Monday, March 22, 2021

Cegah Berita Bohong, Selamat Dunia Akhirat -Presiden PAS

 

Minda Presiden PAS
 CEGAH BERITA BOHONG, SELAMAT DUNIA AKHIRAT

Kepada penganut Islam hendaklah menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk dalam perjalanan kehidupan sepanjang zaman, berwawasan jauh dari dunia yang luas lapangannya sehingga ke akhirat yang berkekalan. Adapun bagi bukan Islam terpulang kepada pilihan mereka sendiri, namun tetap ada yang bersifat budiman mengikut kepercayaan masing-masing.

Penyebaran berita bohong kini sudah menjadi suatu lumrah dalam masyarakat. Namun begitu, ajaran Islam mengajar bahawa ia termasuk dalam musibah yang akan mengakibatkan kesan buruk. Al-Quran menegaskannya melalui firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kalian seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya), supaya kalian tidak menimpakan ke atas sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini berpunca daripada kejahilan kalian (mengenainya). Sehingga menyebabkan kalian menyesali apa yang kalian telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Ayat ini menegaskan bahawa penyebar berita bohong menjadi seorang yang fasik. Bahaya perbuatan tersebut akan membawa keburukan kepada masyarakat umum dan pelakunya pula akan menyesal di dunia dan akhirat.

Seorang yang fasik berdasarkan hukum Islam, tidak layak menjadi saksi dalam perbicaraan mahkamah, bahkan juga tidak layak menjadi hakim ataupun pemimpin masyarakat. Mereka telah hilang kelayakan tersebut, dan ini menunjukkan betapa parahnya keburukan mereka yang menjadi penyebar berita bohong.

Islam juga menyatakan bahawa amalan bohong adalah salah satu dosa daripada dosa-dosa besar yang mempunyai akibat buruk di dunia dan akhirat kelak.

Sifat bohong berlaku disebabkan kejahilan, sehingga membuat apa sahaja kenyataan tanpa mempunyai ilmu. Maka, kenyataan bohong yang berlaku dengan ilmu lebih parah dosanya, kerana semua kenyataan yang dibuat termasuk amalan lisan dan tulisan  akan dihisab di mahkamah Allah SWT.

Firman Allah SWT:

﴿مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ١٨﴾

“Tiada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang ditulis atau dilakukannya), melainkan berada di sisinya malaikat sebagai pengawas yang sentiasa bersedia (menerima dan menulis perbuatan manusia).” (Surah Qaf: 18)

Ayat ini pula menunjukkan bahawa semua kenyataan yang dibuat oleh manusia secara lisan mahupun tulisan, kelak akan dihisab pada Hari Akhirat di Mahkamah Allah yang Maha Adil.

Malah, mereka yang terpengaruh dengan maklumat bohong juga akan dihisab di hadapan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا٣٦﴾

 “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tiada pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan, serta hati, termasuklah semua anggota itu tetap akan dipersoalkan tentang apa yang telah dilakukannya.” (Surah al-Isra’: 36)

Antara perkara yang bohong itu ialah bercakap atau menulis tanpa ilmu dan tidak mempunyai maklumat yang tepat, khususnya dalam urusan agama yang sangat berkait rapat dengan Allah SWT. Sama  ada, melampaui batas dalam hukum agama (tasyaddud) atau meringan-ringankan  (tasahul) urusan agama dengan menggunakan akal tanpa panduan ilmu Islam, khususnya ilmu al-Quran dan Sunnah. Ajaran Islam itu pula termasuk semua aspek kehidupan manusia, kerana Islam dan petunjuknya itu melengkapi segala aspek kehidupan manusia.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ١١٦ مَتَاعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ١١٧﴾

“Dan janganlah kalian berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kalian: ‘Ini halal dan ini pula haram’, untuk mengada-adakan sesuatu perkara yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak mendapat kejayaan. (116); (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (di akhirat). (117).” (Surah al-Nahl: 116-117)

Firman Allah SWT:

﴿الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٦٥﴾

“Pada waktu itu Kami materikan mulut mereka (sejurus); dan (memberikan peluang kepada) tangan-tangan mereka untuk memberitahu Kami (tentang kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Rasulullah SAW telah memberikan satu amaran yang sangat keras kepada umatnya yang terjebak dengan tabiat atau perangai suka berbohong melalui sabdanya:

‌إِنَّ ‌الصِّدْقَ ‌يَهْدِي ‌إِلَى ‌البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا.

“Sifat benar itu menunjukkan kepada kebajikan, dan kebajikan itu pula membawa  ke syurga. Apabila seseorang itu bersifat benar, sehingga Allah memerintahkan agar ditulis (namanya) di sisi Allah, maka dia seorang yang benar. Dan bohong itu menunjukkan kepada kejahatan, dan kejahatan itu pula membawa  ke neraka. Apabila seseorang itu bersifat bohong, sehingga Allah memerintahkan agar ditulis namanya di sisi Allah, maka dia ialah seorang pembohong.” (Riwayat al-Bukhari 6094 dan Muslim 103)

Seseorang yang berbohong dalam politik akan melakukan penipuan terhadap rakyat dengan apa sahaja propaganda bagi mendapatkan sokongan.

Dalam aspek ekonomi pula, penipuan berlaku dalam bentuk barangan, jualan, hutang piutang dan perkara lain bagi mendapatkan keuntungan dan harta secara haram melalui pelbagai cara.

Dalam aspek sosial pula, terdapat mereka yang sanggup berbohong dengan menyebarkan berita sensasi semata-mata untuk melariskan berita yang menggemparkan dengan pemberitaan bohong.

Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu mukjizat dari sudut ilmu pengetahuan yang telah dikurniakan kepadanya oleh Allah yang Maha Mengetahui, apabila Baginda menceritakan perkara yang akan berlaku pada akhir zaman. Suatu perkara yang tidak terfikir oleh sesiapapun pada zamannya ketika menceritakan perjalanannya berada di alam barzakh diiringi oleh pemimpin para malaikat, iaitu Jibril AS dan Mikail AS.

Seterusnya Baginda SAW dibawa melihat mereka yang diseksa di dalam neraka, yang berada di alam barzakh. Sabda Baginda SAW:

‌وَأَمَّا ‌الرَّجُلُ ‌الَّذِي ‌أَتَيْتَ ‌عَلَيْهِ، ‌يُشَرْشَرُ ‌شِدْقُهُ ‌إِلَى ‌قَفَاهُ، ‌وَمَنْخِرُهُ ‌إِلَى ‌قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ، فَيَكْذِبُ الكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ. 

“Adapun orang yang dicangkuk pipinya sehingga menembusi belakang leher, kemudian dicangkuk lubang hidungnya sehingga menembusi belakang leher, dan dicangkuk matanya sehingga menembusi belakang lehernya ialah seorang yang bergerak sejak awal pagi di rumahnya dengan menyebarkan berita bohong ke seluruh ufuk dunia.” (Riwayat al-Bukhari 7047)

Inilah yang dilakukan pada zaman hari ini melalui media baru yang paling canggih sistem teknologi dan maklumat. Penyebaran berita bohong hanya di hujung jari yang digerakkan, tanpa mempedulikan berita yang tersebar itu menjadi fitnah yang menyesatkan dan merosakkan diri, keluarga dan masyarakat.

Media terkini menjadi senjata baharu bagi merosakkan kefahaman masyarakat, demi mencapai matlamat dan cita-cita, khususnya bagi mendapatkan kuasa. Perkara yang dianggap dapat memenuhi tuntutan hawa nafsu yang kemaruk kepada kekuasaan, harta dan keinginan secara gelojoh yang menjadi sasaran bagi mengecapi kepuasan hidup. Tanpa mempunyai wawasan akhirat yang telah dijanjikan dan diberikan amaran oleh Allah SWT.

Demikianlah keinginan manusia sepanjang zaman yang tidak pernah berubah. Mereka sentiasa kemaruk dalam mendapatkan harta dan kuasa, melalui kegiatan politik, ekonomi dan sosial, semata-mata bagi memuaskan nafsu kebinatangan, kemudahan berharta dan berkuasa. Begitu juga untuk memenuhi nafsu bagi memperolehi makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan segala perhiasannya.

Semua itu dikejar tanpa mempedulikan sempadan halal dan haram. Khususnya bagi mempengaruhi rakyat dalam mendapatkan kuasa atau mempengaruhi orang yang berkuasa melalui cara yang melampau dengan  berbohong. Tanpa kisah melalui apa sahaja cara untuk berbohong, sama ada dengan lisan, tulisan atau tayangan yang dijadikan amalan bagi menggoda masyarakat. Walau bagaimanapun, ia tetap suatu cara yang salah dan menipu, apabila terkeluar daripada hakikatnya yang sebenar.

Demi melakukan pembohongan, belanja yang besar dikeluarkan kerana peranan berita bohong itu sangat besar bagi mempengaruhi masyarakat. Terkini pula, diciptakan alat-alat berteknologi tinggi yang canggih, mahal harga dan mahal upahnya. Maka, bertambah ramai pula yang terpalit dengan memiliki harta haram hasil daripada amalan berbohong dan menipu.

Oleh kerana pembohongan itu adalah kemungkaran yang sangat besar, maka ia wajib dicegah mengikut kemampuan masing-masing. Peranannya dibahagikan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ ‌مُنْكَرًا ‌فَلْيُغَيِّرْهُ ‌بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.

“Sesiapa dalam kalangan kalian yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, maka sekiranya tidak mampu, dia hendaklah mengubahnya dengan lidah, maka sekiranya tidak mampu, dia hendaklah membenci dalam hati, dan benci dalam hati itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim 49)

Perkara yang paling afdhal ialah mencegah kemungkaran dengan tangan (kuasa perundangan) melalui tindakan penguatkuasaan dan hukuman yang setimpal. Seterusnya diubah kemungkaran itu melalui memberikan nasihat secara lisan dan tulisan. Dan bagi mereka yang lemah imannya, hendaklah  menunjukkan kebenciannya terhadap kemungkaran itu. Sesiapa yang tidak termasuk dalam tiga golongan ini, ia menunjukkan imannya tiada.

Lebih malang lagi, apabila masyarakat hari ini menyukai pembohongan dan mempertahankan sifat keji tersebut, atas nama kebebasan bersuara dengan apa sahaja cara sekalipun. Khususnya mereka daripada kalangan golongan liberal yang berpegang kepada teori yang diimport daripada luar masyarakat yang beriman dan budiman.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ لَا يَهْدِيهِمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ١٠٤ إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْكَاذِبُونَ١٠٥﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberikan hidayah petunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. (104); Sebenarnya mereka yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang mempunyai tabiat selalu berdusta. (105).” (Surah al-Nahl: 104-105) 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Sya’ban 1442 / 21 Mac 2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sampaikan, walau 1 ayat.. Al-hamdulillah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails