Syech H Muhammad Yusuf Saigon,  ada kaitan dengan MP PAS 1955?
Masjid Al Karim Kampung Saigon, di Jalan Tanjung Raya II. Sejarahnya tidak terlepas dari sosok H Muhammad Yusuf Saigon, seorang tokoh yang pertama kali menerabas hutan di lokasi ini.
CATATAN  PERJALANAN: Kalimantan siri 5
PERJALANAN, pengembaraan dan berdakwah antara sifat-sifat yang ada pada seseorang ulama Islam. Di Pontianak ini, nama Syech H Muhammad Yusuf Saigon, tidak lekang  dimakan zaman.  Meski sudah  lama mangkat, namun masyarakat tetap  mengingat jasa-jasa  sosok salah  seorang antara tokoh-tokoh ulama dunia yang disebut-sebut.
Salah seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad al-Banjari yang terkenal dari suku kaum Banjar,  ialah  Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa buah  negeri  kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu  tajwid.  Sewaktu beliau merantau ke Brunei, berkahwin di sana,  memperoleh anak  bernama Ramli. Ramai juga keturunannya di  Brunei dan Sabah.
Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak,   Kalimantan Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad   Yusuf, Muhammad Arsyad dan Abdur Rahman. Muhammad   Yusuf, setelah belajar ilmu-ilmu keIslaman secara   mendalam,  akhirnya menjadi saudagar intan. Mohammad Yusuf juga seperti ayahnya, merantau ke seluruh tanah Kalimantan, Sumatera dan ke luar negara, iaitu ke Saigon dan Kemboja.
Di Kampung   Melayu, Kemboja, Muhammad Yusuf berkahwin lagi. Beliau berkahwin  sebanyak empat puluh kali. Isteri ke 40 dari  Kemboja, itulah yang dibawanya pulang ke  Kalimantan Barat. Di Pontianak,  Muhammad Yusuf membuka tanah perkebunan  getah yang sangat luas. Kampung  itu diberi nama 'Kampung  Saigon'. Akhirnya beliau dipanggil Yusuf  Saigon dan hilanglah nama Banjarnya.
Oleh itu ramai  orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon  bukan orang  Banjar. Beliau dan saudaranya, Muhammad  Arsyad  meneruskan perjuangan moyang mereka, iaitu Syeikh  Muhammad Arsyad  bin Abdullah al- Banjari yang sangat masyhur itu.
Dasar Perjuangan
Mereka berdua  beriktikad,
- Bahawa tiada satu perjuangan pun yang lebih  mulia, dapat  menyelamatkan seseorang sama ada di dunia mahu pun  akhirat, melainkan  perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh  para nabi dan rasul  Allah.
 
- Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, Nabi dan  rasul akhir zaman, tidak syak lagi adalah satu-  satunya agama yang wajib  diperjuangkan oleh setiap insan Muslim.
 
Pembahagian Tugas
Urusan mencari dana untuk kepentingan umat Islam ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan propaganda dan dakwah dilakukan oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.
Pesantren & Institiut
Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh  Allah,  kerana dalam tahun 1925 M. datang seorang pemuda alim  dari  Ketapang bernama Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah   Shaulatiyah, Mekah. Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah,   Mekah ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian  dikenali  sebagai Syeikhul Islam di Kerajaan Selangor.
Abdus Shamad  ditampung  oleh Muhammad Yusuf Saigon, lalu didirikanlah pondok-pondok  tempat  tinggal pelajar. Ketika itu berdirilah 'Pondok Pesantren  Saigoniyah' sebagai pondok pesantren pertama di  Kalimantan Barat (walaupun ada yang menganggap sistem pendidikannya  bukan sistem  pondok, kerana ia mempunyai bangku- bangku tempat  duduk pelajar).
Pondok pengajian selain  itu yang ada di Kalimantan Barat ialah Dar  al-'Ulum yang diasaskan oleh Abdur Rahman bin Husein  al-Kalantani, murid  Tok Kenali. Pengajian pondok ini terletak di  Kampung Terusan,  Mempawah. (Hanya pondok pengajian inilah satu-satunya  pondok pengajian  tanpa kelas dan tanpa bangku, sistem pendidikannya  sama dengan di  Patani, Kelantan, Kedah dan Pulau Jawa.)
Dalam tahun  1975, beberapa orang  kader Pondok Pesantren Saigoniyah dan Dar al-'Ulum  bergabung, sama-sama  mengajar di Pondok Pesantren Al- Fathaanah di  Kuala Mempawah. Bererti kelanjutan daripada kedua-dua  institusi tersebut, masih  berjalan terus sampai sekarang.
Sebelum itu, Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan kader-kader yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat, tetapi sekarang hampir semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren Saigoniyah hilang atau tenggelam namanya akibat keganasan tentera Jepun dalam Perang Dunia kedua, di Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah, nama itu tidak muncul lagi.
Namun pada tahun 1977 muncul pula nama baru iaitu Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan bertujuan mengabadikan nama keturunan beliau, Syeikh Muhammad Arsyad al- Banjari. Syeikh Muhammad Arsyad al- Banjari adalah satu-satunya ulama yang dihormati di Kampung Saigon ketika itu.
Jasa Kepada Dunia
Perlu  juga kita ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini  juga menjalankan  aktiviti serupa di tempat-tempat lainnya di dunia  Melayu, bahkan  termasuk Mekah. Sebagai contoh Mufti Abdur Rahman  Shiddiq  al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di Parit Hidayat, Sapat,   Inderagiri Hilir, dan Sumatera.
Tuan Husein Kedah al-Banjari mengasaskan beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam Madrasah Al- Khairiah.
Masih banyak lagi institusi pendidikan keluarga   ulama Banjar tersebut di tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun   di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa Timur seperti Pesantren Datuk Kelampayan. Pondok   tersebut diasaskan oleh al-Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad Syarwani   Abdan al- Banjari. Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh  Muhammad  Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di  Kelampayan.
Di Dalampagar (Banjar) sekurang- kurangnya terdapat dua  buah institusi  pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian  pula di Teluk  Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah  di Dalampagar  diberi nama Madrasah Sullam Al-'Ulum dan Madrasah Mir'ah  ash-Shibyan.  Yang di Teluk Selong diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad.  Yang di  Sungai Tuan diberi nama Madrasah Al- Irsyad.
Yayasan yang  diasaskan oleh  keluarga ulama Banjar tersebut juga terdapat di beberapa  tempat,  seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Yayasan  terbentuk  dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali oleh  panitia (jawatan  kuasa) pada 30 November 1967. Iaitu hari kewafatan beliau  yang jatuh pada 7  Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks  Kubah Kelampayan,  Kalimantan Selatan.
Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini bernama Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919), telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar. Sejak tahun 1972 telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah.
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein.
Saya (Ibnu Hasyim) tertarik kepada Tuan Hussein Kedah al-Banjari, atau  nama sebenarnya Hussein bin Haji Muhammad Nasir. Tokoh ulama yang  menjadi pengasas enam buah pondok termasuk Madrasah al-Taufiqiah  al-Khairiah, yang kemudiannya dikenali sebagai Pondok Pak Ya. Dengan 18 buah  kitab karangannya, Tuan Hussein dikatakan ulama pondok yang paling  banyak mengarang kitab, khususnya di Kedah.
Tuan Hussein lahir di Titi  Gajah, Kedah pada 20 Jamadilawal 1280H (1863M). Sejak kecil, Tuan  Hussein mendapat asuhan ibunya Tengku Fatimah dan didikan agama daripada  datuknya, Haji Mohd. Taib, seorang ulama terkenal di Kedah yang  mengasas pondok pengajian agama di Titi Gajah sekitar tahun 1870M. Dalam  lingkungan usianya 18 tahun, Tuan Hussein mendapat restu datuknya untuk  melanjutkan pelajaran ke luar negeri.
Tuan Hussein berangkat ke Patani,  negeri yang terkenal sebagai pusat penyebaran ilmu agama pada masa itu.  Beliau menuntut dengan beberapa orang ulama terkemuka termasuk Tuan  Samela, yang pernah menjadi guru datuknya, Haji Mohd Taib. Selepas itu,  bagi mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman, Tuan Hussein menghabiskan  10 tahun menjelajah ke merata negeri, bermula pada tahun 1299H (1881M).  Negeri-negeri yang dijelajahinya ialah Kelantan, Terengganu, Singapura,  Johor dan Melaka.
Dari Melaka, beliau menaiki tongkang menyeberang Selat  Melaka menuju Medan dan terus ke Acheh. Setelah setahun belajar di  Acheh, beliau pulang ke Semenanjung dan mendarat di Melaka. Kemudian  menuju ke Perak melalui jalan darat. Di Perak, Tun Hussein mengajar dan  banyak menyelesaikan persoalan masyarakat berdasarkan hukum syarak. Di  sinilah beliau mula terkenal dengan panggilan ‘Tuan Hussein’.
Kemasyhurannya memikat hati Tok penghulu Abdul Wahab di Panjang Laut,  Sitiawan, Perak yang menjodohkan Tuan Hussein dengan anaknya bernama  Jaharah. Beberapa tahun kemudian, Tuan Hussein berkahwin pula dengan  Siti Khadijah setelah Jaharah kembali ke rahmatullah kerana sakit  bersalin anak kedua. Tidak berapa lama kemudian, Tuan Hussein bersama  isteri pulang ke Titi Gajah untuk membantu datuknya yang sudah lanjut  usia mengajar di pondoknya.
Pada tahun 1314H (1896M), Tuan Hussein  bertolak ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya, dan sempat belajar  dengan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Ahmad Linga dan Syeikh Omar Sembawa.  Beliau bersahabat rapat dengan Tok Kenali dan beberapa orang ulama Tanah  Melayu lain yang bersama-sama di Mekah. Tuan Hussein belajar selama  empat tahun di Mekah dan apabila pulang semula ke Titi Gajah, beliau  berusaha selama dua tahun menyusun semula pondok peninggalan datuknya.
Dalam masa yang sama, beliau membangunkan pondok di Alor Ganung kerana  memenuhi permintaan masyarakat tempatan. Beberapa tahun kemudian, beliau  berhijrah dan mengasas pondok pengajian di Bohor pula. Di Bohor, Tuan  Hussein menetap selama 13 tahun. Itulah paling lama beliau menetap di  satu-satu tempat dalam sejarah perjuangannya menuntut ilmu dan  membangunkan pondok.
Dalam tahun 1912M, Tuan Hussein berhijrah lagi  untuk membangunkan pondok di Bagan Ulu, Pantai Merdeka. Selepas lebih  kurang tujuh tahun di Pantai Merdeka, barulah beliau membangunkan pondok  di Kampung Selengkoh, Sungai Limau. Pada tahun 1924M, Tuan Hussein  mengasaskan Pondok al-Taufiqiah al-Hidayah di Batu 16, Padang Lumat  (sekarang menjadi sekolah menengah agama dengan penuntutnya melebihi  3,000 orang di pelbagai peringkat pengajian).
Beliau hanya sempat menetap selama empat tahun di Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai. Penghijrahan Tuan Hussein ke Pokok Sena itu berlaku disebabkan beliau diperintahkan keluar dari Kedah atas alasan melanggar beberapa peraturan atau undang-undang negeri. Penghijrahan itu mendorong Tuan Hussein membuka pondok keenam di Pokok Sena iaitu Madarasah al-Khairiah al-Islamiah. Madrasah itu hidup, dan sangat maju semasa di bawah pengendalian anaknya, Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji Ahmad.
Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Hussein, itukah ulama  Islam yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Pertama Malaya 1955 sebelum merdeka? Beliaukah yang menang menjadi Ahli Parlimen Pertama dari PAS atau Parti Islam Se Malaya, merebut 1 dari 52 kerusi Parlimen? Beliau, dikatakan menang adalah atas sokongan mayarakat Banjar sekitar tempat beliau bertanding.
Waktu itu, PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Iaitu satu di Pulau Pinang, Pahang dan Kedah. Dua di Selangor, tiga di Kelantan dan Perak. Calon PAS yang bertanding ialah Haji Zabidi Ali (Wellesley South atau Seberang Perai Selatan), Hassan Adli (Teluk Anson), Abdul Wahab Nor (Dinding), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian), Zulkifli Mohamed (Selangor Tengah), Othman Abdullah (Kuala Selangor), Mohd Yassin Salleh (Semantan), Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas), Mohd Asri Muda (Kelantan Timor), Haji Nor Yusof (Kelantan Selatan) dan Mohd Salleh Shafie (Kedah Selatan).
PAS cuma dapat satu kerusi parlimen atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin. (Juga satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut.)
Allahyarham Sohibul Fadhilah Tuan Guru Haji  Ahmad yang menurut sumber Banjar Pontianak ini pernah berkata mengenai ayahnya, “Prinsip Tuan Hussein  membangunkan pondok ialah untuk mengembangkan ajaran Islam dan  memudahkan bagi orang yang ingin mempelajarinya..."
Ertinya, perjuangannya ialah melanjutkan perjuangan ayahnya, yang juga sama dengan perjuangan Syech H Muhammad Yusuf Saigon, iaitu perjuangan menegakkan agama Islam. Itulah juga yang diperjuangkan oleh PAS pada masa itu.
Apakah benar dua nama yang sama itu adalah satu individu? Saya masih dalam penyelidikan lagi. Harap bantu-bantulah saya menyelidikinya.
Bersambung, insya Allah.
Ibnu Hasyim
alamat:      ibnuhasyim@gmail.com   
 25 Feb 2012
Pontianak, Ind.
Lihat sebelum ini..


No comments:
Post a Comment