Friday, March 02, 2012

Kemelut PAS, Seluruh Pimpinan Ke Kedah Esok.

Kl, 2 Mac 12: Sebentar tadi, Harakahdaily.net melaporkan, seluruh pimpinan PAS Pusat akan turun ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan mahabbah dengan pimpinan parti di negeri itu berhubung kemelut yang melanda. Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta, supaya seluruh ahli PAS bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti menyelesaikan isu yang melanda Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau berkata, beliau yakin isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin dengan semangat ukhwah yang tinggi.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda negeri Kedah mutakhir ini.

"Insya Allah ia akan selesai sehari dua lagi atas usaha kepimpinan dan semangat ukhuwah seluruh pihak yang mendukung perjuangan ini," katanya dalam kiriman mesej ringkas kepada Harakahdaily lewat petang ini.

Presiden PAS itu kini masih di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi, kira-kira empat jam itu dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Pada sidang media semalam, Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Difahamkan sebelum ini, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi telah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka. Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Pada Selasa lalu, lapan daripada 10 Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah. Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dikatakan enggan menyambung jawatannya. (IH/Hrkh)

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails