Oleh SM Mohamed Idris Presiden CAP
Setiap hari, setiap tahun – ayam, ayam, ayam!
KENAIKAN
harga ayam di pasaran benar-benar meragut ketenangan rakyat Malaysia.
Dalam masa dua minggu sejak bermulanya bulan Ramadhan, isu harga ayam
mencanak naik menjadi bualan hangat di kalangan pengguna, peniaga dan
pembuat dasar.
Sebelum ini, harga ayam adalah sekitar RM7
sekilogram. Kini, di Pasar Awam Jelutong misalnya, harga ayam melonjak
antara RM8 sehingga RM9 sekilogram. Persatuan Pengguna Pulau Pinang
(CAP) menerima lebih daripada 50 aduan daripada pengguna berhubung isu
ini.
Menurut laporan media, hubungkait antara pengeluar, orang
tengah (pengedar) dan peruncit merupakan antara penentu kenaikan harga
ayam. Bagi penternak dan peniaga sendiri, mereka menegaskan mereka tiada
pilihan dan harus akur kepada harga pasaran yang sensitif kepada harga
makanan ayam, kos pengangkutan dan kos sewa pekerja.
Kurangnya
bilangan ayam dalam pasaran mendorong sesetengah peniaga menaikkan harga
dengan sesuka hati, dan akhirnya memberi kesan dan bebanan kepada
pengguna-pengguna Malaysia yang menjadikan ayam sebagai sumber protein
utama.
Sehingga hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hanya memberi usul untuk mengimport
ayam, mencadangakan pengguna untuk boikot pembelian ayam, dan mereka
akan mengumumkan harga siling ayam pada 1 Ogos 2013(harga kawalan untuk
ayam hanya semasa musim perayaan).
KPDNKK tidak menyatakan
dengan jelas punca-punca kenaikan harga ayam yang menyebabkan panik di
kalangan pengguna. Isu kenaikan harga ayam bukanlah isu yang terbit
tahun ini sahaja, ia boleh dikatakan sebagai upacara tahunan,
berulang-ulang, sinonim benar dengan musim perayaan. Kami menggesa pihak
KPDNKK mencari satu penyelesaian yang konsisten dan memberi kesan
keuntungan kepada pengguna dan pengeluar.
Harga Siling Ayam diumumkan pada 1 Ogos 2013
Seperti
tahun-tahun sebelum ini, KPDNKK telah pun memperkenalkan Penguatkuasaan
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di bawah Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan 2011 (dahulu akta Kawalan Harga 1946). Di bawah skim ini,
beberapa barang keperluan (termasuk ayam) dikenalpasti sebagai barang
harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum di
peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dalam suatu tempoh tertentu.
Skim ini dilaksanakan di seluruh Malaysia dan harga yang
ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah. Untuk tahun ini,
KPDNKK akan mengumumkan tentang harga siling ayam dan barangan lain pada
1 Ogos 2013.
Persoalannya, dengan pengalaman dan isu-isu
kenaikan harga barang pada tahun-tahun yang sudah-sudah, tidakkah pihak
KPDNKK tidak merasakan bahawa untuk mengurangkan bebanan pengguna ialah
dengan menguatkuatkuasakan skim ini sedari awal bermulanya bulan
Ramadhan? Adakah setiap tahun, perdebatan tentang punca kenaikan harga
barang dan langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini hanya
akan dibincangkan saat pengguna terbeban dan mula mengadu?
Akta yang melindungi pengguna daripada kenaikan mendadak harga barang
Akta
Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melarang peniaga membuat
keuntungan yang tinggi dan tidak munasabah dalam menjual dan membekalkan
barangan, jika kesalahan disabitkan, peniaga akan dikenakan tindakan.
Selain itu, Menteri yang bertanggungjawab perlu menetapkan mekanisme
untuk menangani dan isu pencatutan ini.
CAP ingin mendapatkan
kepastian daripada KPDNKK sama ada mekanisme untuk menyelesaikan isu ini
telah disediakan atau tidak? Jika sudah, tidak perlu untuk KPDNKK untuk
menanti sehingga 1 Ogos 2011 untuk membuat penguatkuasaan. Jika belum,
pihak yang berkenaan patut memberi justifikasi mengapa masih belum
ditetapkan mekanisme? Adakah isu kenaikan harga barang ini merupakan isu
yang remeh?
Kami juga sedar tentang peranan Pengawal Harga
seperti termaktub di dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Pengawal boleh, dengan kelulusan Menteri, melalui perintah yang
disiarkan dalam Warta, menentukan harga maksimum, minimum atau tetap
bagi pembuatan, pengeluaran, pemborongan atau peruncitan”.
CAP
yakin mekanisme yang telah dirangka oleh pihak KPDNKK pasti berjalan
lancar dengan bantuan daripada Pengawal Harga. Peranan Pengawal Harga
ini pasti lebih berkesan jika mereka ditempatkan di setiap daerah dan
setiap cawangan KPDNKK diberi autonomi dan kuasa untuk menjalankan
operasi dan penguatkuasaan di peringakat lokal.
Selain itu,
KPDNKK perlu menggiatkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani (MOA) terutamanya dalam menangani isu-isu kekurangan
bekalan barangan dan kenaikan harga barangan menjelang musim perayaaan.
MOA telah memberi alternatif dengan menggesa pengguna untuk membeli
barangan di Pasar Tani (Fama).
Harga yang ditawarkan juga
berpatutan. Tahniah kami ucapkan kerana memperkenalkan ‘Program Jimat
Belanja Dapur’. Kami percaya, jika kedua-dua kementerian ini sedari awal
bekerjasama dan memberi maklumat kepada pengguna, pengguna tidak akan
panik dengan isu kekurangan dan kenaikan harga ayam.
Apa selain ayam?
Mengapa
ayam menjadi pilihan utama rakyat Malaysia? Pada masa dahulu, sebelum
tahun 1970-an, daging ayam agak mahal sehinggakan dalam sesebuah
keluarga, hanya makan ayam satu minggu atau sebulan sekali dan ada juga
yang kurang mampu hanya makan ayam pada musim perayaan.
Kini,
ayam merupakan sumber protein yang murah jika dibandingkan dengan ikan,
daging lembu, kambing dan sebagainya. Ayam juga sangat inklusif, kerana
boleh dinikmati oleh semua kaum di Malaysia.
Seperti yang kami
nyatakan di awal rencana ini, reaksi masyarakat menunjukkan kegusaran
dan ketidakmampuan mereka dalam menghadapi kenaikan harga ayam secara
mendadak. Pengguna perlu diberi lebih banyak alternatif untuk memilih
makanan.
Pada masa ini, keputusan yang dibuat oleh pengguna
adalah berdasarkan, apa yang ditawarkan oleh pasaran, bajet mereka,
harga produk pengganti dan alternatif yang ada.
Masyarakat perlu
digalakkan untuk menjalankan penternakan dalam skala yang kecil, dan
kerajaan perlu memberi bantuan daripada segi modal permulaan, milikan
tanah, pendidikan dan latihan. Selain itu, kerajaan perlu memikirkan
semula tentang memperkasakan sektor perikanan kerana harga ikan dan
sumber laut yang mahal turut memberi kesan kepada pilihan pengguna dalam
memilih sumber protein selain ayam.
Isu kenaikan harga ayam dan
kekurangan bekalan ayam hanyalah satu cebisan daripada isu yang lebih
besar – pengurusan sumber makanan di Malaysia.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sudah bertahun-tahun lamanya, bila sampai hari rakyat perlu lauk ayam, timbul masalah ayam. Agaknya habis dah semua kepala-kepala otak pemimpin-pemimin kerajaan berfikir nak selesaikan masalah ini, tapi tak boleh selesai juga. Fasal apa? Kerdil sangatkah otak-otak kerajaan, kalau yang lain, Malaysia Boleh?
Rentikan lah jadi pemimpin, kalau hanya Otak Tahi Ayam. Kokok saya berderai-derai, ekor bergelumang tahi ayam. Jangan kira untung saja bukan kebajikan rakyat, macam kerja-kerja bapak ayam. Ramai lagi orang lain boleh pimpin negara ini. Jangan beri beruk pegang ayam, macam gambar di bawah!