Tuesday, September 06, 2022

Rasuah punya hal? M/Dalam Negeri bukan minta wang-bulanan

 

Ahmad Zahid (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi pendengaran hujahan kes rasuah, hari ini. - Foto BERNAMA

1. Tugas Menteri Dalam Negeri bukan minta wang

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini, diberitahu tugas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya meminta wang tunai didakwa dana politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), pada setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata Ahmad Zahid sebagai penjawat awam dan dibayar gaji oleh pembayar cukai tidak boleh menerima sumbangan, termasuk dana politik mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, sumbangan diterima Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu seolah-olah 'mengejek' peruntukan undang-undang sedia ada.

"Pasukan pembelaan Ahmad Zahid memaklumkan tiada masalah untuk terima dana politik. Mereka kata sumbangan wang dibolehkan, jika dilabelkan sebagai dana politik. Itu inti pati hujahan dibuat mereka dan saya mengambil maklum isu itu. 

"Saya ingin menekankan bahawa penjawat awam tidak boleh menerima barang bernilai (termasuk wang tunai). Saya menggesa mahkamah untuk melihat Ahmad Zahid sebagai penjawat awam dan bukannya ahli politik kanan.

"Bila sumbangan diberi, kita melihat akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada dalam bentuk suapan. Undang-undang tidak membenarkan menteri terima sumbangan atas label apa pun. Dan dalam kes ini, Ahmad Zahid adalah penjawat awam untuk badan kerajaan.

"Malah, Seksyen 165 Kanun Keseksaan, akta SPRM dan akta cukai tidak mengiktiraf sumbangan politik," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau, ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani, manakala Ahmad Zahid diwakili peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik; Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Raja Rozela berkata, wujud bukti Ahmad Zahid meminta wang tunai daripada UKSB yang jelas melampui skop fungsi dan tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang memegang jawatan itu bermula pertengahan Mei 2013, ternyata berhubung dengan dua bekas Pengarah USKB, Harry Lee Vui Khiun serta Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, sekali gus memberi peluang untuk membuat permintaan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tidak penting bagi Ahmad Zahid untuk menyatakan jumlah dan tujuan wang berkenaan.

"Mengenai penghantaran wang, yang pertama ketiga-tiga saksi (Vui Khiun, Wan Quoris dan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun) mengesahkan banyak membuat lawatan ke rumah Ahmad Zahid di Country Heights atau Seri Satria (kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri) untuk menyampaikan wang itu.

"Kedua, wang tunai diserahkan kepada Ahmad Zahid sendiri. Mereka berhati-hati dan akan memastikan tiada orang lain berada di sekeliling untuk melihat penghantaran wang itu. Ia dimasukkan ke dalam sampul surat dan ditinggalkan dalam bilik yang dilihat Ahmad Zahid.

"Ketiga, Ahmad Zahid tidak pada bila-bila masa mencuba untuk memulangkan wang berkenaan," katanya.

Selain itu, Raja Rozela berkata, Ahmad Zahid terbabit secara langsung dengan UKSB hampir dalam setiap aspek yang akhirnya membawa kepada pemberian kontrak.

Beliau berkata, hakikatnya dan terbukti bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai hubungan perniagaan 'sihat' dengan syarikat terbabit.

"Vui Khiun dan Wan Quoris mula memperkenal diri mereka kepada tertuduh (Ahmad Zahid) di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur (ketika anak Ahmad Zahid dimasukkan ke hospital). Mereka juga mengambil peluang untuk memberi taklimat kepada Ahmad Zahid mengenai perniagaan teras syarikat.

"Pertemuan itu berlangsung pada pertengahan 2013, sejurus selepas tertuduh dilantik sebagai Menteri Dalam Menteri menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Sejak itu, pertemuan dengan tertuduh menjadi lebih kerap apabila Ahmad Zahid mula menunjukkan minat terhadap sistem pemprosesan visa.

"Ia sekali gus membolehkan UKSB membentuk dan mengekalkan hubungan yang lebih erat. Dua minggu selepas pertemuan di hospital, Wan Quoris pergi ke kediaman Ahmad Zahid, bagi berbincang dengan lebih terperinci sistem pemprosesan visa UKSB," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. 

Ahmad Zahid disambut penyokongnya. - Gambar hiasan NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI


2. Tak logik sumbangan politik setiap bulan kepada Zahid – pendakwaan 

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri, tidak boleh menerima sumbangan wang atau barangan berharga mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata tindakan Ahmad Zahid menerima sumbangan seperti mempermainkan undang-undang sedia ada.

“Beliau seorang penjawat awam, lihat beliau sebagai penjawat awam, lihat beliau sebagai pegawai badan awam dan jangan lihat sebagai ahli politik.

“Beliau mungkin ahli politik Yang Arif tetapi pada masa itu, beliau memegang jawatan menteri, gajinya dibayar kerajaan, menggunakan wang pembayar cukai. Beliau dibayar untuk berkhidmat kepada orang ramai,” kata Raja Rozela dalam hujahannya di akhir kes pendakwaan.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan penjawat awam menerima apa-apa benda yang berharga, dengan tiada balasan, daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.

Raja Rozela berhujah undang-undang sedia ada seperti Seksyen 165, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Cukai tidak mengiktiraf sumbangan politik kepada individu atas kapasitinya sebagai penjawat awam.

Beliau berhujah adalah tidak logik untuk Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membuat bayaran bulanan kepada Ahmad Zahid dalam tempoh empat tahun semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.

“Jika ia adalah sumbangan politik, ia tidak sepatutnya buat begitu. Sepatutnya bayaran sekali sahaja. Tetapi, dalam kes ini, ia dibuat setiap bulan selama empat tahun. Mereka bayar kepadanya, bukan kepada Umno,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Hujahan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: FIRMAN Allah SWT:

﴿وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ١٨٨﴾

“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” (Surah al-Baqarah: 188)

Ayat di atas ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌لَعَنَ ‌رَسُولُ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌الرَّاشِي ‌وَالْمُرْتَشِي.

“Rasulullah SAW telah melaknat (mengutuk) pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Abu Dawud 3580, al-Tirmizi 1337 dan lain-lain)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails