Thursday, March 25, 2021

Kerjasama UMNO, PN berakhir bila Parlimen bubar

 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan beliau tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung kerjasama UMNO dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berjalan sehingga pilihan raya.

Beliau menjelaskan seperti diputuskan MKT, hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehingga Parlimen dibubarkan.

"Keputusan MKT adalah kerjasama antara kita dengan BERSATU daripada segi parti diputuskan apabila Parlimen dibubarkan dan ini 'clear' (jelas).

"Saya rasa tidak ada siapa yang mempertikaikan dari segi keputusan MKT.

"Maknanya kita ni macam 'cerai taklik'… apabila bubar Parlimen jatuh talak kita… jadi kita sudah menjelaskan daripada awal bahawa hubungan kita terputus secara automatik apabila Parlimen dibubarkan.

"Setiap ahli parti dan MKT malah saya sebagai Naib Presiden tentu saja akan mempertahankan keputusan yang dibuat MKT dan daripada segi disiplin parti kita perlu patuh. Inilah keputusan yang kita pegang sehinggalah pilihan raya.

"Ia jelas daripada segi kerajaan, menteri dan Ahli Parlimen kita yang berada di dalam kerajaan hari ini terus menyokong kerajaan sehingga pilihan raya," katanya kepada UMNO-Online, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Keselamatan turut mengulangi ketetapan yang diputuskan MKT untuk kekal dan fokus menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, perkara itu termasuk berkaitan lambang parti yang mana akan digunakan iaitu lambang Barisan Nasional (BN) selain 'No PKR, No Dap'.

"Maknanya walaupun kita dengan Muafakat Nasional (MN) atau sebagainya kita akan menggunapakai lambang BN.

Keduanya 'No PKR, No Dap'. Ini juga keputusan MKT dan hari ini ditekankan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataanya menyatakan UMNO tidak akan berunding dengan PKR untuk menghadapi pilihan raya dan saya kira pun selepas pilihan raya mungkin itulah keputusan kita.

"Ketiganya keputusan MKT meneruskan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan terus menyokong sehingga pilihan raya. Itu jelas dari segi kerajaan.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa dan berharap ahli parti tidak cepat melatah sebaliknya kekal tenang kerana banyak pihak mahu melihat UMNO berpecah yang akhirnya tidak menguntungkan parti untuk bergerak ke depan.

"Saya harap kita kena bertenang sebab ramai pihak yang mahu melihat UMNO ini berpecah. Keluar satu berita yang tidak berapa jelas kebenarannya kita dah bergaduh… kita tuduh orang sana… kita tuduh orang sini… kita petik nama orang sana… kita petik nama orang ini… ini tidak menguntungkan parti.

"Sekarang ini fokus parti untuk menghadapi pilihan raya sebenarnya. Sebab itu Biro Latihan dan Pekaderan yang dipertanggungjawabkan kepada saya… kita buat latihan pekaderan Bangkit 15... ," katanya

Beliau turut menggesa ahli parti melupakan cerita yang tidak membawa faedah serta manfaat untuk UMNO kerana sudah pasti fokus parti adalah untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Sebab itu kita bersiap sedia dan mempersiagakan diri. Buat masa ini kita kurangkan terpengaruh dengan berita-berita yang tidak memberi manfaat kepada UMNO dan akhirnya tumpuan kita lari daripada fokus sebenar.

Tumpuan sebenar adalah memperkukuhkan parti untuk menang pilihan raya," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails