Saturday, March 27, 2021

PN sedia tanding semua kerusi - Muhyiddin

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Datuk Azmir Merican (kiri) dan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh di Bandar Universiti Pagoh, Muar, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

MUAR: Perikatan Nasional (PN) sedia bertanding di semua kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika UMNO terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi.

Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau juga tidak kisah sama ada akan berlaku pertembungan banyak penjuru di kerusi berkenaan kerana ia adalah soal politik.

Beliau juga menegaskan tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 nanti.

"Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen, jika menang bentuk kerajaan, tidak mengapalah.

"Namun, kalau UMNO mahu ambil semua, saya (PN) pun hendak ambil (tanding) semua. Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh sebab ini politik.

"Bukan tak penting isu kerusi, penting (kerana) kalau tiada kerusi tidak dapat tubuh kerajaan tetapi saya tidak mahu jadi sombong, nanti rakyat marah.

"Saya faham dengan kenyataan pemimpin UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana saya juga pernah ada di situ suatu masa dahulu.

"Kita sebagai ahli politik seharusnya mendahulukan kepentingan rakyat termasuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat pandemik COVID-19, menyelesaikan pemberian vaksin dan mengukuhkan ekonomi rakyat, berbanding isu lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Muhyiddin diminta mengulas laporan mengenai UMNO tidak akan mengalah di mana-mana kerusi parti itu pada PRU-15.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan ia tidak akan sesekali dilepaskan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, menegaskan beliau tidak mahu berdebat dan berbincang soal pembahagian kerusi secara terbuka, sebaliknya akan memberi keutamaan kepada hal rakyat terutama soal keperluan asas dan ekonomi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama selepas menyaksikan sesi menandatangani Surat Minat oleh pelabur-pelabur pada Majlis Pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, di Muar, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas, sebahagian kehidupan saya adalah bergelumang dalam politik, saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja, namun itu saya elakkan buat masa ini.

"Saya nak elak begitu bukan saya takut, tetapi kerana rakyat resah, hidup susah nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut. Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan.

"Soal pertama menguruskan masalah COVID-19, soal kedua pula pemberian vaksinasi yang cukup penting dalam menentukan rakyat selamat dan sihat. Seterusnya soal ketiga pula ekonomi," katanya.

M

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails