Saturday, September 10, 2022

Penggubah lagu rasmi PAS. & Warisan Dunia M/Kg Laut.

 


1. Abdullah Bukhari: Penggubah lagu rasmi PAS

LAGU Rasmi PAS yang sering berkumandang dalam majlis-majlis rasmi PAS dan menjadi siulan para Pemuda PAS sebenar telah dicipta dan digubah oleh seorang pemuzik profesional yang terkemuka pada dekad 1950-an. 

Namun begitu, di sebalik keindahan lagu perjuangan tersebut, tidak ramai yang mengetahui siapakah pencipta lagu tersebut, apatah lagi mengetahui latar belakangnya. Sejarah Lagu Rasmi PAS telah bermula pada 1956 apabila Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956 bersetuju menerima lagu gubahan Abdullah Bukhari dengan lirik oleh Mohd Asri Haji Muda menjadi lagu rasmi PAS. 

Sejarah lagu rasmi PAS ini boleh dibaca di https://berita.pas.org.my/lagu-rasmi-pas-sejarah-dan-perubahan/. Pencipta dan penggubah lagu ini, Haji Abdullah Bukhari Haji Omar adalah seorang pemuzik yang mendukung perjuangan PAS sejak parti ini mula ditubuhkan di Kelantan pada 1953. Walaupun pemuzik sering dipandang serong oleh masyarakat, Abdullah Bukhari sebenarnya seorang ahli muzik yang berjiwa Islam dan sering mengangkat tema ketuhanan dalam lagu-lagu ciptaannya.

Biografi ringkas Haji Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari Haji Omar telah dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan dalam tahun 1903, iaitu muda sedikit daripada rakannya, Abdul Kadir Adabi (l. 1901) dan tua sedikit daripada As’ad Shukri Haji Muda (l. 1905). 

Beliau bukan sahaja hampir sebaya dengan As’ad Shukri, teman sekampungnya yang menjadi rakan sekolahnya, tetapi juga turut sama berjuangan dalam mengangkat budaya Melayu Islam di Kelantan. Seperti mana As’ad Shukri yang merupakan cucu kepada Dato’ Maha Menteri Che Ha’ (Che Sa’ad bin Penghulu Ngah), Menteri Besar Kelantan (1890-1894), Abdullah Bukhari juga boleh dianggap lahir dalam keluarga bangsawan Kelantan. 

Ayahnya, Haji Omar adalah anak seorang pembesar dalam Kerajaan Johor yang telah berhijrah ke Kota Bharu pada akhir zaman Sultan Mansor (m. 1900) kerana mengahwini seorang gadis kacukan Melayu-Arab di Kota Bharu. Keluarga isterinya adalah ahli peniagaan berketurunan Arab di Kota Bharu, di mana iparnya yang dikenali sebagai Mak Besar adalah isteri kepada Dato’ Istiadat Diraja Kelantan pada zaman awal Sultan Ismail (m. 1944), Dato’ Nik Jaafar Nakhoda Wan Abdul Kadir (m. 1924).

Perkahwinan di antara Haji Omar dari Johor dengan gadis Kelantan berketurunan kacukan Arab, ipar Dato’ Istiadat ini telah memperolehi anak sulungnya pada 1903 dengan nama Abdullah Bukhari. Setelah mendapat pendidikan agama yang asas dari keluarga dan para ulamak di sekitar Masjid Besar Kota Bharu itu, Abdullah Bukhari dihantar belajar di Sekolah Melayu di Jalan Post Office Lama pada 1910 sehingga tamat pendidikan rendahnya pada 1915. 

Apabila Sekolah Majlis dibuka pada 1917, Abdullah Bukhari dihantar belajar di sini bersama-sama anak-anak pembesar seperti Tan Sri Nik Ahmad Kamil (m. 1909) dan Tengku Hamzah Tengku Zainal Abidin (1. 1909) yang lebih muda daripadanya, selain Abdul Kadir Adabi dan As’ad Shukri. 

Beliau menamatkan pengajian di sini pada 1921 dan bersama-sama Nik Ahmad Kamil berangkat ke Kuala Kangsar untuk memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada 1922. Di MCKK, beliau telah belajar selama lima tahun sehingga 1926 dan lulus Junior Cambridge yang membolehkan beliau menyertai perkhidmatan kerajaan ketika itu sebagai pegawai rendah.

Ketika Nik Ahmad Kamil mendapat biasiswa untuk belajar undang-undang di University of Bristol, England dan Tengku Hamzah pula memasuki Raffles Institution, Singapura, Abdullah Bukhari memilih untuk memasuki perkhidmatan kerajaan dengan menjadi kerani di jabatan kerajaan mulai 1927 hingga 1932. 

Kepulangan Nik Ahmad Kamil dan Tengku Hamzah pada 1930, telah mendorong Abdullah Bukhari kembali ke alam pengajian. Kerana minatnya dalam bidang muzik, beliau berangkat ke Singapura pada 1933 untuk menyambung pelajaran dengan memasuki Far Eastern Music School di sana.

Selain belajar muzik secara profesional, Abdullah Bukhari turut menjadi pemuzik yang mengiringi penyanyi terkenal seperti A. Rahman membuat rakaman piring hitam, selain membuat persembahan violin (biola) dengan muzik Arab, di samping persembahan gambus dan zapin. Beliau juga tidak ketinggalan menyertai persembahan bangsawan yang dipimpin oleh Dolmat Abdul Fatah, ayah Raja Biola, Hamzah Dolmat, di samping menyertai orkestra Bandaraya Singapura. 

Kebolehan beliau sebenarnya mengalir daripada darah ibunya yang sangat meminati muzik Arab seperti zapin dan gambus di Kelantan, diikuti oleh terpilihnya beliau sebagai pemain biola MCKK di bawah asuhan seorang guru muzik kolej tersebut. Ketika berkhidmat di Kelantan, beliau sudah menyertai kumpulan bangsawan dan pemain biola di bawah Ismail Biola dan Pak Cik Biola yang terkenal di Kelantan dewasa itu. Setelah memiliki kemahiran yang tinggi dalam seni muzik, khusus biola yang sangat diminatinya, pada 1937, beliau mengambil satu peperiksaan profesional biola yang dikendalikan dari London. 

Abdullah Bukhari berhasil lulus dengan mendapat kepujian dalam praktikal biola pada peringkat Senior Advance dengan sijil profesionalnya dikeluarkan oleh Trinity College of Music, London. Kelulusan ini sebenarnya setaraf dengan grade lapan (final) bagi kelayakan profesional biola yang dikelola oleh The Associated Board of the Royal School of Music, London. Dengan kelayakan ini, Abdullah Bukhari boleh dianggap anak Melayu yang ulung memiliki kelulusan profesional sebagai pemain biola.

Beliau balik ke Kelantan sekitar awal 1939 sebagai seorang pemuzik profesional, lalu diterima bekerja oleh Jabatan Pendidikan Kelantan dengan menjadi Guru Pelawat Muzik di jabatan tersebut. Selain menjadi guru muzik, Abdullah Bukhari turut menjadi Guru Bahasa Inggeris di beberapa sekolah, termasuk Maahad Muhammadi pada awal 1950-an.

Di luar sekolah, beliau turut mengajar muzik kepada masyarakat sehingga dikatakan hampir seluruh pemuzik di Kelantan pada dekad 1950-an dan 1960-an belajar dengannya, terutama biola dan juga alatan muzik yang lain. Beberapa muridnya di Kelantan seperti Abdul Fatah Karim dan Ibrahim Jaafar, bukan sahaja muncul sebagai pemuzik terkenal, tetapi turut mendapat kelulusan profesional dalam bidang biola. 

Beliau dicatatkan mengajar muzik secara percuma semata-mata untuk menghargai seni, persahabatan dan kasih sayang. Setelah lebih 15 tahun menjadi guru kerajaan, pada 1955, Abdullah Bukhari telah bersara dari perkhidmatannya dan memberi tumpuan kepada pengajaran muzik awam, selain mencipta lagu-lagu dan menggerakkan pancaragam.

Pencipta lagu ketuhanan

Dua ciri penting lagu-lagu ciptaan dan gubahan Abdullah Bukhari ialah kewatanan dan ketuhanan. Jiwanya yang begitu kuat dengan semangat Melayu dan cintakan tanah air telah mendorongnya mencipta lagu-lagu kewatanan seperti ‘March Kelantan Waltez’ dan ‘Langkah Pahlawan’ yang merupakan bisikan nasionalisme yang ditanamkan melalui muzik dan gesekan biola. 

Beliau juga turut mencipta lagu-lagu romantis seperti ‘Bunga Kembang Kumbang Mengintai’ dan ‘Hilang Gemilang Cahaya Hidupku’ yang masih menekankan idium-idium Melayu. Kemudian, beliau turut menghasilkan lagu-lagu ketuhanan, selain memperkenalkan nasyid ketika mengajar di Maahad Muhammadi. 

Beliau boleh dikatakan tokoh yang ulung dalam memperkenalkan muzik nasyid kepada masyarakat, di mana pasukan nasyid Maahad Muhammadi telah berjaya membuat persembahan nasyid kepada khalayak dalam satu sambutan Maulid Nabi pada dekad 1950-an. Di antara lagu-lagi ketuhanan ciptaan beliau termasuklah ‘Doa Ibu,’ ‘Nota,’ ‘Dara Kayangan’ dan ‘Mencari Keampunan,’ yang dapat memperlihatkan kecenderungan beliau untuk berdakwah dengan muzik.

Kebolehan Abdullah Bukhari bukan terhad kepada permainan muzik dan mencipta lagu sahaja, bahkan beliau turut dikenali kerana kebolehannya melatih dan memimpin pasukan muzik. Sejak akhir 1930-an, terutama setelah pulang ke Kelantan, Abdullah Bukhari berusaha untuk menubuh, melatih dan membentuk pasukan pancaragam di kalangan murid-muridnya, walaupun sering menemui kegagalan. 

Pada awal 1950-an, beliau telah mengasaskan satu pasukan pancaragam di bawah Kesatuan Guru-guru Melayu Kelantan, di mana pasukan ini akhirnya terkubur. Setelah sebuah pancaragam yang dikenali sebagai RUKIDAT, yang juga turut menemui kegagalan. Akhirnya, dengan semangat yang tidak pudar, beliau mengasaskan pancaragam Tala Wilaya pada 1962 yang berjaya mencipta nama dalam memperkenalkan lagu-lagu ketuhanan, kewatanan, dakwah dan nasionalisme. Tala Wilaya yang mempunyai 40 orang pemain muzik ini terus hidup dan aktif sehingga akhir 1980-an, iaitu 10 tahun selepas kematiannya.

Murid-muridnya telah mencatatkan bahawa Abdullah Bukhari bukanlah pemuzik yang biasa. Sifat taqwa dan kecenderungan beliau kepada nilai-nilai ketuhanan telah menjadikan agamanya lebih utama daripada muzik yang sangat diminatinya. Selain berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah, beliau sangat menjaga waktu solatnya dan menolak kepercayaan karut dan tahyul yang sering dianuti oleh pemuzik tradisional di kalangan pemain makyong, wayang kulit dan lain-lain. 

Beliau juga turut berdamping dengan Tuan Guru Mufti Haji Nor Ibrahim (Ayah Nor Penambang) dalam menambahkan ilmu, mendapatkan bimbingan terhadap aktiviti muziknya dan berusaha menjadikan muzik sebagai wahana dakwah dan pengembangan Islam. Beliau juga dikatakan sangat bercita-cita untuk bermukim dan mati di Tanah Suci. Kerana sangat mengambil soal agama, termasuk terhadap amalan pelajar-pelajarnya, ia dikatakan menjadi punca beliau tidak popular dalam dunia muzik dewasa itu. Bagi beliau, agama adalah mengatasi muziknya.

Di sebalik ketegasan dan pegangan teguh beliau kepada agama, Abdullah Bukhari tetap mencipta nama apabila Sultan Ibrahim (1944-1966) telah mentauliahkan kepadanya untuk mengubahsuaikan lagu rasmi negeri, lagu ‘Selamat Sultan’ agar lagu ini mudah untuk dinyanyikan oleh orang awam. 

Selain menjadi pelopor nasyid di Kelantan, beliau juga turut mencipta pelbagai lagu untuk kenak-kanak sekolah dalam menjadikan muzik sebagai sebuah mata pelajaran. Kejayaan beliau yang paling cemerlang ialah dapat menubuh dan menggerakkan orkestra Tala Wijaya sejak 1962 dalam memperkenalkan kesenian yang berbasis Islam, sebelum Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Asri Haji Muda membawa masuk Orkestra al-Watan dari Sumatera pada awal 1970-an. 

Lewat kelas-kelas muziknya juga, beliau telah berjaya melahirkan ahli-ahli muzik profesional yang dapat menyambung pengajian di seberang laut. Bagi mengiktiraf sumbangan dan jasanya, Sultan Kelantan telah menganugerahkan kepadanya pingat Ahli Kelantan (AK). 

Mencipta Lagu Rasmi PAS

Dalam tahun 1953, ada usaha yang dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Othman Abdullah untuk mencipta lagu perjuangan, seperti parti-parti politik di Indonesia yang diserikan dengan lagu perjuangan. Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS di Bukit Mertajam pada 26 September 1953, sebuah lagu yang diberi nama ’Lagu Bendera PAS’ telah dipersembahkan oleh Ustaz Othman Abdullah, Mohd Asri Haji Muda dan Ahmad Haji Ali. Walaupun lagu ini tidak diiktiraf sebagai lagu rasmi PAS, namun begitu ia telah memberikan idea kepada Mohd Asri Haji Muda sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur untuk berhubungan dengan Abdullah Bukhari, kawan rapat abangnya, As’ad Shukri dalam membantunya mencipta lagu PAS. 

Bermula dari situlah, Abdullah Bukhari telah menggubah dan mencipta lagu untuk PAS, dan akhirnya Mohd Asri telah menulis lirik bagi lagu tersebut. Ketika lagu ini masih dalam proses penggubahan, satu usul telah dikemukakan kepada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga di Parit Buntar, Perak pada 12-14 Ogos 1954 supaya PAS mempunyai lagu rasmi, dan usul ini telah diterima oleh mesyuarat agung tersebut.

Kedudukan Abdullah Bukhari sebagai seorang ahli muzik yang berjiwa Islam dan murid kepada Mufti Haji Nor Penambang, telah mendorong beliau menyokong PAS sejak 1953 lagi. Apabila PAS Cawangan Kota Bharu ditubuhkan pada akhir 1954, beliau telah menyertai PAS Kota Bharu yang dipimpin oleh ipar kepada Mohd Asri dan As’ad Shukri, iaitu Mohd Daud Salleh yang lebih mesra dengan panggilan Ayah Ud. Abdullah Bukhari sebenarnya tidak pernah aktif secara terbuka dalam PAS, walaupun beliau telah bersara dari jawatan kerajaan sejak 1955.

Namun begitu, beliau menggunakan kebolehannya untuk mencipta lagu-lagu berunsur patriotik dan ke-Islaman bagi menyokong perjuangan PAS. Apabila beliau diminta menciptakan lagu untuk PAS, beliau telah menuliskan not-not lagu tersebut dengan rentak yang sesuai untuk perjuangan Islam, sebelum Mohd Asri menuliskan liriknya. Akhirnya, lagu ini telah dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 23-25 Disember 1956 di Kampung Bharu, Kuala Lumpur oleh PAS Cawangan Kota Bharu yang diketuai oleh Ayah Ud. Lagu ini telah diterima oleh mesyuarat agung tersebut dan sejak itu ia menjadi lagu rasmi PAS.

Setelah sekian lama berjuangan untuk memperkenalkan muzik Islam yang berasaskan muzik-muzik Arab melalui gesekan biola dan juga lagu-lagu ketuhanan sebagai saluran dakwah, akhirnya Allah telah mentakdir beliau dijemput sebagai tetamu Allah untuk bertandang ke Tanah Suci dan menunaikan ibadat haji pada musim 1396 Hijrah. 

Hari Arafah tahun tersebut jatuh pada 1 Disember 1976 (9 Zulhijjah 1396). Setelah selesai mengerjakan ibadat haji pada musim tersebut, Allah telah memakbulkan doanya untuk bermukim di Makkah dan mengadap Ilahi juga di Mekah. Beberapa ketika setelah menyelesaikan ibadat haji pada akhir tahun 1976 itu, Haji Abdullah Buhari Haji Omar telah jatuh sakit di Mekah dan akhirnya meninggal dunia di Mekah dalam musim haji itu juga. 

Beliau dimakamkan di Perkuburan Ma’ala, Mekah sebagai tanda hajatnya dimakbulkan Allah. Di perkuburan ini juga, sahabatnya, As’ad Shukri dikebumikan pada musim haji 1971. Sumbangan beliau dalam menggubah sebuah lagu untuk perjuangan Islam pastinya menjadi kebajikan yang berpanjangan untuknya. 

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 9/9/2022


Jom like page rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia http://facebook.com/dppmalaysia. ... Lagu Rasmi PAS. 5,309 views Oct 13, 2021.
YouTube · Pemuda PAS Malaysia · 14 Okt 2021
Lagu Rasmi PAS rentak baru dengan lirik (Istiqamah). 84,451 views84K views. Oct 16, 2015. 1.2K. Dislike. Share. Save. ehsantv. ehsantv.
YouTube · ehsantv · 17 Okt 2015
Lirik Lagu Tema Parti Islam SeMalaysia (PAS)Lirik Lagu Tema PAS - BerjihadlahBersatulah wahai kaum musliminDengan semangat dan roh ...
YouTube · PU Syed Channel · 1 Mac 2020
Lagu Rasmi PAS: Sejarah Dan PerubahanLagu rasmi pada asasnya bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik atau semangat perjuangan bagi ...
YouTube · AMALmedia Channel · 1 Ogo 2019
Lagu Rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) versi Pemuda PAS Malaysia 2020. 31,993 views31K views. Sep 11, 2020.
YouTube · Uwais Al-Qarni · 12 Sep 2020
Lagu PAS versi Kelantan 2022https://youtu.be/vkqBuFjFBFg#KelantanTVPENAFIAN : KelantanTV tidak bertanggungjawab sebarang komen dan respon ...
YouTube · KelantanTV · 28 Feb 2022
Versi Baru Lagu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) · Mix - Lagu Tema PAS · Mix - Shoutul Amal · SOUTUL AMAL - Fastaqim (Official Music Video) · Prajurit ...
YouTube · Orang Baik · 21 Dis 2006

3,174 views Jul 11, 2019 Provided to YouTube by Soutul Amal Records Lagu Tema Pas (2001) · Soutul Amal · Firdaus Sahiddin · Subri Abdullah ...
YouTube · Shoutul Amal - Topic · 11 Jul 2019


2. Pusat sokong warta Masjid Kampung Laut Tapak Warisan Dunia 

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM40 juta Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek tersebut yang mula dibangun beberapa tahun lalu kini mampu menjadi tarikan pelancong.

“Laman Warisan Kampung Laut kini menjadi destinasi wajib untuk singgah sekiranya berkunjung ke Kelantan. Serunding Kampung Laut memang terkenal di seluruh Malaysia sehingga menjadi antara juadah yang mesti dibeli oleh pelancong apabila ke Kelantan,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau juga berkata Kelantan kaya dengan kesenian dan kraftangan yang diwarisi sejak turun-temurun di mana Laman Warisan Seni yang dibangunkan juga memelihara warisan seni budaya rakyat Kelantan.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada karyawan seni memasarkan hasil tangan seperti batik, wau, tikar mengkuang dan barangan kraftangan kepada para pengunjung.

Menurutnya juga Masjid Lama Kampung Laut antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara yang kaya dengan sejarahnya berkait rapat dengan penyebaran dakwah di rantau ini.

Katanya, masjid berkenaan adalah simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Serambi Mekah yang mana dipindahkan ke lokasi asal dinanti-nantikan penduduk Kampung Laut.

“Selepas lebih 50 tahun Masjid Lama Kampung Laut dipindahkan ke Nilam Puri sejak 1972, projek pembangunan semula Kampung Laut oleh Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC berjaya memenuhi hasrat dan impian penduduk Kampung Laut untuk mengembalikan masjid ini ke tapak asalnya.

“Usaha memindahkan masjid lama ke tempat asalnya serta pemuliharaan dan pemeliharaan warisan sejarah negara adalah sesuatu yang sangat signifikan,” ujarnya.

Tambah beliau juga, kerajaan Persekutuan menyokong penuh langkah mewartakan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara dan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam merealisasikan Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan terutama kerajaan Kelantan dan ECERDC. – HARAKAHDAILY 9/9/22

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails