Friday, July 27, 2007

Lelaki Asli. Tiup Seruling Dengan Hidung



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


DIA, nun jauh nampak sedang turun dari curaman Bukit Kala Gombak kawasan perumahannya, melintasi sungai melalui jambatan sementara, kerana jambatan baru sedang dibina. Di kiri kanan jambatan itu, ramai anak-anak mereka sedang bermain-main, bermandi air sungai jernih separas dada, bertelanjang bulat melengging tak kira lelaki atau perempuan. Anak-anak ikan seluang berlarian di air, terkejut dengan ledakan terjunan mereka ke dalam air sungai.

Dia terus melangkah longgokan pakaian kanak-kanak itu di tengah jambatan, antaranya termasuk pakaian sekolah, kerana ada yang baru pulang dari sekolah, tidak terus ke rumah tetapi singgah mandi-manda dulu. Di tangannya, ada sebuah bakul berisi beberapa biji durian yang dikutip pagi itu, juga ada bakul galas di belakang berisi kulit-kulit kayu untuk dibuat pakaian. Dia menuju ke sebuah rumah pondok yang bumbung dan dindingnya dari daun-daun atau batang kayu hutan melambangkan rumah tradisional mereka.

Rumah pusat kebudayaan Orang Asli yang sedang dibina sempena perasmian oleh wakil-wakil kerajaaan baru-baru ini. Terdapat di Kilometer 24, jalan lama ke Pahang dari Gombak.

“Cik, banyak durian hari ni?” Sapa saya yang pergi menemuinya. Saya, yang kebetulan sedang menunggu Tok Batin (sebenarnya pemangku) yang telah pergi ke Kuala Lumpur belum balik-balik lagi.

“Ada le sikit-sikit, takat nak makan tu..” Jawabnya sambil mempelawa saya makan. Bila saya menolak dia mula meneruskan kerja-kerjanya.

Di lantai tinggi dalam pondok itu terdapat banyak barangan kraf tangan orang Asli. Ada sumpit, contoh kain dibuat dari kayu, barangan anyaman dari mengkuang, bakul, bubu, simpal dibuat dari belahan rotan, barangan dari buluh seperti serunai dan banyak lagi, kebanyakannya dibuat sendiri oleh penduduk kampung orang Asli tersebut, terutamanya ibu tunggal.

“Inilah kerja harian aku, sambil tolong-tolong orang kampong jual barang ini. Aku tak makan gaji. Tapi, aku ada dijemput main muzik di hotel-hotel dan pusat kebudayaan orang asli.” Katanya selamba saja.

“Muzik? Muzik apa? Tentu ada istemewanya. Kalau tidak, takkan hotel nak jemput?”

“Ya le. Untuk dapat layanan istimewa, mesti buat sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain.” Maka dia pun mengambil seruling meniupnya. “Ini lagu tradisional orang Asli sewaktu ibu-ibu mendodoikan anaknya..”
Hah! Terkejut saya. Dia meniupnya dengan hidung. Guna angin hidung, bukan dari mulut Itulah istimewanya. Agak sedap didengar juga. Katanya dengan bangga, “Aku orang Asli pertama di dunia yang meniup seruling dengan angin hidung! Dua minggu lagi aku dijemput meniupnya oleh persatuan peguam di sebuah hotel terkemuka di KL!”

Belum sempat bercerita panjang, tiba-tiba seseorang memanggil saya mengatakan Tok Batin sudah sampai, beliau menyegerakan tugasnya kerana saya sedang menunggu. “Jom kita pergi ke rumah Tok Batin yang satu lagi di hujung sana (beberapa kilometer lagi arah ke Pahang).Nak jamu encik makan durian!” Katanya.

Kereta kami terus berlalu bersamanya. Akhirnya, masuk sebelah kiri menuruni lembah dalam bersebelahan jalan lama Gombak-Bentong itu. Menuju rumah Tok Batin yang satu lagi.

“Tok Batin mana?” Tanya Tok Batin setelah kami sampai ke muka pintu rumahnya.

“Tok Batin pergi ke kebun kutip durian!” Jawab isteri Tok Batin yang satu lagi itu.

“Buka la durian-durian yang ada tu, tamu kita ni nak makan!” Kata Tok Batin. Arahan yang mungkin sudah biasa bagi mereka. “Aku datang ni nak bagi tahu suruh siap kira-kira 40 biji durian cantik-cantik nak hantar ke bos kita orang kerajaan? Aku nak beli…”

“Buat apa bagi kepada wakil rakyat tu? Rumah kami ni dah dekat 50 tahun merdeka pun tak dapat letrik lagi, walaupun duduk sebelah jalan raya..” Kata isteri Tok Batin dengan lantang. Macam mengugut. Tapi dia terus menghidangkan durian kepada kami. “Ingat, kali ini kami tak mahu keluar mengundi lagi…”

“Jangan macam tu. Kita minta rumah-rumah PPRT pun dapat.” Sambil menunjuknya berhampiran rumah itu. “Kita minta baharui surau kampong ni pun dapat. Ni kita nak minta letrik pula, kita bagi la sesuatu yang istimewa kepada orang yang boleh tolong kita. Tapi bukan kepada wakil rakyat sini, dia tak pernah jenguk kita pun!” Jelas Tok Batin lagi.

Walaupun Tok Batin yang bersama kami ini masih pemangku, tetapi beliau menguasai sebuah kampung yang besar. Kira-kira 2,500 orang, tinggal di Bukit Kala yang seluas 10 ekar. Terdiri dari 474 keluarga dan berbagai etnik, berbanding dengan kampong ini yang cuma kira-kira puluhan keluarga. Kalau dipilih jadi Tok Batin pun, beliau Tok Batin gred A, kerana pentadbirannya luas.

Sebenarnya, Orang Asli terdiri dari 18 etnik. Di bahagikan kepada tiga kumpulan besar. Iaitu kumpulan Senoi, Melayu Asli dan Negrito. Kumpulan Senoi contohnya, terdapat enam etnik di bawahnya, seperti Timia, Semei, Jahut, Mahmeri, Che Wong dan Smoqberi. Begitu juga 12 etnik dalam dua kumpulan lagi.

“Untuk dapat layanan istimewa, mesti beri sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain.” Jelas Tok Batin lagi. Mungkin itu sebabnya beliau pilih durian yang cantik dan istimewa untuk dihadiahkan. Macam juga pemuda yang meniup seruling dengan hidung tadi, ada sesuatu yang istimewa darinya.

“Bagaimana dengan kegiatan Islam di sini?” Saya tanya.

Dia terus bangun dari duduknya dengan jari telunjuk menuding ke atas, terus berkata, “Ini satu lagi masalah.. Ada beberapa perkara yang aku nak luahkan tentang JAIS dan JAKIM (jabatan-jabatan agama Islam di Selangor atau Malaysia). Aku nak minta tolong encik tuliskan dalam internet mengenai hal ini. Bolehkan?”

“Insya Allah!!” Saya mengangguk.

Terfikir di fikiran, apakah ini juga hasil dari ‘untuk dapat layanan istimewa, mesti beri sesuatu yang istimewa, atau lain dari yang lain’ ?? Saya sudah termakan durian istimewa mereka??
Bersambung…

Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
Gombak
27-07-2007.

Cadangan Terbuka Kepada Presiden PAS


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


MALAM tadi berlangsunglah Program Debat Kontemporari Siasah bertajuk, ‘Mengapa PAS Tak Dapat Undi Cina?’ anjuran PAS Kawasan Batu. Saya sebagai pendebat pertama mengemukan pandangan lebih kurang macam tulisan saya dalam ‘PAS Kuasai Ibukota 3: Patung Getah Orang Cina..’ di Tranungkite 9 Jun 2007 dan saudara Ann Wan Seng menerang keadaan realiti masyarakat Cina. Suatu yang amat menarik pada saya..

Setelah beliau menerangkan bagaimana pendekatan kita yang tak kena cara mereka, masyarakat Melayu yang ‘belum kenal betul’ masyarakat Cina dan sebagainya, maka beliau membuat rumusan, di mana masyarakat Cina sekarang sedang gelisah menunggu sesuatu penyelesain mengenai masalah ekonomi yang tak menentu dan membimbangkan kebajikan kaum mereka (walaupun pihak kerajaan kata makin baik). Menurut Ann lagi, inilah peluang terbaik untuk menangani masalah mereka, mendampingi mereka dan membuktikan sikap PAS terhadap kerja-kerja kebajikan tanpa mengira kaum.

Kini ada yang meramalkan pilihan raya umun mungkin akan diadakan antara September hingga November secepat-cepatnya. Maka pagi ini, beberapa dari kami berhimpun membincangkan apa alternatif terbaik perlu dibuat sekarang? (sila lihat juga tulisan saya ‘Negara Kebajikan: Bukan Islam Sokong PAS.. Dapat Apa?’ Tranungkite 23-06-2007). Maka lahirlah cadangan ini..

Draf Cadangan:

Sumbangan PAS sempena 50 tahun Merdeka Kepada Rakyat.
Iaitu memperluaskan Skim Insurans Takaful Kifaalah seperti yang dilaksanakan di Kelantan ke seluruh Malaysia.

1.Memberi bantuan kewangan kepada keluarga warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang meninggal dunia tidak kira agama, kaum dan bangsa di seluruh negara.
2.Bayaran RM500 kepada warisnya pada hari mati, dan baki RM2,000 lagi akan dibayar dalam tempoh 2 bulan dari tarikh kematian tersebut.


Dana yang diperlukan: RM30 juta.


Di anggarkan dana asal di Kelantan berjumlah RM3 juta. Kalau di seluruh Negara mungkin kira-kira RM30 juta. Bagaimana cara nak dapatkan?


1.Ahli PAS kini 1 juta. Kalau seorang meyumbangkan secara purata RM30, maka dapatlah RM30 juta. Untuk tidak membebankan bagi yang tak mampu, boleh bayar hingga 10 bulan, bererti sebulan RM3. Jadi secara purata satu hari cuma 10 sen sahaja!


2.Untuk mencarum dalam Takaful Insurans perlukan wang tunai, maka perlulah pinjam duit dari tokoh-tokoh korporat PAS, Harakah atau duit PAS sendiri samada Pusat, Dewan, Kawasan atau cawangan dahulu, bayar kemudian.


Masa: Sempena 50 tahun Malaysia Merdeka, selewat-lewatnya dalam bulan Ogos ini, sebelum pilihanraya atau sebelum pembentangan bajet negara. Sangat-sangat perlu disegerakan.


Tujuan:


1.Menyambut 50 tahun Merdeka tidak dengan kegiatan-kegiatan pembaziran wang, tetapi membantu mengurangkan masalah rakyat.

2.Untuk menggerakkan serentak dengan kerja-kerja pilihan raya, walaupun di tempat-tempat yang PAS tidak bertanding, kegiatan PAS akan tetap berjalan lancar, walaupun hingga lepas pilihan raya. Contohnya kerja-kerja mengisi borang bagi warga tua dan lain-lain.

3.Membuktikan kepada masyarakat bukan Islam, bahawa kegiatan-kegiatan kebajikan PAS tidak hanya kepada satu-satu kaum, agama dan negeri yang diperintah atau kawasan yang diwakilinya sahaja.


4.Buktikan PAS mampu buat kebajikan walaupun masih belum memerintah seluruh Malaysia.

Inilah pandangan dan cadangan kami yang kerdil ini, kami tujukan kepada Presiden PAS yang kami sayangi. Kalau pihak Tranungkite boleh tolong panjangkan secara terus kepada tuan Presiden dan seluruh AJK Agung PAS lagi baik. Komen-komen pelayar-pelayar laman web mengenai cadangan ini sangat-sangat dialu-alukan. Tak kira positif atau negatif. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 22-07-2007.

Wednesday, July 25, 2007

Hantu Global Di Belakang Masjid Merah



Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:


TELAH dianalisiskan adakah sama tragedi Masjid Lal atau Masjid Merah di Islamabad Pakistan, dengan tragedi pembunuhan di Memali Mukim Siong Baling Kedah dan siapa di belakang mereka? Sebenaranya dia adalah suatu kuasa di peringkat global, yang mendalangi setiap kegiatan berlawanan dengan kehendak dan kekuasaan Tuhan. Kuasa lawan Tuhan itu, ialah …hantu. Perkataan ‘Tuhan’ diterbalikkan jadi ‘hantu’.

Kuasa-kuasa besar sekarang (sebenarnya cuma ‘dianggap kuasa besar’ kerana kuasa Allahlah Maha Besar) yang melawan Islam semuanya adalah bernaung di bawah kuasa ‘hizbus syaitan’ ini, seperti pernah disebut oleh politikus revolusi Iran Ayatullah Khomeini (sekitar hujung 70an & awal 80an) dengan sebutan ‘syaitan besar’ atau bapa syaitan. …yang juga mengepalai barisan nasional atau internasional syaitan-syaitan sedunia.

Hal ini mengingatkan kembali kata-kata kawan saya yang menceritakan perihal kawannya sedang melaksanakan hobi mencari hantu, kira-kira dua tiga tahun lalu. Beliau seorang pensyarah sebuah universiti di utara semenanjung. Bila sebut saja di mana ada cerita-cerita seram, magik dan unsur-unsur hantu, maka dia akan sampai ke situ untuk menyempurnakan kajian dan analisis. Di Indonesia khabarnya, hingga ada skuad pemburu hantu, dan berusaha mewujudkan ‘kawasan bebas hantu’ seperti yang disiarkan dalam media dan tv-tv di sana.

Di Malaysia pun tidak kurang ada klinik-klinik penangkap hantu, yang harganya pernah menjangkau RM1,000 tiap seekor hantu upah khidmat tangkap. Percayakah anda? Anda boleh mencuba… Terutama di klinik-klinik yang ada kaitan dengan perubatan tradisional, syifa’ dan sebagainya.

“I sangat berminat dengan kisah-kisah hantu, dan I sedang membuat penyelidikan mengenainya.” Kata pensyarah tersebut. “I sekarang sedang berusaha melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Amerika yang membuat kajian tentang hantu. Kini Amerika sedang mengandaikan kemungkinan untuk menjajah dunia dengan menggunakan kuasa hantu pula!!”

Anda boleh lihat Al-Quran Surah Al-Falaq (Surah 113)Ayat 1 hinnga 5. Juga kitab-kitab tafsir muktabar yang menerangkan mengenai ilmu sihir dan hantu.

“David Copperfield pernah gemparkan dunia dengan ilmu sihirnya berjalan terus tembus merentasi Tembuk Besar Negeri China, dan pernah datang ke Malaysia.. adalah sebagai contoh ujikaji tersebut. Kini anak-anak muridnya mula bercambahan.” Jelas pensyarah itu lagi.

Saya telah cuba menghurai-rungkai kisahnya melalui sebuah novel berjudul ‘Hantu Global’ setebal 211 mukasurat cetakan 2005, dalam bahasa Malaysia. Harga RM15 termasuk pos di Malaysia. Boleh dibeli terus atau pos kepada penerbitnya: PLANET ILMU, No 63 Jalan AU3/31, Ampang Ulu Klang 54200 Kuala Lumpur.

Saya kisahkan tentang seorang anak muda yang sedang membuat kajian tentang hantu. Bermula di bekas runtuhan kondominiun yang pernah meragut banyak nyawa termasuk anak bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, di Ulu Klang Selangor, beberapa tahun lalu. Menyiasat kumpulan hantu yang merebak hingga ke KLCC, Thailand (Phuket & Bangkok) dan Indonesia. Kegiatan yang berpusatkan di Tel Aviv merangkumi operasinya ke New York, hingga India, Hongkong dan lain-lain.

Di mana dialog dan penyelesaiannya menurut agama Islam berdasarkan Al-Quran, Hadith dan pandangan-pandangan ulamak dari kitab-kitab tafsir lama dan baru. Sehingga ada seorang pembaca memberi komen ‘macam baca kitab!’…walaupun ada adengan-adengan ‘rampas kapal terbang’, tembak menembak di Airport Bangkok, serangan polis dua negara berhampiran Pulau James Bond Thailand, sekitar perkampungan Melayu di Saudi Arabia, kisah cinta dan lain-lain, berdasarkan pengalaman-pengalaman saya di luar negara.

“Apa nak heran, hantu nak guna kuasa hantu! Sekarangpun mereka sudah jadi bapa hantu, dan duduk dalam kumpulan hantu, tapi menggunakan teknologi moden.” Antara fikiran yang melayang dalam kepala otak watak utama di penghujung novel tersebut. “Tapi sejarah ilmu sihir dan menggunakan makhluk-makhluk halus hantu tidak pernah menang berlawan dengan kebenaran. Begitu juga dengan kumpulan syaitan. Yang jelas, apabila kebenaran datang, kebatilan akan sirna dan pasti akan hilang lenyap!”

Bagi golongan-golongan Hizbullah atau kumpulan Allah (lawan kepada Kumpulan Syaitan), atau kumpulan Islam atau Parti Islam di seluruh dunia pasti merasa yakin dengan kemenangan Islam tersebut. Bagi golongan-golongan Masjid Merah dan yang sepertinya, perjuangan tidak berakhir di situ. Sama dengan Taliban yang dikatakan sudah ranap hancur, Al-Qaeda yang pemimpin utamanya dikatakan sudah berkali-kali terbunuh, Iraq yang akhirnya Amerika dah nak cabut lari, Chechya yang sudah semakin semarak kegiatannya, dan Isreal yang makin tak senang duduk..

Semua kumpulan-kumpulan kebenaran pasti akan menemui kemenangan akhirnya seperti yang dijanjikan Allah SWT.
- ‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’Surah Al-Mujadalah ayat 22.
- ‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.
- ‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.
- ‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.” At-taubah ayat 32 & 33.

Kalau kumpulan Hizbullah di seluruh dunia yang akan menang, maka siapakah pula yang akan kalah, terutamanya seperti dalam pertarungan di Masjid Merah?? Itula hantu global di belakang Masjid Merah…

Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 21-07-2007.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails