Friday, July 19, 2013

Ayam! Ayam! Ayam! Tak Selesai Kalau Pemimpin Otak Tahi Ayam


Oleh SM Mohamed Idris Presiden CAP

PENGGUNA

Setiap hari, setiap tahun – ayam, ayam, ayam!
KENAIKAN harga ayam di pasaran benar-benar meragut ketenangan rakyat Malaysia. Dalam masa dua minggu sejak bermulanya bulan Ramadhan, isu harga ayam mencanak naik menjadi bualan hangat di kalangan pengguna, peniaga dan pembuat dasar.

Sebelum ini, harga ayam adalah sekitar RM7 sekilogram. Kini, di Pasar Awam Jelutong misalnya, harga ayam melonjak antara RM8 sehingga RM9 sekilogram. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima lebih daripada 50 aduan daripada pengguna berhubung isu ini.

Menurut laporan media, hubungkait antara pengeluar, orang tengah (pengedar) dan peruncit merupakan antara penentu kenaikan harga ayam. Bagi penternak dan peniaga sendiri, mereka menegaskan mereka tiada pilihan dan harus akur kepada harga pasaran yang sensitif kepada harga makanan ayam, kos pengangkutan dan kos sewa pekerja.

Kurangnya bilangan ayam dalam pasaran mendorong sesetengah peniaga menaikkan harga dengan sesuka hati, dan akhirnya memberi kesan dan bebanan kepada pengguna-pengguna Malaysia yang menjadikan ayam sebagai sumber protein utama.

Sehingga hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hanya memberi usul untuk mengimport ayam, mencadangakan pengguna untuk boikot pembelian ayam, dan mereka akan mengumumkan harga siling ayam pada 1 Ogos 2013(harga kawalan untuk ayam hanya semasa musim perayaan).

KPDNKK tidak menyatakan dengan jelas punca-punca kenaikan harga ayam  yang menyebabkan panik di kalangan pengguna. Isu kenaikan harga ayam bukanlah isu yang terbit tahun ini sahaja, ia boleh dikatakan sebagai upacara tahunan, berulang-ulang, sinonim benar dengan musim perayaan. Kami menggesa pihak KPDNKK mencari satu penyelesaian yang konsisten dan memberi kesan keuntungan kepada pengguna dan pengeluar.

Harga Siling Ayam diumumkan pada 1 Ogos 2013


Seperti tahun-tahun sebelum ini, KPDNKK telah pun memperkenalkan Penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di bawah Akta  Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (dahulu akta Kawalan Harga 1946). Di bawah skim ini, beberapa barang keperluan (termasuk ayam) dikenalpasti sebagai barang harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dalam suatu tempoh tertentu.

Skim ini dilaksanakan di seluruh Malaysia dan harga yang ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah. Untuk tahun ini, KPDNKK akan mengumumkan tentang harga siling ayam dan barangan lain pada 1 Ogos 2013.

Persoalannya, dengan pengalaman dan isu-isu kenaikan harga barang pada tahun-tahun yang sudah-sudah, tidakkah pihak KPDNKK tidak merasakan bahawa untuk mengurangkan bebanan pengguna ialah dengan menguatkuatkuasakan skim ini sedari awal bermulanya bulan Ramadhan? Adakah setiap tahun, perdebatan tentang punca kenaikan harga barang dan langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini hanya akan dibincangkan saat pengguna terbeban dan mula mengadu?

Akta yang melindungi pengguna daripada kenaikan mendadak harga barang

Akta  Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melarang peniaga membuat keuntungan yang tinggi dan tidak munasabah dalam menjual dan membekalkan barangan, jika kesalahan disabitkan, peniaga akan dikenakan tindakan. Selain itu, Menteri yang bertanggungjawab perlu menetapkan mekanisme untuk menangani dan isu pencatutan ini.

CAP ingin mendapatkan kepastian daripada KPDNKK sama ada mekanisme untuk menyelesaikan isu ini telah disediakan atau tidak? Jika sudah, tidak perlu untuk KPDNKK untuk menanti sehingga 1 Ogos 2011 untuk membuat penguatkuasaan. Jika belum, pihak yang berkenaan patut memberi justifikasi mengapa masih belum ditetapkan mekanisme? Adakah isu kenaikan harga barang ini merupakan isu yang remeh?

Kami juga sedar tentang peranan Pengawal Harga seperti termaktub di dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. “Pengawal boleh, dengan kelulusan Menteri, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menentukan harga maksimum, minimum atau tetap bagi pembuatan, pengeluaran, pemborongan atau peruncitan”.

CAP yakin mekanisme yang telah dirangka oleh pihak KPDNKK pasti berjalan lancar dengan bantuan daripada Pengawal Harga.  Peranan Pengawal Harga ini pasti lebih berkesan jika mereka ditempatkan di setiap daerah dan setiap cawangan KPDNKK diberi autonomi dan kuasa untuk menjalankan operasi dan penguatkuasaan di peringakat lokal.

Selain itu, KPDNKK perlu menggiatkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terutamanya dalam menangani isu-isu kekurangan bekalan barangan dan kenaikan harga barangan menjelang musim perayaaan. MOA telah memberi alternatif dengan menggesa pengguna untuk membeli barangan di Pasar Tani (Fama).

Harga yang ditawarkan juga berpatutan. Tahniah kami ucapkan kerana memperkenalkan ‘Program Jimat Belanja Dapur’. Kami percaya, jika kedua-dua kementerian ini sedari awal bekerjasama dan memberi maklumat kepada pengguna, pengguna tidak akan panik dengan isu kekurangan dan kenaikan harga ayam.

Apa selain ayam?

Mengapa ayam menjadi pilihan utama rakyat Malaysia? Pada masa dahulu, sebelum tahun 1970-an, daging ayam agak mahal sehinggakan dalam sesebuah keluarga, hanya makan ayam satu minggu atau sebulan sekali dan ada juga yang kurang mampu hanya makan ayam pada musim perayaan.

Kini, ayam merupakan sumber protein yang murah jika dibandingkan dengan ikan, daging lembu, kambing dan sebagainya. Ayam juga sangat inklusif, kerana boleh dinikmati oleh semua kaum di Malaysia.

Seperti yang kami nyatakan di awal rencana ini, reaksi masyarakat menunjukkan kegusaran dan ketidakmampuan mereka dalam menghadapi kenaikan harga ayam secara mendadak. Pengguna perlu diberi lebih banyak alternatif untuk memilih makanan.

Pada masa ini, keputusan yang dibuat oleh pengguna adalah berdasarkan, apa yang ditawarkan oleh pasaran, bajet mereka, harga produk pengganti dan alternatif yang ada.

Masyarakat perlu digalakkan untuk menjalankan penternakan dalam skala yang kecil, dan kerajaan perlu memberi bantuan daripada segi modal permulaan, milikan tanah, pendidikan dan latihan. Selain itu, kerajaan perlu memikirkan semula tentang memperkasakan sektor perikanan kerana harga ikan dan sumber laut yang mahal turut memberi kesan kepada pilihan pengguna dalam memilih sumber protein selain ayam.

Isu kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan ayam hanyalah satu cebisan daripada isu yang lebih besar – pengurusan sumber makanan di Malaysia.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Sudah bertahun-tahun lamanya, bila sampai hari rakyat perlu lauk ayam, timbul masalah ayam. Agaknya habis dah semua kepala-kepala otak pemimpin-pemimin kerajaan berfikir nak selesaikan masalah ini, tapi tak boleh selesai juga. Fasal apa? Kerdil sangatkah otak-otak kerajaan, kalau yang lain, Malaysia Boleh?

Rentikan lah jadi pemimpin, kalau hanya Otak Tahi Ayam. Kokok saya berderai-derai, ekor bergelumang tahi ayam. Jangan kira untung saja bukan kebajikan rakyat, macam kerja-kerja bapak ayam. Ramai lagi orang lain boleh pimpin negara ini. Jangan beri beruk pegang ayam, macam gambar di bawah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails