Wednesday, June 20, 2018

Amirudin Angkat Sumpah MB Selangor, Rodziah Dilantik EXCO.


KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah di sini, sebentar tadi.


Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Amirudin ,38, dilantik Menteri Besar Selangor selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.



Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.
Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Sultan Selangor dengan pihak luar; menjunjung tinggi Rukun Negara; memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain; memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.
Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.
Dalam istiadat sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Rodziah Ismail sebagai EXCO kerajaan negeri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Amirudin.
Amirudin sebelum ini ialah EXCO Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.
Rodziah pernah memegang jawatan EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dari 2008 sehingga 2013 ketika di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Terdahulu, dalam istiadat berasingan, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menerima mengadap Mohamed Azmin untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails