Sunday, April 06, 2014

Tubuh RCI Memali -DAP Ulangi Gesaan.

Keluarga 18 mangsa Memali berhak mendapat tahu kisah benar setelah ia terjadi 30 tahun lalu, kata DAP. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 6 April, 2014. 
Keluarga 18 mangsa Memali berhak mendapat tahu kisah benar setelah ia terjadi 30 tahun lalu, kata DAP. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 6 April, 2014. 

Selepas seminggu bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam membuat pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa tragedi Memali, DAP hari ini mengulangi gesaan mereka agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat tragedi berdarah pada November 1985 itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata pendedahan Musa pada minggu lalu mencukupi bagi satu RCI ditubuhkan.

28 Mac lalu, dalam sebuah forum di Kota Baru, Kelantan, Musa mendedahkan Dr Mahathir berada di Malaysia semasa dan beberapa hari selepas tragedi Memali 1985.

Setelah berdekad, difahamkan Musa bertanggungjawab dalam operasi di Baling itu setelah dilaporkan Dr Mahathir berada di China pada tempoh berkenaan.

"Keluarga 18 mangsa Memali berhak mendapat tahu kisah benar setelah ia terjadi 30 tahun lalu.
"Ibrahim Libya, 13 penduduk kampung dan empat anggota polis mati dalam insiden berkenaan. Ahli keluarga dihantui apabila tidak mengetahui cerita sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata rakyat Malaysia juga berhak mengetahui tentang peristiwa terbesar yang melanda negara.
"Siapa yang menarik semula arahan yang dikeluarkan Musa kepada polis bagi mengelakkan keganasan dan pertumpahan darah sewaktu menyerbu Ibrahim?
"Hanya seorang yang lebih atas darpadai Musa ketika itu sebagai seorang timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.
"Adakah Dr Mahathir menarik semula arahan yang diberikan Musa kepada polis? Jika tidak, adakah beliau bersetuju RCI ini ditubuhkan?"

Lim berkata insiden Memali merupakan siri pertama peristiwa yang amat dikesali semasa 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

"(Beliau juga bertanggungjawab) dalam kelemahan institusi kerajaan dari segi profesionalisme, kebebasan dan integriti setelah hilang keadilan dalam politik.
"Ia meliputi polis, kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan perkhidmatan awam," katanya.

Lim berkata RCI akan mendedahkan insiden berkenaan selain mencadangkan pampasan kepada keluarga 18 mangsa yang terkorban. – 6 April, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails