Saturday, April 14, 2012

Lubuk Antu.. Bersama Sahabatku Orang Iban..

Tempat asal Lubuk Antu, kini dijadikan taman rekreasi.

CATATAN PERJALANAN: Kalimantan siri 19

LUBUK Antu, mengapa dinamakan Lubok Antu? Dikatakan wujud kerana dulunya di kawasan-kawasan Ulu Sungai Batang Ai, sering berlaku peperangan di kalangan masyarakat Iban. Sehingga mayat-mayat bergelimpangan dibuang atau terjatuh kedalam sungai, dihanyutkan oleh arus deras dan terkumpul di suatu lubuk hilir Sungai Batang Ai.

Mayat-mayat telah tersekat dan tersadai di lubuk itu tanpa sesiapapun yang berani menguruskannya. Kerana itu penduduk tempatan beranggapan bahawa kawasan atau lubuk itu telah menjadi 'keras' berpuaka atau 'berhantu'. Maka lahirlah nama Lubok Antu.

Kini, tempat berkenaan telah diperindahkan dengan lanskap taman rekreasi yang menarik oleh pihak Majlis Daerah Lubok Antu. Kedudukannya, memang berhampiran dengan Pejabat Daerah Lubok Antu dan agensi-sgensi Kerjaan lain seperti Jabatan Kastam & Eksais diRaja dan Imigrisen.


Ini asal lubuknya, masih boleh dilihat sekarang..

Itu cerita versi pertama. Versi kedua, begini...

Diceritakan, suatu ketika dahulu ada dua orang adik-beradik bernama Chiri dan Jampi. Suatu hari, mereka pergi untuk 'Ngamboh' parang (nempek parang). Semasa balik dari ngamboh, mereka telah tersermpak dengan 'Bunga Nuing' (Orang Panggau atau Kayangan). Bunga Nuing telah mencabar mereka berdua untuk beradu ketajaman parang.

Dalam peraduan
itu Bunga Nuing telah 'mansap' (menetak) batu yang terdapat di tepi sebuah lubuk. Semenjak peristiwa itu, daerah ini secara keseluruhan telah dikenali sebagai Lubok Antu kerana Bunga Nuing yang menetak batu tersebut bukanlah golongan manusia biasa. Masyarakat tempatan pada masa itu pun beranggapan bahawa lubuk tersebut ada hantu atau berhantu. Jadilah Lubuk Antu. Di negeri Sarawak Malaysia.

Pasar kraf menjual pakaian tradisional orang Iban.

Pemandangan sekitar Lubuk Antu. Stesen bus Lubuk Antu

Salah satu kedai barangan murah super store yang di ambil sempena watak kartun popular Jepun, Doremon.

Sekarang aku berada di sebuah komplek dekat terminal bas di pekan Lubuk Antu lepas keluar dari jalan tikus Badau tanpa apa-apa halangan. Al-hamdulillah. Aku dengan pemandu motosikal yang membawaku singgah minum di sebuah kedai makan orang Iban di situ.

"Tuan datang dari Badau berubat ke?" Sapa taukeh kedai itu dengan peramah. Mungkin kerana dia melihat aku terhencot-hencot tanda sakit.

Aku mengangguk, "Hampir berubat..." Kami saling memperkenalkan diri dan menjadi sahabat.. Kini dia sahabatku dari kaum Iban.

Orang Iban juga adalah dari suku Dayak.
Kalau kita lihat sejarah, secara umum kebanyakan penduduk kepulauan Nusantara adalah penutur bahasa Austronesia. Saat ini teori dominan adalah yang dikemukakan linguis seperti Peter Bellwood dan Blust, iaitu tempat asal bahasa Austronesia adalah Taiwan. Sekitar 4, 000 tahun lalu, sekelompok orang Austronesia mulai berhijrah ke Filipina. Kira-kira 500 tahun kemudian, ada kelompok yang mulai berhijrah ke selatan menuju kepulauan Indonesia sekarang, dan ke timur menuju Pasifik.

Namun orang Austronesia ini bukan penghuni pertama pulau Borneo. Antara 60,000 dan 70,000 tahun lalu, waktu permukaan laut 120 atau 150 meter lebih rendah dari sekarang, waktu itu kepulauan Indonesia berupa daratan (para geolog menyebut daratan ini "Sunda"). Manusia sempat berhijrah dari benua Asia menuju ke selatan dan sempat mencapai benua Australia yang tidak terlalu jauh dari daratan Asia, masa itu.
Dari pegunungan itulah berasal sungai-sungai besar seluruh Kalimantan.

Diperkirakan, dalam rentang waktu yang lama, mereka menyebar menelusuri sungai-sungai hingga ke hilir dan kemudian mendiami pesisir pulau Kalimantan. Di daerah selatan Kalimantan Suku Dayak pernah membangun sebuah kerajaan. Dalam tradisi lisan Dayak di daerah itu sering disebut Nansarunai Usak Jawa. Kerajaan Nansarunai dari Dayak Maanyan telah dihancurkan oleh Majapahit, terjadi antara tahun 1309-1389.


Kejadian tersebut mengakibatkan suku Dayak Maanyan terdesak dan terpencar.. sebahagian masuk daerah pedalaman ke wilayah suku Dayak Lawangan. Arus besar berikutnya terjadi pada masa pengaruh Islam berasal dari kerajaan Demak bersama masuknya para pedagang Melayu (sekitar tahun 1520).

Bersambung..

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

Mac 2012
Lubuk Antu,Serawak.

Lihat catatan sebelum ini...
E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails