Friday, April 11, 2014

Marmar K'tan Dieksport Ke China


GUA MUSANG: Biar pun dinafikan mendapat royalti petroleum sejak 2004 sehingga sekarang, namun bumi Kelantan dianugerah kekayaan pelbagai sumber galian lain.

Emas, besi, batu marmar, barite, alluvial, feldspar, batu kapur (limestone) dan pelbagai jenis mineral kini dimanfaatkan kerajaan negeri bagi menjana hasil negeri.

Misalnya emas yang dilombong di Sokor, Tanah Merah sejak 2010 sehingga sekarang telah ditemui lebih 300,000 gram.

Kerajaan negeri mendapat pulangan hasil melalui bayaran royalti sebanyak 5 peratus, manakala Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) pula dibayar tribute (3 peratus) oleh syarikat yang diberi kebenaran melombong.

Selain emas kerajaan negeri juga kini memfokuskan perlombongan batu marmar, antara kawasan yang paling luas ditemui di Malaysia.

Perlombongan batu marmar dijalankan di Bukit Batu Bong, Mukim Ulu Nenggiri, Bertam membabitkan kawasan seluas 65 ekar.

Kerja-kerja perlombongan di kuari batu marmar tersebut dimulakan pada Jan 2011 bagi menghasilkan blok-blok mentah marmar.

Projek tersebut dibangunkan Kelstone Sdn Bhd, anak syarikat PKINK dengan kerjasama CEP Resources Entity Sdn Bhd sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.

Pengurus Besar Kelstone, Mohd Shah Ab Kadir berkata, CEP melabur sebanyak RM30 juta bagi melombong batu marmar di Bukit Batu Bong, Gua Musang.

Katanya, sejak beroperasi sehingga Febuari lepas sebanyak 647 blok seberat 8,276 metrik tan dihasilkan di lombong tersebut.

“Sebahagian daripada jumlah batu marmar tersebut telah dieksport ke China iaitu sebanyak 36 blok pada 2012 dan 48 blok tahun lepas,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Selain Bukit Batu Bong, Kelstone juga menemui kawasan baru yang lebih luas bagi menghasil batu marmar berkualiti tinggi di Gua Air Sejuk dianggar seluas 182 ekar.

CEP Resources Entity juga kini dalam usaha menghasilkan marmar saiz kecil sehingga satu kaki. Ia bergantung kepada permintaan pelanggan.

Marmar yang sudah dipolish bersaiz 1 kaki persegi harga di pasaran lebih RM20 sekeping, manakala blok mentah yang dijual pukal lebih RM5,000 sebungkah.

Penyelia kuari CEP Resources Entity, Pon Cha Nnanu, 53 berkata, Gua Musang kini menjadi lokasi baru pengeluaran batu marmar di Malaysia selepas Simpang Pulai di Perak hampir kehabisan sumber.(HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails