Saturday, March 27, 2021

Undi18: Polimek 3 Sebab Pendirian Presiden PAS dikritik teruk.. -

 

Undi18: Pendirian konsisten, sokongan dahulu bersyarat

SUKAR difahami mengapa para pemimpin kerajaan, khususnya Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dikritik teruk dalam media sosial semata-mata kerana beliau:

(1) Menyatakan persetujuan dengan penangguhan pelaksanaan Undi18.

(2) Menyatakan ‘jangan undi 18 tahun sahaja, mestilah ada kematangan’.

(3) Menyatakan ‘kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang’.

Dibangkitkan kononnya kenyataan Presiden PAS ini, serta kenyataan pemimpin kerajaan lain, adalah bertentangan dengan sokongan sebulat suara yang diberikan oleh 18 Ahli Parlimen, serta Ahli-ahli Parlimen lain, sewaktu Usul Undi18 dibahaskan di Parlimen.

Sedangkan hakikat sebenarnya ialah kenyataan Presiden PAS ini tidak pun bercanggah dengan pendirian 18 Ahli Parlimen PAS sewaktu Usul Undi18 dibahaskan di Parlimen.

Bila kita menyemak Penyata Rasmi Parlimen pada 16 Julai 2019 dahulu maka akan didapati bahawa sokongan 18 Ahli Parlimen PAS kepada Undi18 adalah sokongan bersyarat. Buktinya boleh dilihat di dalam butiran perbahasan 4 Ahli Parlimen PAS berikut:

(1) Butiran perbahasan Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man, yang berbunyi: ‘Bagi saya ialah yang penting kita setuju untuk meluluskan pindaan ini tetapi pendidikan politik lebih penting daripada pendaftaran automatik.’

(2) Butiran perbahasan Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin bin Hassan, yang berbunyi: ‘Kerajaan perlu mewujudkan satu silibus berhubung dengan pendidikan politik dan demokrasi supaya rakyat Malaysia yang kita beri peluang, umur semuda 18 tahun untuk menjadi pengundi, mereka memahami peranan dan tanggungjawab serta amanah yang mereka pikul sebagai rakyat Malaysia di dalam negara ini dalam konteks pilihan raya dan juga pemilihan pemimpin di dalam negara kita ini.’

(3) Butiran perbahasan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali, yang berbunyi: ‘Di kala kita berikan hak pada semua orang untuk mengundi tetapi akan ada orang yang tidak pandai untuk membuat pilihan, tidak reti untuk membuat pilihan yang betul, menyebabkan akhirnya negara boleh saja tergadai disebabkan cara salah pilih, maka menjadi tanggungjawab kita di sini sebagai kerajaan terutamanya untuk memastikan rakyat membuat pilihan yang tepat.’

(4) Butiran perbahasan Ketua Dewan Ulamak PAS yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh, yang berbunyi: ‘Suka saya sarankan kepada pihak kerajaan supaya mewujudkan satu kurikulum di peringkat sekolah-sekolah Menengah supaya mereka dapat menilai parti-parti politik yang ada di dalam negara kita pada aspek dasar yang diperjuangkan supaya apabila tibanya hari pilihan raya, sama ada mereka hendak bertanding ataupun mereka hendak memberi undi kepada mana-mana parti, mereka memberi undi kepada dasar yang dibawa oleh parti bukan disebabkan mereka dibeli ataupun bukan disebabkan oleh faktor-faktor yang lain.’

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Dungun, Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli, yang menyatakan di dalam sidang Parlimen pada 10 Oktober 2019 bahawa ‘Umur yang telah diluluskan ini adalah sangat munasabah, cuma perlu kepada persediaan kepada sistem pendidikan Malaysia yang melibatkan Pendidikan Sivik dan Pendidikan Pengundi di bawah Kementerian Pendidikan supaya pengundi di kalangan belia 18 tahun ini mempunyai persediaan yang cukup dalam proses pilihan raya negara yang menentukan hala tuju dan dasar negara pada masa yang akan datang.’

Malah, sokongan bersyarat kepada Undi18 ini sebenarnya bukan sahaja dinyatakan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS tetapi juga oleh Ahli-ahli Parlimen Umno.

Buktinya boleh dilihat di dalam butiran perbahasan 3 Ahli Parlimen Umno berikut:

(1) Butiran perbahasan Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bera merangkap Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, yang berbunyi: ‘Saya mencadangkan supaya pendidikan politik dan demokrasi harus diberikan penekanan di peringkat sekolah supaya kita boleh menyedarkan mereka mengenai hak mereka, apakah peranan Parlimen di Malaysia, apakah Raja Berperlembagaan dan sebagainya. Ini supaya mereka faham mengenai sistem demokrasi kita… Oleh sebab itulah saya setuju dengan Yang Berhormat Ketereh tadi bahawa kurangnya pengetahuan inilah yang menyebabkan mereka terpengaruh dengan janji-janji. Sedangkan orang dewasa pun, dengan manifesto yang begitu cantik, dengan janji yang begitu manis akhirnya terpengaruh, inikan pula yang berumur 18 tahun ke atas kalau kurangnya pengetahuan yang mendalam mengenai demokrasi dan sebagainya. Jadi sebab itulah saya harap ia dapat didedahkan lebih awal sistem pendidikan demokrasi, peranan negara, demokrasi dan sebagainya perlu didedahkan lebih awal… Negara Australia, New Zealand, Kanada, India, Thailand malah Indonesia pun sudah menerapkan pendidikan politik melalui subjek tertentu kepada semua aliran sekolah Menengah dan pengajian tinggi.”

(2) Butiran perbahasan seorang lagi Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, yang berbunyi: ‘Yang pertama sekali saya hendak sentuh berkaitan dengan pengundi 18 tahun ini ialah yang berkaitan dengan pengetahuan ataupun ilmu kepada anak-anak muda. Dalam konteks ini, kita hendaklah disebut meningkatkan kesedaran politik di kalangan pelajar di sekolah, di kolej dan di universiti. Meningkatkan kesedaran ini merupakan satu program yang boleh sama ada dimasukkan dalam kokurikulum sejarah ataupun kokurikulum sivik berkaitan dengan kefahaman apakah yang disebut sebagai negara demokrasi dan juga pilihan raya yang diadakan pada setiap lima tahun.’

(3) Butiran perbahasan Ketua Wanita Umno yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Dr Noraini Ahmad, yang berbunyi: ‘Pengundi ini perlu diberi pengetahuan. Jadi, saya nak minta supaya kerajaan mungkin boleh mengkaji satu mekanisme yang diguna oleh Jerman melalui penubuhan Federal Agency for Civil Education yang mana badan ini adalah satu badan bebas dan ia memberikan satu pendidikan aspek politik dan demokrasi. Bila badan bebas ini boleh ditubuhkan, secara tidak langsungnya ia boleh merangka, menyelaras apa juga aktiviti pendidikan politik kepada rakyat.’

Disebabkan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli-ahli Parlimen Umno ini, maka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sewaktu Menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini, telah menyebut bahawa:

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi sejak tahun 2017.

(2) SPR juga telah memperkenalkan Program APR Associate Trainer atau lebih dikenali dengan nama AAT untuk melatih lebih ramai penceramah dan jurulatih yang mampu untuk bersama-sama dengan APR bagi menyampaikan maklumat mengenai proses pilihan raya di Malaysia dan memberikan kesedaran untuk mendaftar sebagai pemilih kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan masyarakat umum di seluruh negara.

(3) APR juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi pelaksanaan Program APR Associate Trainer (AAT) dan Program Sekolah Rukun Negara yang bertujuan untuk menyebarluas maklumat mengenai pilihan raya dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara dalam sebuah negara demokrasi.

(4) SPR memerlukan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan jumlah golongan sasar yang dapat menerima pendidikan demokrasi dan pilihan raya, khususnya dengan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, media dan masyarakat sivil, bagi merealisasikan hasrat ini.

Lanjutan daripadanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan media beliau pada 3 September 2019, menyebut betapa:

(1) Satu pendekatan pendidikan pengundi yang menyeluruh perlu dilaksanakan secara berkesan.

(2) SPR, melalui Akademi Pilihan Raya (APR), telah bersetuju dan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan pengundi di sekolah-sekolah Menengah dengan serta merta.

Dalam satu lagi kenyataan media beliau pada 10 Oktober 2019, Pengerusi SPR menyebut betapa:

(1) Program Pendidikan Pengundi dan Program APR Associate Trainer (AAT) yang bertujuan untuk memberikan kesedaran dan kefahaman mengenai proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah akan dilaksanakan.

(2) SPR telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran, iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah Menengah.

Begitupun, selepas tarikh ini, seperti yang kita semua ketahui, pandemik COVID-19 melanda negara sehingga sekarang, perubahan kerajaan berlaku dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional dan Pengerusi SPR bertukar dari Tan Sri Azhar Azizan Harun ke Datuk Abdul Ghani Salleh, dan tiada sebarang makluman mengenai pendidikan pengundi ini.

Oleh itu, berdasarkan kepada fakta-fakta yang dinyatakan ini, selain daripada pelbagai permasalahan teknikal lain yang belum mampu diselesaikan, maka sudah sewajarnyalah penangguhan pelaksanaan Undi18 ini diterima dengan baik oleh semua pihak.

Perlulah dipastikan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli-ahli Parlimen Umno ini dipenuhi serta bahawa modul pendidikan pengundi dan modul pendidikan sivik ini dilaksanakan dahulu sebelum Undi18 dilaksanakan.

Seperti yang ditegaskan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS dan Ahli-ahli Parlimen Umno ini, memberi hak mengundi kepada golongan yang berumur 18 tahun tanpa memberikan pendidikan yang betul kepada mereka boleh sahaja menyebabkan negara tergadai.

Kepada para pengkritik, berfikirlah panjang-panjang dahulu sebelum mengkritik, dan janganlah hanya mengkritik untuk sekadar mencari keuntungan politik segera serta untuk menanamkan kebencian dan membangkitkan kemarahan kepada pihak kerajaan.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 27/3/2021

Lihat sebelum ini..  Undi 18: PH ‘kokok berderai, ekor bergelumang tahi...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails