Tuesday, May 22, 2018

Bersediakah Mahathir Sekat Kemaraan China?


MENJELANG hari Pilihan Raya Umum ke-14, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerap bercakap mengkritik projek mega China di Malaysia yang merupakan sebahagian projek Belt and Road Initiative.

Projek ini ialah projek besar China untuk membina asas infrastruktur perkembangan ekonomi global China, yang pada masa sama juga membawa potensi pembangunan di banyak negara dari Asia hingga ke Afrika.
Sebagai sebuah kuasa dunia, China menggunakan kuasanya hingga menyebabkan masalah kepada beberapa negara destinasi pelaburannya seperti Myanmar dan Sri Lanka.
Strategi dikenali sebagai “diplomasi perangkap hutang” ini dilaksanakan dengan membina projek mega dengan pinjaman berbilion dolar dari China, mencagarkan infrastruktur yang dibina itu.
Apabila gagal membayar hutang, projek itu atau habuan lain akan diserahkan kepada China, menjadikan satu infrastruktur besar di negara tersebut milik sebuah negara asing.
Kenyataan tentang projek China ini menjadi salah satu isu paling menarik perhatian sepanjang kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU14.
Ini disebabkan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjual negara kepada China telah lama disebar dan diulang-ulang musuh politiknya.
Kenyataan Mahathir tentang rancangan untuk menilai semula projek pelaburan China telah menjadi salah satu agenda utamanya akibat persepsi yang dibina itu.
Rancangan ini ditunggu-tunggu banyak pihak, sama ada di pihak penyokong PH dan di pihak penyokong BN, yang sebenarnya mahu melihat sejauh mana perdana menteri baharu mampu menyekat projek China.
Selepas PH menang dan Mahathir mengangkat sumpah dan menubuhkan Kabinet, agenda ini masih belum jelas kepada umum, apatah lagi pada masa ini jawatan menteri luar belum diisi.
Setakat ini, semua kenyataan dasar datang dari Perdana Menteri Mahathir dan kalangan penasihatnya yang berpengaruh.
Kritikan paling kuat terhadap projek keretapi laju ECRL ke Pantai Timur datang dari ahli ekonomi Dr. Jomo K. Sundaram, yang mendakwa projek itu akan merugikan negara.
Setelah selesai anggota Kabinet peringkat pertama mengangkat sumpah semalam, masih belum jelas lagi projek apa dan sejauh mana penilaian semula projek pelaburan China akan dilakukan.
Tetapi boleh dikatakan Mahathir dan PH membawa satu isu geopolitik yang besar dalam PRU14 apabila menjadikan agenda menyekat projek mega China sebagai isu kempen.
Selain projek infrastruktur China yang mahu disekat atau dikurangkan, Mahathir juga mahu kehadiran kapal perang China di Laut China Selatan yang dituntut dikurangkan demi keselamatan rantau ini.
Bagi media Barat, tajuk ini amat menarik kerana mudah diletakkan dalam konteks hubungan Malaysia dengan China dan Amerika Syarikat.
Umum mengetahui bahawa China dan AS sedang bersaing di Asia dan kedudukan Malaysia sangat penting dalam perebutan ini.
Mahathir dan PH telah menunjukkan sikap agak negatif terhadap China tetapi realitinya sukar untuk mereka mengotakan janji merombak pelaburan China tanpa menyebabkan hubungan menjadi keruh.
Kerajaan Mahathir akan terpaksa berkompromi kerana modal besar dan manfaat besar yang dibawa melalui pelaburan China.
Melainkan Mahathir sudah berubah sepenuhnya dan mahu terus berbaik pula dengan AS, Malaysia boleh lebih keras menolak China dan menilai semula atau membatalkan banyak projek pelaburan China.
Tetapi kerana kedudukan penting Malaysia, China juga akan sedia berkompromi, lebih-lebih lagi disebabkan kesedaran AS akan mendapat faedah apabila Malaysia menjauhkan diri daripada China.
Projek Belt and Road Initiative dan projek-projek lain China antara yang paling utama didapati di Malaysia kerana pentingnya lokasi Semenanjung Malaysia.
Apa yang akan dilakukan oleh Mahathir selepas ini, termasuk pemilihan menteri luar akan memperjelaskan lagi dasar luarnya dari sudut hubungan Malaysia dengan China dan AS.
Cuma tidak boleh diabaikan hakikat bahawa dasar seimbang selama ini telah banyak membantu Malaysia dan mengelakkannya tersepit dalam situasi lebih sukar di antara dua kuasa besar China dan AS. – Mynewshub.cc

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails