Saturday, October 11, 2014

Bajet 2015: Suntik Ekuinas Tidak Bantu Rakyat Terbanyak -Dr Mujahid




KUALA LUMPUR: Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri hanya menumpukan usaha mengembangkan ekonomi dalam bentuk syer tetapi bukan dalam bentuk individu, demikian menurut Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata, jika dilihat di peringkat bawah masih terdapat kesenjangan pendapatan yang melibatkan 53 peratus rakyat Malaysia yang tidak ada apa-apa aset kewangan.

"Hanya 80 peratus daripada berpendapatan rendah iaitu 22 peratus sahaja yang ada aset kewangan. Ini menyebabkan pendapatan boleh guna tidak dapat ditingkatkan.
"Saya melihat 53 peratus mereka yang tidak ada aset kewangan itu, 80 peratus daripada itu adalah bumiputera," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut Bajat 2015, katanya walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan akan menyuntik Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) supaya syer bumiputera bertambah malangnya ia bukan dalam bentuk individu.

"Yang kita maksudkan 80 peratus tidak punyai aset kewangan. Dan ini menyebabkan dia tidak ada wang lebihan untuk berbelanja seterusnya menjadi beban kepada rakyat,"katanya.

Justeru katanya, bagi melihat kedudukan realiti rakyat negara ini perlu mengambil kira kesenjangan pendapatan bukan syer yang dimiliki oleh bumiputera.

"Nampaknya perjalanan kita lebih jauh lagi. Bajet ini adalah satu usaha tetapi tidak berjaya menyelesaikan soal ketirisan dan rasuah yang masih membimbangkan kita,"tegas beliau. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Bajet 2015 'bajet sakit' -Suhaizan Kaiyat


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyifatkan Bajet 2015 sebagai belanjawan kurang sihat apabila lebih banyak peruntukan pengurusan berbanding pembangunan. Ketuanya, Suhaizan Kaiyat berkata, nisbah peruntukan untuk pengurusan adalah 80 peratus berbanding untuk pembangunan sebanyak 20 peratus.

"Ini menunjukkan bajet yang kurang sihat kerana bajet untuk pengurusan terlalu banyak.
"Kalau untuk pengurusan maksudnya belanja hangus, tiada pulangan," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut, dekat sini.

Suhaizan juga berkata, kerajaan lebih banyak mengumumkan projek pembangunan di bandar berbanding di luar bandar.

"Projek-projek pembangunan hanya bertumpu di bandar dan meminggirkan luar bandar.
"Di negeri-negeri misalnya Kelantan masih tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya," katanya.

Kawal harga rumah

Menyentuh insentif untuk golongan muda pula, beliau menyambut baik pemberian kemudahan untuk golongan muda membeli rumah pertana namun mahu kerajaan turut mengawal kenaikan harga rumah.

"Memang ada insentif untuk golongan muda membeli rumah pertama tapi saya tidak nampak bagaimana kerajaan boleh mengawal kenaikan harga rumah.
"Harga rumah naik mendadak hingga golongan muda yang berpendapatan sederhana tidak mampu untuk membeli rumah," katanya lagi.

Untung peraih

Sementara itu beliau berkata, peruntukan RM100 juta untuk menyelesaikan masalah penoreh getah tidak diberikan terus kepada penoreh sebaliknya memberi keuntungan kepada peraih.

"Insentif 100 juta untuk penoreh tidak dapat menyelesaikan masalah penoreh yang berhadapan masalah penurunan harga getah sebaliknya diberikan kepada peraih," katanya.

Selain itu tegasnya, walaupun petrol tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi tiada jaminan kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol.

"Memang kerajaan umum petrol tak dikenakan GST tapi apa jaminan kerajaan tak akan naikkan harga minyak? Sekarang pun minyak dah naik 20 sen," katanya. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

TURUN, Gamis & Pemuda PAS Bantah Harga Minyak Naik.


Sekumpulan 150 orang aktivis anak muda berarak hampir sejam di kawasan pusat membeli belah Jalan Tuanku Abdul Rahman petang ini bagi menyatakan bantahan ke atas kenaikan terbaru harga minyak.

Acara yang disertai aktivis Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Pemuda PAS itu merupakan susulan kepada memorandum bantahan mereka ke parlimen, Rabu lalu.

Ia antara lainnya dikepalai oleh ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, pengerusi TURUN, Mohamad Azan Safar. Sambil berarak, kumpulan peserta berkenaan bertepuk tangan dan menyanyikan lagu yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan atas kenaikan harga bahan api itu.

Kumpulan itu membawa sepanduk, antaranya dengan slogan "Jangan kangkungkan kami", "Menteri ikat perut, rakyat jerut leher" dan "Turunkan harga minyak". Kumpulan yang diawasi beberapa orang anggota polis itu turut melaungkan slogan dengan nada sama.

Terdahulu, kumpulan berkenaan berhimpun di hadapan Kompleks Pertama selama kira-kira 10 minit dan mula berarak mengelilingi kompleks berkenaan. Mereka turut mengelilingi pusat membeli belah Sogo melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Semarang sebelum bersurai pada jam 4 petang.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Suhaizan berkata usaha seperti itu akan diteruskan sehingga kerajaan menurunkan harga petrol RON95 dan diesel.

"Kita akan buat lagi minggu depan dan akan teruskan sampai kita rasa puas hati dan sehingga harga minyak diturunkan.
"Tidak semestinya berarak. Kita akan buat pelbagai cara untuk terus bantah. Kehadiran peserta hari ini pun menunjukkan petanda yang bagus," ujarnya.

Berkuatkuasa 2 Oktober, petrol RON95 dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20. Najib dalam pembentangan Bajet 2015 semalam seterusnya mengumumkan cukai GST 6 peratus tidak akan dikenakan ke atas jualan kedua-dua bahan tersebut. (MK)

Tiada 'wow factor' Dalam Bajet 2015-Dr Dzulkefly




Bajet 2015 Sekadar 'melepas batuk di tangga' 

KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan Bajet 2015 yang dibentangkan Perdaa Menteri semalam, tidak lebih sekadar mahu melepas batuk ditangga.

Beliau berpendapat, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menggunakan Bajet 2015 secara baik bagi mendidik rakyat tentang kedudukan ekonomi dan kewangan negara yang kini berdepan dengan risiko untuk diturunkan Penarafan Negara atau Sovereign Rating oleh Badan Penarafan Antarabangsa.

"Puncanya ialah hutang kerajaan pusat terkini RM586 bilion. 16 tahun defisit fiskal dan jaminan pinjaman oleh kerajaan ke atas GLC atau 'contingent liabilities' ke paras RM157 bilion.

"Pada awal nampak macam sudah insaf tetapi jelas bahawa langkah konsolidasi fiskal hanya 'melepas batuk ditangga' ketika perbelanjaan mewah diperuntukkan semacam  tidak berdepan apa-apa masalah," katanya.

Menurut Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat, belanja mewah itu termasuk peruntukan besar kepada Jabatan Perdana Menteri iaitu RM19 bilion, Pan Borneo Highway yang sudah masuk enam kali disebut dalam bajet, projek-projek infrastruktur, pelbagai insentif-insentif cukai dan sebagainya.

"Perkara yang baik tetap baik, tapi sengaja berbelanja besar kerana takut hilang adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Dzulkifli juga melahirkan kebimbangan, apakah Bajet 2015 ini akan mengalami nasib yang sama dengan yang lain dari segi ketirisan dan kebocoran yang akhirnya akan menggagalkan pencapaian program-program yang baik.

Sebab itu katanya, Pakatan Rakyat turut membentangkan belanjawan alternatif sebagai penyemak imbang agar wujud persaingan sihat. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Minta RM2.9J, Culik Konstabel Zakia Aliep -Masih Runding..




Malaysia sedang berunding dengan kumpulan penculik bagi pembebasan tanpa bayaran tebusan anggota polis marin Konstabel Zakia Aliep yang diculik di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata rundingan sebelum ini menemui jalan buntu kerana kumpulan penculik menuntut wang tebusan yang tinggi antara RM3 juta hingga RM10 juta.

Katanya Zakia yang diculik kumpulan penceroboh pada 12 Julai lepas berada dalam keadaan sihat dan selamat berdasarkan panggilan telefon kepada isterinya dan beliau dipercayai berada di lokasi di pedalaman selatan Filipina bersempadanan dengan Sabah.

"Kita tengah berunding. Mereka menuntut 40 juta peso (RM2.9 juta). Kadarnya ada naik dan turun. Mereka ada memberi sepuluh hari dan kita tunda. Rundingan masih boleh diteuskan.
"Apa yang penting, kalau boleh kita mahu membuat pembebasan tanpa sebarang bayaran dan pihak sana boleh membebaskannya secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan ke rumah bapa Zakia di Kampung Tinuhan, di Tuaran, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Komander Pasukan Polis Marin Datuk Abd Aziz Yusoff. Muhammad Fuad berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pasukan keselamatan Filipina untuk meneruskan rundingan dan menurutnya Zakia  menghubungi keluarganya sebanyak 82 kali sejak dilarikan kumpulan penculik itu. Ditanya lokasi Zakia ditawan, beliau berkata kumpulan penculik dipercayai sentiasa bergerak dan berpindah tempat persembunyian yang berkemungkinan di kawasan hutan.

"Isterinya tidak tahu di mana dia berada kerana melalui percakapan dengan Zakia, kumpulan itu sering berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat. Apabila isteri cuba bertanya pihak sana tidak mahu mendedahkan lokasi. Apabila mereka rasa tidak selamat akan pindah dan pindah di kawasan pedalaman kemungkinan kawasan hutan," katanya.

Beliau berkata pasukan polis akan berusaha dan bertangungjawab sepenuhnya untuk menentukan keselamatan Zakia dan kembali ke pangkuan keluarga.

"Kita mahu dia dibebaskan dengan selamat dan oleh sebab itu, kita mengambil masa tiga bulan (untuk berunding) dan keadaan masih terkawal dan dia (Zakia) masih okay kerana kita tahu pihak sana tidak mendera dan memukul ... kita perlu ambil masa," katanya.

Berhubung lawatan kebajikan itu, Muhammad Fuad berkata ia sebagai tanda sokongan kepada keluarga Zakia dengan menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa Zakia iaitu Juna Gumbur, 54, dan Aliep Sadu, 54,  serta isteri Zakia, Sharifah Erna Berson, 22, dan anak mereka, Muhd Hisyam Izzuddin yang berusia tujuh bulan.

"Kita memberi harapan kepada keluarga Zakia pasukan polis sentiasa mengambil berat dari segi kebajikan dan kita ada orang yang tengah membuat rundingan ... kita hendak beliau (Zakia) bebas dengan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fuad berkata pengusaha ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun yang diculik di Kampung Sapang Air, Kunak pada 16 Jun lepas juga dipercayai berada dalam keadaan selamat dan rundingan juga sedang diadakan dengan pihak penculik bagi pembebasannya tanpa bayaran tebusan. – Bernama, 11 Oktober, 2014.

Bajet 2015 mengecewakan, 'mengulangi benda sama' -Anwar




KL: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen semalam.

Menurutnya, bajet yang dibentang Datuk Seri Najib semalam itu lebih kepada 'mengulangi benda sama' seperti bajet-bajet terdahulu.

Malah kata beliau, Najib gagal untuk menangani masalah peningkatan kos hidup rakyat yang kini sangat terbeban dengan pelbagai kenaikan.

"Bagi saya soalnya kos meningkat tidak yang dapat ditangani. Peningkatan harga minyak tak munasabah dalam keadaan harga minyak antarabangsa turun.

"Soal kebocoran, ketirisan, rasuah, tidak ada tender dalam beberapa kontrak besar menyebabkan kos meningkat, dan hal ini tidak disentuh," katanya ketika diminta memberi ulasan awal terhadap pembentangan bajet itu semalam.

Beliau juga berkata, kesan bahaya akibat kebocoran berbilion ringgit yang tidak ditangani, telah memangsakan rakyat dengan beban kenaikan harga termasuk harga minyak.

"Soal GST, bukan pengecualian semata-mata tetapi pendekatan yang akan pasti meningkatkan harga barang," tegasnya.

Menurut Anwar, semua perkara itu akan dibangkitkan beliau pada sesi perbahasan bajet, minggu depan. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Parti Arak Oktoberfest, Ini Sikap Azmin.


Shah Alam: Selari dengan arahan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali agar acara parti arak Oktoberfest diadakan mengikut peraturan,  penganjurnya Carlsberg Malaysia terpaksa memindahkan acara tiga hari tu ke kawasan letak kereta bertingkat.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengarahkan acara berkenaan dijalankan di lokasi tertutup, susulan bantahan oleh pemimpin Umno dan PAS. Penganjur turut menegaskan bahawa acara berkenaan "khusus untuk pengguna bukan Islam berusia 18 tahun ke atas"

Demikian lapor Malaysiakini.

Itu sikap Azmin, Menteri Besar Selangor. Sementara segerombolan pemimpin kanan DAP dan PKR muncul untuk memberi sokongan kepada penganjur parti arak Oktoberfest, yang terpaksa memindahkan upacara tersebut ke lokasi tertutup tersebut.

Menurut MP Kelana Jaya, Wong Chen, gerombolan itu diketuai penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tiba seawal jam 9 malam di pusat membeli-belah 1Utama, Petaling Jaya bagi menyertai parti berkenaan.

Turut hadir ialah setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, ADUN Bukit Gasing R Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin. Wong Chen berkata beliau hadir ke program tersebut bersama penasihat undang-undang PKR, R Sivarasa demi mempertahankan hak orang yang minum alkohol.

“Saya bukan seornag peminuum tapi saya percaya pada hak orang yang minum dan tidak minum. Cuma, jangan memaksa niat anda pada orang lain.
“Untuk peminum, anda ada satu lagi tanggungjawab untuk tidak memandu dalam keadaan mabuk,”
 

Menurut berita itu lagi. (IH)

Jakarta Bergolak Panas, FBI Sokong FUI Tolak Ahok Jadi Gabenor..


FPI dipenjara, giliran FUI rajin demo Ahok
Jakarta: Front Pembela Islam (FPI) kembali menyambangi DPRD DKI Jakarta. Mereka mengiringi Forum Umat Islam (FUI) tunjuk perasaan menolak Wagub DKI Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) menjadi gabenor DKI.

"Ya, ada 200 orang lelaki dan wanita, gabung dengan FUI. Massa ini dipimpin oleh Subhan," kata Kabid Humas Polda Metro Jaya Kombes Pol Rikwanto melalui mesej singkat kepada wartawan di Jakarta, Jumaat (10/10) kelmarin. Rikwanto menyatakan aksi tersebut dilakukan siang hari. Mereka memilih melakukan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat.

"Yang bersangkutan memberitahu akan melakukan aksi siang hari. Aksinya setelah salat Jumaat," terang dia.

Diketahui, sebelumnya FPI telah melakukan aksi menolak Ahok menjadi gabenor DKI di DPRD DKI Jakarta. Mereka pun membawa pedang samurai, batu dan tahi kuda Aksi yang tak diduga akan ricuh itu menjadi panas ketika massa FPI membaling batu ke arah polis. 21 Orang ditetapkan sebagai suspek termasuk Korlap Habib Novel yang sempat jadi buruan selama lima hari.

FPI dipenjara, giliran FUI rajin demo Ahok
FPI dipenjara, giliran FUI rajin demo Ahok
FPI dipenjara, giliran FUI rajin demo Ahok 
(IH)

Umat Islam Indonesia Mula Menolak Ahok/Jokowi Kerana...

Bajet 2015: Apa kata Azmin, Sim Tze Tzin & Takiyuddin Hassan



Media merakamkan gambar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di luar Dewan Rakyat selepas pembentangan Bajet 2015, petang ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Oktober, 2014. Media merakamkan gambar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di luar Dewan Rakyat selepas pembentangan Bajet 2015, petang ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Oktober, 2014.
Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat gagal berperanan meningkatkan ekonomi negara, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kerajaan pentadbiran Barisan Nasional tidak memberikan tumpuan yang jelas kepada usaha menangani aktiviti ekonomi yang tidak konsisten dan pembaziran dalam pembentangan bajet kali ini.

"Saya lihat bajet ini tidak memberi penumpuan jelas tentang bagaimana untuk menangani isu pembaziran projek kerajaan.
"Ia tidak merancakkan ekonomi rakyat seperti yang sepatutnya," kata ahli Parlimen Gombak itu kepada pemberita selepas selesai pembentangan bajet itu di Parlimen.

Najib membentang bajet keenamnya hari ini, bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat, memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion, meningkat RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014.

Azmin berkata, bajet bagi memperkasakan ekonomi rakyat memerlukan penekanan kualiti pendidikan yang bagus, latihan dan inovasi agresif, tetapi ia langsung tidak ditekankan dalam Bajet 2015. 
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata beliau tertanya-tanya dengan keputusan Najib menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mengecewakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam pembentangan Bajet 2015, Najib berkata kerajaan meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah daripada RM650 kepada RM950 mulai tahun depan. Najib yang juga menteri kewangan berkata, Putrajaya akan meningkatkan BR1M daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.
 
Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan dalam reaksinya mempersoalkan defisit kerajaan berjumlah RM38 bilion. Katanya, kerajaan masih gagal untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan ini menunjukkan betapa lemah pengurusan ekonomi.

"Defisit RM38 bilion, ia bukan bajet yang baik. Bagi kami ia bajet yang tidak berimbang. Pendapatan negara masih belum menunjukkan kemajuan dalam pengendalian ekonomi pihak persekutuan," kata Takiyuddin. – 10 Oktober, 2014. (TMI)

Bajet 2015: Sekadar Istilah Bukan Kesan Sebenar Kpd Rakyat -Kamarudin Jaffar.




KL: Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi sekadar menggunakan istilah-istilah dan penjenamaan tetapi bukan kesan sebenar ekonomi negara kepada rakyat miskin.

"Tetapi kita mahu melihat hasil dan kesan sebenar kepada rakyat terutama yang mskin yang tidak disebut oleh beliau," ujar Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Ini, katanya kerana keadaan ekonomi negara mengikut kajian pakar ekonomi adalah menuju kepada jurang antara golongan kaya dan miskin yang amat teruk.

Katanya, sama ada berbanding dengan negara lain atau sejarah ekonomi negara sendiri menunjukkan ia menuju kepada jurang yang amat teruk tetapi tidak ditekankan oleh Perdana Menteri dalam bajet yang dibentangkan itu.

Mengenai pengumuman beberapa pemberian kepada rakyat, katanya ia sememangnya telah diduga.

"Oleh itu pengumuman pemberian memang kita duga dan dinantikan, kerajaan iktiraf rakyat yang miskin seperti nelayan dan petani yang pendapatan isi rumah rendah adalah isu besar dalam negara kita," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Tambahnya, apa yang diharapkan daripada bajet itu ialah dasar-dasar yang baru ke arah untuk menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat.

Beliau juga kesal kerana pembentangan bajet itu tidak menyentuh industri penerbangan negara terutama melibatkan MAS.

"Kita juga tidak diberi apa-apa penerangan berkaitan industri penerbangan seperti MAS, hanya disebut tragedi yang dilalui oleh MAS.
"Itu kita semua sudah tahu tapi apa masa depan MAS, pengurusannya tidak disentuh langsung oleh beliau," katanya.
"Supaya pelaburan negara yang bernilai beribu-ribu juta ringgit oleh rakyat awam dalam MAS tidak rugi begitu sahaja," katanya ketika ditemui di lobi parlimen.

Menurut beliau, sepatutnya Perdana Menteri menjelaskan perkara itu kerana ia melibatkan pelaburan negara termasuk kalangan pemegang saham. - HARAKAHDAILY 10/10/2014

AP BN Minta Naik Elaun Sedangkan Dapat Peruntukan... Datuk Mahfuz .




KL: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kenaikan elaun ahli-ahli parlimen yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2015.

Jelas beliau, kenaikan tersebut akan memberi lebih banyak ruang kebajikan kepada rakyat setempat.

"Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan menaikan elaun ahli parlimen dengan alasan tidak cukup untuk rakyat, sedangkan mereka mendapat peruntukan.
"Kita tidak pernah mendapat apa-apa peruntukan dan dengan kenaikan ini dapat memberi ruang kita untuk berkhidmat lebih baik kepada rakyat," jelasnya kepada Harakahdaily.

Namun katanya, kenaikan ini turut dilihat tidak adil apabila kerajaan tidak mengambil pendekatan menurunkan harga minyak.

"Kita berharap dengan kenaikan ini akan ada pengumuman penurunan harga minyak dari kerajaan, tapi itu tidak berlaku.
"Dalam pada itu juga kenaikan elaun tidak dilakukan kepada kakitangan parlimen yang lain.
"Sepatutnya mereka juga perlu mendapat imbuhan dari kerajaan," sambung beliau lagi.‎

Beliau yang juga merupakan Ketua Whip Parlimen PAS turut menggesa agar kerajaan memberi peruntukan kepada kawasan parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat pada bajet tambahan nanti agar kebajikan pengundi turut dibela. - HARAKAHDAILY 10/10/

Bajet: Nasihat Nabi Shu‘aib -Dr Mohd Asri Zainul Abidin




KL:Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu berkongsi apa yang Nabi Shu‘aib nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat.

Beliau menyatakan tidak mahu mengulas bajet secara detil menerusi tulisan dalam facebooknya, sebagaimana di bawah.

Saya tidak mahu mengulas bajet secara detil. Biarlah hal itu dilakukan oleh pakar-pakarnya. Saya sekadar mahu berkongsi apa yang Nabi Shu‘aib nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat.

Nabi Shu’aib merupakan seorang nabi yang yang diutuskan kepada Kaum Madyan. Beliau terpaksa menghadapi kerenah penyelewangan pengurusan ekonomi dan harta yang mereka lakukan. Kaum Madyan dicatatkan sebagai kaum yang awal mengenakan cukai kepada orang yang lalu-lalang dalam kawasan mereka. Al-Quran merakamkan ucapan-ucapan Shu’aib bagi mengingatkan sesiapa yang terlibat dengan harta orang lain tentang asas-asas penting dalam menguruskan harta. Bahasa Nabi Shu’aib a.s. bahasa asas yang dapat difahami oleh semua peringkat.

Penipuan Harga

Penipuan harga adalah antara ibu penipuan dalam urusan ekonomi. Meletak harga bohong pada sesuatu adalah kezaliman. Penipuan ini boleh berlaku samada dengan cara menipu ukuran ataupun timbangan. Dalam kerangka projek-projek kerajaan bererti meletakkan harga yang tidak sepadan dengan nilai yang sepatut. Sehingga projek-projek itu dibayar oleh kerajaan dengan harga yang tinggi melebihi ‘sukatan’ ataupun ‘timbangan’ yang sepadan. Wang awam menjadi mangsa dan negara menjadi korban. Ini semua kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memakan harta secara tidak sepatutnya. Inilah yang Nabi Shu‘aib tegaskan dalam seruannya.

Firman Allah: (maksudnya)
  • “dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Syu’aib, dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dariNYA, dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi.” (Surah Hud ayat 84).
Menipu timbangan ataupun sukatan bukan bererti tidak langsung menimbang ataupun menyukat, tetapi sukatan dan timbangan secara tipu. Inilah punca kemusnahan kehidupan penduduk Madyan kerana ada pihak yang menipu dalam berurusan dengan pihak yang lain. Justeru, negara yang baik hendak mempratikkan ‘good monetary policy’ yang dapat menyelamat harta awam dari ditipu ataupun dirompak secara ‘lulus di atas kertas’. Kebanyakan penipu silam dan moden memperlihatkan seakan mereka jujur pada mata yang tertipu, tetapi hakikatnya mereka penipu. Hal ini akan menyebabkan negara yang zahirnya kaya, tetapi rakyatnya susah sebab timbangan dan sukatan mereka sudah ditipu. Nampak banyak, hasilnya sedikit.

Mengurangi Hak

Ingatan Nabi Shu’aib yang lain ialah: (maksudnya)
  • “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85).
Dalam konteks negara, jika kita membicarakan tentang hak, maka hak rakyat menikmati kekayaan bagi setiap negara tidak sama. Ia bergantung kepada latar kekayaan negara tersebut. Jangan samakan Malaysia dengan negara yang lebih miskin dari kita ataupun sebaliknya.

Sebab itu al-Quran apabila menyebut tentang mut’ah yang suami patut berikan kepada isteri yang diceraikan, Allah memerintahkan agar kadarnya ditentukan oleh kemampuan masing-masing. Allah menyebut:
  • “..hendaklah kamu memberi "mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu), iaitu suami yang senang (hendaklah memberi) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”. (Surah al-Baqarah, ayat 236).
Suami yang kaya tidak boleh memberikan saguhati ataupun mut’ah itu seperti kadar yang diberikan oleh suami yang miskin. Dia tidak boleh bandingkan hak isterinya dengan isteri orang tidak sekaya dirinya. Demikian hak-hak rakyat dalam setiap negara itu berbeza berdasarkan kekuatan kekayaan negara berkenaan. Tidak boleh mana-mana kerajaan yang kaya menyamakan hak rakyat di negaranya dengan rakyat di negara yang lebih miskin daripadanya. Lebih buruk lagi jika sebahagian ‘bangsawan’ dan ‘atasan’ menikmati kekayaan sesebuah negara secara berlebihan sementara sebahagian rakyat hanya menjilat lebihan kuah yang tumpah ke lantai sahaja.

Keberkatan

Intipati yang penting dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari keberkatan yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang halal. Shu’aib a.s: (maksudnya)
  • “Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu". (Surah Hud, ayat 86).
Inilah asas jiwa insan yang jujur dalam pengurusan ekonomi. Jiwa yang memadai dengan yang halal dengan tidak mengambil harta orang lain atau pun mengurangkan hak mereka. Memadai dengan apa yang tinggal dari pengurusan yang halal itu lebih baik dan diberkati Tuhan. Dilimpahkan kedamaian dan kebaikan dari pelbagai sudut dalam kehidupan. Kebahagiaan bukan hanya diukur dengan jumlah harta tetapi kurniaan keberkataan limpahan Tuhan kepada kehidupan ini.

Keberkatan adalah elemen yang ditekankan dalam pengurusan ekonomi Islam yang tiada dalam sistem ekonomi yang lain. Keberkatan itu seperti kata Al-Asfahani (meninggal 425H) bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam)

Lihatlah bila keberkatan hilang maka orang yang kaya-raya pun hidup tanpa bahagia. Pencuri-pencuri harta awam hendaklah faham hakikat ini. Pengurus harta awam juga hendaklah faham. Justeru itu kita kena sedar bahawa jumlah jenayah dan keadaan tekanan hidup yang sedang meningkat dalam negara kita adalah antara tanda hilangnya keberkatan kehidupan.

Good Governance

Good governance atau urus tadbir baik adalah istilah yang digunapakai pada hari ini bagi menggambarkan bagaimana institusi awam yang mengendalikan urusan dan harta awam ditadbir. Ia menggambarkan urustadbir yang bertanggungjawab lagi baik. Beberapa anasir diletakkan oleh pelbagai pihak seperti UN, IMF, World Bank dan lain-lain dalam menetapkan characteristics sesuatu urus tadbir yang baik. Sesiapa yang mengkaji tentang international development boleh mendetilkannya.

Apapun, nasihat-nasihat Nabi Syu’aib adalah kunci kepada urustadbir harta yang baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah sebut:
  • “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. 
Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda:
  • “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”
  • “Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.
Sambung Ibn Taimiyah lagi:
  • “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]
(HARAKAHDAILY )

Bendung Harga Barang Cakap Kosong -Andansura





KUANTAN: Adun Beserah, Andansura Rabu menyifatkan langkah kerajaan menaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen atas alasan pengurangan subsidi, adalah tidak kena pada masanya.

Tambahnya, jaminan kerajaan untuk memantau bagi membendung kenaikan harga barang ekoran langkah tersebut, hanya cakap-cakap kosong kerana sebelum ini kerap kali gagal.

“Kerajaan sepatutnya memikirkan kaedah untuk meringankan beban hidup rakyat bukannya menambahkan beban sedia ada.

“Keadaan yang terus menghimpit hidup rakyat berterusan masalah dijangka akan lebih teruk selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Andansura yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang berkata, dakwaan beberapa pihak kononnya harga barang terkawal melalui pemantauan berterusan bukan jaminan tiada kenaikan harga barangan berlaku.

Menurutnya, kenaikan harga barang tetap akan berlaku kerana peningkatan harga minyak mempunyai kesan berantai yang mendorong kepada peningkatan kos pengangkutan.

Menurutnya, langkah kerajaan itu tidak kena masanya kerana rakyat sudah terbeban dengan peningkatan kos sara hidup kebelakangan ini akibat barangan keperluan yang telah sedia tinggi.

Pada masa yang sama, pendapatan rakyat terutamanya penoreh getah dan pekebun sawit terus tersiksa dengan harga yang merudum.

“Rakyat seolah-olah ditipu sedangkan pada hakikatnya mereka terpaksa berdepan peningkatan kos hidup yang kian membebankan,” katanya.

Andansura berkata, rakyat perlu merancang satu protes dalam bentuk yang lebih berkesan termasuk bantahan berhubung GST tahun depan jika tidak mahu keadaan hidup terus menghimpit. - HARAKAHDAILY 10/10/2014

Teks Penuh Ucapan Bajet 2015 -Najib Tun Razak Di Dewan Rakyat

Berikut adalah teks ucapan penuh Bajet 2015 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini. Rang Undang-undang Perbekalan 2015 itu bertajuk “Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat".

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua,

1. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n. Diiring pula selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama
berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah- Nya, bagi saya membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar dapat didengar dan dihadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan Rakyat Malaysia seluruhnya.

2. Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili pihak Kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan solihat.

3.Saya turut ingin mengambil kesempatan pada petang Jumaat penuh barakah, penghulu segala hari, mengucapkan selamat kembali ke tanahair kepada YAB Timbalan Perdana Menteri beserta para hujjaj lain, yang telah selesai menunaikan fardhu haji. Moga-moga beruntunglah di atas kurniaan Haji Akbar yang Mabrur hendaknya.

Tuan Yang Dipertua,

4. Secara sedar ataupun tidak, sepanjang hampir 60 tahun merdeka, kita telah merencana pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memakmurkan negara. Hakikatnya, pelaksanaan serta pembangunan ekonomi telah melalui segala macam strategi yang disusun kemas la
gi sistematik. Jika tidak, mana mungkin Malaysia sampai pada tahap yang ada pada hari ini.

5. Cumanya, ramai yang tidak begitu sedar bahawa proses ini bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi terjadi dengan semena-mena. Suka atau tidak suka, dalam tempoh yang bukan sekejap, ia menagih ikhtiar-ikhtiar yang cukup banyak, meliputi rencana-rencana yang menyeluruh, dengan segala jerih payah, kepahitan, terutamanya apabila wajarnya diambil ketetapan-ketetapan dan keputusan- keputusan yang tidak popu lar. Namun, semuanya itu, perlu diperbuat dan diperlakukan oleh pihak Kerajaan yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti, demi mendahulukan kepentingan rakyat sejak dulu, kini danselamanya.

Tuan Yang Dipertua,

6.Dari perspektif ekonomi, ketika mana meraih kemerdekaan 57 tahun lalu, kita telah membina negara ini berlandaskan pertanian. Kemudiannya, kita menuju negara perindustrian moden. Selanjutnya, kita melalui fasa negara berpendapatan sederhana tinggi. Sekarang
ini pula, kita sedang melangkah ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dan pengetahuan.

7. Bila disimpulkan, objektif, prinsip dan teras kepada 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang, kesepuluh-sepuluh Rancangan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara dan sejak 2010 Dasar Transformasi Nasional, kesemuanya berkisar tentang pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, penyusunan semula masyarakat, sehingga tercapai matlamat sosio-ekonomi, mempelbagaikan ekonomi berteraskan komoditi, pembangunan modal insan, meningkatkan daya saing sektor awam dan swasta, rantaian nilai lebih tinggi, pembangunan secara inklusif dan transformasi Kerajaan, ekonomi, sosial serta politik.

8.Ternyata, bapa-bapa pimpinan terdahulu dengan bijaksana, telah menjalankan kewajiban masing-masing membentuk Malaysia menurut acuan tersendiri. Dimulai perjuangan oleh Tunku Abdul Rahman, diikuti oleh Tun Abdul Razak yang telah melaksanakan pembangunan dan menyusun semula struktur sosial masyarakat, Tun Hussein mengekalkan keamanan dan perpaduan, Tun Mahathir memodenkan negara, manakala Tun Abdullah pula menekankan aspek pembangunan modal insan.

Tuan Yang Dipertua,

9.Seterusnya, Kerajaan yang ada hari ini, terus komited memacu pertumbuhan negara dengan tasawwur yang lebih luas bagi meletakkan Malaysia di jajaran kukuh dari masa ke semasa.

10. Jelasnya, jika dicongak, pembentangan Bajet, petang ini, adalah yang keenam sejak saya mengambil alih pentadbiran, dan juga adalah bajet negara kali yang ke-56. Sesungguhnya jua, Bajet 2015 ini, menjadi bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia.

11. Selanjutnya, pada Mei 2015 nanti, bermulalah jendela Rancangan Malaysia kesebelas. Serentak itu, satu pendekatan baharu sedang digariskan yang dikenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National Development Strategy atau MyNDS.

12. MyNDS akan menjadi antara formula kepada perancangan dan penyediaan program serta projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Ia akan menggunakan sumber yang terhad secara optimum, yakni menumpukan kepada projek dan program berimpak tinggi, kos yang rendah serta pelaksanaan secara cekap dan pantas . Ertinya, Bajet 2016 kelak, akan menjadi pemula kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam menuju status, dengan izin– High Income Advanced Economy menjelang 2020.

13. Merujuk kepada perjalanan negara-negara yang lain seperti Korea, Jerman, Jepun, Taiwan mahupun China, di mana kebanyakannya bermula dengan asas pertanian sebagai ekonomi
mereka dan kini beralih kepada asas ekonomi yang mengutamakan pengetahuan, kemahiran, inovasi dan kepakaran yang tinggi.

14. Jika dapat diterangkan dengan bahasa yang mudah, perancangan dan instrumen ekonomi kepada sesebuah negara perlu disesuaikan mengikut musim dan peredaran masa serta tuntutan domestik dan global. Justeru, untuk terus kekal relevan Malaysia sewajibnya bergerak dengan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, kepakaran, kreativiti dan inovasi.

Tuan Yang Dipertua,

15. Sememangnya, dari sudut ekonomi, sesebuah negara yang pesat membangun, tidak boleh lari daripada menjana kekayaan menerusi aktiviti capital economy. Namun demikian, dari sudut
kesejahteraan rakyat, kita mendengar keluh kesah, sungutan dan rungutan orang ramai. Mereka bertanya melalui komen-komen blog, surat-surat yang diterima, mesyuarat, temubual, sesi dialog
dan wacana semasa akan persoalan bahawa angka berjuta-juta, peruntukan berbilion-bilion dan pelbagai projek mega, apakah manfaatnya kepada rakyat terbanyak?

16. Bak kata orang kampung saya di Pekan, maaf bercakap, rasanya, perkara-perkara dokumen bajet begini, serta apa yang di sebut seperti jauuuuuuh... dan tidak ada kena mengena dengan
pakcik, makcik, kawan-kawan bukan sahaja di luar bandar malahan juga di bandar.

Tuan Yang Dipertua,

17. Sesungguhnya, inilah cabaran terbesar dalam mentadbir Negara seistimewa Malaysia dengan kerencaman masyarakat. Saya selaku Perdana Menteri sehingga petang semalam ketika bertemu para wartawan diajukan soalan apakah hal yang paling sukar untuk diputuskan? Saya menjawab... yakni bagaimana kita hendak mengimbangi antara polisi yang populist in nature as compared to those policies based on economic and financial imperatives.

18. Sejelasnya, Kerajaan yang ada hari ini berpegang teguh kepada prinsip bahawa usaha memantap tadbir urus fiskal seperti mengurangkan defisit fiskal adalah satu tanggungjawab moral
generasi kita untuk generasi pewaris masa hadapan. Pokoknya, kita tidak mahu mewariskan Malaysia dengan kewangan Persekutuan yang terbeban dengan masalah hutang.

Tuan Yang Dipertua,

19. Lantaran demikian, mengambil kira dan memahami denyut nadi rakyat serta realiti kehidupan, sebagai Ketua Kerajaan, saya mahukan falsafah tunjang kepada pembikinan bajet tahun ini
mestilah menitikberatkan keseimbangan antara capital economy dan people economy.

20. Bila kita membicarakan istilah Capital Economy, ia merujuk kepada pengurusan dan dasar-dasar ekonomi yang berbentuk makro. Ini memudahkan sesebuah negara mengunjurkan sasaran-sasaran utamanya berbanding negara-negara lain. Antaranya, ia merujuk kepada pengurusan ekonomi yang berasaskan modal, pertumbuhan KDNK, pendapatan perkapita, pelaburan swasta, pasaran modal, keuntungan syarikat, penarafan ekonomi dan kredit, indeks Bursa dan nilai saham.

Tuan Yang Dipertua, sesudah ini saya akan menyebutnya sebagaiCapital Economy.

21. Manakala apabila kita mengupas dan menakrif istilah People Economy, ia merupakan ekonomi yang berorientasikan rakyat meliputi keutamaan-keutamaan dan kepentingan-kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup,perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan, yakni aman dari jenayah. Ringkasnya, ia merupakan ekonomi yang berlandaskan pengalaman seharian rakyat. Sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR.

Tuan Yang Dipertua,

22. Memang benar, dari sudut teori dan ilmiahnya, capital economy dan people economy tidak dapat dipisahkan dan wujud secara simbiosis antara satu dengan yang lain. Walau apapun, ingin saya tegaskan dalam bajet ini, Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu -pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah.

Tuan Yang Dipertua,

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI

23.Bermula 3 April 2009, setelah lebih 5 tahun, saya memegang pimpinan Negara sebagai Perdana Menteri, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Ia merangkumkan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP dalam usaha kita mencapai matlamat negara ekonomi maju berpendapatan tinggi. ETP telah mensasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita Malaysia kepada 15,000 dolar Amerika dan memperoleh 444 bilion dollar Amerika dalam pelaburan menjelang 2020.

24. Sejak 2009 juga, secara kumulatifnya, sebanyak 196 projek daripada 12 NKEA dan 6 SRI telah dilaksanakan. Jumlah pelaburan pula mencecah 219 bilion ringgit dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujud kan.

25. Mutakhir ini, ekonomi negara telah tumbuh dengan positif dalam semua sektor dan mencatatkan KDNK sebanyak 6.3 peratus. Alhamdulillah, kita merafak syukur kepada Yang Maha Kuasa, kerana pencapaian ini, menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN dalam tempoh separuh pertama 2014.

Tuan Yang Dipertua,

26. Antara tahun-tahun 2009 hingga 2014, kita mampu berasa lega dan berbangga dengan prestasi-prestasi berikut. Indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 114 peratus iaitu daripada 884.45
mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014. Pertumbuhan modal pasaran juga meningkat sebanyak 162 peratus daripada 667.87 bilion ringgit kepada 1,749.49 bilion ringgit dicatatkan pada 7 Oktober 2014.

27. Pendapatan Negara Kasar Per Kapita pula menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 6,700 dolar Amerika kepada 10,060 dolar Amerika dalam tempoh 5 tahun ini. InsyaAllah, saya yakin pada tahun ini kita akan mencapai pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada kadar 5.5 peratus hingga 6 peratus. Kadar defisit fiskal Negara juga semakin bertambah baik. Kita telah dapat menurunkan kadar defisit daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun ini.

28. Bagi 2015 pula, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada kadar 5 hingga 6 peratus, manakala defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

29. Berhubung itu, sukalah saya memaklumkan di sini, kita juga telah memecah beberapa rekod pencapaian antaranya:

Pertama: Indeks Bursa Malaysia telah mencatat paras 1,892.65 mata pada Julai 2014, menjadikannnya paras tertinggi dalam sejarah negara; dan

Kedua: Kemasukan pelabur asing sebanyak 38.7 bilion ringgit pada tahun 2013, juga merupakan catatan tertinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara.

PERUNTUKAN BAJET 2015

Tuan Yang Dipertua,

30. Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah 273.9 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 9.8 bilion ringgit berbanding peruntukan asal 2014. Daripadanya, 223.4 bilion ringgit bagi
perbelanjaan mengurus dan 50.5 bilion ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan.

31. Di bawah peruntukan mengurus, 65.6 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, dan 38.1 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan. Agihan terbesar sebanyak 116.4 bilion ringgit adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 1.5 bilion ringgit dan 1.8 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

32. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 29.3 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 12.6 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat. Sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 4.9 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.7 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.

33. Pada tahun 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak 235.2 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 10.2 bilion ringgit berbanding 2014.

Tuan Yang Dipertua,

34. Khususnya pada tahun 2015, dengan perlaksanaan GST, hasil kutipan dianggarkan berjumlah sebanyak 23.2 bilion ringgit. Walau bagaimanapun, sebagai Kerajaan yang prihatin, kita telah
mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya dianggarkan 3.8 bilion ringgit.

35. Harus diketahui, bahawa dengan perlaksanaan GST ini, maka Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST, dimansuhkan yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan sebanyak 13.8 bilion ringgit. Ertinya, bila ditolak 13.8 bilion ringgit dan 3.8 bilion ringgit daripada kutipan 23.2 bilion ringgit itu, baki yang ada, berjumlah 5.6 bilion ringgit.

36. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.9 bilion ringgit disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej bantuan, contohnya tambahan BR1M. Akhirnya, hasil bersih kutipan GST hanyalah berbaki 690 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

BAJET 2015: EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT

37. Bajet 2015 ini digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan Rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama, iaitu:

Strategi Pertama: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi;
Strategi Kedua: Memantap Tadbir Urus Fiskal;
Strategi Ketiga: Mengupaya Modal Insan dan Keusahawanan;
Strategi Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera;
Strategi Kelima: Memartabat Peranan Wanita;
Strategi Keenam: Membangun Program Transformasi Belia Negara; dan
Strategi Ketujuh: Mensejahtera Rakyat

Tuan Yang Dipertua,

38.STRATEGI YANG PERTAMA, MEMPERKUKUH PERTUMBUHAN EKONOMI. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif dan komprehensif bagi melonjak pelaburan domestik dan asing.

39. Menerusi strategi ini, Tindakan Pertamanya: Merancakkan Sektor Perkhidmatan. Untuk makluman, pada 2013, sektor perkhidmatan menyumbang 55.2 peratus kepada KDNK. Bagi mencapai sasaran 60 peratus menjelang tahun 2020, Kerajaan akan merancakkan sektor perkhidmatan denganmelaksanakan perkara- perkara berikut:

Pertama: Melaksana Blueprint Sektor Perkhidmatan;

Kedua: Menyediakan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana yang terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan had maksimum pembiayaan sebanyak 5 juta ringgit bersekali 70 peratus jaminan
Kerajaan. Ia dijangka memberi manfaat kepada 4,000 syarikat PKS;

Ketiga: Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise dengan peruntukan 10 juta ringgit untuk menggalakkan syarikat-syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, ICT dan industri berasaskan pengetahuan;

Keempat: Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport berjumlah 300 juta ringgit untuk menggalakkan PKS menjalankan kajian kemungkinan pasaran dan promosi eksport
bagi menembusi pasaran baru; dan

Kelima: Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais di bawah KPDNKK bersama Persatuan Francais Malaysia. Sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan untuk skim ini.

40.Tindakan ke-2: Memperkukuhkan Pasaran Kewangan Islam. Industri kewangan Islam Malaysia kini, mencakupi 25 peratus daripada industri perbankan dari segi aset. Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, merangkumi 60 peratus daripada pasaran sukuk global.

41. Selanjutnya, Kerajaan akan memperkenalkan akaun pelaburan patuh syariah pada 2015, dikenali sebagai Investment Account Platform, atau IAP. Ia akan memberi peluang kepada pelabur dalam
pembiayaan aktiviti keusahawanan dan pembangunan PKS yang berdaya maju. Pada masa yang sama, IAP akan menarik pelabur institusi dan individu termasuk High Net Worth Individuals dalam pasaran kewangan Islam. Dalam hal ini, dana permulaan sebanyak 150 juta ringgit akan disediakan.

42. Bagi menggalakkan pelaburan dalam IAP, Kerajaan mencadangkan pelabur individu diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas keuntungan dari pelaburan yang layak selama 3 tahun berturut-turut.

43. Untuk merancakkan terbitan dan urusniaga pasaran sukuk dan bon tempatan pula, Kerajaan telah memperkenalkan produk Bon dan Sukuk Dagangan Bursa atau ETBS pada Januari 2013. Makanya, Kerajaan mencadangkan supaya Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan turut disenaraikan dan diurus niaga dalam ETBS.

44. Selain itu, perbelanjaan menerbitkan sukuk telah diberi potongan cukai mulai tahun taksiran 2003 hingga tahun taksiran 2015. Selaras dengan ini, dicadangkan potongan cukai bagi perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah dan Wakalah dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

45. Tindakan ke-3: Menggalakkan Industri Perkapalan Tempatan. Akta Perkapalan Saudagar 2011 memperuntukkan keperluan mandatori insurans atau sekuriti kewangan untuk perlindungan liabiliti pihak ketiga bagi kapal yang beroperasi di Malaysia. Buat masa ini, kebanyakan pemilik kapal muatan besar di Malaysia mempunyai perlindungan liabiliti pihak ketiga melalui Protection & Indemnity, di luar negara.

46. Justeru, bagi membantu pemilik kapal muatan kasar 300 tan ke bawah, Kerajaan akan menubuhkan Kelab P&I Malaysia, di bawah Exim Bank, pada kadar premium yang berpatutan.

47. Tindakan ke-4: Mempastikan pertumbuhan wilayah yang seimbang dan inklusif, dengan terus menggalakkan pelaburan di kawasan-kawasan yang kurang membangun. Dalam konteks ini, Kerajaan akan menambahbaik pakej insentif khas yang disediakan di bawah Koridor-koridor Ekonomi merangkumi lebih banyak kawasan yang kurang maju.

===
48. Tindakan ke-5: Insentif Untuk Pengurusan Kawasan Perindustrian. Kawasan-kawasan perindustrian yang mempunyai kemudahan awam atau infrastruktur yang diselenggara secara sistematik merupakan antara faktor utama yang menyokong pembangunan industri. Dalam hal ini, insentif dengan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan pihak swasta menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di kawasan kurang membangun. Manakala insentif dengan 70 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan kepada pihak swasta yang mengurus kawasan
perindustrian di kawasan yang lain.

49.Tindakan ke-6 Elaun Modal Bagi Peningkatan Proses Automasi oleh Industri Berintensif Buruh. Kerajaan akan menyediakan insentif elaun modal perbelanjaan automasi untuk menggalakkan proses automasi sektor perkilangan mengikut kategori berikut:

** Kategori Pertama, iaitu untuk industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi seperti industri produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 4 juta ringgit perbelanjaan pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2017; dan

** Kategori Kedua iaitu untuk industri-industri yang lain. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 2 juta ringgit perbelanjaan modal pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2020.

50. Tindakan ke-7: Dalam menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan lebih tertumpu, pakej galakan lebih istimewa akan ditawarkan untuk projek-projek pelaburan yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan, melibat kan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan, dengan gaji yang tinggi.

Tuan Yang Dipertua,

51.Tindakan ke-8: Merancak Pelaburan Awam dan Swasta. Bagi tahun 2015, beberapa projek infrastrutur akan dilaksanakan:

Pertama: Membina Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang sepanjang 59 kilometer dengan kos pembinaanberjumlah 5.3 bilion ringgit;

Kedua: Membina Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5 bilion ringgit;

Ketiga: Membina Lebuh Raya Damansara-Shah Alam sepanjang 47 kilometer dengan kos pembinaan 4.2 bilion ringgit;

Keempat: Membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur-Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kospembinaan 1.6 bilion ringgit;

Kelima:Menaik taraf landasan keretapi sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan 150 juta ringgit;

Keenam: Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer dari Selayang ke Putrajaya, melibatkan anggaran 23 bilion ringgit; dan

Ketujuh: Manakala, Projek LRT3, yang bakal menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang, dianggarkan 9 bilion ringgit akan dilaksanakan.

52. ProjekPengerang Integrated Petroleum Complex dengan nilai pelaburan 69 bilion ringgit pula yang dijangka dapat mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

53. Di samping itu, bagi membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik, dana pinjaman Sustainable Mobility Fund berjumlah 70 juta ringgit disediakan bawah SME Bank. Sebagai
permulaan, 50 bas elektrik akan diperkenalkan.

Tuan Yang Dipertua,

54. Tindakan ke-9: Menggalakkan Penubuhan Hab Prinsipal. Untuk ini, Kerajaan akan terus berusaha memperbanyakkan lagi pusat operasi global syarikat multinasional di Malaysia. Sejajar dengan itu, satu insentif Hab Prinsipal yng berbentuk customised incentives akan diperkenalkan mulai awal tahun depan.

55.Tindakan ke-10: Merancakkan Industri Kreatif. Untuk memajukan industri kreatif seperti animasi, perfileman, seni reka, dan warisan budaya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit kepada MyCreative Ventures pada tahun 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak 100 juta ringgit.

56.Tindakan ke-11: Meningkatkan Keupayaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi. High Speed Broad Band, di kawasan ekonomi berimpak tinggi, akan diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak 2.7 bilion ringgit akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun melibatkan pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut.

57.Tindakan ke-12: Merancak Industri Pelancongan. Sempena sambutan ‘Malaysia-Year of Festivals2015’, Kerajaan mensasarkan kedatangan pelancong asing seramai 29.4 juta orang dengan jangkaan pendapatan sebanyak 89 bilion ringgit. Untuk tujuan ini, sebanyak 316 juta ringgit diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

58.Tindakan ke-13: Membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana. Kini, sumbangan PKS kepada KDNK adalah sebanyak 33 peratus dan kita mensasarkan peningkatan kepada 41 peratus menjelang 2020.

59. Maka, bagi merancakkan penglibatan PKS dalam aktiviti ekonomi, Kerajaan mencadangkan pelaksanaan SME Investment Partner, di mana PKS akan diberi bantuan pembiayaan dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya, terutamanya di peringkat start up. Dana permulaan berjumlah 375 juta ringgitakan disediakan untuk tempoh lima tahun, di mana 250 juta ringgit adalah daripada SME Bank dan 125 juta ringgit lagi daripada pelabur swasta. Di bawah SME Corp pula, 10 juta ringgit akan diperuntukkan untuk Business Accelerator Programme.

60. Sebagai meningkatkan penggunaan teknologi baru, automasi dan inovasi dalam pembangunan PKS pula, sebanyak 80 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Pemodenan PKS di bawah Malaysian Industrial Development Finance Berhad.

Tuan Yang Dipertua,

61. Di sudut lain, TEKUN juga telah menyalurkan pinjaman berjumlah 3.1 bilion ringgit kepada hampir 300 ribu orang peminjam dengan had pembiayaan di antara 1,000 hingga 100 ribu ringgit. Pada tahun 2015, TEKUN akan menyediakan tambahan dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit, diagihkan seperti berikut:

Pertama: 350 juta ringgit diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera yakni hampir 33 ribu orang peminjam baru;

Kedua: 50 juta ringgit dikhususkan kepada Skim Pembiayaan Usahawan India, dijangka memanfaatkan 5,000 peminjam kaum India;

Ketiga: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional yakni pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita profesional; dan

Keempat: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Bekas Tentera, yang
menawarkan pembiayaan kepada 5,000 orang bekas tentera.

62. Seiring itu, bagi membantu PKS kaum Cina, Kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit, manakala bagi penjaja dan peniaga kecil sebanyak 30 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

63. Tindakan ke-14: Pembangunan Inovasi dan Pengkomersilan. Ketika ini, nisbah R&D kepada KDNK adalah rendah jika dibanding dengan negara maju seperti Jepun dan  Korea Selatan. Justeru, Kerajaan memperuntukkan 1.3 bilion ringgit kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya:

Pertama: Mensasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersilkan dalam tempoh 5 tahun akan datang;

Kedua: Menyediakan dana penyelidikan sebanyak 290 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D&C yang berimpak tinggi;

Ketiga: Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME Technology Penetration, Upgrading Program
dan Technology Auditing akan dilaksanakan;

Keempat: Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit; dan

Kelima: Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan 50 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

64. STRATEGI KEDUA: MEMANTAP TADBIR URUS FISKAL. Hakikatnya, Kerajaan sentiasa berusaha bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan Negara, untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan defisit fiskal, bagi mencapai bajet berimbang.

65. Tindakan Pertama: Melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan. Semasa pengumuman GST sewaktu
pembentangan Bajet 2014 lalu, Kerajaan telah mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST. Maka berdasarkan kepada maklumbalas pelbagai lapisan
masyarakat, Kerajaan telah bersetuju untuk meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST. Antara penambahannya adalah:

(i) Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport;
(ii) Roti putih dan roti wholemeal;
(iii) Serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko;
(iv) Mi kuning, kue tiau, laksa dan bihun;
(v) Ubat-ubatan Penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah t
inggi, kanser dan rawatan kesuburan;
(vi) Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku latihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama; dan
(vii) Surat khabar.

66. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. Ini bermakna, sebanyak 70 peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung.

67. Di samping itu, bagi mempastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, Kerajaan bersetuju supaya penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST. Melalui langkah ini, pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi pembelian petrol RON95, diesel dan LPG.

Tuan Yang Dipertua,

68. Molek saya nyatakan di sini bahawa, daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam basket of goods, Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami
penurunan harga sehingga 4.1 peratus. Antara produk tersebut adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan
pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi, sabun, daging, telur ayam, minyak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran.

69. Manakala sekitar 354 jenis barang dan perkhidmatan yang akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus. Apa yang penting, Kerajaan berharap para peniaga bersifat bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat. Untuk memudahkan rakyat, Kerajaan akan mengeluarkan shoppers’ guide bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

Tuan Yang Dipertua,

70. Perlu difahami baik-baik juga, sebenarnya, kesan langsung daripada perlaksanaan GST, membolehkan Kerajaan mengurangkan beban cukai kepada rakyat seperti berikut:

Pertama: Kepada individu dan isi rumah bagi tahun taksiran 2015

(i) Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan.
Melalui langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar.

(ii) Manakala, golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak
lagi mempunyai tanggungan cukai.

(iii) Cukai pendapatan individu juga akan distruktur semula di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar cukai maksimum yang kini 26 peratus pula, dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus. Justeru, pembayar cukai akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3 peratus.

Kedua: Bagi tahun taksiran 2015, kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan. Selain itu, yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai juga dibenarkan potongan cukai;

Ketiga: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus; dan

Keempat: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

71. Pada satu perspektif, pengalaman antarabangsa membuktikan, tahap kesediaan peniaga adalah salah satu faktor kejayaan pelaksanaan GST. Bagi membantu para peniaga, insentif
dan bantuan berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Pemberian Geran latihan sebanyak 100 juta ringgit kepada peniaga untuk menghantar kakitangan menjalani latihan tentang GST;

Kedua: Bantuan kewangan berjumlah 150 juta ringgit kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan;

Ketiga: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi Elaun Modal Dipercepatkan; dan

Keempat: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST diberi potongan cukai tambahan.

Tuan Yang Dipertua,

72. Tindakan ke-2: Merasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah memperuntukkan 588 juta ringgit bagi pelbagai subsidi pada tahun 1994. Jumlah ini telah meningkat kepada 40.5 bilion ringgit pada tahun 2014.

73. Bagi menambah baik kedudukan kewangan awam, Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini bertujuan mempastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan. Kerajaan akan mempastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi mempastikan ianya tidak membebankan rakyat.

74. Kini, lebih 21 bilion ringgit setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG. Kesannya, peruntukan subsidi telah meningkat lebih 14 kali
ganda daripada 1.65 bilion ringgit tahun 2002 kepada 23.5 bilion ringgit tahun 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah. Ini disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013.

75. Oleh yang demikian, bagi mempastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar dan mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi, Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru pemberian subsidi petroleum yang akan saya umumkan dalam masa terdekat.

Tuan Yang Dipertua,

76. Tindakan ke-3: Menyebar Luas Strategi Lautan Biru Kebangsaan. National Blue Ocean Strategy,
telah menunjukkan keberkesanan pelaksanaan projek dan program Kerajaan. Untuk itu sebanyak 356 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2015, iaitu:

Pertama:Membuka 4 buah lagi UTC di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis serta 1 mini UTC di Kedah; dan

Kedua: Mempergiatkan latihan peningkatan kemahiran atau upskilling kepada 5,000 pelatih melalui program 1Malaysia Skills and Employability Scheme bagi sektor awam dan 1Malaysia Training Centre bagi sektor swasta.

Tuan Yang Dipertua,

77. STRATEGI YANG KETIGA, MENGUPAYA MODAL INSAN DAN KEUSAHAWANAN. Kontemporari ini, antara faktor yang menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung kepada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan kepada sumber ‘bahan mentah’ seperti petroleum, kelapa sawit atau sumber galian, semata-mata, tetapi juga merangkumi idea, kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah ciptaan-ciptaan produk terkini, yang berupaya menjana ekonomi dan melahirkan usahawan-usahawan baharu.

78. Bagi maksud strategi ini dan falsafah modal insan, selaras dengan Ekonomi Keperluan Rakyat, adalah menjadi hasrat Kerajaan agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34
peratus pada masa ini kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2020.

Tuan Yang Dipertua,

79. Bagi strategi ketiga ini,

Tindakan Pertama: Memantapkan Profesionalisme Perguruan dan Prestasi Sekolah. Sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini, 56 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuk penekanan akan diberikan kepada pemantapan sekolah-sekolah yang memerlukan bimbingan serta bantuan khusus. Justeru, peruntukan sebanyak 250 juta ringgit disediakan untuk menjayakan program Pembimbing Pakar
Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah.

80. Tindakan Ke-2: Mengupaya Program Sekolah Amanah dan Pembinaan Sekolah Baru. Kerajaan juga akanmemperluaskan program Sekolah Amanah yang telah dimulakan pada tahun 2011. Setakat ini,
30 buah Sekolah Amanah telah diwujudkan yang memanfaatkan lebih 20 ribu pelajar dan 1,500
guru. Di bawah program ini, Pengetua diberi kuasa autonomi dan akauntabiliti yang tinggi dalam menguruskan pentadbiran serta proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Justeru, pada tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini ke 20 buah sekolah lagi di negeri Johor, Sarawak, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dengan peruntukan 10 juta ringgit.


81. Di samping itu, Kerajaan juga akan membina 12 buah sekolah baru, iaitu 7 buah Sekolah Rendah, 3 buah Sekolah Menengah dan 2 buah Sekolah Berasrama Penuh di seluruh negara.

82. Tindakan Ke-3: Mengarus Perdana Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Menjelang tahun 2020, sekurang-kurangnya 46 peratus pekerja an memerlukan kelayakan teknikal dan vokasional. Untuk itu, Kerajaan akan meningkatkan pengambilan pelajar di kolej vokasional dan kolej komuniti melalui program Transformasi Vokasional dan Teknik serta menaik taraf kolej. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit.

83.Bersabit hal ini juga, buat masa ini bagi permohonan untuk mengambil jurusan di bawah Program Latihan Teknikal dan Vokasional atau TEVT, yang diterima oleh Kementerian Pendidikan jauh melebihi kemampuan tempat yang boleh disediakan, yakni lebih kurang 20 ribu. Jadinya, sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, Kerajaan bersetuju meluluskan 100 juta ringgit dengan serta merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10 ribu pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta. Di samping itu, 50 juta ringgit juga turut diperuntukkan kepada MARA bagi perlaksanaan Program TEVT.

Tuan Yang Dipertua,

84. Sebagai dorongan kepada syarikat swasta pula, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ad
a ditambahbaik seperti berikut:

Pertama: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diperluaskan kepada biasiswa untuk pelajar di peringkat pengajian pensijilan vokasional dan teknik;

Kedua: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan syarikat dalam melaksanakan program internship berstruktur di peringkat diploma dan vokasional; dan

Ketiga: Potongan tambahan bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang ditanggung oleh majikan bagi pekerja untuk mendapatkan sijil dan kelayakan profesional yang diiktiraf.

Tuan Yang Dipertua,

85. Tindakan Ke-4: Membangunkan dan Menyelenggara Fasiliti Pendidikan. Dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran pula, Kerajaan akan menyediakan 800 juta ringgit
untuk tujuan ini dengan pecahan seperti berikut:

** Sekolah Kebangsaan 450 juta ringgit;
** Sekolah Jenis Kebangsaan Cina 50 juta ringgit;
** Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil 50 juta ringgit;
** Sekolah Mubaligh 50 juta ringgit;
** Sekolah Berasrama Penuh 50 juta ringgit;
** Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 50 juta ringgit;
** MRSM 50 juta ringgit;
** Sekolah Pondok yang berdaftar 25 juta ringgit; dan
** Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau conforming school yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan diperuntukkan sebanyak 25 juta ringgit

86. Kerajaan juga sukacita mengumumkan supaya pembayaran kos bil elektrik dan air kepada semua Sekolah -sekolah Jenis Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan, dapat dibayar sepenuhnya dengan siling sebanyak 5,000 ringgit sebulan. Ini berbeza dengan kuota 2,000 ringgit setiap sekolah sebelum ini.

Tuan Yang Dipertua,

87. Tindakan Ke-5: Menaja Pelajaran. Untuk Tahun 2015, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 3 bilion ringgit, di mana 1.9 bilion ringgit melalui tajaan JPA, sebanyak 759 juta ringgit kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan 258 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan.

88. Tindakan Ke-6: Memperluas Program MyBrain15. Kerajaan telah memperkenalkan program MyBrain15 untuk menghasilkan 60 ribu pemegang PhD menjelang tahun 2023. Setakat ini, seramai 34,525 pelajar sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah melibatkan
perbelanjaan lebih 386 juta ringgit. Untuk tahun 2015, sebanyak 112 juta ringgit lagi akan diperuntukkan. MyBrain15 yang kini terbuka kepada sektor swasta, dicadangkan diperluas kepada
penjawat awam dan kakitangan badan berkanun yang ingin melanjutkan pengajian secara separuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan.

89. Tindakan Ke-7: Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN pada 1997 sehingga kini, seramai 2.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil pinjaman berjumlah 47.8 bilion ringgit. Namun demikian, setakat 31 Ogos 2014, hanya 5.36 bilion ringgit atau 46 peratus daripada 11.76 bilion ringgit telah dikutip.

90. Lebih menyedihkan, terdapat seramai 174 ribu peminjam, yang langsung tidak pernah membayar balik setakat 2010. Oleh itu, Kerajaan akan mengambil langkah baru yang setimpal dan sewajarnya kepada para peminjam ini.

Tuan Yang Dipertua,

91. Hatta dalam Islam pun, melalui mafhum beberapa hadis sahih antaranya riwayat Muslim menyatakan bahawa, roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya.

92. Berkait ini, harap ramai dapat mengambil iktibar. Jadinya, dalam usaha menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, Kerajaan mencadangkan supaya 10 peratus rebat diberikan sekiranya peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015. Sebagai tambahan, tawaran diskaun 20 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian secara sekaligus atau lump sum mulai hari ini sehingga 31 Mac 2015.

93. Sejak tahun 2005, golongan berpendapatan tidak melebihi 2,000 ringgit sebulan, yang menyimpan di dalam SSPN-i, telah menikmati pemberian geran sepadan. Justeru, bagi
menggalakkan lebih ramai ibu bapa menjadi pendeposit untuk menikmati geran sepadan ini, Kerajaan mencadangkan supaya had pendapatan isi rumah pencarum dinaikkan kepada tidak
melebihi 4,000 ringgit sebulan.

Tuan Yang Dipertua,

94. Tindakan Ke-8: Meningkat Kebolehpasaran Graduan. Sehingga kini, dianggarkan seramai 53 ribu graduan masih belum lagi mendapatkan pekerjaan setelah 6 bulan tamat pengajian. Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kerajaan mencadangkan supaya kurikulum dan program latihan
kemahiran di institusi latihan kemahiran awam serta institusi pengajian tinggi dikaji semula. Untuk tujuan ini, Talent Corp akan menyediakan 30 juta ringgit bagi program Industry
Academia Collaboration di mana, universiti, entiti Kerajaan dan industri bekerjasama membangunkan kurikulum program internship serta latihan industri.

95. Selain itu, keyakinan diri dan kemahiran graduan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris akan dipertingkatkan. Pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum di Band 1 dalam Malaysian University English Test atau MUET. Mulai tahun hadapan:

(i) bagi kemasukan ke IPTA tahap minimum Band MUET ditingkatkan mengikut bidang pengajian seperti contoh berikut:

a)Pengajian Sastera dan Sains Sosial - Band 2

b)Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM - Band 3

c)Pengajian Undang-undang & Perubatan - Band 4

(ii) sebagai syarat bergraduan pula, pelajar wajib mencapai:

a) Pengajian Sastera dan Sains Sosial - Band 3
b) Pengajian STEM – Band 4
c) Pengajian Undang - undang & Perubatan - Band 5

Saya juga ingin menyarankan IPTS melaksanakan langkah yang sama.

Tuan Yang Dipertua,

96. Tindakan Ke-9: Mensejahterakan Golongan Pekerja. Pada suku kedua 2014, jumlah pekerjaan adalah sebanyak 13.5 juta iaitu peningkatan lebih 1.6 juta pekerjaan berbanding tahun
2010. Bagi mempastikan kebajikan pekerja terus terbela:

(i) Akta Kerja 1955 dan akta perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula yang termasuk terma dan syarat pekerjaan, pelantikan dan pemberhentian, waktu bekerja yang fleksibel serta faedah penamatan kerja;

(ii) Portal JobsMalaysia akan ditambahbaik bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja yang semakin dinamik;

(iii) Kerajaan akan memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan bertujuan membantu golongan pekerja yang diberhentikan melalui pemberian bantuan saraan sementara serta peluang latihan semula atau reskilling and upskilling; dan

(iv) Menyediakan latihan teknikal dan bantuan pendidikan  kepada golongan belia India terutama dari keluarga kurang berkemampuan dengan peruntukan 30 juta ringgit.

97. Pada tahun 2011, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M telah berjaya mendapatkan p
ekerjaan kepada lebih 45 ribu graduan dari kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan luar bandar. Kerajaan telah menyokong usaha CSR oleh majikan dalam perlaksanaannya melalui galakan potongan dua kali kepada syarikat bagi maksud pengiraan cukai pendapatan sehingga 31 Disember 2016. Saya mencadangkan galakan cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Tuan Yang Dipertua,

98. Tindakan Ke-10: Bagi memperhebatkan program upskilling dan reskilling, Kerajaan akan
memperkenalkan satu program baru, iaitu Globally Recognised Industry and Professional
Certification atau 1MalaysiaGRIP dengan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit secara matching grant antara Kerajaan dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi melatih seramai 30 ribu pekerja.

99. Tindakan Ke-11 : Kerajaan akan meningkatkan program latihan kemahiran di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Kerja atau JTK. Program latihan ini akan melibatkan pelajar
lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, graduan universiti atau kolej serta pekerja industri terutama pekerja separuh mahir. Bagi mengoptimumkan 32 institusi latihan JTK, Kerajaan akan
mengoptimumkan kapasiti latihan double shift bagi program sepenuh masa melibatkan 176 kursus yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan. Pengambilan pelajar sebanyak 2 kali setahun dianggarkan melibatkan 48 ribu dalam tempoh 5 tahun pelaksanaannya dengan peruntukan 570 juta ringgit.

100. Tindakan Ke-12: Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi Syarikat Permulaan atau Start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penubuhan MaGIC bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk memudahcara syarikat Start-up memulakan perniagaan. Justeru, bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat Start-up
beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar syarikat Start-up ditetapkan sebanyak 75 ribu ringgit. Usahawan ekspatriat Start- up yang layak akan diberi Startup Work Pass untuk tempoh satu tahun.

Tuan Yang Dipertua,

101. STRATEGI KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDABUMIPUTERA. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah
diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

102. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera sama ada Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak
adil dan tidak saksama.

103. Hatta, sejarah telah membukti kan sejak puluhan tahun dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Apatah lagi menjelang 2020, jumlah Melayu dan
Bumiputera, Islam dan Bukan Islam, akan mencapai lebih 70 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

104. Untuk strategi ini, Tindakan Pertama: Meningkatkan Pemilikan Ekuiti Bumiputera. Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat, masyarakat Bumiputera masih belum mencapai sasaran 30 peratus. Sementara itu, effective control ke atas syarikat korporat terkini, hanyalah pada sekitar 10 peratus. Lantaran itu, Kerajaan menerusi EKUINAS akan diperuntukkan 600 juta ringgit bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat-syarikat swasta mahupun GLC. Sehingga kini, EKUINAS telah melaksanaka n pelaburan kumulatif bernilai 2.3 bilion ringgit dalam pelbagai sektor.

105. Tindakan Ke-2: Memantapkan Keusahawanan Bumiputera. Bagi melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera, beberapa inisiatif telah dirancang:

Pertama: Memperkukuh peranan Institut Ke usahawanan Negara atau INSKEN sebagai Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Bumiputera;

Kedua: Merancakkan lagi program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan peruntukan tambahan sebanyak 30 juta ringgit. Program ini juga akan diperluaskan penyertaannya kepada usahawan di Sabah dan Sarawak;

Ketiga: Memperkenalkan program pre-eksport untuk syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS bagi meningkatkan penjenamaan, pensijilan antarabangsa, dan market survey keluaran Bumiputera. Program ini mensasarkan 60 syarikat TERAS yang dapat meningkatkan kapasiti dan menembusi pasaran antarabangsa; dan

Keempat: Memperluaskan program carve-out and compete secara meritokrasi meliputi projek Kerajaan dan penswastaan, termasuk projek MRT jajaran kedua dan Lebuhraya Pan Borneo.

106. Tindakan Ke-3: Bagi PKS Bumiputera pula, antara inisiatif-insiatif khusus yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2015 adalah seperti berikut:

Pertama: Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam. Tujuan akaun ini adalah bagi menyedia kemudahan pembiayaan dan kredit yang bernilai antara 50 ribu hingga 1 juta ringgit mulai Januari 2015; dan

Kedua: Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM akan menggunakan sumber dalaman berjumlah 1.8 bilion ringgit untuk menyediakan pembiayaan yang dapat memanfaatkan 346 ribu sahabat AIM.

107. Tindakan Ke-4: Membangunkan Modal Insan Bumiputera. Sebagai sebuah institusi unggul Bumiputera, MARA perlu terus diperteguhkan. Pastinya, antara aspek yang terpenting ialah Pembangunan Modal Insan. Ia merupakan salah satu pelengkap bagi Memperkasa Agenda
Bumiputera. Dalam hal ini Kerajaan telah menyediakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama: 2 bilion ringgit diperuntukkan menerusi MARA kepada pelajar Bumiputera yang layak untuk tajaan pelajaran;

Kedua: 72 juta ringgit akan digunakan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dalam pelaksanaan 3 program dalam bentuk biasiswa, latihan dan bantuan kewangan yang keseluruhannya melibatkan 5 ribu orang; dan

Ketiga: Menubuhkan Pusat Perakaunan Profesional di Universiti Teknologi Mara dengan kerjasama
Institut Akauntan Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

108. Sememangnya, Kerajaan sentiasa mengambil berat dan amat prihatin dalam membangun dan membela nasib rakyat di Sabah dan Sarawak dalam agenda pembangunan negara.

109. Sehubungan itu, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara-Selatan telah mentransformasikan pembangunan dari Perlis ke Johor, Kerajaan akan mula membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak 27 bilion ringgit.

110. Menerusi NBOS pula, satu lagi mini UTC dan RTC masing-masing di Sabah dan Sarawak akan dibuka bagi memudahkan urusan masyarakat di pedalaman dan bandar.

111. Membina Klinik Kesihatan di Tenom, Sabah dan di Lubok Antu, Sarawak, serta menaik taraf kemudahan di Hospital Tawau. Kerajaan akan turut menyediakan perkhidmatan perubatan nuklear dan radioterapi bagi merawat pesakit kanser di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas Sabah.

Tuan Yang Dipertua,

112. Negeri Sabah merupakan negeri yang mempunyai pesisiran pantai yang panjang dan luas. Justeru, bagi memperkukuhkan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah
atau ESSZONE, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM diperuntukkan 660 juta ringgit.

113. Dua batalion melibatkan satu batalion PGA PDRM dan satu batalion Tentera Darat dengan jumlah anggota baru seramai 1,280 anggota telah diluluskan. Dua buah kem juga akan dibina
di ESSZONE iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem ATM di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

114. Di samping itu, kelengkapan operasi pertahanan dan keselamatan akan ditambah baik. Antaranya perolehan sistem radar pengawasan yang berkeupayaan tinggi. Kerajaan juga akan
menggunakan satu pelantar minyak yang diubahsuai dan sebuah kapal auxillary sebagai
Sea Basing di perairan ESSZONE dengan peruntukan sebanyak 230 juta ringgit melalui program CSR
Petronas.

115. Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, Kerajaan akan memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan, dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.

116. Kerajaan juga akan menempatkan semula perkampungan-perkampungan air seperti di Semporna dan Sandakan secara berperingkat. Kerajaan berharap dengan inisiatif ini, keselamatan
rakyat Malaysia di Sabah akan terus terjamin dan aktiviti ekonomi akan terus rancak.

Tuan Yang Dipertua,

117. Sebagai Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan di Sabah dan Sarawak, julung-julung kalinya subsidi padi bukit diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak 70 juta ringgit. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada kawasan penanaman seluas 76,000 hektar.

118. Hakikatnya, Kerajaan amat mementingkan kesejahteraan rakyat, terutama yang melibatkan aspek kos sara hidup seharian mereka. Justeru, Kerajaan akan berusaha untuk terus
menyeimbangkan harga barang keperluan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak melalui langkah-
langkah berikut:

Pertama: 262 juta ringgit bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan harian terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan

Kedua: Tambahan 2 buah KR1M di Sabah menjadikan jumlah 16 buah dan 3 buah lagi di Sarawak menjadikan 19 buah.

Sesungguhnya, agenda pembelaan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak, Agi Idup Agi Ngelaban,
akan tatap kita perjuangkan.

Tuan Yang Dipertua,

119. STRATEGI KELIMA: MEMARTABAT PERANAN WANITA. Sesungguhnya wanita sangat istimewa. Keunikan mereka bukan sekadar penyeri kepada sesebuah keluarga, malahan menjadi penyuluh dalam mengatasi banyak permasalahan kehidupan. Bahkan wanita itulah tulang belakang pembangunan negara.
Sesuai dengan itu, Kerajaan sentiasa mengambil berat dalam mempastikan mereka terus berperanan dalam mewarnai negara dan generasi mendatang.

120. Pada masa ini, pekerja wanita hanya mewakili 38 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di negara ini. Bagi meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan negara, Kerajaan akan menumpukan kepada usaha mempergiatkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti
keusahawanan. Atas tujuan ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diperuntukkan sejumlah 2.26bilion ringgit bagi pembangunan dan operasi. Antaranya program-
programnya termasuklah:

Pertama: Memperkukuh Program Pengarah Wanita bagi mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam
kumpulan pembuat keputusan. Kerajaan merancang untuk melatih 125 orang bakal pengarah wanita untuk mengisi jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan Kerajaan dan swasta. Saya menyeru syarikat milik Kerajaan dan swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita profesional menjadi ahli lembaga pengarah;

Kedua: Menambah baik peluang wanita untuk kembali kepasaran kerja melalui program 1Malaysia Support for Housewife yang menitikberatkan latihan kemahiran dan galakan suri rumah; dan

Ketiga: Talent Corp akan mewujudkan Program Women Career Comeback untuk wanita profesional
kembali ke pasaran pekerjaan berdasarkan kelayakan professional.

121. Kerajaan juga sentiasa peka terhadap kesejahteraan golongan wanita terutamanya dari aspek keselamatan. Sehubungan itu, Kerajaan akan membeli premis Rumah Perlindungan Khas Wanita mengikut zon wilayah timur, utara dan tengah. Selain itu, bagi memberi peluang kepada ibu tunggal yang berminat dalam keusahawanan, Kerajaan akan meneruskan Program Kemahiran Inkubator Ibu Tunggal atau I-KIT, Program Inkubator Keusahawanan Wanita dan Program Teras
Pembangunan Wanita.

122. Seterusnya, susulan daripada pembiayaan keseluruhan yang disediakan di bawah AIM, usahawan wanita India akan diberi peruntukan khusus sebanyak 30 juta ringgit.

123. Selain itu, bagi Penjawat Awam, Kerajaan bersetuju menambah baik kemudahan Cuti Menjaga Anak dengan meminda syarat pemberian supaya tidak terikat dengan tempoh Cuti Bersalin berkuat kuasa 1 Januari 2015 . Kemudahan ini terhad untuk tempoh satu tahun dan diperluaskan kepada pegawai wanita yang mempunyai anak tiri tanggungan, anak angkat yang diambil mengikut undang-
undang, anak pelihara dan anak kurang upaya.

124. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta, garis panduan sedia ada akan dipinda. Mulai Januari 2015, Kerajaan akan membenarkan majikan mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat
dua, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Tuntasnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan ini, sudah tentu mampu mengangkat martabat wanita, dalam berperanan aktif di persada negara.

Tuan Yang Dipertua,

125. STRATEGI KEENAM: MEMBANGUN PROGRAM TRANSFORMASI BELIA NEGARA. Bagi saya belia bukan sekadar harapan bangsa, tidak hanya setakat aset atau rakan kongsi kepada pembangunan negara, malah nilaian belia adalah lebih daripada kesemuanya itu. Bertolak daripada itu, Kerajaan
prihatin kepada kehidupan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan dan memikul amanah demi kemajuan dan kemakmuran masa depan Malaysia yang kita cintai ini.

126. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan melancarkan Pelan Transformasi Belia Negara.
Bagi menjayakan pelbagai program belia, sebanyak 320 juta ringgit diperuntukan untuk tujuan
berikut:

Pertama: Mengkaji semula Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN dan satu konsep baru yang menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan akan diperkenalkan dalam sedikit masa lagi;

Kedua: Menambahbaik program Rakan Muda dan memperkenalkan program Kem Uniti;

Ketiga: Mengukuhkan aspek kepimpinan belia melalui pengenalan program Akademi Kepimpinan Belia untuk mengasah bakat kepimpinan di kalangan Belia Malaysia;

Keempat: Mempergiatkan program kesukarelawan belia melalui 1M4U dan memperkenalkan program MyCorp. Program MyCorp melibatkan belia menjalankan aktiviti sukarela kebajikan dan sosioekonomi di peringkat antarabangsa dengan peruntukan 10 juta ringgit;

Kelima: Menggilap bakat keusahawanan di kalangan belia melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank serta memperkenalkan Online Resource Centre dan menganjur persidangan keusahawanan sosial
antarabangsa;

Keenam: Melaksanakan Program Agropreneur Muda oleh FAMA yang melibatkan 1,200 orang belia dengan sasaran pendapatan melebihi 5,000 ringgit sebulan ; dan

Ketujuh: Meningkatkan keupayaan dan kemahiran belia melalui Program Transformasi IKBN dan Program Coding Bootcamp serta program Projek Angkat Dan Upaya atau PADU.

=====

Tuan Yang Dipertua,

127. Kerajaan juga berhasrat supaya satu ekosistem komprehensif yang disertai belia dapat disediakan untuk meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan serta dapat menikmati kemudahan perumahan dan rekreasi. Untuk ini, Kerajaan akan mewujudkan
1Malaysia Youth City dengan peruntukan 100 juta ringgit bagi membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

128. Bila mengupas ehwal belia juga, pemilikan rumah merupakan satu isu besar khususnya soal harga rumah dan keboleh biayaan. Menyedari permasalahan ini, sukacita saya mengumumkan Skim Perumahan Belia atau Youth Housing Scheme secara perkongsian pintar di antara Kerajaan, Bank
Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas.

129. Skim ini menawarkan pemilikan rumah pertama yang bernilai tidak melebihi 500 ribu ringgit, kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi 10 ribu ringgit. Tempoh pembiayaan maksimum adalah 35 tahun.

130. Di bawah skim ini, sebanyak 200 ringgit sebulan diberikan oleh Kerajaan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman juga diberi.

131. Lebih menarik, Kerajaan turut menyediakan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus, bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh termasuk kos insuran. Peminjam juga boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 2 KWSP mereka untuk menampung pembayaran ansuran bulanan
dan kos lain yang berkaitan.

132. Oleh itu, saya menyeru golongan belia supaya merebut peluang ini yang ditawarkan secara “
first come first served basis” untuk 20,000 unit rumah sahaja.

Tuan Yang Dipertua,

133. Pada aspek lain, Kerajaan akan mengambil langkah bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan. Untuk ini, Kerajaan akan merealisasikan Blueprint Negara Bersukan atau Sporting Nation.

Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan memperuntukkan 103 juta ringgit bagi melaksanakan langkah -langkah berikut;

Pertama: Mempastikan kelestarian dan kesinambungan bakat sukan bermula daripada peringkat sekolah rendah melalui Program Malaysian Talent Identification. Program ini melibatkan pengujian, saringan dan pengkhususan bakat di kalangan pelajar sekolah;

Kedua: Meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama iaitu Bola Sepak, Berbasikal, Badminton, Sepak Takraw, Renang dan Olahraga;

Ketiga: Menyemarakkan Program FitMalaysia yang menumpukan kepada kecergasan fizikal; dan

Keempat: Menyambut Hari Sukan Negara pada hari Sabtu pertama dalam bulan November pada setiap tahun dengan penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat secara serentak di seluruh
negara.

Tuan Yang Dipertua,

134. STRATEGI KETUJUH : MENSEJAHTERA RAKYAT. Sebenarnya, kemakmuran sesebuah negara bergantung juga kepada kemampuannya untuk menyediakan tahap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

135. Sebagai langkah meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga pelajar, khususnya golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan. Bantuan sebanyak 100 ringgit seorang, akan disalurkan mulai Januari tahun depan kepada seramai 5.4 juta pelajar, sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

136. Selanjutnya, bagi tujuan pembelian buku-buku rujukan dan peralatan pengajian, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Baucar Buku 1Malaysia dengan kadar bantuan 250 ringgit seorang. Program ini diperuntukkan sejumlah 325 juta ringgit dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 jutapelajar.

Tuan Yang Dipertua,

137. Bagi Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan, di samping membantu petani, penternak dan nelayan menambah pendapatan, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 6 bilion ringgit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antaranya inisiatif yang akan dilaksanakan ialah:

Pertama: Mulai tahun 2015 sehingga 2017, Kerajaan akan membuka 65 buah Pasar Tani Kekal dan 50 buah Pasar Ikan yang beroperasi setiap hari di beberapa lokasi terpilih. Setakat ini terdapat 526 pasar tani dan 50 pasar ikan di seluruh negara;

Kedua: Memperkenalkan program lelongan sayur-sayuran berkualiti dengan harga berpatutan, setiap minggu di 85 lokasi Pusat Operasi Urusniaga FAMA dan pasar tani terpilih di seluruh negara;

Ketiga: Merancakkan penanaman dan tanaman semula pokok buah-buahan seperti durian, manggis, langsat, rambutan serta memperhebatkan Program Jom Bertani supaya rakyat mengusahakan tanaman kontan dan sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri;dan

Keempat: Menyediakan geran pemadanan sebanyak 100 juta ringgit kepada Lembaga Pertubuhan Peladang untuk membolehkan ahli-ahlinya membuat pinjaman bagi meningkatkan produktiviti ladang dan rangkaian pemasaran.

138. Selain itu, Kerajaan akan mempergiatkan empat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu di Rompin, Batang Lupar, Kota Belud dan Pekan yang melibatkan kawasan tanaman padi seluas 25,905 hektar. Bagi tujuan ini, sebagai permulaan, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

139. Semua lapisan rakyat, tidak kira di mana, adalah penting. Kerajaan amat prihatin tentang
pembangunan dan kebajikan nelayan yang sentiasa menghadapi pelbagai cabaran hidup. Dalam menangani masalah pendapatan nelayan yang tidak menentu terutamanya ketika musim tengkujuh, serta persekitaran perkampungan nelayan yang tidak selesa, Kerajaan akan:

Pertama: Menaikkan elaun sara hidup nelayan Zon A kepada 300 ringgit daripada 200 ringgit sebulan. Bagi nelayan Zon B dan C, elaun sara hidup dinaikkan kepada 250 ringgit sebulan;

Kedua: Bagi nelayan darat sepenuh masa, buat pertama kalinya akan diberi elaun 200
ringgit sebulan. Pemberian elaun ini melibatkan lebih 44 ribu nelayan;

Ketiga: Mempergiatkan lagi aktiviti akuakultur seperti ternakan ikan, udang, kupang dan tiram dalam sangkar bagi mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang terjejas terutama di musi
m tengkujuh. Untuk ini, sebanyak 60 juta ringgit diperuntukkan; dan

Keempat: Memasang Automatic Identification System ke atas bot-bot nelayan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan, mempastikan kedudukan bot nelayan berdasarkan zon tangkapan dan menguran
gkan kos operasi. Untuk tujuan ini, 27 juta ringgit diperuntukkan.

140. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit untuk Projek Khas Perumahan Nelayan bagi membaik pulih dan membina rumah nelayan. Sebagai meneruskan usaha murni ini, sukacita saya mengumumkan tambahan 250 juta ringgit untuk projek perumahan nelayan
dan bagi menyempurnakan lagi perkampungan nelayan.

Tuan Yang Dipertua,

141. Kerajaan amat komited melaksanakan beberapa inisiatif termasuklah program penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan dan pembukaan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia.
Untuk itu, antara langkah yang akan dilaksanakan oleh KPDNKK adalah:

Pertama: Menambah 20 buah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia atau KR1M di Semenanjung;

Kedua: Mewujudkan dan memberi peruntukan kepada kumpulan pemantau harga atau price watch team dari kalangan persatuan pengguna; dan

Ketiga:Memperkukuhkan Unit Penguatkuasaan GST dengan 2,270 anggota, Unit Pemantauan Harga seramai 1,300 anggota dan Skuad Pengguna seramai 202,800 sukarelawan serta penglibatan 579 penghulu dan penggawa.

Tuan Yang Dipertua,

142. Bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam pula, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa program berikut:

Pertama: Menyediakan perkhidmatan bas antara bandar kepada penduduk yang menetap di luar tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kemudahan ini menawarkan tambang bulanan pada kadar diskaun 30 peratus. Sebagai permulaan, 3 laluan bas akan beroperasi iaitu Rawang-KL; Klang-KL dan Seremban
-KL;

Kedua: Menyediakan perkhidmatan Electric Train Service atau ETS Ipoh-Butterworth bermula pada April 2015; dan

Ketiga: Menambahbaik Perkhidmatan Bas Berhenti-henti di beberapa ibu negeri melalui sistem kontrak dengan syarikat bas sedia ada. Pelaksanaan program ini adalah secara berperingkat dan akan melibatkan Bandaraya Kuching, Ipoh, Seremban, Kuala Terengganu dan Kangar.

Tuan Yang Dipertua,

143. Baru-baru ini Kerajaan telah memberi bantuan khas sebanyak 500 ringgit secara one-off
kepada pekebun kecil getah yang terjejas akibat kejatuhan harga getah. Lembaga Getah Malaysia atau LGM akan memperuntukkan 100 juta ringgit bagi melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang untuk melindungi pekebun kecil daripada mengalami kerugian terutamanya sewaktu harga pasaran dunia lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan. LGM akan turut menyediakan pinjaman mudah berjumlah 6.4 juta ringgit sebagai modal pusingan kepada 64 buah koperasi pekebun kecil bagi membeli getah terus daripada kira-kira 442,000 pekebun kecil getah
di seluruh negara.

144. Bagi pekebun kecil kelapa sawit pula, Kerajaan akan meneruskan insentif untuk penanaman baru dan penanaman semula dengan peruntukan sebanyak 41 juta ringgit. Di samping itu, pengecua
lian duti eksport minyak sawit mentah atau CPO akan dilanjutkan sehingga bulan Disember 2014.

Tuan Yang Dipertua,

145. Bagi perkhidmatan dan kemudahan kesihatan rakyat, Kerajaan akan memperuntukkan 23.3 bilion ringgit untuk pelaksanaan inisiatif berikut:

Pertama: Membina dua buah hospital iaitu Hospital Dungun di Terengganu dan Hospital Seri Iskandar di Perak. Membina 20 Klinik Kesihatan dan 4 Klinik Pergigian antaranya di Klinik Kesihatan di Kuala Lipis, Pahang, dan Klinik Pergigian di Kluang, Johor;

Kedua: Menambah 30 Klinik 1Malaysia yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 290 buah di seluruh negara dan membina sebuah Klinik Kesihatan di Cyberjaya. Kerajaan juga akan menempatkan 30 orang doktor perubatan di 30 Klinik 1Malaysia;

Ketiga: Mengganti 635 unit mesin hemodalisis di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak 30 juta ringgit. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan ruang di hospital dan klinik kesihatan Kerajaan untuk menempatkan 244 buah mesin hemodalisis lagi yang akan disumbangkan oleh sektor swasta dalam memenuhi tanggungjawab
sosial korporat mereka; dan

Keempat: Menyediakan ubat-ubatan bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis kronik dan akut dengan pe runtukan sebanyak 45.4 juta ringgit.

146. Pada masa ini, perbelanjaan perubatan penyakit serius seperti kanser, kegagalan buah pinggang dan serangan jantung telah diberi pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit. Bagi
meringankan tanggungan kos rawatan dan perubatan penyakit serius ini, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai ini ditingkatkan kepada 6,000 ringgit. Pelepasan cukai ini bukan sahaja untuk pembayar cukai itu sendiri tetapi juga meliputi pasangan dan anak.

147. Mutakhir ini, penularan wabak demam denggi semakin serius. Bagi mengekang penularan wabak berkenaan, program pencegahan denggi akan dipertingkatkan, melalui kesedaran komuniti dan perolehan peralatan pencegahan denggi seperti re-agen, Ultra Low Volume dan Mist Blower. Di samping itu, Kerajaan akan mengagihkan sebanyak 55 ribu test kit denggi kepada semua klinik swasta untuk mempercepatkan proses pengesanan awal denggi secara percuma. Untuk itu, sebanyak 30 juta ringgit diperuntukkan.


Tuan Yang Dipertua,

148. Kerajaan amat prihatin terutama kepada golongan yang memerlukan. Selaras dengan ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 2.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program berikut:

Pertama: Menyediakan 1.2 bilion ringgit bantuan kewangan kepada keluarga miskin, kanak-
kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya atau OKU. Untuk menunjukan keprihatinan kepada golongan ini, Kerajaan bersetuju kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaikan daripada 300 ringgit kepada 350 ringgit manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada 150 ringgit kepada 200 ringgit. Ini memberi manfaat kepada 110 ribu OKU, dengan peruntukan 66 juta ringgit;

Kedua: Menaikkan pelepasan cukai bagi setiap anak yang OKU daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit;

Ketiga: Menaikkan pelepasan cukai bagi pembelian peralatan sokongan asas bagi diri sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa yang OKU daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit;

Keempat: Menaikkan kadar makanan harian 8,700 penghuni di 63 institusi Jabatan Kemajuan Masyarakat daripada 8 ringgit kepada 16 ringgit;

Kelima: Meningkatkan geran tahunan Majlis Kebangsaan bagi OKU, daripada 500 ribu ringgit kepada 1 juta ringgit; dan

Keenam: Menambah 5 buah Pusat Aktiviti Warga Emas menjadikan 50 buah di seluruh negara serta Unit Penyayang Warga Emas yang menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas ke hospital.

149. Di samping itu, bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 711 juta ringgit kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan.

Tuan Yang Dipertua,

150. Untuk menangani isu pemilikan rumah dengan harga yang berpatutan, pelbagai projek dan program akan terus dilaksanakan, antaranya:

Pertama: Membina 80 ribu unit rumah PR1MA dengan peruntukan sebanyak 1.3 bilion ringgit. Had kelayakan pendapatan isi rumah juga dinaikkan daripada 8 ribu ringgit kepada 10 ribu ringgit. Selain itu, Skim Pembiayaan Sewa-beli atau rent-to-own akan diperkenalkan kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank;

Kedua: Membina 26 ribu unit rumah Program Perumahan Rakyat oleh Jabatan Perumahan Negara dengan
peruntukan sebanyak 644 juta ringgit; dan

Ketiga: Membina 12 ribu unit Rumah Mesra Rakyat dan 5 ribu unit Rumah Idaman Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad. Di samping itu, SPNB juga akan membina 20 ribu unit Rumah Aspirasi Rakyat di atas tanah persendirian.

151. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah pertama dan mengurangkan kos membeli rumah, Kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman serta menaikkan had harga rumah daripada 400 ribu ringgit kepada 500 ribu ringgit. Pengecualian ini diberikan sehingga 31 Disember 2016.

152. Kerajaan juga bersetuju menambah baik program Skim Rumah Pertamaku kendalian Cagamas, dengan menaikkan had nilai harga rumah kepada 500 ribu ringgit, selaras dengan pengecualian duti setem tersebut. Di samping itu, had kelayakan umur peminjam bagi skim ini akan dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun.


153. Bagi memberi keselesaan kepada rakyat yang mendiami perumahan kos rendah awam, peruntukan penyelenggaraan sebanyak 40 juta ringgit disediakan di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan Awam. Manakala bagi penyelenggaraan perumahan kos rendah swasta pula, 100 juta ringgit disediakan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

154. Pada masa ini, cukai keuntungan ke atas pelupusan sesuatu harta tanah di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 ditaksir secara formal. Kerajaan telah melaksanakan sistem
taksiran sendiri bagi cukai pendapatan individu dan syarikat sejak tahun 2001 dan 2004. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk terus memodenkan sistem percukaian negara dan memandangkan pembayar cukai pada masa ini lebih bertanggungjawab, adalah dicadangkan mulai tahun 2016, cukai
keuntungan ke atas pelupusan harta tanah ditaksir secara sendiri bagi tujuan pengiraan cukai keuntungan harta tanah.

155. Kerajaan juga terus komited menyedia dan menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar. Sejumlah 4.5 bilion ringgit akan diperuntukkan terutamanya di Sabah dan Sarawak
bagi melaksanakan program berikut, antaranya:

Pertama: projek jalan luar bandar sepanjang 635 kilometer termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak 943 juta ringgit;

Kedua: Melaksanakan program penyambungan bekalan elektrik kepada lebih 15 ribu buah rumah dengan peruntukan sebanyak 1.1 bilion ringgit;

Ketiga: program bekalan air bersih luar bandar kepada 7,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak 394 juta ringgit;

Keempat: program membina dan membaik pulih rumah usang melibatkan 9,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit;

Kelima: Meningkatkan mutu perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaraan dan sewaan pesawat baru dengan peruntukan sebanyak 160 juta ringgit;

Keenam: Melaksanakan program pembangunan ekonomi, kemudahan infrastruktur dan penambahbaikan taraf hidup masyarakat Orang Asli dengan peruntukan sebanyak 352 juta ringgit; dan

Ketujuh: Menambah sepuluh batang tiang lampu menjadikannya 20 batang tiang lampu di setiap
kampung di seluruh negara yang melibatkan lebih 22 ribu kampung dengan peruntukan sebanyak 26 juta ringgit. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 56 juta ringgit bagi menyediakan lampu jalan kampung.

Tuan Yang Dipertua,

156. Bekalan air merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian setiap insan dan industri. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyediakan National Water Blueprint bagi mempastikan
kelangsungan bekalan air di seluruh negara untuk jangka panjang. Ini termasuk pengurusan sungai secara holistik, pembinaan dan penambahbaikan loji-loji rawatan air.

157. Sumber bekalan air juga dipelbagaikan melalui penerokaan air bawah tanah, penggunaan semula air terawat untuk industri dan pertanian serta meluaskan penggunaan storm water retainer
system.

Bagi mengatasi kekurangan bekalan air di Lembah Klang, pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 akan digiatkan. Ini melibatkan kos sebanyak 3 bilion ringgit yang mampu menambah bekalan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari.

158. Di samping itu, untuk mengatasi masalah kehilangan air tidak berhasil atau Non Revenue Water, sebanyak 112 juta ringgit diperuntukkan bagi kerja-kerja mewujudkan zon kawalan kebocoran, menjalankan kerja pengesanan dan pembaikan paip-paip bocor.

====

Tuan Yang Dipertua,

159. Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara, peruntukan sebanyak 17.7 bilion ringgit disediakan untuk Angkatan Tentera Malaysia, sementara
sebanyak 9.1 bilion ringgit diperuntukkan untuk Polis DiRaja Malaysia. Sejumlah 804 juta ringgit juga, diperuntukkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memperkukuhkan
penguatkuasaan maritim.

160. Kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini, yang menjadi salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara. Untuk ini, Kerajaan telah meluluskan tambahan sebanyak 11,757 perjawatan anggota polis, selain membina sebanyak 14 Ibu Pejabat Polis dan Balai Polis, termasuk bangunan baharu IPK Perlis serta terus memperkukuhkan dengan penambahan 1,000 lagi unit rondaan bermotosikal PDRM. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 121 juta ringgit kepada PDRM untuk melaksanakan pelbagai program NKRA.

161. Bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota tentera, sebanyak 7 bilion ringgit dipe
runtukkan untuk memperoleh dan menyelenggara aset-aset pertahanan. Selain itu, kebajikan
anggota tentera akan dipertingkatkan termasuk perkhidmatan kesihatan dan penyediaan kediaman.

162. Manakala, bagi meningkatkan keselamatan maritim, APMM disediakan peruntukan sebanyak 393 juta ringgit. Ini adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pembelian 7 buah kapal peronda baharu.

Tuan Yang Dipertua,

163. Selain itu, Jabatan Sukarelawan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri atau RELA, akan terus memainkan peranan sebagai sebuah agensi sukarelawan untuk membantu pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan negara. Sebanyak 117 juta ringgit akan disediakan
terutamanya untuk latihan dan bina upaya bagi mengukuh peranan RELA.

Tuan Yang Dipertua,

164. Sejak dahulu, Kerajaan sememangnya mengiktiraf peranan penting NGO. Justeru, saya mengisytiharkan tahun hadapan sebagai pemerkasaan NGO dan kesukarelawan atau MyNGO
2015. Untuk itu, geran secara one-offdengan peruntukan 50 juta ringgit disediakan kepada NGO berwibawa termasuk yang beruniform , melibatkan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kepenggunaan, kesihatan dan keselamatan

Tuan Yang Dipertua,

165. Ahli-Ahli Dewan yang mulia, serta rakyat Malaysia dikasihi sekalian yang sedang menyaksikan bajet 2015 ini, di kaca-kaca televisyen dan mendengar di corong-corong radio luar sana.

166. Bersyukurlah..bersyukurlah.. kita semua berpijak di atas bumi yang aman, sentosa lagi permai. Menjunjung pula langit luas terbentang. Secara geografinya, tanah air bertuah ini, terpisah oleh Laut China Selatan, menggabungkan Tanah Semenanjung, dengan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah kesatuan yang berkeramat, bermula dari Arau, Perlis, membawa hingga ke Semporna, Sabah sampai ke penghujung Ulu Lachau, Sarawak meliputi kawasan seluas hampir 330,290 kilometer persegi.

Tuan Yang Dipertua,

167. Sudah menjadi lumrah kehidupan ada pasang surutnya. Bak kata pujangga...,musim panas..., kehujanan..., musim hujan..., kepanasan. Sesungguhnya, tahun 2014 menjadi takwim yang penuh dugaan. Pada suku tahun pertama, belum pun lagi reda dengan misteri kehilangan MH370, rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan peristiwa tragik pesawat MH17 milik Malaysia
Airlines System ditembak jatuh di Timur Ukraine.

168. Meski apapun, berbekal pengertian surah ke-94 Al-Insyirah, pada setiap kesukaran itu pastinya ada hikmah-hikmah dan kesenangan yang menanti. Tampaknya, rakyat Malaysia menerima dengan tenang dan tabah akan apa yang telah berlaku. Kita telah bersatu dalam suasana kesedihan, membentuk solidariti yang tidak terpecah bentengnya.

169. Menghadapi krisis ini, Kerajaan telah berusaha tanpa lelah, sehingga tidak pernah terjadi dalam sejarah, perundingan penuh dramatik dan berdiplomasi dengan puak pemisah yang tidak
beridentiti negara, demi mencari penyelesaian mendapatkan kotak hitam, memasuki kawasan kejadian, sehingga berjaya membawa pulang, hampir kesemua jenazah yang terkorban
kembali ke bumi Malaysia di mana mereka berasal.

170. Walau apapun, life goes on , hidup perlu diteruskan. Apa yang mustahaknya, apabila cabaran datang melanda, rakyat Malaysia telah berjaya keluar sebagai juara.

Tuan Yang Dipertua,

171. Di atas segalanya, memetik madah Rabindranath Tagore, seorang pujangga terkenal bahawa,

“...Janganlah kita menangiskerana matahari telah menghilang sebentar daripada kehidupan,
kerana airmata itu bisa menghalang kita melihat bintang-bintang yang masih bergemerlapan...”

Tuan Yang Dipertua,

172. Saya yakin, dalam kemajmukan dan kepelbagaian agama, masing-masing telah pun berbuat sehabis baik dan berdoa mengikut kepercayaan semua demi kebaikan Malaysia. Bagi pihak Kerajaan pula, antara lain, kita menzahirkan rasa syukur atas banyak kurniaan lIahi dan bersetuju membina Pusat Percetakan Al-Quran di Putrajaya, yakni kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi. Pusat ini atas inisiatif Kerajaan, bersama Yayasan Restu, dijangka dapat mencetak sehingga sejuta naskhah Ai-Quran setahun untuk diedarkan ke seluruh dunia. Selain itu,
Pusat ini juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat dan penggemar seni khat. Untuk  itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun.
  
Tuan Yang Dipertua,
   
173. Seperti saban tahun, saya sebutkan bahawa, Malaysia yang terbina seutuh ini, tidak lain dan tidak bukan, hasil mahsul kerja keras Kerajaan Barisan Nasional, selama berdekad-dekad yang disokong oleh rakyat. Tidak seperti pihak pembangkang yang siiiiiibukkkkkkkk merebut kuasa sesama sendiri, berkemelut dalam parti, sehingga pihak istana pun menjadi murka.
   
Tuan Yang Dipertua,
   
174. Alhamdulillah...,Alhamdulillah..., di celah-celah pelbagai dugaan ini, Malaysia melangkah gagah dengan banyak catatan pencapaian di peringkat global, antaranya:
  
Pertama: Memperbaiki kedudukan dalam Laporan World Competitiveness Index 2014, menduduki tangga ke-12 daripada tangga ke-15 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut menunjukkan kita lebih kompetitif berbanding United Kingdom, Australia dan Finland;
  
Kedua: Menduduki tangga ke-3 terbaik daripada 22 buah negara bagi penilaian Best Emerging Markets yang dikeluarkan oleh Bloomberg; dan
   
Ketiga: Menduduki tangga ke-6 daripada 189 buah negara, dalam Laporan Ease of Doing Business oleh Bank Dunia, di mana kita menduduki tangga pertama dalam aspek mendapatkan kemudahan pembiayaan.

175. Berhubung ini, menurut hadis, bersyukur kepada Tuhan, bererti juga, berterima kasih sesama manusia.
  
    Penambahbaikan Perkhidmatan Awam

176. Maka demikian, jika pada bajet yang lalu, saya telah mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam. Dalam bajet kali ini, Kerajaan akan menambah baik lagi 252 skim perkhidmatan sedia ada, untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

177. Di samping itu, bagi menghargai khidmat pegawai dan kakitangan  kontrak KEMAS, JASA, JPNIN, JAKIM dan Seranta FELDA yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib, Kerajaan bersetuju memberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 seorang. Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu.

Tuan Yang Dipertua,
  
Perumahan kepada Penjawat Awam
   
178. Sebetulnya, Kerajaan prihatin terhadap kesukaran penjawat awam  untuk mendapat pembiayaan memiliki rumah. Oleh itu, saya mengumumkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan dinaikkan daripada kadar RM80,000 kepada RM120,000 dan bagi had kelayakan maksimum, dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000. Serentak  itu, wang pemprosesan permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM100 kita mansuhkan. Kedua-dua  cadangan ini, berkuatkuasa pada 1 Januari 2015.

179. Bertolak dari sini, Kerajaan juga komited untuk terus meningkatkan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M. Pada masa ini, sebanyak 10,639 unit rumah telah diluluskan untuk  pembinaan. Pada tahun 2015, bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam  memiliki rumah, Kerajaan bersetuju untuk membina 5,380 unit rumah lagi iaitu di Putrajaya 1,600 unit; di Bukit Jalil 1,530 unit; di Papar,  Sabah 1,290 unit dan di Bukit Pinang, Kedah 960 unit. Di
samping itu,  Kerajaan juga menambah baik PPA1M seperti berikut:
   
Pertama: Menurunkan harga minimum rumah PPA1M yang kini berharga RM150,000 kepada RM90,000 seunit dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi;

Kedua: Menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM8,000 kepada RM10,000; dan

Ketiga: Menyediakan dana mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai skim PPA1M.

180. Laginya, keadaan rumah yang baik dan selesa didiami akan meningkatkan produktiviti penjawat awam. Untuk itu, Kerajaan  menyediakan RM500 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru dan kakitangan  kesihatan di seluruh negara. Sebanyak RM105 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk penyelenggaraan kuarters Kerajaan, di bawah Program
MyBeautiful Malaysia yang melibatkan 126 lokasi.

Tuan Yang Dipertua,

Bantuan Rakyat 1Malaysia

181. Dengan mengambil kira peningkatan hasil GST dan kemampuan fiskal Kerajaan, kita tingkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M daripada RM650 kepada RM950. Ini, untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah. Bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali setahun, iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 akan dibayar mulai September 2015.

182. Seterusnya, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, Kerajaan akan meningkatkan nilai BR1M daripada RM450 kepada RM750. Bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali setahun juga, iaitu RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 akan dibayar mulai September 2015.

183. Bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi dua ribu ringgit sebulan, Kerajaan akan meningkatkan nilai BR1M daripada RM300 kepada RM350. Bayaran bantuan ini akan dibuat sekaligus mulai awal tahun hadapan.

Tuan Yang Dipertua,
  
184. Kerajaan juga akan menggantikan insurans takaful berkelompok atau BR1M yang telah diperkenalkan sebelum ini dengan Skim Khairat Kematian. Skim ini akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama setahun.
  
Tuan Yang Dipertua,

Menghargai Sumbangan Ahli Parlimen

185. Kita sedar bahawa, tanggungjawab seorang Ahli Parlimen begitu besar dan bermakna pada kamuniti dan masyarakat setempat. Ahli-ahli Parlimen adalah ketua yang perlu memimpin masyarakat setempat dari semua aspek termasuk kebajikan, keagamaan, sosial dan pendidikan.

186. Dengan kata lain, khidmat Ahli Parlimen sebagai wakil atau pemimpin di kawasan parlimen masing-masing adalah mendesak tidak kira waktu. Bagi mencerminkan tahap tanggungjawab dan kepimpinan ini, sukacita saya mencadangkan agar elaun Ahli-Ahli Parlimen dinaikkan seperti berikut:

•     Ahli Dewan Negara elaunnya dinaikkan daripada bersamaan gred 48 kepada bersamaan antara gred 54 dan Jusa C,

187. Cadangan ini juga akan melibatkan kenaikan gaji dan elaun Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara sewajarnya, berkuat kuasa 1 Januari 2015.


Tuan Yang Dipertua,
  
188. Walau bagaimanapun...., walau bagaimanapun..., Kerajaan telah mengambil keputusan supaya, semakan kenaikan gaji bagi anggata pentadbiran dikaji serta ditangguhkan keputusannya sehingga satu masa yang bersesuaian. Ini termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri.

Tuan Yang Dipertua,

Menghargai Sumbangan Penjawat Awam

189. Sebagai penutup, seperti biasalah..., seperti biasalah..., buah  yang ranum, sudah pun mahu gugur. Makanya, sukacita saya mengumumkan,  pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada penjawat awam  dengan bayaran minimum RM500. Pemberian bonus ini akan dibayar  pada bulan Januari 2015. Kepada pesara Kerajaan pula, bayaran bantuan khas diberi sebanyak RM250.

190. Saya berharap, pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan nanti.
   
Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Seluruh Rakyat Yang Sedang Menonton dan Mendengar Bajet ini,

191. Semoga Allah membentang seluas-luas rezeki dan mempermudahkan selurus-lurus jalan bagi pelaksanaan bajet Ekonomi Keperluan Rakyat yang digubah ini.

192. Marilah berdoa dan berharap, apabila kejayaan mula menyentuh, mudah¬mudahan bahagia mendatangi. KepadaMu Tuhan, Ya Illahi Ya Rabbi, kami meminta selamatkan tanah air ini daripada mara bahaya. Rahmatilah roh serta jasad pertiwi terkasih ini, buat selamanya-lamanya.

Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangk
-Bernama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails