Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kaji selidik dua minggu lalu menunjukkan populariti Dr. Mahathir menjunam kepada 53 peratus sahaja berbanding 72 peratus pada Jun lalu. 
Katanya, hasil kaji selidik itu mendapati penurunan mendadak sebanyak 20 peratus dalam kalangan responden daripada ketiga-tiga kaum iaitu Melayu daripada 66 peratus kepada 45 peratus, Cina (87 peratus kepada 65 peratus) dan India (84 peratus kepada 64 peratus).

“Saya terus mengikuti sentimen rakyat di bawah melalui kaji selidik bulanan dan profiling pengundi yang banyak membantu kempen PH di dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Komen netizen di portal berita utama secara terang-terang menunjukkan terasingnya rakyat Malaysia sesama sendiri. 
“Setiap kumpulan kaum hidup di bawah tempurung sendiri. Kita tidak sedar perubahan ketara di dalam kumpulan kaum lain, kerana kita hanya bergaul sesama kaum sendiri. Saya bukanlah gemar membawa berita buruk, tetapi kalau ia benar ia tetap perlu disampaikan,” katanya menerusi blognya, rafiziramli.com. 
Pada Jun lalu, 72 peratus responden yang ditanya menyatakan mereka gembira dengan prestasi Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. 
Responden Cina memberikan markah tertinggi iaitu 87 peratus, diikuti dengan responden India sebanyak 84 peratus manakala 66 peratus responden Melayu turut berpuas hati dengan prestasi beliau (dikira tinggi memandangkan PH tidak memenangi undi Melayu dalam PRU-14).
Rafizi sememangnya terkenal dengan kaji selidik sentimen yang dilakukan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Invoke yang diasaskan beliau. 
Sebelum PRU-14, Rafizi menerusi Invoke meramalkan Pakatan Harapan mampu merampas tiga negeri daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Kedah, Perak dan Johor dengan kedua-dua negeri tadbiran pakatan itu iaitu Selangor dan Pulau Pinang dikekalkan.
Ramalan itu ternyata tepat, malah PH juga berjaya menawan Melaka dan Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE