Wednesday, May 23, 2018

Misteri PM Dakwa Hutang Negara Tiba-Tiba RM1 Trilion

Skandal BNM Mahathir: Apa Dah Jadi Kit Siang, Anwar?


MEMANG siapa yang tidak boleh jadi keliru sekiranya dengar kenyataan bercanggah sebegini dalam tempoh hanya tidak sampai tiga hari sehingga menjadi bahan ketawa masyarakat seluruh dunia!

Bukankah baru sahaja bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dengan nada optimis berkata rizab terkini ada RM430 bilion iaitu rekod tertinggi dalam sejarah dan kedudukan ekonomi negara baik.
Malah pengganti beliau, Gabenor BNM sekarang, Tan Sri Muhammad Ibrahim juga mengesahkan mengenai isu itu. Sebaliknya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula terus menerus memberi senario pelik yang berbeza.
Tanda tanya timbul apabila ketika berucap julung kali dalam himpunan dengan penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dakwa hutang negara kini sudah cecah lebih RM1 trilion.
Angka ini sebetulnya tidak pernah didengar sebelum ini. Malah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berulang kali memberitahu hutang negara berada di paras terkawal dan mampu dilunaskan oleh pihak kerajaan.
Hakikatnya Mahathir tidak wajar buat kenyataan umum sebegitu tetapi perlu hurai secara terperinci mengenainya seolah-olah segala angka dikeluarkan pihak BNM dan pelbagai badan penarafan asing lain selama ini adalah palsu.
Justeru tidak hairanlah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri tergamak membuat kesimpulan bahawa hutang negara kini telah mencapai angka RM1 trilion.
Beliau turut merujuk laporan penyata kewangan diterbitkan oleh BNM sendiri pada akhir Disember tahun lalu yang jelas menegaskan bahawa jumlah keseluruhan hutang semasa negara kita hanya sebanyak RM686.8 bilion.
“Di manakah Perdana Menteri dapat angka RM1 trilion? Adakah penasihat barunya gagal membekalkan maklumat betul kepadanya? Atau ini hanya satu taktik politik untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu?
“Atau adakah ini sengaja dicipta Mahathir bagi menjadikan rakyat fikir kononnya hutang negara yang ditanggung kerajaan PH sekarang adalah hasil kesalahan pentadbiran terdahulu?” soal Khairul Azwan dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, laporan BNM pada Mac tahun ini menunjukkan ekonomi domestik berada dalam keadaan baik. Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang kukuh antara 5.5 peratus dan 6 peratus sepanjang 2018.
Khairul Azwan yang juga Senator di Dewan Negara, menyatakan demikian sebagai mengulas dakwaan Mahathir, 92, yang mendakwa konon rekod hutang negara telah lepasi paras RM1 trilion berbanding RM300 bilion sebelumnya.
Angka hutang negara didedahkan Perdana Menteri itu jauh lebih tinggi daripada angka rasmi diberikan pentadbiran sebelumnya. Kementerian Kewangan sebelum ini mencatatkan sebanyak RM687.43 bilion pada September 2017.
Malah awal bulan ini, akhbar The Edge Financial Daily melaporkan hutang kerajaan berkembang pada kadar purata 10 peratus setahun daripada RM266.72 bilion pada tahun 2007 kepada RM687.43 bilion pada September 2017.
Ia sebenarnya ekoran perbelanjaan berlebihan. Sementara itu bekas Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam juga hairan mengenai angka hutang negara yang didakwa oleh Mahathir.
Bercakap kepada wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur semalam, beliau mendakwa Perdana Menteri sebut begitu untuk memberi gambaran konon keadaan ekonomi negara diwarisi PH daripada BN adalah tidak baik.
Ini katanya untuk mempertahankan dakwaanya sebelum ini kononnya kerajaan pimpinan Najib sudah tenat walhal Bank Dunia sendiri mengiktiraf ekonomi Malaysia stabil sehingga tiga kali membuat unjuran semula pertumbuhan.
“Tiba-tiba apabila dia sudah ambil alih (pentadbiran) Gabenor BNM yang sebelum ini berkata bahawa ekonomi kita bagus. Jadi jelaslah rakyat nampak Mahathir sebenarnya mungkin cuba mahu menipu angka dikeluarkan.
”Kedua… Zeti iaitu anggota penasihat Council of Elders diwujudkan Mahathir pun berkata ekonomi kita bagus dan kedudukan rizab negara tertinggi dalam sejarah… kalau lihat lebihan akaun semasa kita ialah RM15 bilion.
“Ini ayat keluar daripada orang yang ada dalam sistem ekonomi negara hari ini dan jelas bercanggah tuduhan Mahathir,” kata Lokman sambil mempersoalkan dakwaan Mahathir konon angka ekonomi negara adalah palsu.
Menurutnya pihak yang mengeluarkan angka ini ialah Jabatan Perangkaan. Malah sebaik dengar dakwaan Mahathir itu, beliau telah hubungi Pengarah Jabatan Perangkaan yang mengesahkan tidak pernah keluar angka palsu.
Menurut Lokman, pengarah yang masih sama itu juga kini bertugas di bawah pentadbiran kerajaan PH, maka tidak ada sebab beliau pula hendak melindungi kenyataan tidak benar dengan memutar belit fakta tertentu.
Mengulas dengan lebih lanjut, Lokman menilai angka-angka ekonomi semasa zaman pentabiran Najib sebenarnya menunjukkan antara yang terbaik di dunia tetapi enggan diakui Mahathir. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails