Wednesday, March 24, 2021

Presiden PAS kunjungi MB Johor

 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang menerima kunjungan hormat beliau bersama rombongan di Kota Iskandar, petang semalam.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, dalam pertemuan tersebut, mereka berkongsi pandangan tentang kepentingan menjaga perpaduan umat Islam dan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara, di samping langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Saya turut memberikan pandangan untuk dimanfaatkan peranan institusi wakaf dan zakat di Negeri Johor, yang sudah pun berada di tahap yang amat baik dan boleh dipertingkatkan lagi untuk memberi kesan yang bersifat jangka masa Panjang,” ujar beliau dalam satu hantaran di Facebooknya, malam tadi. Turut hadir bersama ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendoakan Menteri Besar itu dipermudahkan segala urusan dalam mentadbir Kerajaan Negeri Johor yang prihatin rakyat, demi memastikan kebajikan rakyat terjaga dalam situasi semasa Covid-19 yang sangat mencabar.

Sementara itu, Hasni menerusi catatan di Facebooknya pula menyatakan banyak perkara yang telah dibincangkan pada pertemuan itu, antaranya kepentingan Melayu-Islam di Johor.

“Insya-Allah usaha-usaha tersebut akan digiatkan lagi pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada YB Tuan Guru berserta rombongannya atas pandangan dan kesudian bertemu dengan saya pada petang tadi,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/3/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails