Sunday, September 21, 2008

Zakat Fitrah Orang Kaya Sepatutnya RM13.50 Seorang.

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

SESEORANG menelefon saya, bertanyakan tentang ‘satu gantang Baghdad’. “Satu gantang Baghdad berapa kilogram? Saya nak bayar dengan nilai apa yang saya makan. Barulah sempurna zakat-fitrah saya!” Katanya.

Memang menurut hadith Nabi, Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasullullah telah memfardhukan zakat fitrah yang wajib dibayar ialah satu sha, iaitu satu gantang Baghdad. Teringat saya kepada seorang rakan saya, Ustaz Muhammd Addullah yang sering berceramah agama dan motivasi di tv. Selama lima tahun, beliau terlibat dengan kajian penetapan kadar fitrah di beberapa negeri di Malaysia.

Saya cari blog beliau yang baru dibuka. www.ustazamin.com. Rupanya terdapat maklumat apa yang saya cari itu. Menurut beliau…

"Ada dua isu di dalam menentukan kadar zakat fitrah. Pertama, satu gantang Baghdad itu berapa kilogram. Yang kedua ialah, setelah kita dapat tahu, ia mesti dinilaikan dengan apa yang biasa kita makan.

Gantang ini berada di dalam simpanan al-Marhum Tuan Guru Abdullah Tahir Bunut Payung. Ketika Tuan Guru meninggal dunia, warisnya menyerahkan gantang ini kepada Majlis Agama.


Isu pertama, para ulamak berselisih pendapat berapa kilogramkah satu gantang Baghdad ini. Ini kerana gantang Baghdad adalah alat untuk menyukat bukan untuk menimbang. Jika satu gantang ini kita isi dengan tamar ia lebih ringan dari diisi dengan beras. Perselisihan ini bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Mesir mengatakan satu gantang Baghdad ialah 2.5 kg, Iran mengatakan 1.75. Di Malaysia pada tahun 2000, Selangor, Terengganu, Perak mengatakan 2.27 kg. Kelantan mengatakan 2.56 kg, Kedah mengatakan 3.063 kg.

Di Malaysia, tidak ada negeri yang menyimpan gantang Baghdad kecuali negeri Kelantan. Ini kerana tuan-tuan guru pondok yang ada di sekitar Kelantan ada menyimpan gantang ini. Untuk menyelaraskan timbangan ini, JAKIM melalui keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Mac 2002 telah mencadangkan kepada negeri di Malaysia satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7 kg. Sejak dari itu ada negeri yang menggunakan cadangan JAKIM ini.

Isu kedua, setelah kita menetapkan kadar satu gantang Baghdad ini, ia perlulah ditimbang dengan beras yang biasa kita makan. Contohnya, jika kita makan beras yang berharga sekilo RM 2.00, di darabkan dengan 2.7 kg dapatlah harga fitrah kita RM 5.40. Jika kita makan beras yang berharga RM 5.00, jadilah bayaran fitrah kita RM 13.50."

Demikian yang tertulis dalam blog beliau. Jadi, setiap orang tidak sama berapakah kadar fitrah mereka. Walaupun setiap negeri ada mencadangkan kadar fitrah untuk negerinya, tetapi menurut Ustaz Muhammad lagi..

Pada saya setiap dari kita hendaklah mengiranya sendiri. Ini kerana setiap orang tidak akan sama apa yang dia makan sedangkan Nabi memerintahkan ia hendaklah dibayar dengan perkara yang biasa kita makan. Orang bandar sudah tentu makan beras yang lebih baik jika dibandingkan dengan orang di luar bandar. Itu tidak termasuk kemampuan kita yang selalu makan di luar dan sebagainya.

Untuk itu, bayarlah fitrah kita dengan tepat. Darabkan 2.7 kg dengan beras yang biasa kita makan. Bagaimanakah cara ingin membayar lebih? Antara yang dicadangkan ialah lebihkan bilangan. Sebagai contoh, kalau tanggungan kita seramai 4 orang, kita bayarlah untuk 6 orang.”

Itu pandangan Ustaz Muhammad. Pada saya tak perlu begitu! Kalau di Selangor nampaknya kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat, kena selesaikan. Begitu juga di negeri-negeri lain. Bukan itu sahaja, bahkan ke mana wang zakat itu (termasuk zakat fitrah & zakat harta) diagihkan tiap tahun, perlu dijelaskan kepada rakyat. Berapa jumlahnya wang itu sampai kepada orang miskin, dan golongan mana yang menerimanya? Berapa peratuskan yang digunakan untuk amil, pengurusan, buat bangunan kalau ada.

Apakah ada baki tertunggak wang itu yang tidak digunakan setiap tahun dan tidak berikan kapada yang wajib menerimanya? Apakah hak orang miskin itu juga diselewengkan atau dirampas? Teluskah pengagihan mereka?

Inilah jawapan kepada yang bertanya tadi. Jawapan melalui catatan santai untuk kali ini, sekian. Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
September21, 08. KL.

4 comments:

sesumpah@pokka.com said...

assalamualaikum tuan...

maaf kerana lari dari tajuk posting..
diharap dapatlah tuan mengulas berkenaan dakwaan Dato Shahrir yang dia telah dihubungi oleh seorang pemimpin PAS yg memujuknya agar menyertai pelompat MP BN ke pakatan..

wassalam...

Fadhil said...

Salam Sdra Ibnu Hasyim,

Mohon kebenaran untuk saya link artikel yg menarik ini dengan posting di blog saya.

Terima kasih.

Chahya said...

Salam.
Setuju dgn pendapat anda.
Tq for the informative post on zakat.

acanov said...

Saya kurang setuju statement tuan mengenai "orang bandar sudah tentu makan beras lebih mahal dari orang kampung". Sebenarnya ikut selera dan kemampuan masing-masing. Ada orang kampung yang memiliki bendang luas dan hanya memakan beras yang mahal. Ada orang bandar yang hidup ala kadar, memilih untuk membeli beras jenis hancur saja.
Wallahualm.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails