Friday, September 09, 2022

Terharu... Peserta India sukarela bertudung. & kisah Cikgu Mala.

 


1. Netizen terharu peserta India sukarela bertudung

ARAUPerlis: Perkongsian video yang memaparkan satu peristiwa yang menyentuh perasaan apabila seorang gadis warganegara India memakai tudung ketika membuat persembahan untuk kategori poomsae di Kejohanan 5th Gewinn Unimap Malaysia Open International Taekwando Championship baru-baru ini, membuatkan netizen terharu.

Pemilik video TikTok @idaidzan menceritakan dalam videonya, suaminya ditanya oleh seorang lelaki (berbaju hijau) dari India, lelaki itu bertanyakan adakah sesiapa yang boleh meminjamkan tudung kepada anak perempuannya kerana anaknya begitu teringin memakainya.  

Kemudian kata pemilik TikTok berkenaan, suaminya bertanya kepadanya lalu dia segera mengambil tudung miliknya di dalam kereta kerana dia membawa ekstra, lalu diberikan kepada gadis warganegara India itu.

“Masya-Allah, dia pakai tudung masa perform poomsae. Segaknya,” kata pemilik akaun tiktok  berkenaan dalam video itu. 

Menurut pemilik akaun TikTok @idaidzan itu lagi, dia menghadiahkan tudung tersebut kepada peserta dari India itu.

Paling istimewa ialah apabila hasrat gadis tersebut memakai tudung mndapat restu kedua-dua ibu bapanya. 

Rupa-rupanya bapa kepada peserta dari India itu merupakan Master Taekwando dari India, yang rupanya persis pelakon terkenal Bollywood, Sunil Shetty. 

Video perkongsian aplikasi TikTok itu tular di media sosial dan mendapat perkongsian lebih 320,000 pelayar dan mendapat 37,000 tanda suka. 

Kebanyakan netizen memuji imej peserta india itu memakai tudung dan ada yang mendoakan agar dia memperoleh hidayah, dibukakan hati nurani untuk memeluk agama Islam.

“Ya Allah tak sedar air mata aku menitik. Rasa sayu. Cantiknya dia bertudung.

“Cantik, semoga hidayah milikmu,” kata netizen di ruangan komen TikTok. 

Semoga gadis itu  itu mendapat hidayah dan menghayati ajaran agama Islam  sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas ayat 56 bermaksud “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. – HARAKAHDAILY 8/9/2022


2. Cikgu Mala dan keluarga mengisi Muktamar PAS 


KETIKA saya sedang membuat liputan Muktamar ke-68 baru-baru ini, ada satu perwakilan yang kebetulan duduk di barisan paling belakang dan meja media PAS pula duduk di belakang mereka. Kelihatannya sangat mesra sesama mereka.

Akhirnya saya lihat ibunya, seorang yang dikenali ramai, Cikgu Normala Sudirman (Cikgu Mala) atau yang dikenali dengan nama Cikgu Mala, bersama suaminya, Cikgu Maarof Abdul Mutalib, anak perempuan dan anak lelaki mereka, mewakili Kawasan Sekijang, Johor, empat sekeluarga, daripada lima perwakilan.

Mereka mewakili kawasan atas kapasiti masing-masing, iaitu YDP, Ketua Muslimat, Ketua Ameerah dan Ketua Pemuda yang juga seorang guru KAFA dan imam masjid. Kawasan mereka hanya mempunyai 300 orang ahli sahaja. Saya melihat ini adalah satu contoh yang amat baik kepada semua pejuang Islam.

Telah banyak kali kita mendengar pesanan pimpinan agar membawa bersama anak-anak kita, diperkenalkan kepada jemaah dan akhirnya menjadi salah seorang yang berkhidmat untuk jemaah. Mereka akan mewarisi kepimpinan kita, dengan tarbiyyah yang tidak tergelincir, mengikut kehendak arus jemaah lain.

Apabila bertanya kepada ketua keluarga, Cikgu Maarof, beliau menjelaskan yang anak-anak beliau akan sentiasa diajak ke Muktamar sejak dari kecil lagi untuk memperkenalkan PAS. Dan hasilnya sekarang, mereka turut berjuang bersama-sama. Dan paling penting katanya ialah untuk membentuk masyarakat, mestilah dibentuk keluarga kita dahulu sebagai contoh kepada orang lain.

Manakala Cikgu Mala pula menerangkan tanggungjawabnya sebagai seorang guru, kemudian calon dan seterusnya AJK Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) suatu masa dahulu dan sekarang Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan DMPM, tidak dijadikan alasan untuk tidak berusaha memberikan yang terbaik kepada keluarga. Yang paling utama ialah persefahaman antara ahli keluarga melalui usrah dan perbincangan.

“Memang menjadi cita-cita saya dan suami untuk menjadikan keluarga saya sebagai ‘baitul haraki’ iaitu membentuk keluarga bagi menjadi pelapis jemaah. Semenjak dari kecil, saya bawa mereka untuk menyantuni masyarakat, membantu membuat kebajikan turun ke tempat-tempat tertentu bagi membantu orang susah atau asnaf,” kata beliau.

Saya tidak mahu memuji dengan berlebihan, tetapi bagi saya, ini adalah satu keluarga contoh bagi meninggalkan legasi yang baik kepada jemaah. Tidak semua orang mampu melakukannya, kerana berbagai masalah, kehendak dan juga hal-hal lain yang menghalang. Peluang Allah sediakan kepada keluarga Cikgu Maarof ini, digunakan sebaiknya oleh mereka. Alhamdulillah, tahniah.

Anak-anak adalah amanah Allah yang diwajibkan atas ibu bapa untuk membentuk jiwa mereka cintakan Allah dan Rasul. Tidak kiralah bagaimana pintarnya dia, lemah akal, aktif, lembab, selagi mereka berakal, ilmu agama adalah wajib atas mereka, untuk kita berikan, tanpa mengira anak lelaki atau perempuan.

Ada ibu bapa sangat menekankan kejayaan dalam keputusan peperiksaan di sekolah supaya dapat masuk universiti dan kemudiannya, akan mendapat kerja yang bagus-bagus, gaji yang besar dalam lumayan. Mereka cukup bangga dan puas jika itu dapat direalisasikan. Anak-anak yang ke sekolah agama rakyat, tiada harapan, nak kerja dan makan apa nanti?

Mengaji al-Quran bukan sahaja tergagap-gagap, malah, yang langsung tidak mengenal hurufpun berlambak. Solat yang tunggang langgang, tiada usaha ke arah akhirat. Ibu bapa sebegini, hanya mementingkan keuntungan dunia, yang akhirnya apabila anak mereka berjaya, mereka ditinggalkan juga ibu bapa kerana kesibukan anak-anak. Atau lebih malang, dilupakan terus, ditinggalkan di rumah jagaan orang-orang tua.

Akhirnya mati mereka, tanpa syafaat dan pahala dari anak-anak sedangkan ia sudah dijanjikan Allah, anak-anak yang soleh ialah cabang pahala berterusan, walaupun kita sudah mati. Dunia yang kamu kejar, dunialah yang dapat. Semoga kita semua dapat mencontohi Cikgu Maarof dan keluarganya dalam memberi tarbiyyah kepada anak-anak.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 September 2022 – HARAKAHDAILY 7/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 

(i) Al-hamdulillah, terharu...  Peserta India sukarela bertudung. 

(ii) Kisah Cikgu Mala dan keluarga, satu contoh yang amat baik kepada semua pejuang Islam. Telah banyak kali kita mendengar pesanan pimpinan agar membawa bersama anak-anak kita, diperkenalkan kepada jemaah dan akhirnya menjadi salah seorang yang berkhidmat untuk jemaah. 

Mereka akan mewarisi kepimpinan kita, dengan tarbiyyah yang tidak tergelincir, mengikut kehendak arus jemaah lain. Sekurang-kurangnya akan terhindar anak-anak dari terlibat dadah seperti yang berlaku kepada beberapa bekas pemimpin kecil PAS.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails