan 'permusuhannya'.
Kesan kepada pasaran Saham 
Tindakannya itu dilihat popular di dalam komuniti politik.
Tetapi sangat tidak popular dalam komuniti perniagaan dan pelaburan. Menteri Kewangan baru PH ini dilihat terlalu naif kerana tidak menyedari bahawa kenyataan yang dibuat di atas kedudukan beliau sebagai Menteri Kewangan adalah sangat sensitif kepada sentimen pasaran.
Saham di Bursa Malaysia jatuh. Pelabur dilihat mula menarik keluar pelaburan mereka daripada Bursa Saham dengan nilaian berbillion Ringgit.
Kesilapan 'novice' LGE, turut mendapat 'kritikan mesra' daripada Datuk Kadir Jasin. Pegawai media Kerajaan baru PH.
Hutang RM 1 Trillion
Seterusnya, Menteri Kewangan mengisytiharkan hutang negara hampir mencecah RM 1 trillion. Kata beliau, Menteri Kewangan yang lepas telah memanipulasikan angka kewangan negara yang sebenar dengan teknik 'creative accounting'.
Di mana hutang negara yang sebenar menurut beliau berjumlah RM 1 trillion. Bukannya RM 686.8 billion seperti yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu.
Kerajaan BN yang lepas, masih terus menjadi 'budak belasahan'nya pada era PH telah pun membentuk Kerajaan Persekutuan.
Angka inilah yang agaknya telah dimaklumkan kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. 'Kelat' sekali wajah Tun Mahathir apabila mengisytiharkan hutang negara sebenarnya sebanyak RM 1 trillion dalam satu sidang medianya. Sedih dan terlalu di luar jangkaan Perdana Menteri.
Rupanya, hutang negara yang dikira oleh Menteri Kewangan yang baru tidak memakai praktis standard pengiraan hutang negara oleh Bank Negara dan banyak Bank-bank Pusat yang lain. Praktis standardpengiraan hutang negara hanyalah Hutang Rasmi Kerajaan. Kiraan sepatutnya tidak termasuk liabiliti 'Komitmen jaminan hutang oleh kerajaan'.
Akhirnya pada 26 Mei, Kementerian Kewangan membuat siaran media bahawa hutang rasmi negara hanyalah sebanyak RM 686.8 billion, iaitu 50.8 peratus daripada KDNK. Namun 'Komitmen jaminan hutang oleh kerajaan' yang berjumlah RM 199.1 billion turut diambil kira sebagai hutang Kerajaan Persekutuan, menjadikan totalnya sebanyak RM 885.9 billion, iaitu 65.4 peratus daripada KDNK.
Oleh itu kewangan negara berada pada tahap yang mencemaskan!
Rupanya jumlah RM 1 trillion adalah pengiraan secara 'loncong' atau mudah disebut sahaja, bukan nilai sebenar. Jumlah sebenar Hutang Rasmi Negara dicampurkan sekali dengan 'komitmen jaminan hutang oleh kerajaan' pun taklah sampai berjumlah RM 1 trillion.
Sungguh menyayat hati, Menteri Kewangan baru PH bercakap mengenai data kewangan negara seperti penjual borong di Pasar Besar Selayang sahaja.
Inilah 'creative accounting' bentuk baru Menteri Kewangan yang baru menggantikan Datuk Seri Najib.
Pengisytiharan hutang negara yang terlalu tinggi ini, sekali lagi menghakis keyakinan pelabur asing mengenai keupayaan Kerajaan Malaysia menguruskan dan melunaskan hutangnya dengan baik.
Tabung Harapan
Malangnya, Lim Guan Eng tidak mahu menarik balik kesilapannya mengenai fakta hutang negara.
Walaupun beliau mengaku Hutang Rasmi Negara adalah RM 686.8 billion, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataan awalnya dengan menegaskan 'hakikat sebenar' hutang negara adalah RM 1 trillion.
Lebih daripada itu, beliau mengambil langkah politik berbentuk populis iaitu menubuhkan 'Tabung Harapan' untuk mengutip derma daripada rakyat Malaysia yang 'patriotik'. Siapa yang menderma akan diberi tanggapan 'sanggup berkorban untuk negara' dan 'sayangkan negara'.
Bahkan, ada juga Mufti dan Agamawan yang sampai terheret dengan strategi populis ini. Mereka juga mahu menunjukkan semangat patriotik mereka kepada negara dengan menderma kepada Tabung Harapan secara terang-terangan dengan wajah yang tersenyum simpul.
Rakyat yang telah menghadapi pelbagai kesukaran ekonomi pada era Kerajaan BN, sekali lagi diheret untuk sama-sama memikul beban yang sepatutnya boleh diuruskan dengan baik oleh Kerajaan PH.
Sepatutnya Kementerian Kewangan menunjukkan usaha yang lebih serius bagi mendapatkan semula aset-aset dan duit penyelewengan dana 1MDB dan lain-lain, bagi mengurangkan beban hutang negara yang sebenarnya tidak mencecah RM 1 trillion itu.
Itulah hasrat Perdana Menteri di dalam satu sidang media beliau selepas kemenangan PH. Dan ia adalah hasrat sebenar rakyat Malaysia. Rakyat tidak mahu lagi disusahkan.
Malangnya, Menteri Kewangan hanya suka bermain 'creative accounting' dan memanipulasi angka. Suatu yang kita tidak jangka akan berlaku lagi pada zaman pentadbiran PH.
Sekali lagi langkah bersifat populis ini, menghakis keyakinan pelabur tentang keupayaan Kerajaan baru dalam menguruskan pembayaran balik hutang negara. Pelabur melihat kerajaan baru berdepan dengan masalah hutang negara di luar kawalan dan kemampuan kerajaan, sehingga terpaksa merayu belas ihsan rakyat memberikan sumbangan langsung di atas nama 'derma'.
Berbillion Ringgit pelaburan asing terus keluar daripada pasaran Malaysia.
Mendapat modal besar untuk tidak melaksanakan manifesto  
Hutang negara sebanyak 'RM 1 trillion' itu betul-betul diangkat tinggi sebagai sebab utama atau 'excuse' untuk menangguhkan beberapa Manifesto 100 hari PH.
Menguruskan Kementerian Kewangan sepatutnya tidak boleh terlalu mengejar kepentingan politik kepartian. Dasar CAT yang kononnya dipegang oleh Menteri Kewangan yang baru sudah di'capati'kan sejak bulan pertama menjalankan tugas rasmi.
Ungkapan masyhur rentetan daripada itu ialah, "Kita nak buat, tapi BN tinggalkan hutang yang terlalu besar. Berikanlah kami tempoh yang lebih panjang". "Hari ini berkahwin, bukan besok terus dapat anak".
Hasilnya, tol belum lagi dihapuskan. Hanya diberi diskaun 50 peratus selama 2 hari. Minyak RON95 dikekalkan tinggi seperti era BN. Minyak RON97 meningkat melampaui harga pada zaman BN. Pelajar yang berhutang dengan PTPTN dan belum mendapat gaji RM 4000, terpaksa juga terus membayar komitmen bulanan seperti era BN.
Tak apalah, rakyat Malaysia tetap dapat menonton siaran langsung Piala Dunia di RTM dengan belanja RM 30 juta. Tajaan Air Asia dan Maxis, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Kejatuhan Indeks KLCI di Bursa Malaysia
Pada 18 April 2018, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) mencapai tahap tertingginya mencapai paras 1895.18 mata.
Selepas PRU ke-14, ia semakin menurun.
Kelmarin, 21 Jun 2018, jam 12.30 tengah hari, Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut di bawah paras kritikal 1,700 apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28.
Ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak 8 Feb, 2017 apabila FBM KLCI ditutup pada 1,688.50. Kejatuhan lebih 203.9 mata menyusut sejak mencapai paras tertinggi.
BN sudah tiada. Kita harap Menteri Kewangan PH lebih menumpukan tumpuan untuk menjadikan Malaysia Baru lebih mesra pelabur seperti yang dipertegaskan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Bukan masih lagi masih seronok ber'silat pulut' mempromosikan Tabung Harapan semata-mata.
Nilai Ringgit
Selepas 10 Mei 2018, Ringgit berbanding US Dollar ialah 3.9670. Pada 21 Jun, Ringgit semakin lemah, Ringgit berbanding USD ialah pada 4.0120.
Penganalisis Ekonomi di DBS Group meramalkan Ringgit akan menyusut sehingga 4.20 pada akhir tahun ini.
Kelemahan Ringgit ini akan menjejaskan ekonomi negara secara signifikan kerana Malaysia banyak mengimport barang-barang keperluan dalam negara daripada negara-negara luar. Jika berlaku begitu, kenaikan harga barang adalah mungkin lebih teruk daripada era GST.
Rizab Negara menyusut
Dakwaan PH sebelum pilihan raya ke-14, bahawa berada pada paras kritikal menuju muflis akhirnya tersangkal dengan nilai Rizab Negara yang masih kukuh.
Namun yang membimbangkan kita ialah Rizab Antarabangsa Bank Negara mengalami trend 'menyusut' sejak PH mengambil alih Putrajaya.
Pada akhir April, iaitu sebelum PRU ke-14, Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah USD 109. 524 billion.
Pada 31 Mei 2018, iaitu sejurus selepas PH memenangi PRU, ia menyusut kepada USD 108.5 billion. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Terbaru, Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah USD 107.9 bilion pada 14 Jun 2018. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Kejatuhan nilai pelaburan KWSP
Pada 18 Jun 2018, Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam 10 Syarikat Tersenarai Awam (PLC) jatuh 12 peratus pada bulan pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, demikian lapor The Edge Markets.
Jumlah kejatuhan nilai ialah RM 6.09 billion. Iaitu kejatuhan kepada RM 45.12 billion daripada RM 51.21 billion di dalam nilai pelaburan.
10 Syarikat Tersenarai Awam itu ialah yang Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), IJM Corp Bhd, Gamuda Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), Axiata Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd (TNB), CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Genting Plantations Bhd.
RM 6.09 billion hilang tak sampai sebulan selepas pertukaran kerajaan. Sedangkan Tabung Harapan baru saja mencecah RM 74, 695, 510.12 pada 17 Jun baru-baru ini.
Kesimpulan 
Kerajaan PH dilihat bergelut menguruskan ekonomi negara sekalipun dibarisi oleh individu-individu yang dilihat sangat berkemampuan menguruskan ekonomi negara.
Mungkin kita perlukan Menteri Kewangan yang baru.
Imej LGE dalam sebulan ini lebih dilihat sebagai penyiasat yang cekap dan tegas di Kementerian Kewangan. Bertugas untuk membongkar penyelewengan Kerajaan BN 'at all cost'. Bukan sebagai Menteri Kewangan.
Imej LGE itu sangat tidak mesra pelabur. Setiap kali LGE muncul di media, pelabur dan komuniti perniagaan gusar dan bimbang dan ketidak-tentuan yang mungkin dicetuskannya.
Mungkin Tun Mahathir sendiri boleh mengambil alih. Atau seorang daripada Majlis Penasihat Kerajaan dilantik sebagai Senator. Atau mungkin bertukar portfolio dengan Dato' Seri Azmin.
Kerajaan PH perlukan Menteri Kewangan yang lebih cekap untuk menjayakan Malaysia Baru yang diharapkan oleh semua rakyat Malaysia. Ini adalah misi yang mesti diutamakan oleh Kerajaan PH.
Kuota parti komponen PH dalam Jemaah Menteri tidak sepatutnya sampai menggadaikan masa depan ekonomi negara yang lebih stabil dan mampu bersaing. 
ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
22 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 22/6/2018

G/Eng Perlu Fokus Ringan Kos Hidup Rakyat. -Ir. Khairil Nizam

Hasil carian imej untuk ringankan beban rakyat
Gambar hiasan.


MENTERI Kewangan, YB Lim Guan Eng disaran untuk fokus terhadap inisiatif-inisiatif baru untuk meringankan kos sara hidup rakyat, melonjakkan ekonomi negara dan memperbaiki sentimen negatif pasaran domestik yang telah berlarutan sejak 14 Mei yang lalu.
Khairi02Beliau seharusnya lebih peka dengan teguran Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang dilihat lebih selari dengan aspirasi rakyat berbanding terus kekal dengan mentaliti pembangkang.
Keadaan ketidaktentuan ekonomi negara hari ini banyak dipengaruhi oleh kenyataan beliau yang tidak konsisten khususnya dalam menjelaskan angka sebenar hutang negara. Hal tersebut telah menjejaskan pasaran modal sehingga berlaku penarikan dana besar-besaran oleh pelabur luar negara dari Bursa Malaysia sehingga mencecah RM5.8 bilion (paling tinggi pada tahun 2018).
Begitu juga cara beliau dalam menguruskan konflik 1MDB turut mendapat kritikan daripada media antarabangsa, Bloomberg pada bulan lalu. Turut memburukkan keadaan apabila dana tabungan persaraan rakyat, KWSP telah mengalami kerugian sehingga RM6.09 bilion menerusi pegangan pelaburannya dalam 10 syarikat yang disenaraikan. Kejatuhan nilai daripada RM51.21 bilion sehingga RM45.12 bilion dalam tempoh satu bulan adalah sesuatu yang sangat buruk dan membimbangkan.
Pemuda PAS Malaysia mendapati kedudukan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan telah bermasalah sejak dari awal lagi. Isu ini pernah ditimbulkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri dan Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) berhubung dua dakwaan salah laku Lim Guan Eng sewaktu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Kes ini masih berjalan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan ia jelas menimbulkan konflik berkepentingan. Berdasarkan integriti, beliau sewajarnya mengambil cuti sehingga kes beliau diselesaikan.
Ir. Khairil Nizam Khirudin
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 22/6/2018


PH Tiada Kekuatan Sendiri. PRU 15, Tukar K'jaa Lain? -Dr Nik Muhammad Zawawi



KOTA BHARU: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dianggap bukan kerana kekuatan sendiri, sebaliknya menumpang arus penolakan rakyat terhadap Umno dan Dato’ Seri Najib Razak.
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, PH mendapat laba kerana arus yang berlaku ketika itu.
Katanya, PRU14 menjadi titik permulaan rakyat mempamerkan keberanian mereka membuat perubahan secara total selepas 61 tahun negara mencapai kemerdekaan.
“Keberanian yang berlaku itu membolehkan rakyat menukar pula kerajaan lain pada PRU 15 sekiranya PH gagal melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya pada kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu hari ini.
Pada PRU lepas PH memperolehi 122 kerusi parlimen dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah. -HARAKAHDAILY 22/6/2018

Lebih Sejuta Warga Kota Dinafikan Hak MRT 3

MRT-1 Beroperasi Sepenuhnya Minggu Depan

MUSNAH… Harapan lebih sejuta warga kota untuk menikmati sistem pengangkutan awam moden kini ‘hancur’ apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) batal projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT 3).

Berita sedih itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas menemui panel Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, di ibu negara hari ini.
Beliau yang kelihatan agak terkejut dengan pembatalan projek prasarana mega itu menjelaskan MRT 3 dianggarkan bernilai RM45 bilion memandangkan 75 peratus daripada landasan dan stesen membabitkan laluan bawah tanah.
Bagaimanapun, Shahril menjelaskan bahawa projek MRT 2 melibatkan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan sepanjang 52.2 kilometer itu dapat lagi diteruskan tetapi dengan pengurangan kos daripada asalnya RM32 bilion.
“MRT 2 mujur akan diteruskan meskipun dengan pengurangan bajet. Kini kita masih lagi memikirkan mekanisme yang sesuai untuk mengurangkan kos pembinaan bagi laluan kedua itu,” kata beliau ketika ditemui pemberita.
Shahril namun enggan mengulas mengenai jumlah pengurangan tersebut. MRT 1 iaitu laluan Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51 kilometer berjaya jimat kos RM2 bilion kepada hanya RM21 bilion apabila siap awal tahun lalu.
Manakala projek MRT 3 yang merupakan laluan kereta api bandar sejauh 40 kilometer telah diluluskan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, tetapi kontrak bagi kerja-kerja pembinaan belum diberikan secara rasmi.
MRT 3 dengan 26 stesen, sepatutnya siap menjelang akhir tahun 2025. Pentadbiran BN meluluskan projek itu pada tahun lalu dalam usaha untuk atasi kesesakan trafik di sekitar ibu kota, malah sistem rel ini lebih mesra alam.
Penganalisis politik tempatan menyifatkan langkah kerajaan PH batal projek MRT 3 secara dramatik itu bagi hapus segala legasi imej Datuk Seri Najib Tun Razak dengan dalih konon negara kini ada hutang cecah lebih RM1 trilion.
Hakikatnya umum maklum, banyak projek rel dilaksanakan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri yang keempat sebelum ini gagal sehingga terpaksa pula diselamatkan oleh Najib demi kepentingan rakyat.
Ini termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) tanggung banyak hutang setelah disiapkan kroni Mahathir sebelum Najib bertindak memulihkan semula sistem pengangkutan awam itu menjadi lebih cekap. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Pelik, Barat Kempen Burukkan Erdogan, Menjelang P/Raya..


KUASA Barat terdiri daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu di Eropah menggiatkan kempen memburukkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menjelang pemilihan presiden dan pilihan raya umum beberapa hari lagi.

Di media utama Barat seperti New York Times, Bloomberg, Economist dan banyak lagi, Erdogan diberikan gambaran buruk termasuk dilabelkan sebagai diktator dan pelbagai dakwaan lain yang sengaja diperbesarkan.
Ini bertentangan sama sekali dengan pendirian Barat sebelum ini yang mahu negara-negara Arab menjadikan Turki sebagai contoh pelaksanaan demokrasi dalam kerangka negara Islam moden.
Sikap pelik Barat pada masa ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh pendirian Turki yang semakin tidak selari dengan kepentingan Barat di rantau Asia Barat.
AS diperintah Presiden Donald Trump memberi sokongan kepada militia Kurdistan di pedalaman Syria tetapi dianggap sekutu kumpulan teroris Kurdistan di Turki.
Sokongan ini ditentang kuat oleh Erdogan yang dasar luarnya mahu memastikan kepentingan Turki tidak tergugat oleh aktiviti militan pemisah pemberontak Kurdistan.
Erdogan sekarang ini sudah diletakkan sebaris dengan pemimpin dilabel diktator seperti Kim Jong-un, Bashar al-Assad dan mana-mana pemimpin yang tidak sebulu dengan AS.
Dalam ulasan mengenai Erdogan, akan banyak digunakan istilah seperti diktator, pencabul kebebasan media, dan sindiran “sultan” yang menggambarkan kuasa tidak terbatas.
Sebahagian besar perubahan sikap Barat ini semakin jelas selepas perubahan sikap Erdogan terhadap Rusia.
Ini berlaku selepas cubaan rampasan kuasa pada 2016 yang didakwa Erdogan dilakukan oleh kumpulan Gulen yang disokong oleh Barat dan sekutu-sekutu.
Kerajaan Turki masih cuba membawa pulang melalui ekstradisi pemimpin-pemimpin gerakan Gulen di Barat, antaranya di AS dan Jerman.
Selepas cubaan merampas kuasa, Turki yang dipinggir mula memperbaiki hubungan dengan Rusia yang sebelum ini dimusuhi.
Erdogan sendiri memohon maaf dengan Presiden Vladimir Putin atas insiden jet pejuang Rusia ditembak oleh pesawat Turki.
Hubungan baik dengan Rusia berlangsung selari dengan pemulihan hubungan dengan Iran, satu lagi negara yang dimusuhi Barat.
Akibatnya, sekarang ini Erdogan teruk diserang di media Barat dengan bermacam bentuk ulasan yang negatif dan petikan pandangan-pandangan yang kritikal terhadapnya.
Pada masa yang sama, liputan dan ulasan yang lebih positif diberikan kepada parti-parti penentang Erdogan.
Apa yang berlaku di Turki ini menunjukkan bagaimana layanan Barat kepada mana-mana pemimpin atau rejim di dunia.
Semasa Barat merestui Erdogan, beliau diberi pujian melambung dan negara-negara Islam lain digesa mencontohi demokrasi cara Turki.
Apabila Erdogan mula menunjukkan sikap yang berbeza walaupun masih menjadi sekutu Barat, beliau dikenakan pelbagai tekanan.
Ini dilakukan oleh kuasa-kuasa Barat seperti AS secara konsisten terhadap mana-mana pemerintah yang menjadi sekutunya.
Hanya yang berterusan patuh dan mengikut segala kehendak AS akan dibela dan dipelihara, tetapi ini mengundang risiko tentangan dalaman pula.
Apa yang berlaku pada Erdogan ini perlu dijadikan satu contoh dan pengajaran terutama kepada pemimpin-pemimpin Islam di negara Islam. (IH) 

PH Sudah Mula Abai Maruah Bahasa Kebangsaan.



SEMASA melawat kawasan perindustrian Gebeng tidak jauh dari Kuantan, Pahang untuk kempen memburukkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengecam papan tanda berbahasa Cina di kawasan itu.

Dalam ulasan beliau tentang apa yang disebut konon sebagai pengaruh China di wilayah Malaysia, Mahathir mengkritik papan tanda bertulisan Cina di kawasan perindustrian itu.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana bahasa kebangsaan, bahasa Melayu diabaikan di kawasan perindustrian itu.


Ini sebenarnya satu contoh cakap tidak serupa bikin Mahathir, yang sejak tahun 2002 lagi telah memulakan kempen meminggirkan bahasa Melayu.
Seorang yang kuat kagum pada bahasa dan kemajuan industri Barat, Mahathir memikirkan yang cara menuju kemajuan ialah dengan menukar bahasa pengantar dalam pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Inggeris.
Dalam Kabinet beliau sekarang ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru sahaja mengeluarkan satu kenyataan rasmi kementerian dalam bahasa Cina, berhubung isu Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara.
Umum mengetahui yang Guan Eng dan partinya memang sejak dahulu tidak mesra bahasa Melayu, malah pernah berkempen menolak penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan.
Justeru timbul persoalan di sini apakah perlunya satu kenyataan media dalam bahasa Cina dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan?

Selama ini, tidak pernah timbul masalah dengan kenyataan dalam bahasa kebangsaan walaupun kalangan petugas media asing sendiri.
Kenyataan dalam bahasa Cina ini memberi isyarat tidak baik kepada usaha memperjuangkan bahasa Melayu di negara kita ini.
Sudahlah Perdana Menteri tidak berminat dengan bahasa Melayu dan mahu hidup semula agendanya menggunakan bahasa Inggeris untuk sains dan matematik, menteri-menteri Kabinet pun tidak fasih berbahasa Melayu.
Lebih teruk, menjadi satu kebiasaan sekarang ini sidang media oleh menteri Kabinet dikendalikan dalam bahasa Inggeris waima yang bercakapnya ialah orang Melayu.
Bagaimanapun kenyataan kementerian dalam bahasa Cina ini menimbulkan masalah kerana ia menjadi pendahulu yang boleh diikuti oleh pihak lain.
Ia juga menimbulkan masalah kerana seperti banyak hal berkaitan kerajaan baharu ini, kritikan tidak akan disambut dengan baik.
Silap-silap, yang menegur kenyataan rasmi kementerian dalam bahasa Cina ini pula akan dituduh konon sebagai rasis dan anti-Cina.
Ramai seniman dan budayawan pejuang bahasa menyokong kuat malah menjadi ahli parti dalam Pakatan Harapan.
Nampaknya mereka semua ini akan melalui jalan berliku dan mencabar dalam memperjuangkan bahasa dan budaya bangsa dalam pakatan yang mereka sokong ini. – Mynewshub.cc


 Mynewshub.cc

Friday, June 22, 2018

Ikrar Rakyat Pertahan Raja-Raja Melayu ..


Bismillahirahmannirrahim

Wallahi, wabillahi, wattallahi

"KAMI, rakyat Malaysia, yang berhimpun di Masjid Negara Kuala Lumpur, pada hari ini, 22 HB Jun, 2018, Bersumpah dan berikrar:

Selagi hayat dikandung badan, selagi darah masih mengalir ditubuh kami, setiap inci sisa hidup kami, akan kami gunakan untuk menggembling seluruh tenaga dan usaha kami, untuk memastikan bahawa :

1. Kami akan mempertahankan kepentingan dan hak istimewa Melayu dan Bumiputra di negara ini.

2. Kami akan membela Institusi- Institusi Islam demi memelihara kesucian agama Islam.

3. Kami juga berikrar, akan mempertahankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia SPB Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, selaku payung Agama Islam di bumi Malaysia ini.

Kami bersumpah dan berikrar, bahawa Kami akan memerangi, sesiapa jua yang memperlekeh, mempersenda dan menghina, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra, Institusi-institusi Islam dan Yang DiPertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.

Sekian lafaz sumpah kami.  Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
-------
TAKDE SEBAB RAKYAT PERLU TAKUT MEMPERTAHANKAN AGAMA ISLAM, BANGSA MELAYU DAN RAJA-RAJA MELAYU. KITA SUDAH DIBEBASKAN ZAMAN NAJIB DAN PAK LAH
https://www.facebook.com/lokman.n.adam/videos/1936356316408618/

Himpunan Pertahan Institusi Islam dan Raja- Raja Melayu, Masjid negara 22/6/2018 (Dipertengahan Video Baru Peserta Berani Turun Dan Menyertai Kami)
https://www.facebook.com/lokman.n.adam/videos/1936304613080455/

PM Serah 15 Lagi Nama Menteri Pada Agong



KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyerahkan 15 lagi nama anggota kabinet tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Menurut sumber kerajaan, senarai itu diserahkan pada Rabu lalu.
“Keseluruhan akan ada 28 menteri, masing-masing dua dari Sabah dan Sarawak.
“Timbalan menteri juga termasuk, di samping nama-nama senator yang mungkin akan turut dilantik,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, jumlah timbalan menteri dan calon-calon senator tidak dinyatakan secara khusus.
Menurut sumber lagi, dalam senarai menteri itu termasuklah Datuk Saifuddin Abdullah daripada PKR, Khalid Samad (AMANAH) serta Teresa Kok dan Ong Kiang Ming dari DAP.
Malaysiakini difahamkan Saifuddin akan memegang portfolio kementerian luar dan Ong pula akan menjadi menteri perdagangan antarabangsa.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini pagi tadi, menteri sumber manusia M Kulasegaran juga mengesahkan satu senarai telah diserahkan kepada Agong.
Setakat ini, 13 orang menteri telah mengangkat sumpah jawatan pada 21 Mei lalu. – Mkini


SPRM Akui Tiada Kenyataan Penyelewengan &Rasuah PAS Kelantan.



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan badan itu dan ketua pengarahnya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan penyelewengan dan rasuah dalam PAS Kelantan.

“SPRM mendapati ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM dan suruhanjaya ini untuk menular kenyataan tersebut baru-baru ini dan tindakan tersebut dilihat sebagai perbuatan yang ingin mencemarkan reputasi SPRM,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM menegaskan mereka komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu.

SPRM juga menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita tidak sahih menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM atau suruhanjaya itu.

MR : Hebat PH dah buat cerita palsu jatuhkan BN kini nak burukkan PAS dengan SPRM. setalah ada kuasa kenapa senyap pasal DEDAK RM90juta?.... 


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tak Macam DAP dan Menteri Kewangan PH yang masih belum selesai kes.

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

TRX Tidak Perlu Diselamat Kerana Ia Bawa Untung


Hasil carian imej untuk mahathir najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, projek Tun Razak Exchange (TRX) tidak perlu diselamatkan, sambil menambah bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng sendiri mengakui projek itu akan membawa keuntungan.

Dalam satu catatan di akaun Facebooknya, beliau berkata, pengambilalihan TRX City Sdn Bhd (TRXC), pemaju utama TRX oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dengan nilai nominal RM1 berkuatkuasa 31 Mac 2017, merupakan langkah penting dalam pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang lebih meluas.
“Selepas mengambil alih kedua-dua aset utama tersebut, MOF Inc kemudiannya mengambil alih liabiliti 1MDB tertentu mulai 1 April 2017, sebagai pertukaran pemindahan aset berkenaan.
“YB Lim sendiri mengakui bahawa walaupun dengan suntikan sebanyak RM2.8 bilion lagi oleh MOF Inc, projek TRX akan bernilai sekurang-kurangnya RM7.8 bilion dan menunjukkan keuntungan. Sudah tentu ia tidak boleh dipanggil usaha menyelamat jika wang itu diguna untuk menjana keuntungan,” kata Najib.
Pada sidang akhbar hari ini, Lim berkata, Kabinet memutuskan untuk menyiapkan projek TRX dan sehingga RM2.8 bilion akan disuntik untuk memastikan ia siap.
Menteri itu juga berkata, projek itu boleh membawa sedikit keuntungan apabila siap dan mendapat balik RM3.7 bilion yang telah dibayar sebelum ini.
Najib berkata, Lim dengan mudah menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.7 bilion untuk projek TRX dan Bandar Malaysia, tetapi gagal untuk menonjolkan nilai aset tanah yang signifikan bagi kedua-dua projek, khususnya projek Bandar Malaysia.
“Jika dirancang, dipasar dan dibangunkan dengan betul, tanah Bandar Malaysia sahaja boleh bernilai RM30 bilion,” katanya.
Lebih penting lagi, kata Najib, tiada wang dari TRXC yang disalahgunakan oleh 1MDB.
“Sepertimana yang diamalkan oleh banyak syarikat, kira-kira RM3 bilion pinjaman antara syarikat telah dibuat dari semasa ke semasa oleh TRXC kepada 1MDB.
“Semua ini (pinjaman) antara syarikat telah dibayar balik oleh 1MDB berkuatkuasa 31 Mac 2017 melalui gabungan pembayaran tunai dan dividen yang dibayar oleh TRXC kepada 1MDB.
“Pembayaran balik ini telah dilakukan dengan kelulusan MOF Inc dan telah dikaji dan ditandatangani dengan betul oleh juruaudit TRXC dalam penyata kewangan pada 31 Mac 2017.
“Oleh kerana TRXC dimiliki 100 peratus oleh 1MDB, yang mana ia 100 peratus milik MOF, sudah pasti 1MDB tidak boleh mencuri RM3 bilion daripada dirinya sendiri untuk membayar balik pinjamannya sendiri,” katanya.
Najib berkata, beliau gembira kerana kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan projek TRX “yang akan membawa puluhan ribu pekerjaan baharu dan menubuhkan sebuah pusat kewangan bertaraf dunia di Kuala Lumpur.”
Bagaimanapun, beliau menegur Lim kerana “menyebar separuh kebenaran dan pembohongan secara terang-terangan dalam kenyataannya hari ini mengenai TRXC”, yang memiliki tanah 28.3 hektar bagi projek TRX dan 196.7 hektar bagi Bandar Malaysia.
Beliau mengingatkan Lim agar tidak membuat kenyataan yang tidak tepat sebagai sebahagian daripada “dendam politik Pakatan Harapan (PH) terhadap saya dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.”
“Bukan sahaja ia tidak profesional, ia menakutkan pelabur dalam pasaran mata wang, bon dan saham. Tentunya kesejahteraan ekonomi kita lebih penting daripada mengeluarkan kenyataan bermotif politik,” katanya. – BERNAMA


Rizab Asing BNM Terus ‘Rugi’ Kali Ini Jatuh RM2.4 Bilion

BNM

PARAH… Selepas hilang lebih AS$900 juta (kira-kira RM3.8 bilion) untuk tempoh 15 hari sahaja Pakatan Harapan (PH) berkuasa, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) terus susut.

Kali ini media antarabangsa melaporkan rizab asing bank pusat tersebut hanya berjumlah AS$107.9 bilion (RM432.8 bilion) setakat 14 Jun lalu berbanding AS$108.5 bilion (RM435.2 bilion) pada 31 Mei sebelum itu.
BNM dalam satu kenyataan media di ibu negara pada hari ini berkata kedudukan rizab tersebut cuma memadai untuk membiayai selama 7.5 bulan import tertangguh dan sebanyak 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek.Sekadar perbandingan, rekod pada kali ini dianggap jatuh daripada 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri bagi tempoh jangka pendek yang pernah dicatatkan BNM antara 15 Mei sehingga akhir bulan lepas.
Komponen utama rizab antarabangsa BNM itu meliputi rizab mata wang asing (AS$101.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.8 bilion) dan Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR – AS$1.2 bilion).
Tidak ketinggalan ialah emas (AS$1.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.9 bilion). Aset berkenaan termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain, iaitu SDR (RM416.61 bilion) dan kertas Kerajaan Malaysia (RM4.52 bilion).
Juga deposit dengan institusi kewangan (RM2.09 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.30 bilion), tanah dan bangunan (RM4.18 bilion) dan aset-aset lain (RM9.48 bilion), kata kenyataan bank pusat tempatan berkenaan lagi.
BNM yang ditubuhkan sejak 1959, kini masih lagi tiada gabenor selepas Tan Sri Muhammad Ibrahim meletakkan jawatannya secara mengejut pada 6 Jun lalu setelah lebih dua tahun berkhidmat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Saham Terus Jatuh, Bursa M'sia Terburuk Di Dunia! Itulah Cakap Besar Sangat..



MERUDUM… Kemerosotan terburuk prestasi saham di Bursa Malaysia iaitu rekod paling teruk sejak Oktober tahun lalu telah menurunkan lagi penanda aras ekonomi negara secara keseluruhan.

Menurut laporan firma penyelidikan kewangan antarabangsa Bloomberg, indeks petunjuk utama Bursa Malaysia (KLCI FBM) jatuh satu peratus lewat semalam, menjadikan penurunannya sebanyak 11 peratus sejak dua bulan lalu.
Rekod kejatuhan tersebut sebenarnya merupakan pe­nurunan selama sembilan hari berturut-turut dan ia berjaya menghampi­ri paras paling rendah yang pernah dicatatkan sejak kali terakhir sekitar Februari 2017 lepas.
“Pasaran saham Malaysia te­lah menjadi antara yang bursa paling buruk di dunia sejak April lalu, malahan ia sudah menyusut lebih daripada 10 peratus,” kata laporan Bloomberg itu yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.
Pelabur asing kini sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dengan corak pelik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang konon berusaha menyelesaikan hutang negara sehingga menjejaskan sentimen pasaran tempatan.
Akibatnya sebahagian besar pelabur antarabangsa bertindak menarik keluar dana ekuiti setiap hari sejak berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu kerana tidak yakini imej kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis bahkan telah mengurangkan unjuran pendapatan dan hasilnya Malaysia telah mengatasi Korea Selatan sebagai pasaran Asia Pasifik yang mencatatkan penurunan paling besar dalam unjuran keuntungan pada tahun ini.
“Tinjauan jangka pendek ekuiti Malaysia akan kekal sukar kerana kerajaan PH yang cuba atasi isu kewangan dengan lebih mendalam,” kata Pengurus Pelaburan Kanan Standard Life Investments, Christopher Wong di Singapura.
“Bagaimanapun, saya men­jang­kakan keadaan kemungkinan akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana,” katanya tanpa memberi tempoh bilakah Bursa Malaysia dapat kembali stabil daripada kejatuhan berterusan ini.
Kaunter Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan kejatuhan terbesar semalam dengan menyusut sehingga 12 peratus ekoran kebimba­ngan terhadap potongan harga perkhid­matan jalur lebar diumumkan kerajaan PH kelmarin.
Sementara itu, seorang penganalisis firma perundingan tempatan, Areca Capital, Danny Wong turut berharap agar keadaan pasaran saham Malaysia kembali pulih pada masa akan datang daripada ketidaktentuan teruk ketika ini.
Pihaknya mengunjurkan pe­ningkatan pendapatan pada separuh kedua tahun ini, di sebalik dasar baharu berkaitan pelaburan asing dan perbelanjaan kewangan rejim kerajaan PH yang berbeza daripada Barisan Nasional (BN).
Pelabur asing telah menarik keluar sejumlah AS$880 juta (RM3.5 bilion) daripada ekuiti tempatan bulan ini selepas bawa keluar AS$1.4 bilion (RM5.62 bilion) pada Mei, iaitu ketika PH menumbangkan BN untuk memenangi PRU.
Bursa Malaysia terus susut pada penutup dagangan semalam ekoran aktiviti jualan berterusan dan ketidaktentuan risiko membabitkan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain faktor harga minyak mentah yang rendah.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut di bawah paras kritikal 1,700 mata apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28 mata; paras terendah pernah dicatatkan sejak 8 Februari 2017 apabila ditutup pada 1,688.50 mata.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.69 mata lebih tinggi kepada 1,710.44 mata berbanding 1,709.75 mata sewaktu ditutup pada Rabu dan berlegar dalam lingkungan 1,689.0 mata dan 1,710.71 mata sepanjang sesi dagangan awal.
Bagaimanapun indeks FBM KLCI lewat Khamis kemudian ditutup pada paras 1,692.32 mata, iaitu turun sebanyak 17.43 mata berbanding 1,715.36 mata yang berjaya dicatatkan pada petang Rabu.
Nilai ringgit juga merosot semalam apabila tukaran mata wang tempatan itu ditutup pada kadar RM4.0165 berbanding setiap dolar AS selepas ditutup pada kadar RM4.0020 kelmarin. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Itulah, cakap besar sangat.. Kadang-kadang lebih 'balaci' dari PH..

Penjelasan: Dasar Pelancongan Menarik, Tak Tekan Bukan Islam.



Saya ingin menarik perhatian umum berkenaan dengan satu laporan berita yang disiarkan oleh Free Malaysia Today yang bertajuk “Exco: Kerajaan PAS Terengganu Tidak Halang Pelancong Berbikini yang disiarkan pada hari ini, Khamis 21 Jun 2018. 

Saya mengucapkan terima kasih kepada FMT yang bersedia mempromosikan Negeri Terengganu kepada seluruh pembaca. Sebagai memberi kefahaman yang lebih jelas berkaitan isi temuramah ini, saya suka menegaskan bahawa:

1.Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan peraturan mengamalkan konsep Kasih Sayang yang iaitu akan melihat peraturan sedia ada yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dengan mengekalkannya, jika sudah baik, sebelum mengubah ataupun menambahbaik kepada peraturan baharu dan bukannya terus menolak semua yang ada. Oleh itu saya menyebut “Setakat ini, kita mengekalkan peraturan sedia ada”. Kita baru mentadbir negeri sebulan lebih. Oleh itu kita tidak akan bertindak gopoh dan gelojoh.

2.Kerajaan Negeri Terengganu akan menyelesaikan masalah-masalah yang ada secara berperingkat, toleransi dan harmoni melalui dialog, perbincangan dan sudah tentu rujukan daripada Islam. Islam tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam. Contohnya, Islam tidak pernah memaksa wanita bukan Islam bertudung, tetapi pastinya mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berpakaian yang tidak senonoh di tempat awam. Dalam temuramah, saya tidak menyebut isu berbikini secara khusus, mungkin wartawan terkhilaf.

3.Bertindak daripada ini, Kerajaan Negeri Terengganu sedang menyiapkan Dasar Pelancongan Negeri yang tidak drastik atau menekan pelancong-pelancong bukan Islam dan bakal memberikan ruang yang secukupnya kepada mereka menikmati keindahan semulajadi negeri Terengganu tanpa rasa bimbang.

Saya berharap isu ini difahami oleh dua golongan iaitu golongan yang gopoh untuk melihat perubahan dalam sekelip mata agar jangan menganggap Kerajaan Terengganu akan mengabaikan peraturan dan keindahan adab dan golongan kedua yang mahu memburukkan Kerajaan  Negeri supaya bertindak seperti kerajaan ala Taliban. Kerajaan Negeri akan mendahului sikap toleransi dan dialog. Kerajaan akan bergerak dengan dakwah dan pembangunan insan akan diteruskan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, 
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu

MR : Yang menulis berita memutar belit itu satu hal, yang pembaca 'bodoh' terima bulat-bulat satu hal, lagi "bodoh' siap hentam pulak tu.... 

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Drama Tembung PPBM-PKR Makin Rancak.


Bibit-bibit Kelahi PPBM-PKR 

Dari Grup Teruna Sokmo
🌐 https://bit.ly/2InaJje


DRAMA PERTEMBUNGAN PPBM DAN PKR SEMAKIN RANCAK

1️⃣ Tun Daim Zainuddin pada 15 Mei 2018 lalu mengkritik pihak media kerana memberi liputan meluas kepada pengampunan dan pembebasan DS Anwar Ibrahim dari penjara.

2️⃣ Beliau  juga turut dilaporkan berkata  bahawa adalah sesuatu yang bodoh untuk kerajaan Pakatan Harapan mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Anwar.

3️⃣ Menyokong kenyataan Daim tersebut, YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menyatakan bahawa Anwar tidak mungkin akan menjadi perdana menteri dalamasa dua tahun.

4️⃣ Mahathir turut menegaskan bahawa beliau akan menjadi perdana menteri selagi rakyat mahu dan beliau mampu.

5️⃣ Semalam (20 Jun 2018), Tun Daim Zainuddin dilaporkan mengkritik DS Anwar Ibrahim sebagai bongkak dengan kemenangan pada PRU 14.

6️⃣ Daim menegaskan bahawa Anwar sedang mempopularkan dirinya dan mengerahkan jentera parti melancarkan propaganda bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada PRU 14 adalah disebabkan oleh faktor dirinya (Anwar) dan PKR.

7️⃣ Kenyataan Anwar selari dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini bahawa kemenangan Pakatan Harapan bukanlah disebabkan oleh faktor Mahathir.

8️⃣ Daim menegaskan bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada PRU 14 lalu adalah disebabkan faktor Mahathir.

9️⃣ Senario politik Malaysia semakin menarik dengan pertembungan dalaman di kalangan para pemimpin PKR dan PPBM sementara para pemimpin DAP dan PAN dilihat memilih jalan selamat.

1️⃣0️⃣ Ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan kerajaan baru berpotensi mencetuskan gelombang rakyat yang merasa tertekan dengan senario semasa.

1️⃣1️⃣ Sehingga kini, setelah 43 hari Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya, ramai di kalangan para pengundi mereka dan rakyat Malaysia tidak melihat sebarang perkembangan positif terhadap pertumbuhan sosio-ekonomi negara. (
http://theunspinners.blogspot.com)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails