Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, sikap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu membuktikan bahawa beliau tidak menghormati Institusi Diraja dan Tuanku Syed Sirajuddin.
“Dalam mencari penyelesaian yang tepat dan adil kepada kemelut yang berlaku ini, Pas Perlis berharap semua pihak supaya tidak melatah atau bersikap terburu-buru selain terus memberi kepercayaan kepada Raja Perlis.
“Pas sentiasa menghormati amalan sistem Beraja yang diamalkan di negara kita dan akan berdiri teguh bersama Tuanku Raja Perlis yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negeri dalam setiap keputusan baginda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam BN Perlis memecat Datuk Seri Azlan Man sejurus selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu dilantik sebagai Menteri Besar.
Terdahulu, sembilan ADUN BN tidak menghadirkan diri ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar di Istana Arau, Perlis sehingga mengundang kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin.
Tindakan boikot tersebut berlaku dipercayai kerana Tuanku Syed Sirajuddin tidak melantik ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim ekoran bimbang sekiranya Menteri Besar yang dicadangkan akan menjadi boneka dan dikawal oleh kuasa luar.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, Pas percaya kemelut yang berlaku ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya Shahidan dapat berlapang dada dalam soal pemilihan Menteri Besar itu.
“Bagaimanapun sekiranya Pengerusi BN negeri itu tetap dengan keputusannya, maka kita bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.- UTUSAN ONLINE