Saturday, September 27, 2008

PKR Perlu Cari Jalan Atasi Masalah Ini..

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

SAYA menerima e-mail dari seseorang, Zukri Aksah, mengisahkan masalah perjuangannya dalam http://zukriaksah.com/utama/?p=150 ‘Nota Kecil Di Aidul Fitr’ September 25th, 2008. Antara sedutan tulisannya…

Perjuangan saya pula untuk apa? (sedangkan isterinya sedang berjuang bertarung untuk melahirkan anaknya). Saya masuk politik kerana mahu menyumbang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, lebih baik yang macam mana? Lebih Islamkah? Eh… saya masuk politik dah sembilan tahun lebih-kurang, baru-baru ini sahaja saya masuk PAS (Parti Islam SeMalaysia), saya lama dalam Parti Keadilan Rakyat, jadi Exco Angkatan Muda selama dua penggal. Parti Keadilan terkenal dengan laungan reformasinya, reformasi ke arah Malaysia yang lebih baik, soalnya Malaysia yang lebih baik itu lebih baik macam mana? Lebih banyak nilai Islamkah?

Kalau ya Alhamdulillah, ia boleh menjadi amanah Allah yang didokong oleh setiap ahli Parti Keadilan, besar pahalanya sebagaimana seorang ibu menerima anak sebagai sebuah amanah Allah. Tetapi saya tidak merasa begitu pula, bukan kerana saya masih skeptikal dengan parti lama saya ini, atau dengan generalissimonya, tetapi surat tunjuk sebab kepada Zulkifli Noordin sudah jelas membuktikannya, ditambah lagi dengan pengakuan dua orang kuat Parti Keadilan di Perak yang tidak boleh berkata “tidak” kepada ajakan berzina menyerlahkan lagi betapa tidak islamiknya rangka kepimpinan parti ini.

Habis, kalau tidak berasaskan nilai Islam, reformasi ke arah Malaysia yang lebih baik itu memakai faham “baik” yang mana? Semaklum saya, perkara berkait dengan dasar Parti Keadilan diputuskan dengan banyak dipengaruhi oleh blok-blok liberal demokrat dan sosialis, bahkan dasar parti 17 perkara itu adalah ajaran sosialis yang dilembutkan, itu memang saya yakin benar. Apakah Malaysia yang lebih baik itu digagaskan dalam agenda reformasi menggunapakai asas sosialis?

Masalahnya si penganut sosialis Melayu di Malaysia akan berhujah bahawa ajaran-ajaran sosialis itu dekat dengan Islam, ajaran-ajaran sosialis itu Islamik, maka dibukalah kitab Mukaddimah karangan Ibnu Khaldun untuk membuktikannya. Jika benar begitu maka ia menjadi tidak selari semula dengan tindakan Parti Keadilan terhadap Zulkifli Noordin dan perangai penzina dua orang pimpinan Parti Keadilan di Negeri Perak tadi. Lalu soalan akan berpusing kembali, reformasi ke arah Malaysia yang lebih baik? Lebih baik macam mana? Menggunapakai asas apa, Islamkah, sosialiskah, atau apa?

…Bagi setiap dari kita, moga ia menjadi hari kejayaan kepada perjuangan yang kita dokong, tidak kiralah sama ada Saudara Anwar berjaya atau tidak menakluk Putrajaya pada hari tersebut. Yang penting semua dari kita yang berjuang mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik; ‘lebih baik’ yang takrifnya bukan hanya dipersetujui secara bersama oleh kita, lebih penting ia diperkenan oleh Yang Bersemayam di Singgahsana Arasy.”

Pada saya, PKR adalah rakan se Pakatan Rakyat. Saudara Zukri Aksah yang baru saya kenal melalui tulisannya itu, perlu berhati-hati dengan hak kebebasan berparti saudara. PKR pula perlu cari formula selesai, supaya ianya tidak menjadi penyakit yang boleh merebak menjadi lebih besar lagi.

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, sekadar menyampaikan kebenaran kepada sahabat-sahabat. Selamat terus berpuasa, bertarawih dan menyongsong bukan menyongsang kedatangan Hari Raya! Taqabbalahhu minna wa minkum..

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September27, 08. KL.

Hari Raya & Bahaya Binatang Dari Perut Bumi..



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

MENURUT sejarah, seperti yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik di mana pada suatu ketika Rasulullah SAW iaitu wakil Allah di mukabumi & Nabi orang orang Islam, sampai ke Madinah, sebuah kota antara pusat awal sejarah kebangkitan Islam yang berada di Saudi Arabia sekarang…

Ketika itu penduduknya lumrah merayakan dua hari raya secara jahiliah atau trasional. Cara mereka menyambut hari raya tersebut, biasanya dengan menghabiskan masa bersukan dan bersukaria. Begitu, cara mereka menyambut Hari Raya!. Lalu Nabi berkata,

“…Bahawa Allah SWT telah gantikan dua hari raya jahiliah itu dengan dua hariraya lain yang lebih baik lagi iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Kurban.”

(Sila rujuk hadis Sahih riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Nasaaii)

Bagaimana cara menyambut Hari Raya menurut Islam? Lihat firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat185…

“...Agar kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) di samping kamu mengagongkan Allah kerana mendapat petunjuk (daripada)Nya , mudah-mudahan kamu (semua) bersyukur.”

Penganut Islam disunatkan melafaz dan melaungkan takbir, di rumah, di masjid, di jalan-jalan, lorong dan di mana sahaja yang sesuai. Malam Hari Raya wajar dipenuhi dengan zikir, bacaan quran, tasbih, tahmid, takbir, doa, tazkirah dan sebagainya. Takbir berlanjutan sampai lepas subuh sehinggalah imam naik ke atas mimbar. Takbir Aidil Adha pula terus boleh dikemundangkan lepas solat fardhu sampai lepas asar hari tasyriq yang ketiga.

Selepas solat dan mendengar khutbah umat Islam di galakkan berkunjungan dan menziarahi sanak saudara. Pulang pula sunat melalui jalan lain kalau boleh. Walaupun Islam menggalakkan amalan ibadah ketika berhari raya namun ia tidak pula melarang anak anak muda atau orang ramai bersukaria. Mereka boleh bersukaria dengan menyanyikan nasyid yang sopan, memuji Allah, kegiatan santai yang halal dan menjaga batas larangan agama seperti yang ditegaskan oleh hadis ini…

Hadis riwayat Hisham Bin Urwah dari bapanya… Dari Aisyah bahawa (pada suatu ketika ) Abu Bakar datang dan beliau bersama Rasulullah pada Hari Raya Fitrah atau Adha. Ketika itu ada dua orang gadis (amah) sedang menyanyi sambil memukul gendang . Abu Bakar menegur perbuatan kedua gadis itu. Tetapi dijawab oleh Rasulullah..

Biarkanlah kami (mendengar lagu mereka), sebab setiap kaum ada Hari Rayanya dan hari ini adalah hari raya kita.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Abdul Ghani Shamsudin seorang AJK PAS Pusat dalam Harakah Daily Mon | Oct 23, 06 | 2:51:48 pm MYT,

“Masalah kita kini ialah para pemimpin yang berkuasa khasnya yang menguasai media masa perdana tidak mahu menjadikan Islam sebenar sebagai dasar perjuangan mereka. Mereka terus hidup dalam kepompong sekularisme dan liberalisme yang menekankan kebendaan dan hiburan untuk menghalang pengaruh Islam dan para pengembang Islam. Walaupun mereka sudah masuk Islam tetapi mereka tidak mahu menerima perjuangan Islam menyeluruh yang merangkum aspek politik dan sebagainya.

Mereka menentang usaha untuk menegakkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang berasaskan syariat Islam, mereka menentang perjuangan politik Islam sebagaimana kumpulan kafir dan penjajah menentang perjuangan ini. Untuk itu mereka menggunakan saluran hiburan, sukan, politik dan ekonomi dan sebagainya untuk mendangkalkan kefahaman dan pegangan umat terhadap agama. Dalam masa yang sama mereka anti kepada tazkirah seperti tazkirah Ramadzan dan sebagainya demi mengelakkan terhakisnya pengaruh fahaman sekularisme mereka di kalangan rakyat. Sekatan kepada ceramah, larangan kepada alim ulama untuk berceramah dalam masjid awam dikuatkuasakan kerana kepentingan sempit jangka pendek parti mereka.

Tapi mereka lupa tindakan berkenaan membawa padah jangka panjang kepada kepentingan umat pada keseluruhannya. Sebagaimana mereka telah menghakis kuasa politik orang Melayu sehingga orang Melayu sekarang sudah tidak mempunyai majoriti dua pertiga di dalam Parlimen tapi sekadar majoriti tipis atau mudah sahaja berbanding selepas merdeka dulu dan usaha mereka menobatkan semula bahasa penjajah dalam mata pelajaran sains dan metametik dengan menyingkirkan Bahasa Melayu, maka mereka juga turut menggalakan hiburan dan konsert demi menghakis jatidiri Islam di kalangan orang-orang muda dan dewasa. Perbuatan seperti ini secara tidak disedari seolah-olah mahu menyegerakan turunnya hukuman Allah kepada bangsa mereka.”

Allah SWTberfirman dalam Surah Al-Naml ayat 82..

Apabila tiba masa berlakunya hukuman atas manusia (iaitu azab yang pasti menimpa) Kami tampilkan kepada mereka sejenis (peralatan bersuara seperti) binatang dari (perut) bumi yang menegaskan hakikat bahawa manusia memang tidak yakin (alpa) terhadap tanda-tanda (kebesaran) Kami (yakni menentang ajaran agama Islam).”

Menurut Ustaz Abdul Ghani lagi…

Ayat ini seolah-olah mengungkapkan hakikat peranan tv dan radio hari ini. Alat yang komponennya banyak diperbuat daripada logam bumi ini kerap; malah sentiasa melekakan orang ramai dengan program yang disusun oleh manusia yang kufur terhadap nilai-nilai samawi dan tidak meyakini arahan Allah SWT. Kealpaan dan kecuaian yang disebabkan oleh penyalahgunaan peralatan ini akan menjadi sebab kepada kemusnahan sesuatu umat di dunia ini. Inilah malapetaka serius yang sedang menunggu bangsa kita. Ipar duai dan saudara mara yang tergoda dengan persembahan yang ditayangkan dalam pelbagai saluran TV adalah mangsa kepada situasi dan kondisi malang ini.”

Bagaimana penyelesaiannya? Menurut beliau lagi…

Apa yang diperlukan kini ialah beramai-ramai menjayakan reformasi dan merubah kepimpinan dan pemerintahan yang ada sekarang kepada pemerintah yang lebih hampir dengan semangat keagamaan kita. Siaran Radio atau TV tidak akan berubah dengan para pemimpin yang memang sukakan program lagha dan hiburan dan tidak mahu kembali kepada ajaran Islam yang hakiki.”

Kesimpulannya…

Sebagai ringkasan amalan Di Hari Raya bagi umat Islam ialah:

1..Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri . Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata :Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2.. Menjamah makanan sebelum keluar. Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut :Nabi SAW tidak keluar di pagi Hari Raya Idilfitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…

3..Memperbanyakkan Takbir ; Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibnu Umar RA keluar di Hari Raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan Solat Hari Raya.

4..Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ; Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah.. “Taqabbalahhu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

5..Memakai pakaian terbaik yang ada ; Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6..Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ; Ia berdasarkan hadith dari Jabir RA yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya (Riwayat Al-Bukhari)

7..Berziarah dan merapatkan silaturahmi sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

8..Tukar kerajaan melalui pilihan raya akan datang kepada parti yang berdasar dan berteraskan Islam, agama yang diredhai Allah SWT.

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, sekadar muhasabah diri dan menyampaikan kebenaran. Selamat terus berpuasa, bertarawih dan menyongsong bukan menyongsang kedatangan Hari Raya! Taqabbalahhu minna wa minkum..

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September27, 08. KL.

Thursday, September 25, 2008

Francis Netto : Tarawih Merubah Gaya Hidupku..


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“…PADA suatu malam di bulan Februari 1995, ketika saya di Indonesia untuk kuliah, saya duduk sendiri di lantai sembari menonton shalat Tarawih, tayangan langsung dari Mekah. Saya melihat sekitar 3-4 juta orang melakukan gerakan yang sama, menghadap arah yang sama, mengikuti Imam yang sama, berdoa dengan ucapan yang sama, kepada Tuhan yang sama.

Saya berfikir, mana ada peristiwa peristiwa seperti ini di negara Barat? Tidak pernah ada orang sebanyak ini berkumpul untuk menonton bola, mengikuti suatu pertandingan, atau bahkan mendengarkan Paus bicara!!!. Ini benar-benar luar biasa!!. Dan tidak ada tandingnya..” Demikian diceritakan oleh seorang penganut Kristian Katolik, melalui seseorang kepada saya.

Dia lahir dari keluarga Katolik di kota Nelson, sebuah kota kecil di Pulau Selatan, New Zealand (Selandia Baru). Menurutnya, sejak di SD, SMP, dan SMA lagi (dari sekolah rendah hingga menengah atas), dia sudah malas belajar agama secara serius, kecuali untuk mencari kekurangannya. Dia menganggap percaya agama itu, cuma buang masa saja, tanpa membawa hasil apa-apa!

Mulai saat itu dia menyangka dia sudah menemui kenyataan dan kebenaran, di mana dia sudah tidak percaya kepada Tuhan lagi (atheis). Kalau ada yang bertanya mengenai agamanya, dia akan menjawab, ‘Katolik’ saja! Setahun setelah itu, dia mula meneruskan pelajaran agamanya.. dengan cara mencermati dan mengamati ceramah agama di tv. Dia dengar serta memikirkan maknanya… Dan perlahan-lahan dia dapat ilmu agama dari berbagai macam sumber.

Hingga akhir 1996, katanya, ..saya mulai sulit untuk menolak agama Islam lagi. Semua yang ada di dalam Islam mengandung logika. Kalau kita tidak mahu mencarinya, apa boleh buat? Dengan itu, saya mengambil keputusan untuk masuk Islam. Tahun 1996 adalah kali pertama saya ikut merayakan Idul Fitri, tepatnya satu bulan setelah saya masuk Islam itu. Kebetulan sekali, saya masuk Islam bertepatan dengan bulan puasa, jadi tidak lama setelah itu, saya bisa ikut merayakan Idul Fitri bersama masyarakat Muslim Indonesia yang lain.

Berbeda dengan kebanyakan orang, saya merayakan Idul Fitri sebagai hari yang sepi. Tapi enaknya jalanan di Jakarta menjadi lengang sehingga saya bisa terbebas dari macet. Kenyataan itu disebabkan banyaknya orang Jakarta yang pulang ke kampungnya masing-masing. Tempat kos saya pun menjadi sepi, dan saya seperti kehilangan teman untuk sementara waktu. Biasanya setelah selesai menunaikan shalat Idul Fitri, saya mengunjungi rumah keluarga Ade salah satu teman saya di daerah Rawamangun.

Keluarga Ade sama artinya dengan keluarga saya. Di hari lebaran di rumah keluarga Ade biasanya ada menu spesial, iaitu ketupat dan opor ayam. Namun sebelum berkunjung ke tempat Ade, saya sempatkan untuk berkunjung ke rumah Kyai saya di daerah Tebet, namanya Masyhudi Sahid.”

Sebenarnya dia masih mempunyai keluarga di Australia. Bapaknya bernama Carlous Patterson Netto, ibu bernama Baverly Frances Smith. Kakak bernama Carl Benedict Netto, dan adik perempuannya bernama Jacinta Therese Netto. Kalau bertemu dengan mereka, katanya..

Saya sayang sama mereka! Namun, kerana mereka berbeda keyakinan agama dengan saya, bahkan telah menganggap saya sebagai orang gila sebab masuk Islam, secara automatic seolah-olah menyebabkan saya tidak pernah merindukan mereka di momen hari lebaran... Jadi kalaupun saya pulang ke Australia, itu kerana ibu menyuruh saya pulang, hanya untuk menghormati ibu saja. Kehidupan di luar negeri sana tidak seperti di sini. Kalau di sini, Hari Raya dirayakan dengan saling bertemu, bersilaturrahmi, serta saling memaafkan antara satu sama lain.

Sedangkan di negara asal saya, kalau menyambut Hari Raya, Natal misalnya, tidak ada tradisi seperti itu.. yang ada mereka mabuk semua! Keluarga saya itu, kalau merayakan Natal, dari mulai bangun pagi, mereka sudah mulai minum minuman keras, jadi jam 12 siang mereka telah teler dan tidak bisa pergi ke mana-mana, jangankan untuk bersilaturrahmi! Kebiasaan tersebut dilakukan juga ketika merayakan Tahun Baru, Paskah, pesta perkawinan, hari kemerdekaan dan lain sebagainya.”

Pokoknya, kalau liburan mereka minum-minum dan mabuk. Tradisi seperti itu sudah menjadi standard kehidupan orang barat. Tidak pernah pergi ke gereja, atau membaca al-Kitab, sudah biasa bagi mereka. Oleh kerana itu lebaran disitu, menurutnya sungguh sangat istimewa. Pernah suatu kali, bapanya menelepon mengucapkan selamat Idul Fitri. Namun, pada mereka tiada makna apa-apa, kerana mereka mengucapkan selamat tanpa mengerti bahawa Idul Fitri itu adalah momen kembali kepada kesucian diri. Tiada pemahaman begitu, memang tiada makna apa-apa..

Referensi Dariku:
Eugene Francis Netto,
Jakarta.

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, sekadar muhasabah diri. Selamat terus berpuasa, bertarawih dan menyongsong kedatangan Hari Raya!

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
September25, 08. KL.

Turunnya Al-Qur’an, Napoleon Bonaparte Pilih Islam.

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

SUARA orang bertadarus Al-Qur’an berkumandang dengan nyaringnya dari menara-menara masjid segenap penjuru tiada henti-hentinya… dari lepas solat tarawih setelah solat Isyak hingga masuk waktu imsak bagi memulakan puasa pagi hari di Banda Aceh.

Sudah 18 tahun aku jadi anggota DPR (Dewan Perwakilan Rakyat, kalau di Malaysia disebut parlimen) di suatu kawasan di perdesaan.. Inilah kali pertama kami calun-calun anggota legislatif (caleg) DPR (yang akan bertanding pada PEMILU 2009) terpaksa menjalani test membaca Al-Qur’an yang diselenggarakan Komisi Independen Pemilihan (KIP) Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam (NAD). Kalau gagal, tak boleh jadi calun!” Sungut seorang anggota DPR kepada saya. Kami sama-sama menginap di hotel itu.

Aceh memang lain dari negeri lain. Peraturan ini memang tak ada di negeri (provinsi) lain. Lihat saja namanya ‘Nanggroe Aceh’, masih dalam bahasa Aceh, ertinya ‘negara Aceh’ yakni statusnya lebih besar dari istilah ‘negeri’. Aceh masih degil mahu merdeka!” Sambungnya dengan tegas. “Bukankah baca Qur’an ini hal peribadi, tak boleh dipaksa-paksakan?

Saya masih belum jawab apa-apa terhadap kata-katanya. Kalau nak jadi pemimpin di negara komunis, mestilah kena tahu fahaman komunis dan boleh membaca peraturan komunis. Takkanlah nak jadi pemimpin umat Islam tak tahu baca Al-Qru’an? Memang pun patut Aceh buat peraturan begitu. Saya berfikir-fikir.

Terlintas di fikiran lagi, kisah seorang Jenderal dan Kaisar Perancis kelahiran Ajaccio, Corsica pada tahun 1769. Namanya tercatat dalam urutan ke 34 dari senarai ‘100 Tokoh Paling Berpengaruh Dalam Sejarah’ yang ditulis oleh Michael H.Hart. Beliau adalah Napoleon Bonaparte. Beliau mengagumi Al-Quran setelah membandingnya dengan kitab sucinya, Alkitab (Injil). Hasil dari kajian dan bacaannya, maka pada 02 Julai 1798 iaitu 23 tahun sebelum meninggal dunia tahun 1821, Napoleon menyatakan keIslamannya, seperti dimuatkan oleh majalah ‘Genuine Islam’, edisi Oktober 1936 terbitan Singapura.

Antara kata-katanya…

"Surely, I have told you on different occations and I have intimated to you by various discourses that I am a Unitarian Musselman and I glorify the prophet Muhammad and that I love the Musselmans.” (Tentu, saya katakan kepada anda semua pada kesempatan yang berbeza, dan saya perlu perjelas lagi kepada anda disetiap ceramah, bahawa saya adalah seorang Muslim, dan saya memuliakan Nabi Muhammad serta mencintai orang-orang Islam.)

Akhirnya beliau berkata :
"In the name of God the Merciful, the Compassionate. There is no god but God, He has no son and He reigns without a partner." (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tiada Tuhan selain Allah. Ia tidak beranak dan Ia mengatur segala makhlukNya tanpa pendamping.)

Dalam buku, ‘Bonaparte et I'Islarn’ oleh Cherlifs, Paris, halaman 105, Napoleon Bonaparte berkata sebagai berikut..

"I hope the time is not far off when I shall be able to unite all the wise and educated men of all the countries and establish a uniform regime based on the prinsiples of the Qur'an wich alone can lead men to happiness.(Saya meramalkan bahawa tidak lama lagi akan dapat dipersatukan semua manusia yang berakal dan berpendidikan tinggi untuk memajukan satu kesatuan kekuasaan yang berdasarkan prinsip--prinsip ajaran Islam, kerana hanyalah Qur'an itu satu-satunya kebenaran yang mampu memimpin manusia kepada kebahagiaan.”

Anda boleh lihat rujukan antaranya…

1. ‘Memoirs of Napoleon Bonaparte’ by Louis Antoine Fauvelet de Bourrienne edited by R.W. Phipps. Vol. 1 (New York: Charles Scribner's Sons, 1889) p. 168-169.
http://chnm.gmu.edu/revolution/d/612/

2. 'Napoleon And Islam' by C. Cherfils. ISBN: 967-61-0898-7

http://www.shef.ac.uk/~ics/whatis/articles/napoleon.htm

3. 'Satanic Voices - Ancient and Modern' by David M. Pidcock, (1992 ISBN: 1-81012-03-1), it states on page 61, that the then official French Newspaper, Le Moniteur, carried the accounts of his conversion to Islam, in 1798 C.E

Itulah hasil dari membaca. Mengapa orang Islam takut sangat hendak membaca dan berfikir terbuka serta mengkaji isi Al-Qur’an? Bulan Ramadzan adalah bulan sejarah turunnya Al-Qur’an, bulan memotivasi penganutnya supaya terus menyelongkar isi A-Qur’an sepanjang masa. Bukan memusabaqah lagunya sahaja tanpa mengupas isinya, bagaikan mengupas pisang, cuma memakan kulitnya sahaja tetapi membung isinya? Cerdikkah mereka?

Jauh lagi dari cara berfikir anggota DPR tadi. Menjadi wakil rakyat Aceh negera Serambi Mekah, yang majoriti Islam dan mengamalkan cara hidup Islam tetapi memencilkan Al-Qur’an atau ilmu Islam kepada ‘hal peribadi sahaja’.

Besoknya keluar berita di akhbar..56 Caleg NAD Gagal Tes Baca Al-Quran’ Thursday, 11 September 2008 23:39. Lebih dari 56 calon anggota legislatif (caleg) DPR Aceh tidak lulus baca Al-Quran. Sebelumnya sudah 872 orang menjalani Komisi Independen Pemilihan (KIP) NAD.

Menurut Yarwin (Ketua kelompok kerja pencalonan KIP Provinsi NAD), para bakal caleg yang tidak lulus itu memang sama sekali tidak mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran, padahal penilaiannya sangat mudah, yakni hanya ketepatan membaca huruf dan baris, serta adab, yang masing-masing memiliki bobot (markah) nilai 40, 40 dan 20.

"Sebenarnya, sebelum membaca saja, para peserta sudah mendapat nilai 20, tinggal mencari 30 lagi dari ketepatan membaca huruf dan baris untuk mencapai nilai minimal 50 untuk bisa lulus. Tetapi itu pun ada yang tidak bisa," ujarnya.

Begitulah contoh, betapa teruknya kepimpinan di negara umat Islam. Bagaimana nak memimpin umat berpandukan AlQur’an sedang pemimpinnya sendiri langsung tak tahu membaca Al-Qur’an??

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, sekadar muhasabah diri imbasan Ramadzan menuju Hari Raya Aidil Fitri, moga sama-sama dapat manfaat. Selamat terus berpuasa. Wassalam.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September25, 08. KL.

Wednesday, September 24, 2008

Lailatulqadar Sebuah Kem Motivasi..

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“SESUNGGUHNYA
Kami telah turunkan (al-Quran) ini
pada malam Lailatul Qadar.”

(-Al-Quran Surah Al-Qadr: Ayat1.)

“Telah datang kepada kamu
Ramadzan bulan membawa berkat,
Allah menyelubungi kamu,
lalu ia menurunkan rahmat
serta menghapuskan kesalahan-kesalahan.
Allah SWT perkenankan doa pada bulan itu.
Allah juga melihat perlumbaan
antara kamu pada Ramadzan

dan menyampaikan kebanggaanNya
terhadap kamu pada malaikat.

Oleh itu
hendaklah kamu
buktikan kebaikanmu padaNya.
Sesungguhnya orang yang celaka itu
ialah orang yang dijauhkan
atau diharamkan oleh Allah
dari mendapat rahmatNya.”

(Hadis Riwayat Tabarani.)

Menurut pandangan Imam Ghazali, Lailatul Qadar ini boleh diketahui melalui..

*Jika awal Ramadzan pada Ahad atau Rabu, maka Lailatul Qadar pada malam 29 Ramadzan.
*Jika awal Ramadzan pada Isnin, Lailatul Qadar pada malam 21 Ramadzan.
*Jika awal Ramadzan pada Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar pada malam 27 Ramadzan.
* Jika awal Ramadzan pada Khamis, Lailatul Qadar pada malam 25 Ramadzan.
*Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka Lailatul Qadar pada 23 Ramadzan.

Selain tanda itu, malam ini juga boleh dikenali dengan beberapa tanda, iaitu..

*Malam itu langitnya kelihatan suci bersih. Bulan bercahaya segar dan terang benderang.
*Udaranya nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.
*Langit tidak diganggu bintang.
*Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.

Lailatul Qadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadzan. Ia juga malam perhubungan mutlaq antara bumi dan alam Al-Mala’ul-A’la. Pada malam itu juga diturunkan Al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah dalam surah Al-Qadr, ayat1 di atas. Mencari Lailatul Qadar adalah sunat hukumnya… Kerana menurut hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadzan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.

Banyak cerita-cerita dan riwayat yang dikatakan berlaku pada malam itu perlu kita selidiki mengenai sejauh mana ia bertepatan dengan Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Banyak pandangan-pandaangan sahabat dan ulama mengenainya, antaranya ialah seperti pandangan Imam Ghazali yang disebut di atas. Mengapa Allah SWT tidak tentukan dan tetapkan masa Lailatul Qadar supaya hambaNya itu tidak tercari-cari dan ternanti-nanti?

Antara rahsia dan hikmahnya, ialah supaya umat Islam terus mencari-cari dengan menggandakan amal ibadah sepanjang malam bulan Ramadzan. Lailatul Qadar bagaikan sebuah kem memotivasi diri, bagi membangkitkan semangat beribadat kepada Khalik dari makhlukNya. Menyemarakkan budaya ibadat menjelang Ramadzan.

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, sekadar muhasabah diri sebagai imbasan Ramadzan menuju Hari Raya Aidil Fitri, moga sama-sama dapat manfaat. Selamat terus berpuasa. Wassalam.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September23, 08. KL.

Imbasan Ramadzan: Di Mana Kesan Puasa Dalam Politik Kita?


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
FIRMAN Allah SWT bermaksud, ‘Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusu' dalam sembahyangnya'' (Al Mu'minuum: 1). Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda bermaksud “Ramai orang yang mendirikan sembahyang tetapi hasilnya ialah penat dan lelah sahaja''. (Riwayat: Ibn Majah). Manakala dalam ibadat puasa pula, Rasulullah telah memberi peringatan sabdanya bermaksud “Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga saja!''. (Riwayat: Ibn Majah dan Nasai).
Seperti juga ibadat sembahyang, berpuasa pun boleh tak dapat apa-apa. Cuma dapat lapar dan dahaga saja.. Oleh itu, agama menekankan dalam beribadat kepada Allah hendaklah hasil produk ibadat tersebut mempunyai kualiti yang tinggi. Bagaimana mendapatkan puasa yang berkualiti tinggi? Hendaklah ada cop kelulusan dari kerajaan Penciptanya, iaitu ‘memenuhi kehendak Allah’ di mana memberi pulangan lumayan atau pahala yang maksima, kerana ibadat puasa yang dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan.
Sebut saja bermutu tinggi, perlu diketahui bagaimana yang rendahnya? Ulama-ulama menyebutkan, puasa yang berkualiti rendah atau dhaif berlaku adalah kerana…
* Tidak memahami matlamat beribadat kepada Allah;
* Berpuasa sebagai mengambil kesempatan menjaga kesihatan semata-mata;
* Tidak berpegang teguh dengan disiplin puasa kerana ibadat-ibadat yang lain pun dibuat sambil lewa atau lepas batuk di tangga sahaja; dan
* Mempunyai iman yang lemah atau berjiwa kerdil kerana menganggap diri mereka sebagai orang awam sahaja.
Imam Ghazali pada zamannya telah membuat kajiselidik mengenai gred atau mertabat puasa yang diamalkan oleh umat Islam. Menurut beliau ada 3 gred..
* Puasa umum;
* Puasa khusus; dan
* Puasa istimewa.
Puasa Umum adalah merujuk kepada puasa yang dibuat semata-mata menahan makan, minum dan menjauhi hubungan seks di siang hari. Pengamal-pengamalnya kelihatan berpuasa tetapi tidak memperolehi pahala kerana mereka tidak memelihara adab-adab berpuasa yang lain. Cuma dapat lapar dan dahaga sahaja! Imam Ghazali menamakan ‘puasa umum’ kerana puasa gred ini mungkin kebanyakan dilakukan oleh umat Islam yang daif atau miskin iman.
Manakala Puasa Khusus, adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan hubungan seks di siang hari, tetapi juga menjaga adab tertib berpuasa dan menahan seluruh anggota pancaindera daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan atau merosakkan amalan puasa. Puasa khusus adalah amalan puasa orang-orang solih samada mereka itu orang awam atau alim ulama. Secara lebih luas sifat puasa khusus ialah:
* Menahan penglihatan atau mengelakkan pandangan yang boleh mengganggu dan melalaikan hati mengingati Allah dan merosakkan keimanan;
* Mengawal lidah daripada bercakap hal-hal keji dan sia-sia;
* Jauhkan diri dari mendengar perkara keji dan sia-sia;
* Menjauhi makanan syubahat dan haram ketika berbuka puasa;
* Mengelakkan banyak makan ketika berbuka supaya rezeki yang diperolehi itu tidak membazir; dan
* Malu kepada Allah kerana bimbangkan amalan puasa yang tidak dapat memenuhi harapan Allah atau tidak diterima Allah.
Akhirnya kita lihat puasa special atau Puasa Istimewa pula. Merujuk mengenai puasa yang bukan sahaja menahan lapar, hubungan seks siang hari dan menghindari segala pancaindera dari melakukan perkara haram seperti di atas… malah puasa gred ini menggembleng, mengarahkan penumpuan hati, fikiran, perasaan dan tingkah laku berpuasa hanya semata-mata untuk Allah, tanpa sedikit pun memikirkan hal-hal keduniaan. Puasa istimewa ini adalah menjadi amalan para rasul dan nabi-nabi, juga merupakan martabat puasa paling tinggi di sisi Allah. Oleh itu, jangan kita jadi manusia yang tidak berjiwa besar, kerana meng’gred’kan diri kita kepada ‘puasa umum’ sahaja.
Kesimpulannya, program bulan Ramadan merupakan agenda latihan tahunan Allah SWT untuk membersihkan jiwa dan melatih umat Islam dengan harapan pengajaran puasa akan menjadi budaya atau gaya hidup sihat, zahir dan batin… bahkan menjadi amalan sepanjang masa. Program Ramadzan perlu diterjamahkan dalam menghidupi gaya hidup Islam secara keseluruhannya, seperti firman Allah SWT berfirman bermaksud..
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah syaitan.'' (Al-Baqarah: 208).
Mengapa hanya sanggup tahan lapar dahaga ikut sebahagian cara hidup Islam.. sedangkan ada lagi arahan lebih besar, melaksanakan politik, kekhalifahan dan negara Islam untuk menyelamatkan manusia sejagat tidak dipedulikan?
Itulah imbasan sepanjang Ramadzan yang kita lalui. Ya, marilah kita melihat dan menilai diri kita, di tahap mana puasa kita? Apakah kita berpuasa atau ber’puas’an. Kalau kita lulus ujian, gred berapa yang kita dapat? Sejauh mana peranan kita dalam usaha menegakkan hukum dan kerajaan Islam di muka bumi sebagai lanjutan dari kesan berpuasa? Mahukah puasa kita tiada kesan??
Begitulah catatan santai untuk kali ini, as-salamu ‘alaikum?.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September24, 08. KL.

Tuesday, September 23, 2008

KL/Sel Perlu Adakan Teksi, Bas & Cabin LRT Untuk Wanita.


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


“TERUK sungguh, dah le naik LRT berebut-rebut, dalamnya penuh sesak. Campur-baur lelaki perempuan. Bau pun macam-maam. Tu takpe lagi… Yang tak tahan aku, bila nampak aurat perempuan. Terbonjol sana, terbonjol sini. Ish! Ish! Ish! Tambah lagi di bulan puasa ni. Bertaburan pahala puasa aku!” Rungut seorang pemuda yang baru pulang dari kerja, naik LRT. “Kalaulah aku ini bukan orang baik, tentu….”

“Hee, rasa nak menjerit. Aku dihimpit dalam LRT tadi oleh seorang lelaki besar Benggali. Nak buat macam mana terpaksa berdiri rapat-rapat. Terhimpit-himpit! Rasa panas badan aku, terkena sesuatu dari tubuhnya…” Rungut seorang wanita muda.

Teringat saya pula kepada kajian dan kenyataan Grup Universiti Ulu Klang, kira-kira sebulan sebelum PRU 12 (28 Januari 2008) telah merumuskan antara negeri-negeri yang mampu ditawan pembangkang dalam PRU ke 12 waktu itu, ialah Pulau Pinang. Antara sebab-sebabnya, menurut grup tersebut ialah…

Pertama: Dalam tinjauan awal kami kepada ketua-ketua masyarakat orang Cina di PP (Pulau Pinang), didapati mereka mula ‘beralih angin’ kepada pembangkang. Mereka akan tolak BN antaranya, atas 2 sebab.

Satu… Mereka sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan BN mampu menaikkan balik ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Mereka risau perniagaan mereka yang mulai mulai merosot akan terus menjunam. Hal ini mungkin melibatkan cara hidup mereka berubah kepada merudum.
Dua… Seperti yang dibangkitkan oleh YB Hamdan Abdul Rahman ADUN Permatang Pasir dalam pembahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2008 (pada 19.11.2007) , kata beliau

Perangkaan jenayah yang disebutkan itu (disenaraikan mengikut tahun bagi negeri PP) 'adalah amat membimbangkan sekali’ … kes-kes itu termasuklah kes bunuh, kes cabul kehormatan, kes samun senjata api, kes curi, kes curi motosikal, kes pecah rumah, kes ragut dan lain-lain …meliputi semua daerah dalam negeri kita P.Pinang ini.’ Ketakutan yang meruncing ini, termasuk penculikan kanak-kanak yang tak mampu diselesai oleh kerajaan menyebabkan rakyat akan menolak BN.” (Sekarang dah pun ditolak di Pulau Pinang).

Adakah hal seperti disebutkan itu boleh membawa kepada ‘… kes cabul kehormatan, …kes ragut dan lain-lain’ ? Jawapan saya ialah, Ya! Bagaimana mengatasinya? Cuba lihat berita ini yang saya saring dari www.shahabudeenjalil.com.

“…setiap hari lebih 10 wanita yang diserang atau dirompak di dalam teksi tidak berlesen di London. Menyedari hakikat ini, sebuah syarikat "Pink Ladies" mengilhamkan idea untuk mengadakan 'teksi dari wanita untuk wanita'. Teksi ini diwarnakan dengan warna merah jambu dari dalam hingga luar. Penumpang teksi ini perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri sebagai ahli dalam komuniti "Pink Ladies" .

Tempahan dibuat melalui telefon dan sms akan dihantar kepada penumpang ketika teksi ini menghampiri lokasi pick-up. Ini adalah supaya penumpang wanita tidak perlu menunggu diluar pejabat. Selain itu, pemandu teksi ini dilatih dengan ilmu mempertahankan diri yang lengkap dan pemandu ini akan menanti di hadapan rumah penumpang sehingga penumpang itu selamat berada di dalam rumah.

Memastikan keselamatan penumpang wanita yang menaiki teksi ini, itulah tujuan wujudnya teksi ini. Untuk pengetahuan pembaca, teksi ini juga semakin berkembang di negara-negara lain. Setakat ini terdapat konsep seperti ini di Dubai, Rusia, Iran dan India. Anda boleh melayari website syarikat ini di http://www.pinkladiesmembers.co.uk/

Rusia (http://www.ladiesredtaxi.ru/)

Di Mexico City, lain pula ceritanya. Tidak ramai disini yang mampu menaiki teksi. Oleh yang demikian, syarikat bas dan metro (LRT) menyediakan bas khas atau cabin khas untuk wanita di waktu puncak. Ini disebabkan terdapat banyak aduan mengenai gangguan seksual yang diterima wanita sejak kebelakangan ini di bandar itu. website syarikat bas ini : http://www.rtp.gob.mx/

Dengan itu saya panjangkan saranan www.shahabudeen.com tersebut “Mungkin kita perlu memikirkan idea ini untuk dilaksanakan di negara kita. Tidak ada ruginya jika kita menghargai dan menjaga kehormatan wanita kita. Anggaplah semua wanita adalah ibu, kakak dan adik kita.

Kesimpulan

1..Sebagai menghormati kaum wanita, perlu dihidupi atau dirangka semula cadangan ‘satu laluan dan kaunter pembayaran asing disediakan di pasaraya-pasaraya khas untuk perempuan’ yang pernah dicadangkan di Malaysia suatu masa dulu.

2..Perlu dikembangkan cadangan tersebut kepada keperluan diadakan perkhidmatan teksi, bas dan cabin LRT untuk wanita.

3..Kalau Kerajaan Pusat tak mahu buat, maka kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat boleh mulakan, terutamanya di Selangor.

4..Jabatan-jabatan agama perlu sedar, hal ini juga termasuk dalam lingkungan tugas mereka ‘suruh kebaikan cegah mungkar’ yang akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.

5..Jabatan-jabatan, NGO-NGO atau badan yang membela wanita perlu sokong dan membantu cita-cita murni ini.

Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, as-salamu ‘alaikum?


Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September23, 08. KL.

Monday, September 22, 2008

Catatan Perjalanan Ibnu Batutah..



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
SEORANG penulis agak terkenal hantar e-mail pada saya, antara kata-katanya. “Saya tertarik dengan tulisan anda, terutama dalam catatan perjalanan. Sebuah rakaman perjalanan yang agak lain dari yang lain.. ada roh Islam! Bagaimana kalau saya gelar anda Ibnu Batutah Malaysia??”
“Oh, jangan. Tak layak belalang dipanggil helang.” Saya jawab.
“Mengapa?” Dia tanya balik. Saya belum jawab lagi.
Mari kita lihat siapa Ibnu Batutah? Beliau adalah seorang pengembara yang hebat.. Lahir di Tangier 17 Rajab 703 H/ 25 Februari 1304. Nama lengkapnya ialah Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim At-Tanji, bergelar Syamsuddin bin Battutah. Sejak kecil, Ibnu Batutah dibesarkan dalam keluarga Islam yang taat beragama. Ibnu Batutah begitu tertarik untuk mendalami ilmu-ilmu fikih, sastera dan syair Arab. Semasa remajanya, ketika itu dunia Islam terpecah-pecah kepada beberapa kerajaan dan dinasti.
Namun beliau sempat mengalami zaman kejayaan Bani Marrin yang berkuasa di Moroko pada abad ke-13 dan 14 M. Latar belakang Ibnu Batutah begitu jauh berbeza bila dibandingkan Marco Polo seorang peniaga dan Columbus yang juga pengembara. Di samping memiliki sifat-sifat begitu, Ibnu Batutah juga adalah seorang teologis, sasterawan puisi dan cendekiawan, serta humanis, ertinya melebihi kehebatan dua sejarawan tadi. Dikatakan juga hasil pencapaian Ibnu Batutah yang luar biasa itu, konon telah dirampas dan disembunyikan Kerajaan Perancis semasa menjajah benua Afrika dulu.
Kehebatan Ibnu Batutah hanya dapat dibandingkan dengan pelancong terkemuka Eropah, Marcopolo (1254 M -1324 M)..” Demikian ujar sejarawan Brockelmann mengagumi ketangguhan pengembara Muslim itu.
Aku tinggalkan Tangier, kampung halamanku, pada Khamis 2 Rajab 725 H/ 14 Jun 1325 M. Saat itu usiaku baru 21 tahun empat bulan. Tujuanku adalah menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci di Makkah dan berziarah ke makam Rasulullah SAW di Madinah.’ Antara tulisan dalam buku catatannya ‘Rihlah’.
Di situlah mulanya detik perjalanan beliau.
Selama hampir 30 tahun, dia telah mengunjungi tiga benua mulai dari Afrika Utara, Afrika Barat, Eropah Selatan, Eropah Timur, Timur Tengah, India, Asia Tengah, Asia Tenggara, dan Cina. Perjalanan panjang dan pengembaraannya mengelilingi dunia itu mencapai 73 ribu mil atau sejauh 117 ribu kilometer. Tak heran, bila kehebatannya mampu melampaui sejumlah penjelajah Eropah yang diagung-agungkan Barat seperti Christopher Columbus, Vasco de Gama, dan Magellan yang mulai berlayar 125 tahun setelah Ibnu Batutah.
Sejarawan Barat, George Sarton, mencatat jarak perjalanan yang ditempuh Ibnu Batutah melebihi pencapaian Marco Polo. Tak heran, bila Sarton geleng-geleng kepala dan mengkagumi ketangguhan seorang Ibnu Batutah yang mampu mengarungi lautan dan menjelajahi daratan sepanjang 73 ribu mil itu. Sebuah pencapaian yang tak ada duanya di masa itu.’ Lihat Republika oleh Heri Ruslan ‘Ibnu Batutah, Kisah Sang Pengembara’ yang disiarkan semula web. www.Kebun Hikmah.Com. Khamis, Mei15 2008.
Panjang ceritanya. Ringkasnya, mari kita lihat bagaimana beliau membuat liputan ketika terdampar di Samudera Pasai Asia Tenggara, semasa kerajaan Islam pertama di Nusantara pada abad ke-13M, iaitu di bumi Aceh Serambi Mekah selama 15 hari pada tahun 1345.
Ibnu Batutah melukiskan Samudera Pasai dengan begitu indah… Negeri yang hijau dengan kota pelabuhannya yang besar dan indah.
Beliau disambut oleh pemimpin Daulasah, Qadi Syarif Amir Sayyir al-Syirazi, Tajudin al-Ashbahani dan ahli fiqih kesultanan. Menurut Ibnu Batutah, masa itu Samudera Pasai telah menjelma sebagai pusat studi Islam di Asia Tenggara.
Sultan Mahmud Malik Al-Zahir adalah seorang pemimpin yang sangat mengkedepankan hukum Islam. Peribadinya sangat rendah hati. Ia berangkat ke masjid untuk sholat Jumaat dengan berjalan kaki. Selesai sholat, sultan dan rombongan biasa berkeliling kota untuk melihat keadaan rakyatnya.” Cerita beliau.
Menurut Ibnu Batutah, penguasa Samudera Pasai itu memiliki ghirah belajar yang tinggi untuk menuntut ilmu-ilmu Islam kepada ulama. Dia juga mencatat, pusat studi Islam yang dibangun di lingkungan kerajaan menjadi tempat diskusi antara ulama dan elit kerajaan. Selama berpetualang mengelilingi dunia dan menjejakkan kakinya di 44 negara, dalam kitab yang berjudul ‘Tuhfat al-Nazhar’, Ibnu Batutah telah bertemu dengan tujuh raja yang memiliki kelebihan yang luar biasa.
Ketujuh raja yang dikagumi Ibnu Battuta itu antara lain..
i...Raja Iraq yang dinilainya berbudi bahasa;
ii..Raja Hindustani yang disebutnya sangat ramah;
iii.Raja Yaman yang dianggapnya berakhlak mulia;
iv.Raja Turki dikaguminya kerana gagah perkasa;
v..Raja Romawi yang sangat pemaaf;
vi.Raja Melayu Malik Al-Zahir yang dinilainya berilmu pengetahuan luas dan mendalam.
vii.Raja Turkistan.
Beliau mengakhiri catitan perjalanannya dengan sebuah kalimat, ''Akhirnya aku sampai juga di kota Fez (Moroko).'' Di situ dia menuliskan hasil pengembaraannya, dan meninggal dunia di Maroko pada pada tahun 1377 M. Ibnu Batutah telah memberitahu bahawa pada abad pertengahan, peradaban telah tumbuh dan berkembang di bumi Nusantara, sejajar dengan raja-raja lain di dunia.
Di situlah antara rahsia yang tersirat di sebalik banyak ayat-ayat Al-Quran memerintah umatnya mengembara dan menjelajah mukabumi seperti Ibnu Batutah itu. Antaranya Surah Ar-Rum: ayat 9, An-Nahl: Ayat 36 dan banyak lagi.
Kesimpulannya, pada saya tidaklah layak nama Ibnu Hasyim nak disejajarkan dengan Ibnu Batutah seperti yang dijelaskan awal-awal tadi. Belalang takkan boleh jadi helang… walaupun sama-sama bunyi akhirnya ‘lang’. Atau nama awalnya sama-sama 'Ibnu'.
Begitulah kira-kira catatan santai untuk kali ini, as-salamu ‘alaikum.
Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September22, 08. KL.

Sunday, September 21, 2008

Zakat Fitrah Orang Kaya Sepatutnya RM13.50 Seorang.

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

SESEORANG menelefon saya, bertanyakan tentang ‘satu gantang Baghdad’. “Satu gantang Baghdad berapa kilogram? Saya nak bayar dengan nilai apa yang saya makan. Barulah sempurna zakat-fitrah saya!” Katanya.

Memang menurut hadith Nabi, Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasullullah telah memfardhukan zakat fitrah yang wajib dibayar ialah satu sha, iaitu satu gantang Baghdad. Teringat saya kepada seorang rakan saya, Ustaz Muhammd Addullah yang sering berceramah agama dan motivasi di tv. Selama lima tahun, beliau terlibat dengan kajian penetapan kadar fitrah di beberapa negeri di Malaysia.

Saya cari blog beliau yang baru dibuka. www.ustazamin.com. Rupanya terdapat maklumat apa yang saya cari itu. Menurut beliau…

"Ada dua isu di dalam menentukan kadar zakat fitrah. Pertama, satu gantang Baghdad itu berapa kilogram. Yang kedua ialah, setelah kita dapat tahu, ia mesti dinilaikan dengan apa yang biasa kita makan.

Gantang ini berada di dalam simpanan al-Marhum Tuan Guru Abdullah Tahir Bunut Payung. Ketika Tuan Guru meninggal dunia, warisnya menyerahkan gantang ini kepada Majlis Agama.


Isu pertama, para ulamak berselisih pendapat berapa kilogramkah satu gantang Baghdad ini. Ini kerana gantang Baghdad adalah alat untuk menyukat bukan untuk menimbang. Jika satu gantang ini kita isi dengan tamar ia lebih ringan dari diisi dengan beras. Perselisihan ini bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Mesir mengatakan satu gantang Baghdad ialah 2.5 kg, Iran mengatakan 1.75. Di Malaysia pada tahun 2000, Selangor, Terengganu, Perak mengatakan 2.27 kg. Kelantan mengatakan 2.56 kg, Kedah mengatakan 3.063 kg.

Di Malaysia, tidak ada negeri yang menyimpan gantang Baghdad kecuali negeri Kelantan. Ini kerana tuan-tuan guru pondok yang ada di sekitar Kelantan ada menyimpan gantang ini. Untuk menyelaraskan timbangan ini, JAKIM melalui keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Mac 2002 telah mencadangkan kepada negeri di Malaysia satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7 kg. Sejak dari itu ada negeri yang menggunakan cadangan JAKIM ini.

Isu kedua, setelah kita menetapkan kadar satu gantang Baghdad ini, ia perlulah ditimbang dengan beras yang biasa kita makan. Contohnya, jika kita makan beras yang berharga sekilo RM 2.00, di darabkan dengan 2.7 kg dapatlah harga fitrah kita RM 5.40. Jika kita makan beras yang berharga RM 5.00, jadilah bayaran fitrah kita RM 13.50."

Demikian yang tertulis dalam blog beliau. Jadi, setiap orang tidak sama berapakah kadar fitrah mereka. Walaupun setiap negeri ada mencadangkan kadar fitrah untuk negerinya, tetapi menurut Ustaz Muhammad lagi..

Pada saya setiap dari kita hendaklah mengiranya sendiri. Ini kerana setiap orang tidak akan sama apa yang dia makan sedangkan Nabi memerintahkan ia hendaklah dibayar dengan perkara yang biasa kita makan. Orang bandar sudah tentu makan beras yang lebih baik jika dibandingkan dengan orang di luar bandar. Itu tidak termasuk kemampuan kita yang selalu makan di luar dan sebagainya.

Untuk itu, bayarlah fitrah kita dengan tepat. Darabkan 2.7 kg dengan beras yang biasa kita makan. Bagaimanakah cara ingin membayar lebih? Antara yang dicadangkan ialah lebihkan bilangan. Sebagai contoh, kalau tanggungan kita seramai 4 orang, kita bayarlah untuk 6 orang.”

Itu pandangan Ustaz Muhammad. Pada saya tak perlu begitu! Kalau di Selangor nampaknya kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat, kena selesaikan. Begitu juga di negeri-negeri lain. Bukan itu sahaja, bahkan ke mana wang zakat itu (termasuk zakat fitrah & zakat harta) diagihkan tiap tahun, perlu dijelaskan kepada rakyat. Berapa jumlahnya wang itu sampai kepada orang miskin, dan golongan mana yang menerimanya? Berapa peratuskan yang digunakan untuk amil, pengurusan, buat bangunan kalau ada.

Apakah ada baki tertunggak wang itu yang tidak digunakan setiap tahun dan tidak berikan kapada yang wajib menerimanya? Apakah hak orang miskin itu juga diselewengkan atau dirampas? Teluskah pengagihan mereka?

Inilah jawapan kepada yang bertanya tadi. Jawapan melalui catatan santai untuk kali ini, sekian. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September21, 08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails