Saturday, April 14, 2012

Pendidikan Negara Gagal, Semak Semula -TERAS


KL 14 Apr 12: Rasa resah melihat kegagalan pendidikan negara melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah yang seimbang seperti yang dinyatakankan dalam Falsafah Pendidikan Negara jelas menuntut agar sistem yang sedia wujud disemak semula secara total.

Demikian kenyataan dibuat oleh Presiden Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hami.

Menurutnya, pengumuman kerajaan kini, untuk melaksanakan reformasi pendidikan bukan suatu yang baru. Seruan pelbagai pihak agar sistem pendidikan dirombak sudah lama disuarakan.

Bermakna bermula dari aspek konsep kesepaduan ilmu sehingga aspek sistem kurikulum, kokurikulum, buku teks, skima peperiksaan, sistem pelatihan guru, pentadbiran dan kepimpinan sekolah dan universiti, skima perlantikan dan saraan guru, prasarana dan kemudahan, pensijilan dan pengiktirafan, sistem pengajaran dan pembelajaran. Tuisnya lagi.

"Teras berpendapat tidak ada gunanya reformasi pendidikan diumumkan jika yang ingin dilakukan hanyalah perubahan bersifat superfisial dan kosmetik semata-mata. Malah sudah menjadi kelaziman setiap menteri yang dimandatkan untuk menerajui Kementerian Pendidikan (istilah yang sepatutnya diguna semula) ada sahaja pengumuman besar yang akan diisytiharkan.

"Akan tetapi perubahan yang diumumkan sering tidak menyentuh perubahan yang mendasar. Natijahnya adalah sistem sedia ada kembali seperti asal. Hanya yang dilihat berubah ialah prasarana fizikal. Konsep dan falsafah yang menepati pendidikan dalam ertikata sebenar tidak berubah.

"Teras mendapati terlalu banyak forum dan persidangan untuk menilai semula pendidikan negara diadakan. Namun sistem pendidikan yang terus berlanjutan masih dalam bingkai sistem pendidikan penjajah. Tidak berlaku anjakan yang benar-benar bermakna untuk melambangkan erti pendidikan yang merdeka.

"Tanda negara maseh melanjutkan pendidikan penjajah dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat universiti jelas dilihat dari budaya dan konsep kehidupan yang berkembang dalam masyarakat masakini. Malah kesan pendidikan yang dilalui telah melahirkan manusia yang sangat berciri materialistik, individualistik dan komersialistik.

"Jelas isu kehilangan jatidiri, buta sejarah, tidak menghargai dan tidak bangga dengan budaya dan tradisi sendiri, terhakisnya bahasa dan persuratan Melayu sebagai teras kebudayaan bangsa dan negara, rendahnya kesedaran sosial dan terlalu ghairah dengan budaya hidup asing, sangat berkait dengan sistem pendidikan yang pincang.

"Keghairahan kepada sistem ilmu yang merujuk kepada sumber Barat sangat ketara sehingga golongan akademik hanya diiktiraf jika menulis dan berkarya dengan merujuk sumber mereka kepada sarjana Barat. Malah tidak keterlaluan jika disebut bahawa sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang melahirkan perhambaan yang sepenuhnya kepada Barat.

"Pengiktirafan dan pentarafan universiti diukur hanya dari kriteria yang ditentukan dari Barat. Sementara karya dan penyelidikan yang dihasilkan hanya dapat diiktiraf jika ia diterbit dalam jurnal yang ditentukan di Barat. Demikian rendahnya daya intelektual dan yakin diri yang dihasilkan oleh sistem pendidikan kini menyebabkan Teras berpendirian selagi reformasi dalam ertikata yang sebenar tidak dilakukan ke atas pendidikan masakini, negara ini tidak boleh berbangga bahawa ia telah melahirkan generasi yang benar-benar merdeka." Jelasnya melalui Harakah semalam.

Menurutnya lagi, nilai dan falsafah pendidikan yang diamalkan gagal membentuk kualiti manusia sebagai warga masyarakat mahupun warga negara dan warga dunia yang menghayati nilai-nilai murni yang sepatutnya, melainkan lahirnya keperibadian yang sarat dengan kekaguman kepada tamadun Barat dari sekecil-kecil aspek tabiat makan sehingga kepada aspek pembangunan.

Malah jenis manusia yang dilahirkan dari pendidikan kini sarat dengan nilai tamak, eksploitatif, tidak berperikemanusian, gelojoh, menindas, zalim, penting diri dan mengutamakan nilai kebendaan yang sangat tinggi. Apa yang dizahirkan melalui pembangunan negara adalah lambang langsung dari jenis warga professional yang dilahirkan oleh sistem pendidikan yang diamalkan dinegara ini. Tegasnya lagi, jenis dan bentuk pembangunan yang wujud sekarang adalah hasil dari pemikiran dan nilai yang tertanam dalam warga yang telah melalui sistem pendidikan negara.

"Kami melihat persoalan perubahan pendidikan tidak bermula dari asasnya yang mendasar. Sejak Laporan Razak hingga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Hishammuddin, sistem pendidikan masih berada di tahap yang lama jika dilihat dari isinya. Persoalan merubah beberapa skima yang melibatkan isu saraan pendidik, peruntukan dan pembangunan prasarana pendidikan tidak menandakan reformasi pendidikan akan berlaku dalam bentuk yang sepatutnya.

"Isu dasar yang harus diberi perhatian ialah bagaimana sistem pendidikan negara yang maseh bercorak feudal bermula dari pra sekolah sehingga keperingkat menengah dan ke peringkat pendidikan tinggi boleh diubah? Keluhan bahawa pendidikan negara gagal mellahirkan insan yang berwatak mulia dan beriltizam dengan kesedaran sosial yang tinggi adalah isu utama yang seharusnya ditangani.

"Teras mengambil perhatian kepada isu pembiayaan pendidikan yang semakin tinggi. Sementara semakan kepada bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar dari skim PTPTN perlu dilakukan, Teras percaya suatu mekanisme yang baru untuk membiaya kos pendidikan negara perlu dicari. Teras bersetuju bahawa kerajaan sepatutnya mencari jalan bagaimana pembiayaan pendidikan harus ditanggung oleh dana khas yang diberi keutamaan dari pendapatan yang diperolehi dari industri petroleum negara.

"Sepatutnya perolehan dari petroleum memberi keutamaan kepda pembiayaan pendidikan, bukan kepada projek-projek mega yang membazir. Teras meletakkan kesalahan kepada kegagalan kerajaan menyediakan pendidikan yang lebih murah kepada rakyat adalah kerana ketirisan dan salahguna peruntukan negara yang sangat berleluasa.

"Pendidikan tinggi percuma di Malaysia tidak dapat diaksanakan kerana Malaysia mengamalkan sistem pendidikan mengikut pasaran. Ekonomi pasaran terbuka telah menjadikan pendidikan tinggi sangat kompetitif dan yuran lebih ditentukan oleh pasaran, bukan oleh kualiti pendidikan yang sebenar. Kehadiran IPTS yang begitu banyak menjadikan peluang untuk memasuki universiti atau kolej swasta sangat terbatas bagi golongan berpendapatan rendah.

"Teras berpendapat pendidikan percuma diperingkat universiti boleh dilaksanakan dengan mengujudkan dana khas dari GLC negeri dan pusat. Sementara itu agensi pembiaya seperti JPA , Mara, Bank, Petronas, Zakat Negeri hendaklah memperluaskan pembiayaan dengan menubuhkan Lembaga Pembiayaan Pendidikan Tinggi Malaysia. Sebuah dana yang disatukan boleh diwujudkan untuk memastikan penyaluran pembiayaan pendidikan dapat dilaksanakan dengan efektif." Demikian Presiden Teras Penguapayaan Melayu (Teras).

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails