Monday, September 05, 2022

Muktamar PAS: Sepanjang jalan kenangan & semangat merdeka.

 


1. Sepanjang jalan kenangan Muktamar PAS Pusat

SEMENJAK tahun 2000, aku berselang seli mengikuti perjalanan Muktamar PAS Pusat dan juga Muktamar Dewan-dewan yang diadakan pada tradisinya tarikh selesainya sehari sebelum Muktamar PAS Pusat bermula dan berlangsung di kawasan atau negeri yang sama. Pernah dicatat sejarah, ucapan dasar Presiden ditolak, Muktamar Pemuda diawalkan kerana rancangan itu.

Pernah juga terjadi calon-calon bagi kumpulan parasit dalam PAS menguasai majoriti kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Tidak lupa juga ada yang ditendang keluar oleh perwakilan apabila rahsia kejahatan mereka terbongkar. Lalu mereka merengek memberitahu mereka dianiaya. Namun terbukti selepas itu, mereka bersengkongkol dengan musuh PAS.

Sewaktu golongan ini masih berada dalam PAS, tidak lekang pujukan mereka kepada perwakilan sebelum ke Muktamar, melobi untuk mengundi mereka, jika tahun itu, tahun pemilihan. Perwakilan ramai yang tahu, tetapi sikap bijak mereka berselindung dengan nama almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA), maka ada perwakilan yang terlepas pandang.

Muktamar yang paling gembira yang pernah aku hadiri adalah Muktamar ke-46 iaitu pada tahun 2000 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. Ia adalah Muktamar kali pertama aku hadiri dan julung-julung kali diadakan di Terengganu kerana kejayaan PAS merampas Terengganu dari BN.

Manakala empat tahun kemudian, 2004 ialah Muktamar ke-50 adalah Muktamar yang paling sedih aku hadiri di Kota Bharu. Menghadapi kekalahan Terengganu dalam PRU-11, kemudiannya pula kalah lagi dalam PRK Kuala Berang yang berlangsung dalam masa yang hampir sama. Perit berganda.

Begitulah lenggok tari sidang Muktamar PAS. Suka duka sehingga kini sudah memasuki edisi ke-68. Ia medan bagi menentukan perjalanan PAS pada setahun akan datang, melalui Ucapan Dasar Presiden. Ia juga medan ukhuwah, menemukan saudara seagama dan dari kepercayaan lain juga dari seluruh pelosok negara. Kawan lama, kawan baru, guru lama, guru baru, yang pernah berjumpa atau di alam maya sahaja. Semuanya, termasuk dalam ini.

Gembiralah hati yang dipaut dengan rasa kasih sayang dan hormat kerana Allah dengan kehadiran semua ke Muktamar. Dalam Islam, semua dikira pahala. Ia bukan sekadar itu, tetapi jauh lebih utama ialah menggerakkan hala tuju politik untuk menguasai dan mentadbir negara dengan Islam.

Ia juga membincangkan perihal tarbiyyah iaitu satu cabang terpenting dalam PAS dan juga saluran dakwah yang mengajar umat agar terus mengedapkan kaki mereka di atas landasan Islam. Dan setelah puluhan tahun PAS menuruti kaedah ini, tanpa jemu atau keganasan, malah PAS pula yang diganasi musuh politik mereka, maka hasilnya amat memberangsangkan.

Muktamar tiga tahun ini selepas Kedah berjaya ditawan, memperlihatkan PAS mempunyai tiga buah negeri yang dikuasai eksekutifnya dengan menjadi Menteri Besar, sebuah negeri dengan menjadi gabungan kerajaan di Perak, menjadi Exco serta ADUN lantikan di Sabah.

Selain itu wakil PAS dipilih menjadi Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan PN, jelas membuktikan betapa sikap sabar PAS dalam menempuhi liku-liku siyasah di Malaysia, menerbitkan hasil. Ia membantu lagi jalan agama untuk diperluaskan.

Ya benar, bukan menang itu syarat wajib penanda aras kejayaan yang Allah reda. Tetapi ia cukup memberikan motivasi kepada jiwa-jiwa yang penat berjuang bagi memartabatkan Islam. Mereka bukan mahu dipuji atau mahukan jawatan, tetapi kegembiraan melihat hasil perjuangan.

Kepada rakyat di luar sana, dengarlah pengakuan Perdana Menteri yang memuji kerja keras PAS, mengakui bahawa PAS tidak menyusahkan beliau dalam meminta jawatan dan kedudukan. PAS dengan jelas menerangkan kepada semua bahawa kemaslahatan rakyat, mesti diutamakan, bukannya kepentingan diri.

Oleh itu PAS membuktikan semua itu dengan mengotakan apa yang PAS kata. PAS meletakkan kepentingan rakyat mengatasi semuanya. Semua negeri PAS menunaikan janji-janji mereka bagi membantu rakyat. Marilah menyokong PAS atas dasar Islam yang dijanjikan dan dikotakan itu. Lihatlah kepada Menteri Besar tiga negeri ini dan kerja buat Menteri dan Timbalan Menteri dari PAS… Inilah buktinya.

Selamat bermuktamar kepada semua perwakilan.

MOHD NASIR ABDULLAH
2 September 2022 – HARAKAHDAILY 2/9/2022


2. Muktamar PAS dalam semangat kemerdekaan negara 

ALOR SETAR: Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 membuka tirai pagi ini dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Jalan utama ke lokasi muktamar di Kota Sarang Semut sesak sejak pagi lagi.

Deretan kereta boleh dilihat di kiri kanan jalan di sekitar Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut. Malah banyak halaman rumah penduduk tidak jauh dari tempat muktamar menjadi tempat parkir kenderaan perwakilan dan pemerhati.

Muktamar kali ini juga mencatat sejarah apabila turut dihadiri Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Senator Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ketua Pemuda Ikatan Shahril Adnan, dan wakil-wakil gerakan Islam luar negara termasuk dari Indonesia, Thailand, Turkey, Vietnam dan pelbagai lagi negara.

Muktamar bermula dengan pemeriksa pembarisan pasukan anggota Jabatan Amal oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 8.45 pagi.

Perbarisan masuk dimulakan Mursyidul Am Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan diikuti pemimpin utama PAS dan tetamu jemputan.

Pengerusi Tetap Husin Ismail berkata, muktamar kali ini diadakan bertepatan dengan semangat sambutan hari kemerdekaan negara yang baru disambut 31 Ogos lepas.

Katanya, muktamar kali ini lebih meriah dengan dua sambutan serentak iaitu muktamar dan hari ulangtahun kemerdekaan negara. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails