Sunday, March 01, 2020

Sedia Terima Semula Ahli Amanah.. - PAS


Hashim menyifatkan kepimpinan PH ketika ini tidak mempunyai sebarang pendirian yang tetap dan sering mengubah keputusan yang diputuskan kepimpinan mereka sendiri.
Pas sedia terima ahli Amanah yang insaf - Mursyidul Am

ALOR SETAR: Parti Islam SeMalaysia (Pas) sedia menerima mana-mana pimpinan, Ahli Parlimen atau ahli biasa dari Parti Amanah Negara (Amanah) untuk kembali kepangkuan parti Islam terbabit bagi membentuk gabungan baharu, jika individu tersebut benar-benar insaf atas perlakuan mereka serta diterima pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, menegaskan parti itu tetap dengan pendirian untuk tidak akan sesekali menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti DAP yang merupakan musuh utama mereka..

Tambahnya, ruang untuk kumpulan yang menyertai parti serpihan Pas itu dilihat lebih terbuka sekiranya mereka mengakui kesilapan yang dilakukan dan mampu memenuhi syarat yang diletakkan kepimpinan parti.

"Kita sedia maklum bahawa sokongan kita kepada calon-calon Perdana Menteri ini adalah sekiranya dia (calon) itu tak melibatkan musuh utama kita iaitu DAP. Itu syarat utama.


"Tak kiralah siapa pun, apabila dia (calon PM) tubuh kerajaan, dia tolak DAP dan Amanah.... kerana kita tak boleh bekerjasama dengan mereka tapi bagi (ahli dan pemimpin) Amanah, kalau dia insaf (dan) dia sedar, ruang dia lebih terbuka untuk diterima balik dengan syarat yang dah ditetapkan oleh parti," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media sempena Himpunan 30,000 Anak Muda Pas Istiqamah (HIMMAH) yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Sabtu.

Sementara itu, Hashim menyifatkan kepimpinan PH ketika ini tidak mempunyai sebarang pendirian yang tetap dan sering mengubah keputusan yang diputuskan kepimpinan mereka sendiri.

Tegasnya, tindakan tersebut jelas sekali berbeza dengan parti Islam terbabit memandangkan kepimpinan parti itu tetap menolak gabungan DAP meskipun mempunyai ruang bagi membentuk kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Pada Jumaat, kesemua 57 ahli Parlimen UMNO dan Pas di bawah kerjasama Muafakat Nasional bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-8. (AA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails