Tuesday, December 18, 2018

Harga Telur Tertinggi Dalam Sejarah, Tapi Ayamnya Tidak. Kerana Dedak Ke?



DI Malaysia, seminggu dua ini ramai bercakap pasal telur. Bukan pasal berani tak berani sampai nak kena melompat kapal tetapi harga telur ayam yang kini melompat sampai paras tertinggi dalam sejarah.
Sepuluh biji telur ayam gred B kini mencecah RM4.60-RM4.80 dengan harga ladang pada 4 Disember lalu berada pada sekitar 41 sen sebiji. Ramai pening kepala kerana naiknya kira-kira 30 peratus berbanding pertengahan tahun ini, atau 45 peratus berbanding Mac 2017.
Walaupun dalam era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ketika itu harga telur ayam gred B di peringkat ladang hanyalah 28 sen hingga 30 sen sebiji. Tak percaya, boleh rujuk di laman web Jabatan Perkhidmatan Haiwan.
Kenapa jadi begini? Seperti biasa, jawapan diberikan menyalahkan kekurangan bekalan. Mujur bukan ayam dipersalahkan, sebaliknya kembali kepada asas ekonomi iaitu pengeluaran dan permintaan.
Apabila dipersoalkan kenapa bekalan boleh kurang, maka timbullah cerita selesema burung dengan ada ladang tidak dibenarkan memasarkan telur yang dikeluarkan.
Selepas itu, seperti biasa makanan ayam pula jadi ‘kambing hitam’ dengan nilai pertukaran wang asing dibangkitkan. Eh skrip ini bukan baru, dari dulu sama sahaja.
Peliknya, harga ayam daging tidak pula mengalami perubahan ketara seolah dedak ayam daging tidak dijual dalam dolar Amerika Syarikat (AS) seperti ayam telur. Satu lagi, takkan lah harga makanan ayam sampai melonjakkan satu pertiga harga.
Semua ini dua kali lima dengan tauke kedai makan yang menaikkan harga secawan kopi 20 sen gara-gara harga gula naik 20 sen sekilo. Sedangkan sekilo gula boleh guna untuk bancuh berpuluh cawan kopi. Untungnya mereka.
Dan dalam kisah telur, apabila keresahan rakyat terhadap sumber protein itu semakin memuncak, Alhamdulillah hari ini di hadapan menteri, ada jaminan daripada penternak untuk menurunkan harga telur sebanyak dua sen sebiji.
Tak tahulah, persetujuan menurunkan harga ini ada kaitan dengan cerita kartel telur yang berlegar bagaimana industri boleh memanipulasi harga untuk kepentingan mereka.
Apa pun, persetujuan persatuan penternak menurunkan harga itu satu bab, tapi siasat tetap perlu siasat. Malaysia ada macam-macam akta, enakmen, kanun termasuk jika ada yang cuba monopoli. Jangan dibiarkan wujud anasir negatif.
Pengguna sudah muak gesaan jadi pengguna bijak, ayam mahal jangan makan ayam. Ini bukan beli kereta, ini makanan harian tak kisahlah sama ada telur, ayam atau ikan. Tolong lindungi hak kami. – UTUSAN
Komen Weblog Ibnu HasyimHarga telur ayam naik tertinggi dalam sejarah Malaysia. Lebih mahal dari zaman GST. Mungkin kerana 'dedak'. Tapi bukan dedak ayam, dedak manusia 'balaci PH'?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails