Wednesday, September 07, 2022

Pelakon remaja seharusnya tutup aib.. -Menteri Agama.

 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, pada sidang media Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022 di Bangi, hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

1. Pelakon remaja seharusnya tutup aib, tidak buat pendedahan kepada orang ramai

BANGI: Pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapa sepatutnya melaporkan segera kejadian itu kepada polis dan bukan membuka aib mendedahkannya kepada orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata laporan polis membolehkan pelakon itu mendapat pembelaan undang-undang dan melindunginya daripada sebarang ancaman pada masa akan datang.

"Sepatutnya dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya, gangguan seperti itu tak perlu didedahkan kepada orang ramai.

"Dia sepatutnya lapor kepada pihak polis. Polis yang bertanggungjawab akan menyiasat kes itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2022, di sini, hari ini. 

Idris mengulas tindakan pelakon berusia 15 tahun itu, yang mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube, baru-baru ini.

Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, semalam berkata, beliau bersedia memanggil pelakon terbabit jika ada laporan dibuat.

Katanya, jika dakwaan itu benar berlaku, pihaknya akan memanggil pelakon terbabit serta bapanya untuk disiasat dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Selain itu, menyentuh isu seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki, Idris berkata, pihaknya dimaklumkan wanita berkenaan sudah pun pulang ke tanah air.

"Kita belum dapat temui dia. Cuma kita dapat tahu dia sudah balik. Kalau kita tahu (lokasinya) di mana, kita akan arahkan segera pihak berkuasa negeri (panggil dan siasat)," katanya.

Baru-baru ini, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai wanita berkenaan, susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Dalam satu hantaran video yang menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudhah, seorang pengguna Twitter mengesahkan individu berkenaan adalah wanita dan bekas pekerjanya.

Difahamkan wanita berperwatakan lelaki itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.


2. Penjelasan Menteri Agama isu tular pelakon cilik 

SAYA ditanyakan wartawan berkenaan isu yang tular apabila seorang pelakon cilik yang mendedahkan isu yang berlaku kepada dirinya dan ibunya. Saya juga mengambil maklum atas tularan yang sedang diperbualkan warga netizen.

Saya telah menjawab respons dengan laporan polis perlu dibuat kerana ianya terkandung jenayah seksual yang diperuntukkan undang-undang yang berat bagi kesalahan yang dibuat.

Saya lebih khuatir ancaman dan keselamatan gadis ini apabila mendedahkan perilaku ayahnya diumumkan dalam pentas yang terlalu terbuka.

Kita tidak tahu implikasinya apatah lagi berhadapan dengan keganasan dan kewarasan seseorang manusia yang tidak terjangka.

Pihak berkuasa terutamanya pihak polis boleh bertindak sewajarnya apabila dibuka kertas siasatan dan boleh membuktikan kebenaran dan kesahihan setiap kesalahan yang dilakukan. Apatah lagi kes ini adalah kes yang melibatkan ibu dan bapa kandungnya. Aib keluarga perlu sangat untuk dijaga kerana usia gadis ini masih muda.

Banyak lagi perkara yang bakal ditempuh bagi seorang anak muda dan laporan pada pihak berkuasa perlu dibuat agar masa depan insan teraniaya seperti ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Aib dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza, tapi terkait antara satu sama lain bila ianya dibacarakan dalam bab undang-undang. Mungkin tajuk berita agak sensasi, tapi pastinya Islam memberi ruang penyelesaian yang lebih tuntas.

Saya juga difahamkan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia untuk membantu jika laporan dibuat dan boleh diberi perlindungan sementara siasatan dijalankan terhadap mangsa ini. Insya-Allah saya juga boleh membantu dengan autoriti yang ada sebagai seorang Menteri.

Negara kita punyai undang-undang. Kita perlu mendahului suatu perkara yang tepat untuk menatijahkan kebenaran. Wallahualam. – HARAKAHDAILY 6/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, kita bersetuju saranan Menteri agama di atas. Lebih luas dari cadangan wujudkan disiplin 'patuh syariah' dalam dunia hiburan.

"Aib dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza, tapi terkait antara satu sama lain bila ianya dibacarakan dalam bab undang-undang. Mungkin tajuk berita agak sensasi, tapi pastinya Islam memberi ruang penyelesaian yang lebih tuntas."kata Menteri Agama.

Sambung beliau, "Saya juga difahamkan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia untuk membantu jika laporan dibuat dan boleh diberi perlindungan sementara siasatan dijalankan terhadap mangsa ini. Insya-Allah saya juga boleh membantu dengan autoriti yang ada sebagai seorang Menteri.

"Negara kita punyai undang-undang. Kita perlu mendahului suatu perkara yang tepat untuk menatijahkan kebenaran. Wallahualam."

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails