Saturday, March 07, 2020

Pintu Demokrasi, Gabungan MN, Sila Hadzam Ayat 67 S/Yusuf Ini..


Demokrasi benarkan banyak pendekatan
Firman Allah SWT:
﴿وَقَالَ يَٰبَنِيَّ لَا تَدۡخُلُواْ مِنۢ بَابٖ وَٰحِدٖ وَٱدۡخُلُواْ مِنۡ أَبۡوَٰبٖ مُّتَفَرِّقَةٖۖ وَمَآ أُغۡنِي عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَيۡءٍۖ إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُۖ وَعَلَيۡهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ٦٧﴾
“Dan dia (Nabi Ya’kub AS) berkata lagi: 
“Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke Bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. 
Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. 
Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. 
KepadaNya sahajalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.” 
(Surah Yusuf: 67)
Al-Quran menceritakan peristiwa Nabi Yusuf AS, seorang Rasul yang maksum )terpelihara daripada dosa) dengan cara yang istimewa, lalu mendapat kuasa memerintah negara Mesir dengan perlindungan dan kurniaan Allah SWT, setelah dibuktikan akhlak baginda yang mulia bersama kemampuan dalam mengurus ekonomi negara tanpa melobi dan menipu, sehingga menjadi teladan kepada manusia. Seterusnya Allah SWT menemukan Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudara kandungnya yang pernah menzaliminya sehingga dibuang ke dalam telaga dan dijual.
Nabi Ya’kub AS meminta anak-anaknya yang berangkat ke Mesir sebelum mengenali Nabi Yusuf AS setelah dipaksa pulang membawa datang adiknya Bunyamin AS.

Nabi Ya’kub AS menasihati anak-anaknya supaya masuk ke dalam kota, melalui pintu yang tidak sama, jangan melalui satu pintu sahaja, kerana belum diketahui keadaan yang selamat.


Al-Quran adalah petunjuk bagi umat Islam melalui tafsir para ulama’ muktabar, bukan akal manusia sahaja seperti Machiavelli atau orientalis seperti John Adair dan sebagainya yang sesat atau tidak ikhlas terhadap Islam. Petunjuk Al-Quran itu berpanjangan sehingga Hari Kiamat, walaupun diwahyukan sejak lima belas abad yang lalu.
Demokrasi Barat adalah sistem politik yang mendapat kuasa melalui rakyat dengan beberapa pendekatan yang bijaksana dan sinonim dengan Islam. Alangkah baiknya kalau berkonsepkan iman dan budiman.
Konsep demokrasi memberi hak kepada rakyat menentukan kuasa kerajaan melalui beberapa pendekatan, seperti pilihan raya umum dan kecil atau desakan rakyat melalui wakil-wakil mereka atau himpunan aman. Maka PAS beristiqamah memilih pendekatan demokrasi bersama konsep Islam dengan penekanan sifat ‘adalah (keadilan) dan bai’ah dalam fiqah politik Islam.
PAS berpengalaman memilih pintu-pintu demokrasi yang banyak bagi memasuki Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, walaupun jalannya sukar dan memakan masa yang panjang.
PAS tetap menyertai pilihan raya walaupun masih banyak kelemahannya sehingga ada yang hilang wang pertaruhan yang diwajibkan. PAS berpengalaman mengadakan hubungan dengan semua pihak, sama ada Islam atau bukan Islam dengan panduan syariat. Di antaranya pendekatan perpaduan ummah, tahaluf (persefahaman politik) dan ta’awun (bertolong menolong).
PAS berpengalaman memerintah kerajaan dan menyertai Kerajaan Pusat serta pernah menjadi pembangkang dengan mempunyai kerusi dan hilang kerusi yang dimenangi, namun terus beristiqamah bersama politik Islam.
PAS juga berpengalaman dengan pendekatan demonstrasi aman. Namun PAS tidak terjejas dalam semua keadaan sama ada pengikut atau pencabarnya. Ada yang mahu menjadikan PAS laksana hotel persinggahan sementara atau alat yang ditunggang bagi mengejar niat yang tidak ikhlas bersama PAS selain daripada matlamat dan perjuangan PAS. 

Ada yang masuk parti lain akhirnya tenggelam laksana semut ke dalam gula. Ada yang menubuhkan parti lain yang berakhir menjadi laksana kereta terpakai. Ada yang terus hilang tidak disebut dalam sejarah atau termasuk dalam sejarah yang hitam.
PAS mampu mengerahkan rakyat berdemonstrasi secara aman. Tetapi apabila mahu dipergunakan sahaja supaya bertempur dengan pasukan polis yang tidak bersalah, maka PAS mengundurkan diri.
Rakyat menyaksikan betapa PAS sebenarnya ada pengaruh mengerahkan rakyat. Berbeza dengan pihak lain yang sebenarnya tidak mampu mengerahkan rakyat seperti PAS. Bahkan jentera pilihan raya dan duit PAS digunakan untuk kepentingan mereka.
PAS bersedia menjadi laksana lilin, membakar dirinya demi agama, rakyat dan negara yang diutamakan, bukan seperti mereka yang slogannya sahaja bersih tetapi niatnya tidak.
PAS terkeluar daripada Pakatan Rakyat apabila tetap mempertahankan prinsip Islam dan matlamatnya supaya Islam memimpin, bukan pengekor. Mereka terungkai tanpa PAS dan menubuhkan Pakatan Harapan sekadar untuk menjatuhkan kerajaan dengan apa cara sekalipun, sehingga matlamat menghalalkan cara. 

Sehingga Tun Mahathir ditonjolkan ke hadapan bagi menarik rakyat dan mencapai kemenangan apabila Tun Mahathir menjadi simbol dilantik menjadi Perdana Menteri.
Akhirnya mereka berjaya, tetapi bukan Islam mendominasi Kerajaan Pakatan Harapan, walaupun diusahakan penambahan daripada kalangan Islam, tetapi menemui keadaan yang bercelaru kerana celaru Islamnya. Ada yang liberal, ada yang berijtihad sendiri dalam perkara Islam tanpa kelayakan dan keahlian, sehingga menimbulkan keadaan sangat berbahaya kepada agama, bangsa dan negara, lebih bahaya daripada segala penyelewengan yang lain.
Rakyat memilih Pakatan Harapan kerana semangat yang tersasul dan terpukau dengan janji menarik yang tidak dapat dilaksanakan. Akhirnya berlaku pertelagahan sesama mereka dalam satu parti dan di kalangan parti-parti yang berbeza, menyebabkan ada yang memecahkan dinding rumahnya sendiri. Isu Perdana Menteri dijadikan sasaran, maka Tun Mahathir menjadi mangsanya.
PAS melihat Tun Mahathir berusaha menyelamatkan Islam dan bangsa Melayu supaya tetap memimpin masyarakat majmuk dengan pendekatannya menyusun Jemaah Menteri yang dikuasai oleh Melayu Islam, tetapi tidak mendapat kerjasama yang padu. Ada yang mahu menggulingkannya kerana mahu cepat menjadi Perdana Menteri dan tujuan-tujuan yang lain.
Maka PAS bersama UMNO telah mengadakan Gabungan Muafakat Nasional sebagai usaha menyelamatkan keadaan yang bercelaru sehingga boleh menyertai Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Tun Mahathir dan para ilmuwan bagi menyelamatkan agama dan bangsa, tetapi dilabelnya sebagai barua.
PAS mengambil langkah proaktif lebih ke hadapan dengan mencadangkan usul kepercayaan kepada Tun Mahathir supaya terus menjadi Perdana Menteri. Malangnya banyak yang tidak memahami hasrat usul tersebut, sehingga mendedahkan ramai pengulas dan penganalisis politik serta profesor laksana pemilik lesen terbang yang tidak tahu memandu tetapi dianggap berilmu.
Apa yang penting mendedahkan mereka yang ikhlas dan tidak ikhlas bersama Tun Mahathir.
Akhirnya kami membuat keputusan untuk mengumpulkan Ahli Parlimen daripada Muafakat Nasional dan PH yang sememangnya telah dipilih oleh rakyat untuk menyokong Tun Mahathir bagi membentuk suatu kerajaan baru mengikut Perlembagaan atau pilihan raya baru yang akan menyusahkan rakyat. Hakikatnya dinding kerajaan yang ada sudah dipecahkan oleh mereka sendiri, namun kami tetap memilih pintu demokrasi bukan pintu belakang atau dinding yang pecah itu.
Apabila kalangan yang sebenarnya mahu menggulingkan Tun Mahathir mendapati mereka tidak mencukupi jumlah bagi membentuk kerajaan, tiba-tiba mereka membuat pusingan U menyokong Tun Mahathir sebulat suara, bagi meneruskan agenda mereka supaya dapat melangsungkan Kerajaan PH yang sudah lemah dan rosak dengan lakonan, laksana saudara-saudara Nabi Yusuf AS yang berpura-pura menangis di hadapan ayahnya Nabi Ya’kub AS.
Akhirnya terbentuk Perikatan Nasional yang menggabungkan Muafakat Nasional dan rakan-rakan yang terpaksa keluar atau dipecat daripada PH serta pihak lain yang tidak bergabung dengan Perikatan Nasional sehingga mencukupkan jumlah membentuk kerajaan yang lebih banyak kaum dan jumlah parti yang menyertainya bersama calon yang baharu, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Akhirnya kami dapati ternyata bahawa sokongan pusingan beberapa kali oleh mereka yang kononnya menyokong Tun Mahathir sebenarnya untuk membawa rebah dalam pusingan kedua, bukan mengangkatnya.
Bersyukur kepada Allah SWT kerana agama, rakyat dan negara dapat diselamatkan dengan cara aman melalui salah satu pintu-pintu demokrasi bukan melalui dinding yang dipecahkan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Rajab 1441 / 7 Mac 2020

Haramkan Radikal Cina Dong Zong -Prof Kok Seong

Sepatutnya lebih peka kepada sifat masyarakat majmuk.

PERTUBUHAN radikal Cina, Dong Jiao Zong (Dong Zong) seharusnya lebih peka kepada sifat masyarakat majmuk demi kebaikan sebuah negara demokrasi.


Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan, sekiranya pertubuhan itu berterusan mencabar kepentingan negara dan cuba menafikan aspirasi nasional, maka Dong Zong wajar diharamkan.

“Mereka memperjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan aspirasi dan kepentingan negara.

“Kepentingan negara iaitu bahasa Melayu, mereka sepatutnya mendukung. Tapi daripada isu tulisan jawi dahulu, Dong Zong seolah-olah menentang kepentingan negara dan aspirasi nasional untuk menyatupadukan rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Kok Seong berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan beberapa pemimpin Dong Zong yang bertegas untuk terus menjuarai isu pendidikan Cina, walaupun pemerintahan negara tidak lagi ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, pertubuhan itu akan terus memperjuang beberapa isu berkaitan pendidikan Cina sebagai mana ketika pemerintahan PH sebelum ini, dan turut mahukan kerajaan baharu bertindak adil terhadap mereka.

Sementara Timbalan Presidennya, Datuk Tan Yew Sing berkata, terdapat sebahagian besar orang bukan Cina salah faham terhadap pendidikan Cina yang sedia ada.

“Kami berharap pelajar bukan Cina selepas tamat SJKC, akan meneruskan pelajaran di sekolah menengah persendirian Cina atau SMJKC, teruskan mengambil peperiksaan dan mencintai bahasa Cina.

“Kami juga berharap pelajar sekolah menengah Cina dan sekolah menengah kebangsaan menganggap gerakan pendidikan Cina bukan sebuah gerakan asing, agar jangkauan gerakan pendidikan Cina ini melepasi sekolah menengah persendirian Cina, dalam erti mencapai jangkauan seluas mungkin,” katanya.

Kok Seong menyifatkan, perkara sedemikian sebagai sesuatu perkara tidak sihat.

“Saya kira seruan itu sesuatu yang tidak selari dengan aspirasi nasional. Selepas anak bangsa kita belajar di SJKC selama enam tahun, kalau ikut aspirasi nasional mereka perlu meneruskan pelajaran di sekolah kerajaan.

“Kalau sudah menjadi pilihan pelajar untuk belajar di sekolah persendirian Cina, itu hak mereka. Tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai satu seruan,” katanya. (MR)




AS tangguh pemulangan RM1 bilion dana 1MDB kepada Malaysia


KUALA LUMPUR: Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Reuters, yang memetik maklumat sumber, melaporkan keputusan itu dibuat susulan ketidaktentuan politik berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.
Beliau digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini mengetuai kerajaan campuran membabitkan UMNO yang menerajui kerajaan terdahulu, sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum ke-18 (PRU-18), antara lain kerana skandal 1MDB.
DOJ berkata, lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) diseleweng daripada dana di bawah kawalan bekas perdana menteri merangkap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang kini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Sejak 2016, DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset sekitar AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) yang dibeli menggunakan dana 1MDB.
Mei lalu, AS mula memulangkan dana yang berjaya ditemui semula, membabitkan bayaran pertama hampir AS$200 juta (RM836 juta).
Kata sumber, mengikut jadual awal DOJ, pemulangan dana seterusnya ialah pada 19 Februari lalu tetapi pemindahan wang berkenaan tidak berlaku berikutan isu teknikal.
“Jumlah terbabit ialah sekitar RM1 bilion tetapi sebaik Dr Mahathir meletak jawatan, keputusan dibuat untuk menangguhkan pembayaran berikutan ketidaktentuan mengenai apa yang akan berlaku,” katanya.
Jurucakap DOJ enggan mengulas lanjut manakala pertanyaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, yang tidak memberi komen.
Sumber turut memaklumkan mereka tidak pasti apa tindakan DOJ seterusnya berhubung dana yang sepatutnya didepositkan dalam tabung khas di Kementerian Kewangan, untuk membayar hutang 1MDB.
Penyiasat AS dan Malaysia berkata Najib menerima kira-kira AS$1 bilion (RM4.1 bilion) dana 1MDB yang diseleweng.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu, sebaliknya mendakwa diperdaya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan pegawai 1MDB lain.
Siasatan terhadap Najib hanya dimulakan selepas kekalahan mengejut kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO pada PRU-18 dan siasatan 1MDB dibuka semula.
Goldman Sachs dan beberapa eksekutifnya adalah antara yang didakwa atas peranan mereka mengurus dan mengendalikan tiga jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) untuk 1MDB.
Goldman Sachs mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan baru-baru ini, Najib memberitahu Reuters bahawa beliau mengharapkan suasana perbicaraan lebih saksama memandangkan Dr Mahathir tidak berkuasa lagi.
Muhyiddin belum mengulas mengenai kes 1MDB secara khusus tetapi berikrar akan memerangi rasuah.
Dua pegawai kanan di bawah pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, sudah meletak jawatan minggu lalu. - REUTERS

3 Sebab, Mengapa B/Ketua Hakim Negara Sokong Perikatan Nasional.


Tun Abdul Hamid, pernah menjadi Ketua Hakim Negara dari 11 Disember sampai 18 Oktober 2008. Imej dari tanwir.my

Ni Mahathir dan Anwar. Imej dari FMT.
Walaupun kekal sehari, kerajaan kena buat perkara yang betul.

BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid pernah menjadi Ketua Hakim Negara dari 11 Disember sampai 18 Oktober 2008, ada menulis satu artikel mengulas tentang suasana politik masakini. 

Dalam artikel tu, beliau meminta supaya UMNO, PAS, BERSATU dan parti-parti yang menyokong Perikatan Nasional (PN) supaya bersatu teguh. Beliau juga kata ramai pihak yang berasa lega dengan apa yang berlaku, sebab…

Satu: Lega. 

Peletakan jawatan Tommy Thomas memberi nafas lega kepada lebih seribu pegawai perundangan. Tugas Peguam Negara adalah penasihat undang-undang utama kepada Kerajaan. Imej dari Jabatan Peguam Negara.

Ketika krisis ni masih berlaku, kita semua dah dikhabarkan dengan peletakan jawatan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pada 28 Feb 2020. Tommy nampaknya menarik diri dua bulan lebih awal dari tarikh kontraknya tamat pada Jun depan.

Bagi Tun Abdul Hamid, peletakkan jawatan Tommy ni memberikan nafas lega kepada lebih seribu pegawai perundangan kerajaan yang selama ni dah memberi  perkhidmatan dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Sebabnya, sebelum ni Tommy dilihat seperti tidak percaya dengan kepakaran mereka, apabila dia melantik ramai peguam-peguam swasta.

“…beliau melantik peguam-peguam swasta dan dibayar upah dengan wang pembayar cukai.” – Tun Abdul Hamid, dipetik dari laman blognya.

Ini kerana, sebelum ni memang dah ada cakap-cakap pasal tindakan Tommy melantik peguam swasta untuk mewakili kerajaan Malaysia baik dalam kes sivil mahu pun jenayah. Hal itu kemudiannya disifatkan oleh peguam, Mohamed Haniff Khatri sebagai ‘tabiat tidak sihat’.

Peguam-peguam swasta itu termasuklah seperti Gopal Sri Ram, Sulaiman Abdullah dan V. Sithambaram dalam pertuduhan jenayah 1MDB ke atas Najib Razak. Selain tu, Tommy juga dah melantik peguam swasta veteran, DP Naban mewakili kerajaan dalam saman cukai berjumlah RM1.69 bilion terhadap Najib Razak. Gopal Sri Ram juga adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan. 

Malah, dia juga melantik dua orang peguam swasta untuk mewakili dirinya dalam kes rayuannya untuk membatalkan prosiding komital (menghina mahkamah) yang difailkan bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, terhadapnya.

Perkara ni dilihat sebagai kurang sihat sebab secara lazimnya – kerajaan diwakili oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara iaitu timbalan-timbalan pendakwaraya kes jenayah dan peguam-peguam Persekutuan dalam kes sivil yang pada kini berjumlah kira-kira 1,200.

“Jangan kita lupa sebagai badan awam, pegawai-pegawai Pejabat Peguam Negara telah sejak dari merdeka lebih 60 tahun lalu bertungkus lumus dalam memelihara kepentingan negara dalam tuntutan sivil mahupun pertuduhan janayah dengan sejayanya.” Kata Haniff, dipetik dari Malaysia GazetteHanif juga terkenal sebagai salah seorang peguam kepada Dr Mahathir. 

Sehubungan dengan itu, Tun Abdul Hamid nampaknya kecewa dengan apa yang Tommy dah lakukan dan sebab itulah dia berharap akan ada seorang pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan kanan yang berintegriti, berpengalaman dan berkaliber akan dilantik menggantikan Tommy nanti.

Satu lagi, Tun Abdul Hamid pun berharap yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nanti akan dipimpin oleh orang yang lebih berkelayakan untuk menggantikan Latheefa Koya.

Dua: Cabar Agong.


Cara Dr Mahathir dan Anwar seperti mencabar YDP Agong

Seterusnya, Tun Abdul Hamid mengkritik Dr Mahathir dan Anwar yang katanya seolah-olah cuba mencabar keputusan YDP Agong. Ini kerana, sebaik saja Istana Negara mengeluarkan kenyataan, pemimpin-pemimpin PH yang diketuai Dr Mahathir dan Anwar menolak keputusan itu dengan kata mereka ada sokongan majoriti.

“Itu tidak menghairankan. Mereka akan merayu dengan lemah longlai untuk mendapat pengampunan.

Mereka terima pengampunan walaupun cara dilakukannya menyalahi prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan.” – Tun Abdul Hamid, dipetik dari laman blognya.

Tambah Tun Abdul Hamid lagi, Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “YDP Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut iaitu: Melantik seorang Perdana Menteri.”


YDP Agong, Al-Sultan Abdullah & Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meraikan hari jadi Dr Mahathir pada Julai 2019 lalu. Imej dari BH Online.

Jadinya dalam hal ni, Perlembagaan tak menetapkan macam mana baginda YDP Agong perlu melaksanakan budi bicara itu. Tapi apa yang pasti, baginda patut melantik seorang ahli Parlimen yang mengikut hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Dalam kata-kata lain, Agong tidak dikehendaki menemu duga setiap ahli Parlimen, apatah lagi mengambil kira senarai yang dibuat oleh Dr Mahathir untuk membuat keputusan itu.” – Tun Abdul Hamid, dipetik dari Sinar Harian.

Jadinya di sini, kalau Dr Mahathir dan Anwar tak puas hati dengan keputusan tu – diorang boleh kemukakan undi tak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen dan bukannya mencabar budi bicara Agong. Seterusnya, Tun Abdul Hamid menyeru rakyat Malaysia supaya…

Tiga: Jangan pedulikan Dr Mahathir, Anwar dan Kit Siang lagi. 


Macam Dr Mahathir yang tak pedulikan plakad “Anwar PM ke-7” ni. Imej dari NST.

Bagi Tun Abdul Hamid, apa yang orang Malaysia kena buat sekarang adalah mulakan hari baru tanpa Dr Mahathir, Anwar dan Lim Kit Siang. Kerana baginya, selama ni kita dah disibukkan dengan tingkah laku diorang ni sampaikan keadaan politik kita jadi tak tentu hala.

Mengambil contoh Dr Mahathir, baginya selama ni Dr Mahathir dah buat banyak masalah dalam negara, seperti:


Krisis Perlembagaan dengan Raja-Raja Melayu;
Menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988;
Menyebabkan UMNO diharamkan;
Berkelahi dengan Timbalannya sendiri Tun Musa Hitam;
Memecat Anwar Ibrahim;
Bergaduh dan cuba menjatuhkan Tun Abdullah Badawi;
Masuk dan keluar UMNO berkali-kali.


Anwar pula baginya begitu ghairah nak jadi Perdana Menteri dengan mendesak Dr Mahathir beberapa kali menyerahkan jawatan kepadanya. Manakala, kehadiran DAP dalam kerajaan juga nampaknya seperti menyerahkan kuasa politik Melayu kepada parti berkenaan.

“Nampaknya selagi beliau (Dr Mahathir) ada dalam arena politik, beliau tidak berhenti-henti menimbulkan masalah. Cukuplah. Kita mulakan hari baharu tanpa Dr Mahathir, Anwar dan Lim Kit Siang.” – Tun Abdul Hamid, dipetik dari laman blognya.

Dalam penulisannya yang terbaru, Tun Abdul Hamid ada kata yang kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih lagi dalam keadaan rapuh. Sebabnya, kalau undi tak percaya kepada Muhyiddin dilaksanakan di Parlimen nanti, masih tak dapat dipastikan sama ada dia akan dapat sokongan atau tak. Tapi, Tun Abdul Hamid berpesan…
Walaupun kekal sehari, kerajaan kena buat perkara yang betul.


Walaupun semakin uzur, Tun Abdul Hamid tetap peka dengan keadaan semasa negara. Imej dari Malay Mail.

Dengan keadaan sekarang ni, baginya antara dilema besar yang mungkin Muhyiddin hadapi adalah sama ada nak melantik Presiden UMNO, Zahid Hamidi untuk jawatan menteri atau tak. Seperti mana yang kita tahu, Zahid berdepan dengan berpuluh tuduhan mahkamah dan tu dah semestinya membuatkan dia tak layak menjadi menteri.

“Jika beliau (Zahid) diberi jawatan Menteri, apatah lagi Timbalan Perdana Menteri, terus terang saya katakan, Muhyiddin akan kalah undi tidak percaya dan Kerajaan PN akan tumbang.

…orang ramai yang menyokong Kerajaan PN, termasuk saya, akan menarik balik sokongan mereka, dan berkecuali. Mereka akan mengambil sikap ‘Mampus pi lah’ kerana mereka telah terlalu bosan dengan ahli politik yang hanya menjaga perut masing-masing.” – Tun Abdul Hamid, dipetik dari laman blognya.


Perdana Menteri baru kita. Imej dari The Edge Markets.

Sebab itulah baginya, Muhyiddin kena bertegas dalam hal ni. Sebabnya, lebih baik kerajaannya tumbang semasa kerana melakukan yang betul dan bukannya kerana melakukan sesuatu yang salah.

Rujukan;

https://soscili.my/

‘Saya balik jadi nelayan pun tak apa’ – Presiden PAS



KUALA LUMPUR: Keutamaan PAS adalah memastikan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, perpaduan, pembangunan insan dan manusia yang mesti dipentingkan dan dititikberatkan.
Adapun berkait dengan pelantikan menganggotai Kabinet, PAS mengulangi penegasan bahawa menyerahkan sepenuhnya hal tersebut kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk melantik dalam kalangan semua yang layak.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahkan ketika dinyatakan bahawa banyak pihak mahukan beliau dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya menzahirkan sikap merendah dirinya terhadap cadangan itu.
“Saya terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mewajibkan saya dipilih. Kalau saya tak dipilih pun tak apa, saya balik jadi nelayan pun tak apa, tak jadi masalah. Saya nak bekerja untuk negara. Terbuka. Yang calonkan saya itu rakyat, orang biasa. Bukan orang biasa yang boleh calonkan, sepatutnya Perdana Menterilah yang mencalonkan.
“Sepatutnya orang itulah, bukan si anu si anu mencalonkan saya. Ada orang syok kalau orang calonkan dia. Saya tak syok orang calonkan saya,” ujarnya pada sidang media khas selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.
Malah, beliau mengulangi sebagaimana kenyataan medianya sebelum ini untuk pelantikan itu mengambil kira kemajmukan rakyat, kalangan bukan-Islam, profesional termasuk juga daripada Sabah dan Sarawak, selain berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran.
Ahli Parlimen Marang itu juga sebelum ini menegaskan bahawa dalam hal tersebut PAS tidak ada sebarang syarat atau permintaan, selaim mengharapkan Kerajaan Persekutuan mengutamakan agenda rakyat dan negara.
“Memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menjaga prinsip Federalisma dengan Negeri-Negeri.
“PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan Kerajaan untuk berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” ujar beliau dalam sidang media pertama selepas kemelut minggu lalu. – HARAKAHDAILY 6/3/2020

Kabinet: PAS beri konsep, terserah kepada PM



KUALA LUMPUR: PAS menyerahkan sepenuhnya pelantikan Kabinet kepada Perdana Menteri dengan PAS hanya mencadangkan konsep iaitu mengambil kira masyarakat majmuk termasuk bukan-Islam untuk menganggotainya.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun bukan-Islam tidak ramai, tetapi mesti dilantik dari kalangan yang menyokong, selain golongan profesional dan juga dari Sabah serta Sarawak.
Ulangan penegasan itu dinyatakannya ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media khas selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang, sebentar tadi.

“Itu PAS serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri yang akan menilai. Sudah tentulah akan mengambil kira jumlah kerusi-kerusi parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional. Dan mengambil kira juga Sabah dan Sarawak yang tak ikut Perikatan Nasional ini.
“Termasuklah kalangan bukan-Islam, yang jumlah mereka sedikit dalam Pakatan Perikatan Islam dengan _plus_ parti-parti ini. Kita kena ambil ini. Sebab, bukan-Islam perlu diambil kira,” ujar beliau.
Menjawab cadangan banyak pihak yang menyuarakan mahu Ahli Parlimen Marang itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, katanya beliau terbuka kepada Perdana Menteri tetapi tidak mewajibkan dirinya dipilih.
Bahkan sebaliknya beliau menyatakan sedia menjadi nelayan, kerana hanya mahu bekerja untuk negara, apatah lagi pencalonan itu datang dari rakyat biasa sedangkan pelantikan mestilah dari pencalonan oleh Perdana Menteri.
“Ada orang syok kalau orang calonkan dia. Saya tak syok orang calonkan saya. (Dan) Kita mengharapkan semuanya (yang dilantik adalah) ‘kanan’, semua ‘kanan’. Makna kanan ini kerja kuat,” ujarnya memahamkan.

Beliau juga sekali lagi menegaskan perkara utama ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat melibatkan kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, isu perpaduan, selain masalah pembangunan insan dan manusia yang mesti diberi perhatian. – HARAKAHDAILY 6/3/2020

PH jual RM36 bilion aset negara dalam 500 hari


KUALA LUMPUR: Kerajaan PH telah menjual terlampau banyak aset negara iaitu RM35.789 bilion dalam hanya 500 hari pemerintahannya bersamaan purata RM60 juta sehari atau RM2.5 juta setiap jam.
Butiran terperinci mengenai perkara itu menjadi pendedahan kali kedua oleh Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.
“Ada pihak cuba bandingkan dengan rekod Datuk Seri Najib Razak dahulu melupuskan aset Khazanah sebanyak RM45.3 bilion dalam tempoh 9 tahun. Sedangkan PH baru berkuasa 500 hari, tetapi sudah menjual RM35.789 bilion aset negara.
“Terlampau banyak dijual dalam masa yang singkat. Paling membimbangkan tentulah hakikat bahawa penjualan aset-aset negara di bawah PH ini tidak diganti dengan pembelian aset-aset strategik terkemuka.
“(Ini) Jauh berbeza dengan era BN di bawah Datuk Seri Najib Razak dahulu yang terbukti menyalurkan pula hasil pelupusan aset bagi menjana pelbagai pelaburan strategik yang lain,” ujarnya membedah perkara membimbangkan itu.
Dalam rangkuman semua penjualan dibuktikan Abdul Muein, paling banyak aset negara dijual tersebut adalah kepada Jepun iaitu RM9.605 bilion diikuti China (RM9.11 bilion), serta Singapura (RM7.156 bilion).
Kerisauan turut diketengahkan beliau adalah, disebalik saiz aset negara kian mengecil tanpa pelaburan strategik baru, namun hutang Malaysia telah meningkat naik sebanyak RM124 bilion iaitu kepada RM810 bilion sekarang.
Pensyarah muda yang sedang menyiapkan Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) di Belanda itu turut mengemukakan ‘rasional’ penjualan aset negara secara besar-besaran kepada tiga negara asing tersebut.
“Objektif PH dilihat cuba untuk merundingkan kembali kos projek ECRL dan mendapatkan Jho Low (dengan China), cuba untuk mendapatkan Bon Samurai (dengan Jepun), dan mendapatkan kembali dana 1MDB.
“Maka, apabila dihubungkan objektif PH ini, penjualan mega ini boleh dilihat sebagai ‘ganjaran’ demi mencapai objektif-objektif tersebut,” ujarnya yang turut memetik amaran bekas tokoh korporat dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Khalid, tindakan kerajaan menjual aset negara merugikan Malaysia dalam dua perkara iaitu kalah dua perkara dimana harta itu sudah tiada lagi dan hutang pula memaksa dicari duit lain untuk ditambah lagi.
Demikian itu nasihat Abdul Muein, Kerajaan PH wajib menghentikan serta-merta dasar menjual aset-aset negara kepada kuasa asing secara besar-besaran yang turut diperingat dengan tiga pepatah Melayu.
‘Di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti’
‘Ingat anta belum kena, hemat antara belum habis’
‘Manusia tertarik oleh tanah airnya, anjing tertarik oleh piringnya’. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

Idrus Harun Dilantik Sebagai Peguam Negara

Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara
Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 6 Mac 2020, Jumaat. - Bernama

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini, menggantikan Tommy Thomas yang melepaskan jawatan itu pada 28 Februari lalu.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Mentei, selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempersetujui pelantikan Idrus untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan Tan Sri Tommy Thomas untuk memendekkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 28 Februari lalu, kata kenyataan itu lagi.
"Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Tommy .
"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tommy atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan Peguam Negara," katanya, hari ini.
Idrus, 65, yang juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun adalah kelahiran Sanglang, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ayer Hitam dan Kolej Sultan Abdul Hamid.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) Universiti Malaya (UM), sebelum memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1980.
Dalam karier beliau, Idrus pernah menjadi Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya.


Pada 2014 hingga 2018, beliau turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 November 2018.

Kabinet Tampilkan Muka Lama Dan Baharu. PAS: T/Presiden, S/U, AP Pasir Mas..


Gambar fail, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu merangkap Menteri Dalam Negeri hadir ke persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Oktober tahun lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Senarai Kabinet di peringkat akhir?


KUALA LUMPUR: Senarai nama ahli jemaah Kabinet kini dalam peringkat akhir sebelum dimuktamadkan bagi membolehkan majlis angkat sumpah diadakan minggu hadapan.
Sumber dalaman parti memberitahu semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) sudah mengemukakan cadangan nama mewakili parti masing-masing dan difahamkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sedang menelitinya.
Katanya, Perdana Menteri sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan Presiden parti dalam PN bagi membincangkan senarai berkenaan.
“Saya difahamkan kini Perdana Menteri sedang menimbangkan senarai berkenaan sebelum mempersembahkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya kepada BH, hari ini.
Ditanya lanjut mengenai nama dalam senarai berkenaan, sumber itu menjelaskan barisan Kabinet itu dijangka menampilkan muka lama dan baharu, yang berpengalaman dan pertama kali dalam kerajaan membabitkan wakil setiap parti dalam komponen berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khaled berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak membincangkan senarai nama yang dicadangkan untuk barisan Kabinet.
Katanya, perkara itu adalah kebijaksanaan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau percaya calon yang ditampilkan mereka yang berwibawa dan berpengalaman serta mempunyai latar belakang yang luas dalam bidang masing-masing.
“Saya difahamkan sudah ada pertemuan ketua parti dalam PN dengan Perdana Menteri. Kita tunggu saja, beri sedikit masa kepada ketua parti dan Perdana Menteri,” katanya.
Ditanya sama ada nama beliau turut tersenarai, katanya beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana tidak terbabit dalam menyediakan senarai dan perkara itu terpulang kepada Presiden yang memilih.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, perkara berkaitan barisan Kabinet itu sudah pun dibincangkan barisan kepemimpinan dalam PN.
“Perbincangan sedang dibuat dan kini semuanya terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.
“Perbincangan sedang dibuat oleh kepimpinan tertinggi dan semua diserahkan kepada kebijaksanaan PM berdasarkan beberapa spekulasi sebelum ini, iaitu beberapa bekas menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dinamakan semula dalam barisan Kabinet itu.
Antara nama yang disebut ialah Mahdzir; Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Ahli Parlimen PAS pula yang disebut-sebut dalam senarai Kabinet adalah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari.
Turut disebut-sebut, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. (BH)

Friday, March 06, 2020

Kerana Berat Badan, Sanggup Jadi Pelakon Lucah..

Mikaela Spielberg (kiri) berkata bapanya Steven Spielberg menyokong keputusannya menyertai bidang pornografi. — Foto ihsan Instagram/vandal_princess dan AFP
Mikaela Spielberg (kiri) berkata bapanya Steven Spielberg menyokong keputusannya menyertai bidang pornografi. — Foto ihsan Instagram/vandal_princess dan AFP
HALAMAN HIBURAN

Sering diejek berat badan, anak Steven Spielberg nekad jadi pelakon lucah
ANAK pengarah filem terkenal Hollywood, Steven Spielberg mengumumkan menyertai dunia perfileman lucah dan berminat untuk menjadi penari erotik.
Mikaela Spielberg, anak angkat kepada Steven dan isteri Kate Capshaw, berkata dia sudah mula menghasilkan video pertama dan berhasrat untuk bekerja di kelab tarian bogel, lapor The Sun.
Gadis berumur 23 tahun itu memilih kerjaya berkenaan selepas berdepan dengan ejekan berat badan (body shaming) selama bertahun-tahun.
“Saya penat kerana tidak mampu buat yang terbaik untuk badan saya, dan jujurnya saya sangat letih apabila diberitahu supaya membenci badan sendiri.
“Saya juga letih bekerja setiap hari tetapi tidak memberi kepuasan jiwa.
“Dengan kerja (baru) ini, saya mampu ‘memuaskan’ orang lain, dan saya rasa itu bagus kerana ia tidak membuatkan saya rasa teraniaya,” katanya dalam wawancara dengan media Amerika Syarikat (AS) itu.
Mikaela berharap kerjaya baru akan membuatkannya menjadi lebih berdikari dan tidak bergantung harap kepada kewangan ibu bapanya sebagai selebriti.
Dikritik umum kerana mencemarkan imej bapanya, Mikaela bagaimanapun berkata keputusannya itu disokong oleh kedua-dua orang tuanya.
Mikaela menjadi anak angkat pengarah filem ‘Jurassic Park’ pada 1996 dan mempunyai enam adik beradik termasuk Jessica Capshaw, Max Samuel Spielberg, Theo Spielberg, Sasha Rebecca Spielberg dan Sawyer Avery Spielberg, serta Destry Allyn Spielberg.
Dilimpahi kemewahan ketika kecil, beliau mengakui bergelut dengan beberapa kejadian trauma sebelum ini termasuk keganasan seksual, sakit mental dan masalah alkohol.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah cara fikir dan cara hidup barat yang bebas dari kehidupan bertamaddun dan beragama. Orang beriman sepatutnya kekal dengan cara hidup Islam walau di manapun mereka berada.
Allahu Akbar.L

Lihat lagi..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E Buku IH-120: Cara Fikir Salah Artis (2)

E Buku IH-120: Cara Fikir Salah Artis (2)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails