Saturday, March 27, 2021

PN sedia tanding semua kerusi - Muhyiddin

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Datuk Azmir Merican (kiri) dan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh di Bandar Universiti Pagoh, Muar, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

MUAR: Perikatan Nasional (PN) sedia bertanding di semua kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika UMNO terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi.

Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau juga tidak kisah sama ada akan berlaku pertembungan banyak penjuru di kerusi berkenaan kerana ia adalah soal politik.

Beliau juga menegaskan tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 nanti.

"Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen, jika menang bentuk kerajaan, tidak mengapalah.

"Namun, kalau UMNO mahu ambil semua, saya (PN) pun hendak ambil (tanding) semua. Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh sebab ini politik.

"Bukan tak penting isu kerusi, penting (kerana) kalau tiada kerusi tidak dapat tubuh kerajaan tetapi saya tidak mahu jadi sombong, nanti rakyat marah.

"Saya faham dengan kenyataan pemimpin UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana saya juga pernah ada di situ suatu masa dahulu.

"Kita sebagai ahli politik seharusnya mendahulukan kepentingan rakyat termasuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat pandemik COVID-19, menyelesaikan pemberian vaksin dan mengukuhkan ekonomi rakyat, berbanding isu lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Muhyiddin diminta mengulas laporan mengenai UMNO tidak akan mengalah di mana-mana kerusi parti itu pada PRU-15.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan ia tidak akan sesekali dilepaskan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, menegaskan beliau tidak mahu berdebat dan berbincang soal pembahagian kerusi secara terbuka, sebaliknya akan memberi keutamaan kepada hal rakyat terutama soal keperluan asas dan ekonomi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama selepas menyaksikan sesi menandatangani Surat Minat oleh pelabur-pelabur pada Majlis Pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, di Muar, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas, sebahagian kehidupan saya adalah bergelumang dalam politik, saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja, namun itu saya elakkan buat masa ini.

"Saya nak elak begitu bukan saya takut, tetapi kerana rakyat resah, hidup susah nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut. Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan.

"Soal pertama menguruskan masalah COVID-19, soal kedua pula pemberian vaksinasi yang cukup penting dalam menentukan rakyat selamat dan sihat. Seterusnya soal ketiga pula ekonomi," katanya.

M

Undi18: Polimek 3 Sebab Pendirian Presiden PAS dikritik teruk.. -

 

Undi18: Pendirian konsisten, sokongan dahulu bersyarat

SUKAR difahami mengapa para pemimpin kerajaan, khususnya Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dikritik teruk dalam media sosial semata-mata kerana beliau:

(1) Menyatakan persetujuan dengan penangguhan pelaksanaan Undi18.

(2) Menyatakan ‘jangan undi 18 tahun sahaja, mestilah ada kematangan’.

(3) Menyatakan ‘kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang’.

Dibangkitkan kononnya kenyataan Presiden PAS ini, serta kenyataan pemimpin kerajaan lain, adalah bertentangan dengan sokongan sebulat suara yang diberikan oleh 18 Ahli Parlimen, serta Ahli-ahli Parlimen lain, sewaktu Usul Undi18 dibahaskan di Parlimen.

Sedangkan hakikat sebenarnya ialah kenyataan Presiden PAS ini tidak pun bercanggah dengan pendirian 18 Ahli Parlimen PAS sewaktu Usul Undi18 dibahaskan di Parlimen.

Bila kita menyemak Penyata Rasmi Parlimen pada 16 Julai 2019 dahulu maka akan didapati bahawa sokongan 18 Ahli Parlimen PAS kepada Undi18 adalah sokongan bersyarat. Buktinya boleh dilihat di dalam butiran perbahasan 4 Ahli Parlimen PAS berikut:

(1) Butiran perbahasan Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man, yang berbunyi: ‘Bagi saya ialah yang penting kita setuju untuk meluluskan pindaan ini tetapi pendidikan politik lebih penting daripada pendaftaran automatik.’

(2) Butiran perbahasan Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin bin Hassan, yang berbunyi: ‘Kerajaan perlu mewujudkan satu silibus berhubung dengan pendidikan politik dan demokrasi supaya rakyat Malaysia yang kita beri peluang, umur semuda 18 tahun untuk menjadi pengundi, mereka memahami peranan dan tanggungjawab serta amanah yang mereka pikul sebagai rakyat Malaysia di dalam negara ini dalam konteks pilihan raya dan juga pemilihan pemimpin di dalam negara kita ini.’

(3) Butiran perbahasan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali, yang berbunyi: ‘Di kala kita berikan hak pada semua orang untuk mengundi tetapi akan ada orang yang tidak pandai untuk membuat pilihan, tidak reti untuk membuat pilihan yang betul, menyebabkan akhirnya negara boleh saja tergadai disebabkan cara salah pilih, maka menjadi tanggungjawab kita di sini sebagai kerajaan terutamanya untuk memastikan rakyat membuat pilihan yang tepat.’

(4) Butiran perbahasan Ketua Dewan Ulamak PAS yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh, yang berbunyi: ‘Suka saya sarankan kepada pihak kerajaan supaya mewujudkan satu kurikulum di peringkat sekolah-sekolah Menengah supaya mereka dapat menilai parti-parti politik yang ada di dalam negara kita pada aspek dasar yang diperjuangkan supaya apabila tibanya hari pilihan raya, sama ada mereka hendak bertanding ataupun mereka hendak memberi undi kepada mana-mana parti, mereka memberi undi kepada dasar yang dibawa oleh parti bukan disebabkan mereka dibeli ataupun bukan disebabkan oleh faktor-faktor yang lain.’

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Dungun, Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli, yang menyatakan di dalam sidang Parlimen pada 10 Oktober 2019 bahawa ‘Umur yang telah diluluskan ini adalah sangat munasabah, cuma perlu kepada persediaan kepada sistem pendidikan Malaysia yang melibatkan Pendidikan Sivik dan Pendidikan Pengundi di bawah Kementerian Pendidikan supaya pengundi di kalangan belia 18 tahun ini mempunyai persediaan yang cukup dalam proses pilihan raya negara yang menentukan hala tuju dan dasar negara pada masa yang akan datang.’

Malah, sokongan bersyarat kepada Undi18 ini sebenarnya bukan sahaja dinyatakan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS tetapi juga oleh Ahli-ahli Parlimen Umno.

Buktinya boleh dilihat di dalam butiran perbahasan 3 Ahli Parlimen Umno berikut:

(1) Butiran perbahasan Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bera merangkap Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, yang berbunyi: ‘Saya mencadangkan supaya pendidikan politik dan demokrasi harus diberikan penekanan di peringkat sekolah supaya kita boleh menyedarkan mereka mengenai hak mereka, apakah peranan Parlimen di Malaysia, apakah Raja Berperlembagaan dan sebagainya. Ini supaya mereka faham mengenai sistem demokrasi kita… Oleh sebab itulah saya setuju dengan Yang Berhormat Ketereh tadi bahawa kurangnya pengetahuan inilah yang menyebabkan mereka terpengaruh dengan janji-janji. Sedangkan orang dewasa pun, dengan manifesto yang begitu cantik, dengan janji yang begitu manis akhirnya terpengaruh, inikan pula yang berumur 18 tahun ke atas kalau kurangnya pengetahuan yang mendalam mengenai demokrasi dan sebagainya. Jadi sebab itulah saya harap ia dapat didedahkan lebih awal sistem pendidikan demokrasi, peranan negara, demokrasi dan sebagainya perlu didedahkan lebih awal… Negara Australia, New Zealand, Kanada, India, Thailand malah Indonesia pun sudah menerapkan pendidikan politik melalui subjek tertentu kepada semua aliran sekolah Menengah dan pengajian tinggi.”

(2) Butiran perbahasan seorang lagi Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, yang berbunyi: ‘Yang pertama sekali saya hendak sentuh berkaitan dengan pengundi 18 tahun ini ialah yang berkaitan dengan pengetahuan ataupun ilmu kepada anak-anak muda. Dalam konteks ini, kita hendaklah disebut meningkatkan kesedaran politik di kalangan pelajar di sekolah, di kolej dan di universiti. Meningkatkan kesedaran ini merupakan satu program yang boleh sama ada dimasukkan dalam kokurikulum sejarah ataupun kokurikulum sivik berkaitan dengan kefahaman apakah yang disebut sebagai negara demokrasi dan juga pilihan raya yang diadakan pada setiap lima tahun.’

(3) Butiran perbahasan Ketua Wanita Umno yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Dr Noraini Ahmad, yang berbunyi: ‘Pengundi ini perlu diberi pengetahuan. Jadi, saya nak minta supaya kerajaan mungkin boleh mengkaji satu mekanisme yang diguna oleh Jerman melalui penubuhan Federal Agency for Civil Education yang mana badan ini adalah satu badan bebas dan ia memberikan satu pendidikan aspek politik dan demokrasi. Bila badan bebas ini boleh ditubuhkan, secara tidak langsungnya ia boleh merangka, menyelaras apa juga aktiviti pendidikan politik kepada rakyat.’

Disebabkan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli-ahli Parlimen Umno ini, maka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sewaktu Menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini, telah menyebut bahawa:

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun 2017.

(2) SPR juga telah memperkenalkan Program APR Associate Trainer atau lebih dikenali dengan nama AAT untuk melatih lebih ramai penceramah dan jurulatih yang mampu untuk bersama-sama dengan APR bagi menyampaikan maklumat mengenai proses pilihan raya di Malaysia dan memberikan kesedaran untuk mendaftar sebagai pemilih kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan masyarakat umum di seluruh negara.

(3) APR juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi pelaksanaan Program APR Associate Trainer (AAT) dan Program Sekolah Rukun Negara yang bertujuan untuk menyebarluas maklumat mengenai pilihan raya dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara dalam sebuah negara demokrasi.

(4) SPR memerlukan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan jumlah golongan sasar yang dapat menerima pendidikan demokrasi dan pilihan raya, khususnya dengan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, media dan masyarakat sivil, bagi merealisasikan hasrat ini.

Lanjutan daripadanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan media beliau pada 3 September 2019, menyebut betapa:

(1) Satu pendekatan pendidikan pengundi yang menyeluruh perlu dilaksanakan secara berkesan.

(2) SPR, melalui Akademi Pilihan Raya (APR), telah bersetuju dan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan pengundi di sekolah-sekolah Menengah dengan serta merta.

Dalam satu lagi kenyataan media beliau pada 10 Oktober 2019, Pengerusi SPR menyebut betapa:

(1) Program Pendidikan Pengundi dan Program APR Associate Trainer (AAT) yang bertujuan untuk memberikan kesedaran dan kefahaman mengenai proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah akan dilaksanakan.

(2) SPR telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran, iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah Menengah.

Begitupun, selepas tarikh ini, seperti yang kita semua ketahui, pandemik COVID-19 melanda negara sehingga sekarang, perubahan kerajaan berlaku dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional dan Pengerusi SPR bertukar dari Tan Sri Azhar Azizan Harun ke Datuk Abdul Ghani Salleh, dan tiada sebarang makluman mengenai pendidikan pengundi ini.

Oleh itu, berdasarkan kepada fakta-fakta yang dinyatakan ini, selain daripada pelbagai permasalahan teknikal lain yang belum mampu diselesaikan, maka sudah sewajarnyalah penangguhan pelaksanaan Undi18 ini diterima dengan baik oleh semua pihak.

Perlulah dipastikan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli-ahli Parlimen Umno ini dipenuhi serta bahawa modul pendidikan pengundi dan modul pendidikan sivik ini dilaksanakan dahulu sebelum Undi18 dilaksanakan.

Seperti yang ditegaskan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli-ahli Parlimen Umno ini, memberi hak mengundi kepada golongan yang berumur 18 tahun tanpa memberikan pendidikan yang betul kepada mereka boleh sahaja menyebabkan negara tergadai.

Kepada para pengkritik, berfikirlah panjang-panjang dahulu sebelum mengkritik, dan janganlah hanya mengkritik untuk sekadar mencari keuntungan politik segera serta untuk menanamkan kebencian dan membangkitkan kemarahan kepada pihak kerajaan.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 27/3/2021

Lihat sebelum ini..  Undi 18: PH ‘kokok berderai, ekor bergelumang tahi...

Undi 18: PH ‘kokok berderai, ekor bergelumang tahi’ -Dr Kamarul Zaman

 

KENCANG sungguh sembang para pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengecam pengumuman Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, semalam bahawa ‘Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangkakan boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR’.

Majlis Presiden Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang ditandatangani oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, ‘mengecam keras’ pengumuman ini dengan menyebut ‘ini jelas melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara’ dan ‘ini secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia, dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka’.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin, mengeluarkan kenyataan menyeru demo digerakkan di depan Parlimen hari ini untuk ‘berjuang menuntut hak yang cuba digagalkan petualang dan #PNipu’ selain sebelumnya mengecam SPR dengan menyebut ‘SPR jangan sebut soal realistik, kerana setahun lebih yang berlalu adalah tempoh yang amat realistik untuk melaksanakan Undi18 secara automatik’ dan ‘kami nak tahu secara terperinci, halangannya apa dan di mana?’

Sepatutnya, sebelum mengecam, mereka semaklah dulu kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 3 September 2019, bahawa Pelaksanaan Undi18 berkait dengan banyak isu teknikal, antara lainnya ialah: 

i) Menaik taraf sistem ICT SPR; 

ii) Keperluan data-data dari jabatan atau agensi kerajaan yang lain, antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara dan/atau Mahkamah serta Kementerian Kesihatan Malaysia; 

iii) Pindaan kepada mana-mana undang-undang atau peraturan pilihan raya yang perlu untuk melaksanakan Undi18; 

iv) Pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membolehkan warganegara yang berumur 18 tahun menjadi calon Dewan Undangan Negeri.

Merujuk kepada Perkara iv), semakan kepada data rasmi menunjukkan bahawa sehingga hari ini:

i) Hanya Negeri-negeri Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah dan Sarawak sahaja yang bersetuju menerima Undi18;

ii) Negeri-negeri Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menolak Undi18;

iii) Negeri-negeri Kedah dan Pulau Pinang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18.

Bukankah Negeri-negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang menolak Undi18 adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?

Dan bukankah Negeri Pulau Pinang yang belum memutuskan menerima atau menolak Undi18 juga adalah berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan?

Dari mengecam keras SPR dan Kerajaan Perikatan Nasional, eloklah Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu mengecam keras Kerajaan-kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Dan dari berdemo di depan Parlimen, eloklah Pemuda Pakatan Harapan terlebih dahulu berdemo di depan Dewan-dewan Undangan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Inilah agaknya yang disebut oleh peribahasa Melayu: ‘Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 27/3/2021

6 Perkara, DAP PP Selekeh,Tak Profesional. Piir Raa..

 

Enam perkara pahit untuk ditelan rakyat Pulau Pinang

KAU juga yang kritik Kedah negeri tak maju, tak ada pembangunan, tak ada air, kemarau dan sebagainya. Tapi bila Kedah mahu membangun dengan membekalkan air terawat secara cekap untuk rakyat dan pembangunan negeri mereka, kau buat propaganda jahat kononnya perang air dan sebagainya.

Kita di Penang perlu muhasabah di atas keborosan sumber air yang berpunca daripada pembangunan melampau yang menjejaskan jaminan sekuriti air dan perindustrian yang mencemarkan sungai serta saliran-saliran air.

Saya bersetuju untuk katakan Kedah melampau sekiranya Pulau Pinang telah juga menghentikan peningkatan penggunaan air secara melampau dan melaksanakan pengurusan sumber air secara mampan serta berhemah. Berikut adalah 6 perkara yang perlu Pulau Pinang muhasabah sebelum menuding pada silap orang lain:

1. Pembangunan melampau seperti PSR dan pembinaan rumah mahal yang akhirnya tak terjual adalah sebahagian daripada pengurusan pembangunan yang meningkat beban permintaan air. Walhal, pembangunan sedemikian tidaklah memfokuskan kepada kemanfaatan kepada majoriti rakyat kelas pertengahan dan ke bawah yang sepatutnya harus diberi ruang lebih baik. 

2. Pencemaran majoriti sungai disebabkan industri yang tak terkawal adalah petanda jelas kegagalan Pulau Pinang menjaga kelestarian sumber air di dalam sempadannya sendiri. Bayangkanlah jika air Sungai Muda daripada Kedah yang dialirkan ke Pulau Pinang setaraf dengan kualiti air Sungai Pinang di Pulau Pinang sendiri.

3. Pulau Pinang terlalu sayang untuk menurunkan Tahap Sara Diri (Self Sufficient Level– SSL) Khinzir 265 peratus sehingga akhirnya air Sungai Kereh menjadi sangat busuk dan tercemar. 265 peratus SSL ini adalah melebihi kadar cukup makan khinzir bagi seluruh Pulau Pinang. Bahkan, penternak khinzir selama ini menikmati keuntungan dengan mendapat kelonggaran untuk mencemar Sungai Kereh disebabkan kegagalan Kerajaan Pulau Pinang yang amat nyata. Ini belum diperincikan soal pencemaran Sungai Prai dan Sungai Juru!

4. Cadangan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Kedah adalah untuk menyelesaikan masalah bekalan air penanaman padi di Kedah serta masalah jaminan sekuriti air termasuk untuk meningkatkan Margin Air Terawat (Margin Treated Water- MTW) . Untuk rekod MTW Kedah adalah -2.3 peratus berbanding Pulau Pinang melebihi 30 peratus. Peningkatan jaminan air sudah tentu untuk menjamin sekuriti makanan di mana Kedah adalah negeri jelapang padi negara. Nah! Siapa lebih penting diri sekarang ini?!

5. CEO PBAPP jangan pejam mata untuk mengeluarkan kenyataan tegas dengan rancangan pembinaan jajaran Lebuhraya PIL1 yang sangat berisiko menjejaskan 3 lokasi pengambilan air (water intake) yang terletak berdekatan Empangan Air Itam.

Bagaimana mungkin Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) boleh pejam mata soal ini sehingga sebahagian jajaran lebuh raya berterowong 6 laluan bakal dibina di dalam kawasan sensitif alam sekitar berdekatan kawasan tadahan air? 

Kebanyakan kawasan tadahan air di Pulau Pinang telah musnah akibat daripada pembangunan atas kontur (Chan, 2002; Chan, 2000). Maka projek PIL1 ini melalui lereng bukit yang pastinya akan mengganggu kontur.

6. Kadar penggunaan air di Pulau Pinang harian per kapita pada 277 liter adalah paling tinggi (Malaysian Water Guide2018) ketika mana masyarakat Pulau Pinang berada di zon selesa menikmati tarif air paling rendah di Malaysia. Masyarakat Pulau Pinang terlalu selesa dengan kemewahan subsidi daripada hasil aktiviti perindustrian. 

Akhirnya, perindustrian itu terlibat secara langsung dan tidak langsung mencemar saliran air dan alam. Ramai di kalangan kita leka bahawa kenikmatan subsidi itu adalah hasil daripada air mentah percuma yang disedut secara cekap ke dalam takungan besar seperti Empangan Mengkuang. Jika, Kedah dikritik kerana mahu menyimpan air demi jaminan bekalan mereka di TAPS yang bakal dibina. 

Kenapa sedutan rakus ke Empangan Mengkuang untuk membolot air daripada Sungai Muda tidak menjadi isu selama ini? Ini bukan baru. Sama ada , kita tak faham isu, ataupun terlalu naif kerana hanya reaktif berdasarkan sentimen yang dibuai oleh permainan provokasi politik dan batu apinya ‘headlines’ pengamal media. 

Saya kira 6 perkara ini cukup untuk kita bersikap seimbang untuk melihat kekurangan yang ada pada kita. Apakah kita fikir, negeri lain tak boleh maju dan mesti berkorban untuk kemajuan dan pembangunan melampau yang terus ingin kita buat. Sedangkan komitmen untuk memelihara sumber air dan saliran masih amat mendukacitakan di negeri kita sendiri.

Saya kira, orang waras akan dapat menilai perkara ini dengan baik. Saya kira orang bijak takkan rasa cukup dengan hanya menelan bulat-bulat kata-kata orang politik dan mempercayai tanpa fikir segala ‘headlines’ batu api yang dibuat oleh media-media yang tak bertanggungjawab. Mentertawa dan mengejek kekurangan orang tidak langsung dapat memperbaiki kekurangan kita. Kita tetap hodoh jika tidak bersedia untuk berubah.

ZIKRULLAH ISMAIL – HARAKAHDAILY 25/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 6 Perkara, DAP Pulau Pinang Selekeh, Tak Profesional.

(i) Projek DAP PP, laksanakan pembangunan melampau seperti PSR dan pembinaan rumah mahal yang akhirnya tak terjual.

(ii) Pencemaran sungai tak terkawal, gagal menjaga sumber air di sempadan sendiri. 

(iii) Pulau Pinang gagal menurunkan Tahap Sara Diri (Self Sufficient Level– SSL) Khinzir 265 peratus sehingga akhirnya air Sungai Kereh menjadi sangat busuk dan tercemar. 265 peratus SSL ini adalah melebihi kadar cukup makan khinzir bagi seluruh Pulau Pinang. 

(iv) Cadangan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Kedah adalah untuk menyelesaikan masalah bekalan air penanaman padi di Kedah. Untuk rekod MTW Kedah adalah -2.3 peratus berbanding Pulau Pinang melebihi 30 peratus. Sedangkan Kedah adalah jelapang padi negara, mana lebih utama?

(v) Tiada kenyataan tegas dengan rancangan pembinaan jajaran Lebuhraya PIL1 yang sangat berisiko menjejaskan 3 lokasi pengambilan air (water intake) yang terletak berdekatan Empangan Air Itam dan.. Dok pejam mata lagi?

(vi) Kadar penggunaan air di Pulau Pinang harian per kapita pada 277 liter adalah paling tinggi (Malaysian Water Guide2018) ketika mana masyarakat Pulau Pinang berada di zon selesa menikmati tarif air paling rendah di Malaysia. Masyarakat Pulau Pinang terlalu selesa dengan kemewahan subsidi daripada hasil aktiviti perindustrian. 

Las kopek, piir raa.. DAP!

'Pahlawan Dayak' promosi Sarawak kepada Dunia. Tahniah dari Ibnu Hasyim.

 

Filem indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021, minggu lalu.

Muhyiddin ucap tahniah atas kemenangan filem Dayak di WFC SINGAPORE 2021

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan berkongsi kegembiraan atas kejayaan filem indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021, minggu lalu.

Dalam ucapan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata, kemenangan itu membuktikan negara tidak ketandusan bakat dalam menghasilkan karya seni berkualiti antarabangsa, selain meneruskan kesinambungan kejayaan filem dan terbitan kreatif tempatan di peringkat antarabangsa.

"Saya yakin filem yang menggabungkan elemen seram dan aksi yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak ini secara tidak langsung mampu mempromosi Malaysia, khususnya kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di Sarawak kepada dunia.

"Tahniah kepada pengarah filem kelahiran Sarawak, Ray Lee, saudari Misha Minut dan semua pihak yang terbabit dalam penerbitan serta pelakon atas kemenangan ini yang tentunya turut mengharumkan nama Malaysia di luar negara," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut berharap agar filem yang dijangka memasuki pawagam pada Ogos depan itu akan mendapat sambutan daripada peminat-peminat filem tempatan.

Filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie yang mendapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila.

Filem berkenaan turut tercalon di International Symbolic Art Film Festival di Russia dalam dua kategori iaitu Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.– BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hastym: Ibnu Hasyim akan pergi menjelajah ke bumi Borneo lagi selepas musim covic 19 ini. Bahkan akan terus merentasi dua negara, Malaysia Timur, Kalimantan bahkan ke Filipina Selatan jika perlu.. Saya akan hubungi sahabat-sahabat lama saya di sana. 

Sekian, insya Allah!

Sila lihat kisah perjalanan Ibnu Hasyim ke Kalimantan yang lalu..

E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan

E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
Bab I
Bab 2
Bab 3
Bab 4


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails