Nik Aziz yakin DAP, PKR faham
Nik Aziz dikerumuni orang ramai selepas menyampaikan kuliah Jumaat, semalam.

KOTA BHARU - Walaupun ditentang hebat rakan sekutunya, Pas yakin DAP dan PKR akan akur cadangan Kerajaan Kelantan mahu laksanakan hukum hudud di negeri ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau yakin kekuatan politik Islam yang berpegang teguh dengan akidah akan berjaya mengubah persepsi dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

“Tak apa..dia (hal itu) sikit lagi. Ambo (saya) akan sebut (perjelaskan) dan kita akan terbuka sedikit demi sedikit. Itulah kelebihan politik Islam, (politik Islam) syaratnya mesti kukuh, akidah pegang molek, biarlah apa orang nak buat, lama-lama mereka (DAP dan PKR) faham,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di sini, semalam.

Nik Aziz sebelum itu ditanya mengenai penentangan DAP dan PKR terhadap hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private bill) di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri ini.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, keutamaan kini ialah mendoakan agar pembentangan di Parlimen berjaya kerana perkara itu sudah lama ditunggu dan diharapkan oleh kepimpinan Kerajaan Kelantan.

“Tak berlaku lagi (hudud), tapi doakan mudah-mudahan pembentangan itu berjaya. Ini satu kemajuan yang sudah lama kita tunggu, bukan senang untuk Kelantan dan negeri-negeri bawa perkara seperti ini ke Parlimen,” katanya sambil menegaskan wajib bagi wakil rakyat Islam menyokong rang undang-undang ini.

Menurutnya, kesediaan Kerajaan Pusat beri laluan bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila ramai mula memahami kepentingan undang-undang Islam itu.

“Alhamdulillah mereka (Kerajaan Pusat) terbuka hati. Agama dan negara kita Islam, kedatangan hudud sebelum wujudnya Pas, iaitu sejak hampir 2,000 tahun lalu, sedangkan Pas bertapak pada 1951. Hudud bukan undang-undang Pas sebaliknya undang-undang Islam,” katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika menyampaikan kuliah sesi pertama turut mengulas isu sama dan menurutnya penentangan oleh orang bukan Islam merupakan perkara biasa.

“Kita tak hairan jika mereka (bukan Islam) tidak setuju, biasalah kerana mereka bukan Islam, tapi mereka tak boleh halang kerana ini hak orang Islam, dan kita pun beri kebebasan kepada mereka apabila undang-undang ini dilaksanakan, sama ada boleh ikut atau tidak, yang kita kisahkan bila orang Islam tak faham dan tak mahu (undang-undang Islam),” katanya.

Bagaimanapun katanya, sokongan dan jaminan Adun-adun Umno di dalam Dun sehingga sanggup mengorbankan jawatan mereka merupakan perkembangan baik, serta petanda adanya kesedaran bahawa undang-undang sekarang tidak dapat selesaikan masalah jenayah dalam masyarakat. (SH)