Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata, kejayaan tersebut hasil usaha para sukarelawan yang tidak jemu dalam menyampaikan dakwah kepada saudara bukan Islam.
“Alhamdulillah, selesai program MSD2018 yang diadakan secara serentak di seluruh negara semalam hasilnya kita telah menerima beberapa saudara baharu yang mengucapkan syahadah di tempat-tempat program.
“Program ini merupakan anjuran kali ke - 5 sejak tahun 2013, namun tidak dinafikan ada pihak yang kurang faham atau mungkin sengaja buat tak faham dengan mempersoalkan program dakwah ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, program berkenaan tular di media sosial dengan mempersoalkan penggunaan nama Jesus selain mengedarkan pamplet bertajuk ‘Muslim Love Jesus - He is a Prophet of God’ di sekitar negara yang dikatakan sebagai agenda pelik sesetengah pihak.
Jelas Firdaus Wong, penggunaan ayat tersebut merupakan mesej yang digunakan untuk disampaikan kepada saudara-saudara beragama Kristian.
“Pendekatan itu menunjukkan bahawa muslim juga menyayangi baginda bukan sebagai Tuhan, tetapi sebagai Rasul yang wajib disayangi.
“Ini kerana mereka mengenali baginda dengan nama Jesus, kita mengenal dengan nama Nabi Isa. Tiada masalah,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, semua pihak diminta untuk tidak mudah menaruh syak wasangka terhadap usaha-usaha dakwah kepada orang-orang bukan Islam. - UTUSAN ONLINE